|
Remang senja
di Berembang
(yang termampu dariku hanya kata-kata saja
sebenarnya)
"Berembang buah pedada,
hendak dipetik lagi muda,
langit dipandang sama rata,
pandang di bumi tinggi rendahnya."
-kumpulan pantun Hati Mesra
"dari robohan kota Melaka
kita bangunkan jiwa merdeka."
-Dr. Burhanuddin Helmi
Dari robohan Kampung Berembang,
kita bangunkan jiwa pejuang.
[kasar suara mesin garau
menggaung, jentolak merabak koyak berdengung, bising
jentera bingit membengong, "ngeng, ngong."]
Bangunkan sebuah rumah buat kita biarpun papannya
kayu patah beroti rapuh di kunyah anai-anai,
biarpun beratap reput
karat atap zink berlobang lekang,
biarpun dengan tiang lapuk dikeruk bubuk.
[kasar suara mesin garau
menggaung, jentolak mengoyak berdengung, bising
jentera bingit membengong, "ngeng, ngong."]
bangunkan sebuah rumah buat kita biarpun tiangnya
batu roboh dari runtuh mesin jentolak,
biarpun temboknya
dari rempuh jentera menyalak,
dari seragam pakaian haram.
bangunkan sebuah rumah buat kita dengan ikrar
kata-kata -konon- setia janji di kota.
[kasar suara mesin garau
menggaung, jentolak mengoyak berdengung, bingung
bising jentera bingit membengong, "ngeng, ngong."]
bangunkan sebuah rumah buat kita, di dalamnya nanti
tempat kita diam
duduk menanam angan-angan,
bersama deras sejuk malam
aku mahu memeluk engkau,
serapat nafas panas kita,
haba meraba seriau, waktu hujan turun berat sempat
kita basah bersama.
[kasar suara mesin garau
menggaung, jentolak mengoyak berdengung, bising
jentera bingit membengong, "ngeng, ngong."]
ada yang belum selesai, tapi ada yang tak pernah
sesuai,
seperti rumah kita ini,
dengan segala kepapaannya
dari semua pura-pura
dari Maha tipu daya,
percaya Lah, ia tak akan siap!
[kasar suara mesin garau
menggaung, jentolak mengoyak berdengung, bising
jentera bingit membengong, "ngeng, ngong."]
aku hanya pencatat yang jauh,
di luruh hujan bulan November, 2006
dan keruh di kuala lumpur.
www.kerbau.com/rahmatharon |