|
Kenyataan Media
23 Disember 2006
Kerajaan BN Lembap Atasi Bencana Alam (Bah Besar)
Angkatan Muda KeADILan Malaysia mendesak kerajaan
bertindak secara agresif di dalam menangani
pemasalahan bah besar yang setakat ini melanda
negara dengan teruk. Kami merasa kesal degan sikap
kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang mengambil
sikap acuh tak acuh di dalam tindakan mereka.
Angkatan Muda merakamkan perasaan kecewa yang amat
sangat di atas tindakan lembap kerajaan terutama di
dalam aspek penyelamatan dan penyediaan penempatan
banjir. Perasaan kecewa dan kesal ini juga
dilahirkan oleh ramai rakyat Malaysia seperti yang
didedahkan di dalam laporan berita TV3 malam semalam
dan juga melalui laporan media cetak hari ini.
Adalah satu perkara yang amat menyedihkan bilamana
Malaysia yang dianggap terkehadapan di dalam
menyelamatkan negara-negara lain yang ditimpa
bencana akan tetapi kelihatan lembap dan pincang
ketika menyelamatkan negara sendiri.
Kami merasa cukup hairan bagaimana seorang Perdana
Menteri masih lagi boleh bercuti di luar negara di
dalam keadaan negara ini dilanda musibah yang besar.
Ini mengingatkan kami bagaimana tindakan yang sama
telah beliau lakukan ketika mana negara ini dilanda
tsunami pada 2004 yang lalu.
Angkatan Muda telah mula turun ke bawah dan meninjau
perkembangan di pusat-pusat penempatan banjir sejak
Rabu lalu. Kami mendesak kerajaan supaya segera
mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan dan bekalan
air bersih bagi mengelakkan berlakunya wabak yang
tidak diingini.
Angkatan Muda juga mendesak kerajaan untuk segera
mengisytiharkan Hari Bencana Alam dan mengarahkan
agar cuti diberikan kepada kakitangan kerajaan yang
tidak terlibat dalam kerja-kerja menyelamat mangsa
banjir untuk memudahkan mereka menghulurkan tenaga
membantu mangsa-mangsa banjir termasuk diri mereka
sendiri.
Kami juga mendesak sektor swasta untuk menjalankan
tanggungjawab sosial mereka dengan memberikan cuti
dan perlepasan kepada mana-mana kakitangan yang
menjadi mangsa bah.
Angkatan Muda Pusat telah mengarahkan Angkatan Muda
Negeri Sembilan, Melaka dan Johor untuk membantu
mangsa-mangsa banjir. Justeru, pihak kami
mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan kewangan dan
tenaga sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa
banjir di pusat-pusat penempatan banjir.
Sebarang bantuan atau khidmat boleh disalurkan terus
kepada
Azizi (Negeri Sembilan) : 012-3696474
Yusof (Melaka) : 016-2462913
Nurin (Johor) : 012-7616421
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
019.3413312 |