|
Peniaga Melayu Pasar Rembau Lingkup,
Gulung Tikar
Date: Thu 07/20/06 02:48 AM
Rembau adalah sebuah daerah di Negeri Sembilan yang meliputi
kawasan seluas 402.76 kilometer persegi. Terdapat 17 mukim yang
terdiri daripada 204 buah kampung dalam daerah Rembau. Menurut
sejarah, Rembau asalnya adalah antara tempat mendarat terawal
orang-orang Minangkabau dari Sumatera. Rembau menjadi kebanggaan
orang Melayu yang penuh dengan adat dengan usianya yang hampir
setengah abad.
Sekarang Rembau tidak kurang hebatnya. Menara Masjid Jamek
Rembau yang tinggi dari jauh dapat dilihat apabila kita memandu
menghampiri pekan Rembau. Diwaktu malam pula persimpangan jalan
utama di pekan Rembau disinari cahaya lampu jalan yang pelbagai
corak dan warna yang amat terang benderang. Malah pekan Rembau
masih mengekalkan stesen keretapinya yang penuh nostalgia.
Masuk ke pekan Rembau Pasar Baru Rembau adalah merupakan satu
lagi mercu tanda. Dengan kos pembinaan RM 3 juta, pasar ini
telah beroperasi sepenuhnya pada awal Mei 2006. Namun disebalik
bangunan pasar ini yang tersergam indah timbul pelbagai
pertanyaan.
Hari demi hari para peniaga di pasar Rembau ini mengeluh.
Masalahnya pelanggan yang datang ke pasar baru ini tidaklah
seramai pelanggan yang datang seperti mereka berniaga di pasar
lama yang terletak beberapa meter sahaja dari pasar baru ini.
Yang pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan bangunan pasar
baru yang bernilai RM 3 juta ini. Nak katakan para peniaga ini
baru nak belajar berniaga, rata-rata yang berniaga di pasar ini
adalah mereka yang berniaga di pasar lama. Nak katakan orang
Rembau tidak nampak atau tidak jumpa bangunan pasar baru ini,
pasar baru ini terletak beberapa meter sahaja daripada tapak
pasar lama. Nak katakan tiada tempat letak kereta di bangunan
pasar baru, tempat letak kereta di bangunan pasar baru jauh
lebih luas daripada tapak pasar lama.
Nak katakan ada saingan daripada pasar terdekat, pasar lain yang
terdekat ialah di Tampin atau pun Seremban yang jauhnya lebih 20
kilometer. Nak katakan rekabentuk pasar Rembau terdapat banyak
dinding penghalang menyebabkan pelanggan tidak nampak
gerai-gerai dalam pasar tersebut, ada juga pasar lain yang ada
dinding-dinding penghalang seperti di pasar Ampangan, Seremban
yang majoriti peniaganya orang Melayu. Nak katakan orang Melayu
tidak pandai berniaga, dikhabarkan orang Cina yang dapat lot
dalam pasar Rembau pun tidak mampu bertahan lalu menjalankan
perniagaan serupa di bangunan lot kedai yang lain.
Jadi dimana silapnya hinggakan bangunan pasar baru Rembau yang
harganya RM 3 juta ini tidak mendapat sambutan ? Yang pasti hari
demi hari peniaga Melayu di pasar Rembau ini mula gulung tikar,
dan mereka ini adalah peniaga tradisi yang pernah menjalankan
perniagaan di tapak lama pasar Rembau.
Para peniaga telah mengadu kepada banyak pihak untuk membantu
menyelesaikan masalah mereka, ke Majlis Daerah sudah, ke wakil
rakyat sudah, ke Menteri Besar sudah, ke media cetak sudah, ke
media elektronik pun sudah. Namun belum nampak lagi satu usaha
yang serius secara kolektif dengan mengambil sikap berlapang
dada serta bertolak ansur dilakukan.
Apakah ada pendinding atau pun hijab yang menyebabkan bangunan
pasar baru Rembau ini tidak dapat menggamit kedatangan
pengunjung yang biasa mengunjungi tapak pasar lama Rembau apatah
lagi pengunjung baru ?
Sekiranya semua pihak mengambil sikap berlapang dada, ingin
membantu bukan sahaja peniaga Melayu malah peniaga bangsa lain
di pasar Rembau ini, yang akan mendapat manafaatkan bukan hanya
para peniaga malah semua pihak. Para peniaga akan mendapat
mencari rezeki dengan sempurna, para pelanggan dapat membeli
dengan selesa, pihak Majlis Daerah Rembau pula dapat mengutip
hasilnya dengan konsisten.
Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk menarik orang ramai
mengunjungi pasar Rembau. Media boleh membantu mempromosi,
agensi kerajaan ataupun swasta boleh mengadakan hari bersama
pelanggan di pasar Rembau. Boleh juga diadakan beberapa aktiviti
sampingan untuk menarik orang ramai mengunjungi pasar Rembau
seperti beberapa pertandingan dan peraduan , seperti Peraduan
Teka Kacang percuma dan sebagainya yang dianjurkan oleh pelbagai
agensi mahu pun persatuan.
Semua pihak harus lakukan sesuatu , bukan hanya untuk
menyelamatkan peniaga Melayu pasar Rembau, tetapi untuk
menyelamatkan imej penduduk Rembau sendiri samada mereka mampu
menjadikan pasar Rembau sehebat Pasar Payang di Kuala Terengganu
dan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu.
Syarak Mengata , Adat Menurut - Syarak Dijunjung , Adat Dijulang
Sudi-sudi layari blog saya di http://waghih.blogspot.com
|