BALIK KE MUKA UTAMA

Kenyataan Media PAS


KENYATAAN MEDIA (7 OGOS 2006)

UNTUK APA WAKIL AMERIKA HADIRI PERBICARAAN LINA JOY

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kehadiran wakil Kedutaan Amerika Syarikat ke Mahkamah Persekutuan untuk mengikuti perbicaraan kes Azalina Jailani atau Lina Joy bulan lepas. Selain wakil Amerika, wakil-wakil media dan NGO hak asasi manusia antarabangsa turut hadir sebagai satu tekanan ke atas mahkamah. Akibatnya, Mahkamah Persekutuan terpaksa menangguhkan keputusan perbicaraan sehingga hari ini.

DPP Pusat melihat tindakan yang dilakukan oleh Amerika ini merupakan satu bentuk tekanan antarabangsa terhadap mahkamah Malaysia supaya tunduk kepada kehendak golongan yang berjuang menuntut kebebasan beragama bagi umat Islam. DPP Pusat percaya usaha jahat Amerika ini mempunyai hubungan yang rapat dengan gerakan anti Islam yang ditaja oleh kumpulan Artikel 11 yang menuntut kebebasan orang Islam keluar agama dan penghapusan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Kehadiran wakil Amerika ini dipercayai dirancang oleh pihak tertentu kerana ia turut melibatkan wakil-wakil media dan NGO antarabangsa sebagai satu bentuk tekanan ke atas mahkamah dan kerajaan Malaysia supaya tunduk kepada kehendak golongan ini. Dengan tekanan ini, mahkamah 'dipaksa' untuk mempertimbangkan kedudukan Malaysia yang mungkin terjejas di peringkat antarabangsa kerana menyekat seolah-olah kebebasan beragama. Ia sekaligus mewakili desakan antarabangsa supaya Malaysia menghapuskan kuasa Mahkamah Syariah yang ditetapkan oleh Perkara 121(1A).

DPP Pusat melihat perbuatan ini sebagai satu bentuk pakatan golongan anti Islam yang mahu memurtadkan umat Islam di negara ini. DPP Pusat berharap Mahkamah Persekutuan tidak terpengaruh dengan tekanan ini dalam memutuskan hak umat Islam yang cuba dicabul oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini. DPP Pusat juga mendesak supaya Kerajaan BN memastikan bahawa hak umat Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebarang kegagalan Kerajaan BN mempertahankan hak umat Islam menjadi bukti tentang maksud sebenar Islam Hadhari yang dicanangkan.


SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762