|
BPPNS <pasn9@yahoo.com>
Subject: Resolusi Muzakarah Cetus Kebangkitan Umat Islam
Malaysia
Date: Fri 08/04/06 09:24 AM
Berikut ialah Resolusi Muzakarah Ulama 2006 yang telah
mencetuskan kebangkitan umat Islam di Malaysia menentang
serangan IFC, gerakan murtad, Islam Liberal dan seterusnya.
Boleh download dalam PDF format dalam laman web Jabatan Mufti
Perak di http://mufti.perak.gov.my
R E S O L U S I MUZAKARAH ULAMA 2006 SEMPENA SAMBUTAN ULANG
TAHUN KE-78 KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN
PERAK DARUL RIDZUAN
Tema: Pemurnian Islam daripada Liberalisme dan Pluralisme
MUKADIMAH
Bismillahi ‘r-Rahmani ‘r-Rahim
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul
lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu
menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana
jalan-jalan (yang lain itu) mencerai- Beraikan kamu dari jalan
Allah. Dengan yang demikian Itulah Allah perintahkan kamu,
supaya kamu bertaqwa.
Al-An`am: 153
Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah Ulama
yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan
dan Hotel Casuarina, Ipoh pada 14-16 Jamadil Awwal 1427H,
bersamaan 11 -13 Jun 2006 telah berkesempatan meneliti, membahas
dan merumuskan tiga kertas kerja di sekitar isu “Islam liberal”
dan pluralisme agama. Muzakarah telah mencapai kesepakatan
menilai dan menyikapi aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk
faham pluralisme agama (menyamakan semua agama/mengakui
kebenaran semua agama) sebagai penyimpangan serius dan berbahaya.
Ia adalah
1
sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriy (serangan
pemikiran) yang didalangi oleh kaum orientalis dan dilatari oleh
pengaruh faham asing: sekularisme modenisme dan pascamodenisme.
Pemikiran liberal dan plural dalam konteks tersebut jelas
menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta mencemarkan kemurnian
dan ketulenannya, termasuk,
• Mencemarkan kemurnian tauhid (teras `aqidah Islamiah).
• Menggugat kemutlakan al-Qur’an sebagai kitab suci, wahyu Ilahi
(kalamu ‘LLah).
• Menggugat martabat kerasulan dan keluhuran peribadi Nabi
Muhammad s.`a. w.
• Menggugat autoriti al-Sunnah dan ijma` `ulama’.
• Menggugat keunggulan syari`at dan kedaulatannya. Berasaskan
hakikat tersebut, muzakarah dengan penuh kesedaran dan
keprihatinan membuat resolusi-resolusi berikut:
DASAR-DASAR KERAJAAN
1. Sesuai dengan tanggungjawab pemegang amanah hirasatu ‘d-din
wa siyasatu ‘d-dunya bih (memelihara agama dan mengurus
kehidupan duniawi dengannya) serta kewajipan melaksanakan
perintah al-amru bi ‘l-ma`ruf dan an-nahyu `ani ‘lmunkar (memerintahkan
kebaikan dan mencegah kemungkaran), maka pemerintah hendaklah
membuat pendirian tegas tentang penyelewengan aliran pemikiran
“Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama. Sehubungan
dengan itu langkah-langkah seperlunya hendaklah segera diambil
bagi mencegah penyebaran pemikiran tersebut, termasuk larangan
pengedaran bahan-bahan bercetak atau penyiaran program-program
(media elektronik) yang mempromosikan idea liberalisme dan
pluralisme dalam pengertian tersebut.
2. Demi memelihara kemurnian `aqidah Islamiah, amalan berkongsi
perayaan hari kebesaran keagamaan di kalangan penganut pelbagai
agama hendaklah ditinjau kembali dari segi keselarasannya dengan
hukum syara` kerana dikhuatiri terdapatnya unsur-unsur yang
boleh membawa kepada syirik.
3. Peruntukan perlembagaan yang mencatatkan kedudukan Islam
sebagai agama Persekutuan hendaklah dipertahankan,
direalisasikan dan diterjemahkan secara yang lebih nyata dan
bermakna dengan mendaulatkan syari`atnya, menguatkuasakan
undang-undangnya, menerapkan nilai-nilai murninya dan
memperkasakan institusi-institusinya. Sehubungan dengan itu hak
dan kewajipan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan Islam
secara utuh dan murni sebagai cara hidup hendaklah sentiasa
dilindungi daripada sebarang gangguan mana-mana pihak.
4. Selaras dengan semangat tersebut, pemerintah hendaklah dengan
tegas dan muktamad menolak IFC ((Interfaith Commission) dan
gagasan-gagasan lain sepertinya yang bermotif menggugat Islam (ajarannya,
undang-undangnya dan institusi-institusinya) serta mencampuri
urusan keagamaan masyarakat Islam.
5. Melihat gejala penyuburan gaya hidup
sekularistik-materialistik sebagaimana yang terjelma dalam
bentuk keleluasaan budaya hedonistik pesta-pestaan dan hiburan
yang melampau-lampau, muzakarah ini berpendapat bahawa
perkembangan tersebut akhirnya akan mengakibatkan pendangkalan
agama dalam erti pemusnahan kekuatan rohaniah dan pencemaran
iklim kehidupan keagamaan di kalangan rakyat. Sehubungan dengan
itu muzakarah ini mendesak pemerintah segera bertindak mengawal
perkembangan tersebut, terutama media massa (cetak dan
elektronik) yang seharusnya berfungsi mendidik rakyat dengan
nilai-nilai murni keagamaan untuk merealisasikan cita-cita
pembinaan masyarakat yang religius (masyarakat yang taat
beragama).
PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN
6. Menyedari betapa seriusnya ancaman terhadap keutuhan dan
kemurnian Islam akibat berleluasanya penyebaran faham dan aliran
pemikiran yang menyeleweng seperti yang dilakukan oleh JIL (Jaringan
Islam Liberal) dan sekutu-sekutunya, maka muzakarah ini
mengusulkan penubuhan badan atau institusi khusus yang
dianggotai oleh ulama dan ahli-ahli akademik untuk memantau dan
menangani ancaman pemikiran tersebut. Sebuah unit khas dengan
fungsi seperti di atas perlu diwujudkan di Jabatan Mufti.
7. Berdasarkan kenyataan bahawa faham sesat yang memakai label
“Islam liberal” tersebut selalu diperlihatkan sebagai wacana
yang bersifat keintelektualan dan disasarkan terutamanya kepada
golongan terpelajar, maka muzakarah ini menyarankan agar kursus
mengenai aliran-aliran pemikiran yang menyeleweng diajarkan di
institusi-institusi pengajian tinggi dengan penekanan khusus
pada kritik dan sanggahan terhadap “Islam liberal” dan
aliran-aliran lain sepertinya.
8. Sehubungan dengan perkara di atas, program penghantaran
pelajar-pelajar bidang pengajian Islam ke institusi-institusi
pengajian tinggi luar negara hendaklah dilaksanakan secara yang
lebih selektif dan berhati-hati dengan mengambil kira risiko
pengaruh pemikiran “Islam liberal” ke atas pelajar-pelajar
berkenaan.
9. Menginsafi pengaruh aliran-aliran pemikiran yang membahayakan
faham dan pegangan keagamaan di kalangan umat, muzakarah ini
merasakan perlunya usaha pemantapan pendidikan `aqidah Islamiah
(berasaskan faham ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah) di semua
peringkat pendidikan formal dan tidak formal.
DAKWAH DAN DIALOG
10. Menyedari hakikat bahawa kegiatan jahat mencemarkan
kemurnian ajaran Islam adalah bersifat global, intensif dan
terancang, muzakarah ini menggesa semua pihak,
institusiinstitusi kerajaan, badan-badan dakwah,
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti
politik agar lebih prihatin dan berpartisipasi secara aktif,
serius dan penuh komitmen dalam gerakan membasmi faham-faham
perosak, dan menyedarkan umat tentang bahaya “Islam liberal”
termasuk faham pluralisme agama.
11. Di samping meningkatkan usaha pemurnian Islam dengan menolak
“Islam liberal” dan faham pluralisme agama, muzakarah ini ikut
mendukung idea dialog antara agama dengan semangat untuk saling
memahami dan saling menghormati tanpa mencairkan jati diri dan
keyakinan terhadap agama masing- masing. Selain itu, pintu
dialog juga seharusnya sentiasa terbuka kepada semua pihak
termasuk para pendukung “Islam liberal” dan lain-lainnya.
PEMBAHARUAN, IJTIHAD DAN PERSYARATANNYA
12. Muzakarah ini juga menyepakati keperluan melakukan
pembaharuan keislaman dalam erti tajdid, islah dan ijtihad.
Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut harus dilaksanakan berasaskan
prinsip dan kaedah yang sah mengikut ajaran Islam. Dalam kaitan
ini, muzakarah mengingatkan bahawa pembukaan pintu ijtihad tidak
dengan sendirinya bererti kebebasan dan kesewenang-wenangan
ber”ijtihad” tanpa tertakluk kepada sebarang syarat. Ijtihad
adalah `ilmun wa amanah (ilmu dan sekaligus amanah) yang harus
dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh mereka yang
memenuhi segala persyaratannya.
TEKAD DAN KOMITMEN MUZAKARAH
13. Menyedari berlakunya pelbagai percubaan untuk mendistorsikan
hakikat Islam dan mencipta “Islam” versi liberal, muzakarah ini
bertekad untuk berjuang mempertahankan dan mempromosikan Islam
hakiki, tulen dan murni berdasarkan sumber asasinya, al-Qur’an
dan al-Sunnah. Sehubungan dengan itu muzakarah menyeru seluruh
umat untuk menentang usaha musuh-musuh Islam untuk merubah wajah
dan citra Islam mengikut selera dan keinginanan mereka.
Hotel Casuarina, Ipoh,
16 Jamadil Awwal 1427H,
13 Jun 2006.
Adat Bersendikan Hukum , Hukum Bersendikan Kitab Allah
Syarak Mengata , Adat Menurut
Sila layari Blog PAS N.Sembilan di http://pasns.blogspot.com
|