BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

PACAL TERINGIN MENJADI SULTAN
To: "anuar mohd nor" <anuarmohdnor@yahoo.com>

Zakaria adalah rakyat Melaka yang mendapat keistimewaan di negeri Selangor. Bermula dengan hidup
sebagai penjaga Pintu Pagar laluan keretapi dan kini beliau bergelar YB serta di anugerahkan Datuk. Menjadi Adun Pelabuhan Kelang dengan kuasa dan kekayaan yang diperolehi hasil usaha dan pembelian undi yang hebat sejak bertahun lamanya.

Mungkin pada beliau, sudah tiba masanya beliau bergelar Sultan setelah memperolehi sokongan dari UMNO setempat serta memiliki kantung yang penuh dengan wang untuk dibelanjakan pada setiap kali pilihanraya. Kini sebahagia dari kekayaan itu digunakan untuk membina ISTANA ala-Sultan Selangor.

Nilai RM5 juta adalah nilai pembinaan bangunan dan tidak syak lagi apabila perabut dan kelengkapan memenuhi bangunan tersebut, nilainya akan melonjak lebih dari itu dan mungkin mencecah ke RM10 juta. Maklumlah, bangunan yang seperti itu, pastinya mahukan perabut yang berasal dari Itali, mungkin.

KEPIMPINAN MELAYU

Sikap Zakaria Md Derus adalah sikap salah seorang dari ramai pemimpin UMNO. Hidup bermewah dengan hanya beralasan membantu rakyat dan berjuang untuk bangsa dan negara. Sejauh mana sumbangan beliau? Nilaikan sahaja bangunan ISTANA tersebut. Berdiri kukuh dengan dikelilingi perumahan kos rendah. Itu pun belum lagi menyentuh bagaimana TANAH itu diperolehi.

Seperti kebanyakan pemimpin kelahiran UMNO, bertindak seperti seorang Sultan yang berhak untuk melakukan apa sahaja. Fenomena yang sama pernah dilakukan oleh Mahathir yang terlebih dahulu mempermainkan kredibiliti Kesultanan Melayu satu masa dahulu sehinggakan Raja sudah hilang kuasa untuk berkata. Budaya tersebut tidak berhenti disitu sahaja dan permusuhan dengan Kesultanan Melayu ditunjukkan pula oleh pemimpin yang lain termasuk si Zakaria Md Derus ini.

PAGAR YANG CURI PADI


Mendirikan rumah yang tersergam indah tanpa memperduli sistem dan prosidur yang mereka sendiri cipta. Menunjukkan bahawa kekuasan mereka melebihi dari rakyat jelata mahupun Majlis Perbandaran Kelang sendiri. Kerana itu beliau meneruskan segala bentuk pembangunan secara terang-terangan walaupun pihak Majlis sendiri sudah memberikan AMARAN. Namun kekebalan beliau jelas menunjukkan bahawa tindakan MPK sendiri sekadar mengeluarkan surat tetapi tidak mempu untuk bertindak lebih dari itu. Melepaskan batuk di tangga. Mungkin ada individu berkuasa di MPK yang bimbang NASI menjadi PASIR.

Berlainan dengan tindakan MPK yang merobohkan sebarang pembangunan yang dilakukan oleh rakyat terutama kepada pembangunan yang tidak mengikut prosidur. Kerap juga lapuran menyatakan bahawa penambahan rumah yang tidak mengikut speks tertentu menerima tindakan ROBOH setelah diketahui oleh MPK dan cukup mengecewakan, tindakan tersebut tidak dilakukan kepada Sultan Selangor yang ke 2 ini, yakni Baginda Zakaria Al Marhum Md Derus.

APA YANG UMNO CUBA BUKTIKAN?


Kita tidak tahu punca sebenarnya perkara ini menjadi berita yang paling sensasi masa kini. Namun sejak beberapa bulan kebelakangan, karenah UMNO dan pemimpinnya sudah cukup menjelekkan. Disebalik perbalahan Abdullah dan Mahathir, kini isu Istana Zakaria, menyerikan isi kandungan sejarah UMNO buat tahun 2006 ini.

Seperti yang semua ketahui, tiada sesiapa boleh menggugat UMNO melainkan UMNO sendiri. Kerana itu segala keburukan UMNO terdedah, tidak lain adalah kerana UMNO sendiri mahukan ianya didedah. Sedangkan isu ini terlebih dahulu utarakan oleh DAP melalui Adun Sungai Pinang dan permohonan untuk siasatan kepada BPR juga dilakukan oleh beliau. Hanya baru-baru ini ia digembar-gemburkan oleh media dan UMNO sendiri.

Mungkin ada perbalahan diantara UMNO sendiri menjadikan Istana Zakaria sebagai topik hangat ataupun mungkin Zakaria sendiri seperti sudah berlebih-lebih sehinggakan UMNO tidak mampu menanggung malu atas keegoan dan kesombongan yang beliau tunjukkan. Bimbang dari penjaga pagar, menjadi Adun dan kemudian menjadi Sultan pula. Sebelum nasi menjadi bubur, biarlah jawatan Zakaria yang terkubur. Sebelum pemimpin lain turut terbabit, biarlah Zakaria menjadi seekor kambing hitam dari sekumpulan kambing hitam yang lainnya.

Selain dari beliau, masih ramai yang beretika seperti itu, cuma belum tiba masa atau mungkin pucuk pemimpin sengaja menutup mata selagi sokongan diterima. Media juga seperti bersekongkol untuk turut menutup sebarang keburukan demi untuk menjaga nama baik UMNO, satu-satu nya parti politik perjuangan bangsa Melayu.
 

Kononnya...

BERJUANG BUKAN UNTUK BANGSA
 

Perjuangan untuk bangsa adalah HALWA TELINGA rakyat Melayu. Semangat Bangsa Melayu kuat hanya pada akar yang tidak tahu perjuangan UMNO sebenar. Tertipu dengan laungan yang dibuat setiap kali pemilihan UMNO dan pilihanraya. Selepas itu perjuangan UMNO adalah untuk kaya dan bukan untuk bangsa lagi.

Anugerah Tanah yang diberikan oleh kerajaan kepada wakil UMNO adalah perkara biasa. Kerana itu, hanya semusim mereka menjadi wakil rakyat atau Parlimen, sudah mampu bergelar jutawan. Lantas kehidupan mereka berubah dari seorang peon atau menjaga pagar keretapi, kini mampu bergaya, kerana mereka sudah kaya. Bangsa Melayu rasanya ramai yang sedar tetapi, tidak berdaya untuk bersuara kerana ramai yang menangguk dan menumpang dari yang mahu menegur. Lantas sikap tamak dan ego mereka menjadi-jadi kerana setiap hari mereka di dampingi oleh mereka-mereka yang asyik memuja dan memuji.

DAH LAMA DAH....

Cara hidup seperti ini sudah dipraktikkan secara meluas sejak pemerintahan Mahathir lagi. Dah lama dah... Kau tolong aku, aku tolong kau. Aku makan, kau makan. Aku suruh kau ikut. Kau bangkang....kita lawan. Dan kini apabila Abdullah memegang kuasa sebagai Perdana Menteri, luka menjadi parah, kudis menjadi barah . Dan barah ini lah sekarang dikejar oleh setiap insan di dalam UMNO. Contoh sudah ada di depan mata, mudahnya menjadi kaya, lantas kanak-kanak sudah pandai bercita-cita untuk menjadi ahli politik yang berjaya. Bukan untuk perjuangkan bangsa tetapi berlawan untuk bina ISTANA. Hanya perlu bermuka-muka, menjual harga diri dan maruah serta angguk selagi mampu.

ADAT BUNUH ANAK

Apabila sudah menjadi budaya, sukar untuk dihentikan. Budaya sudah menjadi adat, ada pihak yang sanggup mati anak dari mati adat.

Jika Zakaria sendiri mampu melampaui undang-undang dan prosidur MPK, maka ia dituruti pula oleh mereka-mereka yang lain. Dan berita terbaharu, anggota MPK yang lain, Mazlynoor Abdul Latif dan Faizal Abdullah, turut menerima arahan memberhenti kerja pembinaan rumah mereka di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Kelang. Begitulah yang dilapurkan oleh Bernama.

Sudah terhantuk baru hendak terngadah. Rupanya, ramai yang terhantuk sekali gus. Persoalannya disini, adakah rakyat perlu turuti prosidur MPK di masa akan datang?

BETAPA BODOHNYA RAKYAT

Segala bentuk pendedahan cacat cela pemimpin yang terhidang sejak Abdullah memerintah adalah satu pendedahan demi kesedaran rakyat jelata. Kini lah masanya media dianggap SEDIKIT longgar dan SEDIKIT berani untuk mendedahkan kelemahan, kebaculan PBT, agensi kerajaan serta kepimpinan yang ada.

Sayangnya, masih ada yang bangang, apabila setiap pembongkaran SALAH LAKU pemimpin di dedahkan, maka ada pula yang menyebelahi pemimpin tersebut, sehinggakan pemimpin sendiri tidak sedar bahawa mereka SALAH.

Lihat lah ketika Zakaria pulang dari mengadap Baginda Sultan Selangor, perbalahan berlaku di pintu masuk Istana Zakaria sehingga menyebabkan keadaan menjadi tegang. Kerana masih ada MANGKUK yang kekal menjadi MANGKUK.

Penyokong Zakaria seperti tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan penunjuk perasaan yang mendesak MPK merobohkan istana tersebut. Ketika itu juga lah penyokong Zakaria bertegang urat dan mungkin juga sanggup bertempur demi keutuhan seorang Pemimpin yang korup.

Tapi kenyataannya, Zakaria sudah mahu menjadi Sultan dan Sultan ada pengikutnya. Zakaria sudah lupa bahawa DIMANA BUMI DIPIJAK, DISITU LAH LANGIT DIJUNJUNG. Apa yang beliau mahu, dimana bumi dipijak, beliau mahu dirinya dijunjung.

MPK YANG BERAT SEBELAH

Beberapa bulan yang lepas dan mungkin sehingga beberapa bulan akan datang, mungkin ada banyak lagi pendedahan yang akan dilakukan. Rakyat Selangor pastinya menerima isu Zakaria ini adalah satu
pendedahan tindakan DOUBLE STANDARD pihak MPK terhadap rakyat di Kelang serta sikap pemimpin UMNO. Itu pun kepada yang mahu sedar.

Masih ada banyak lagi isu yang melibatkan sikap pemimpin UMNO dan MPK sendiri. Mungkin bertimbun fail kes-kes yang tidak pernah cuba dibuka oleh BPR atau pihak kerajaan.

Contoh lain yang juga berlaku di Kawasan Kelang adalah bagaimana berdirinya rumah urut "BALI" yang berselindung disebalik rumah urut tradisional. Pastinya Baginda Sultan Selangor akan sekali lagi dikejutkan dengan KERJASAMA pihak MPK membiarkan urusniaga tersebut.

PERMOHONAN RAKYAT SELANGOR

"Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, patek rasa patutlah RUMAH URUT ini ditutup sahaja sebelum Bandar Kelang menjadi kota MAKSIAT di Pantai Barat Malaysia." Menyedihkan lagi, diberitakan bahawa pelacur yang bertugas terdiri dari anak-anak gadis bangsa Melayu sendiri. Dilanggani oleh pelanggan yang MAJMUK.

Sampai bilakah Baginda Sultan Selangor mampu bersabar dengan tindak tanduk pemimpin yang ternyata MAMPU menggadai sebuah negeri hanya untuk memenuhi tembolok mereka sendiri? Menggadai tanah dan menukar status BANDAR DIRAJA kepada BANDAR PEMIMPIN UMNO.

Sampai bila pulakah rakyat yang dungu, tidak tahu menilai sikap kepimpinan seseorang pemimpin. Mahunya ditunjukkan bangunan ISTANA, baru lah rakyat terlopong dengan penipuan pemimpin selama ini. Menggadaikan hak rakyat dan negara untuk kepentingan diri dan kroni mereka sahaja. Apa akan jadi pada anak cucu kita di masa hadapan yang kering dengan harta kerana pemimpin tidak fikir akan nasib rakyat. Pemimpin sudah bertindak membelakangkan agama dan pinggirkan rakyat jelata. Anak cucu akan mula meminta-minta dari bangsa asing yang berdendam tidak kesudah dengan bangsa Melayu angkara sikap sesetengah pemimpin yang mahu menjadi Sultan sedangkan mereka adalah PACAL yang HINA.



Raden Jowo

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762