|
Sun, 20 Aug 2006 20:24:53 -0700 (PDT)
From: "raden jowo" <magelenjowo@yahoo.com>
To: "anuar mohd nor" <anuarmohdnor@yahoo.com>
Selepas Mahathir menangis dan meletakkan jawatan, rakyat
digantikan pemimpin yang lemah, lebih berbulan madu dari bekerja.
Sikap yang bukan sahaja dimiliki oleh Pemimpin malah segenap
menteri yang ada. Tidak melakukan kerja dengan seikhlasnya dan
tidak bersungguh-sungguh. Memonopoli kekayaan masing-masing
tanpa bimbang kerana Perdana Menteri tidak mampu mengawal sikap
buas nafsu menteri yang ada. Menteri sekarang kurang ajar. Kalau
Pak Lah kritik, mereka tidak menyokong, maka kerana itu Pak Lah
tunduk dan membiarkan segala bentuk penyalahgunaan kuasa
dikalangan menteri. Kepimpinan yang padan dengan menterinya.
Rakyat? Padan muka.
BUAT-BUAT BIJAK
Untuk dilihat bagai mampu, Pak Lah cuba melancarkan pelbagai
bentuk rancangan. Usaha ini bermula apabila minyak dinaikkan
harga pada awal tahun ini. Rancangan RMK 9. Untuk majukan rakyat
atau untuk tutup kelemahan?
Sejak ia mula diperkenalkan, ceritanya sahaja sudah mengambil
masa hampir setengah tahun. Sehingga kini perlaksanaannya tidak
kelihatan lagi. Pihak kontraktor yang sekian lama menganggur,
mula tertanya-tanya rakan yang berada di jabatan-jabatan
kerajaan samaada sudah ada atau belum borang tender, namun
jawapannya menghampakan. Borang tender ada tapi kerja yang tiada.
Lalu Rafidah Aziz pun ikut serta, melancarkan IMP3. Apa ke jadah
tu? katanya untuk membangun dan menseragamkan industri di
Malaysia. Penulis tidak berminat untuk mengetahui secara lebih
dekat. Apa yang jelas, ianya adalah umpama MP3 mainan
kanak-kanak untuk berhibur. Tidak lebih dari itu. Tak percaya?
Tunggu sahaja.
SIAPA DAN APA YANG BENGKOK?
Di dalam usaha Pak Lah mengembalikan kepercayaan rakyat kepada
beliau, beliau diserang oleh bekas PM, Mahathir Mohamad. Bermula
dengan isu pembatalan Jambatan Bengkok, ia terus membabitkan isu
pemilikan saham ECM LIBRA dan pemerolehan projek kerajaan oleh
Kamaludin. Jambatan sudah bengkok, pemimpin pun bengkok sama.
Wawancara disiarkan keseluruh Malaya. Cakap terus cakap tapi
buktinya tiada. Maka jawapan Pak lah diragui dan tidak boleh
diterima. Berkata-kata seperti lagak orang yang rendah daya
pemikirannya. Esoknya, Khairi jual saham dan Kalimullah
mengurangkan saham majoritinya untuk dilihat sebagai syarikat
yang masih diterajui oleh Malaysia, kembali. Usaha
mengkualitikan penipuan.
Jual beli saham di dalam bentuk kertas. Benar atau tidak, rakyat
tidak peduli. Ibarat tutup bangkai gajah dengan daun pisang,
baunya terkeluar jua. Orang tidak tanya mana transaksi penjualan
saham, yang pasti kertas tertulis menyatakan syarikat dah
berubah. Mungkin ada 'power attorney' dimana-mana. Peduli taik
dengan usaha menutup salah ini.
PESTA NAIK HARGA 2006 MENYAMBUT KEMERDEKAAN
Kenaikan harga minyak di negara kita dan kerajaan cuba mengalih
kesalahan kepada harga pasaran minyak dunia yang naik. Maka
berjanjilah kerajaan untuk pastikan kenaikan harga tidak
membabitkan barangan lain. Kerajaan mungkir lagi.
Bermula dengan kenaikan caj elektrik ia membawa kepada kenaikan
harga barangan keperluan lain. Gula yang dahulunya banyak, kini
dikedai yang tinggal hanyalah garam dan ajinomoto. Gula hilang
entah kemana. Masing-masing tunggu dan lihat. Harapkan kerajaan,
cakap kosong hingga ke hari ini.
Puas sudah Shafiee Apdal beralasan. Penyeludup gula jadi alasan.
Akhirnya bendera kalah diangkat. Beliau meminta bantuan TPM
untuk mengarah pengilang GULA mengeluarkan gula kasar
menggantikan gula halus. Yang pasti Gula Halus 60% lebih mahal
harganya dari gula kasar, dan untung mungkin lebih. Rakyat tiada
pilihan, selain membeli gula halus sebagai ganti. Rakyat
terpaksa menerima situasi yang dicipta. Pengeluar gula ketawa
bergaya. Kerajaan kedip-kedip mata mesra dan
rakyat semuanya terkena.
NAIK YANG TAK PERNAH TURUN
Ura-uranya harga air juga akan turut naik. Maka menteri sudah
mula mengugut rakyat untuk tidak membazirkan air, jika tidak,
harganya akan naik. Siapa yang membazir, pastinya bukan aku dan
anak aku. Strategi lama, politik kuno untuk menyalahkan rakyat
demi untuk menaikkan harga air pula. MInta harga naik, tapi
setiap rumah ketika ini menggunakan penapis air yang kelihatan
kuning dan berkarat.
Dulu alasan swastakan air untuk memberikan air bersih. Kini
harga akan dinaikkan dan alasannya serupa. Menggantikan batang
paip untuk menyalurkan air yang bersih. Alasan serupa untuk 100
tahun akan datang. Karat di 'filter' sudah lama kelihatan,
akhirnya rakyat mati berkarat di dalam. Yang berharap akan mati
dan air masih seperti dulu, malah lebih teruk lagi.
Dalam senyap-senyap barangan dipasar juga turut naik. Ikan dan
sayuran harga berubah-ubah. Tiada siapa lagi mahu pantau.
Shafiee Apdal sudah SEPERTI gula, hilang entak kemana.
Mungkin mereka mahu menekan rakyat untuk terus hidup menderita
akibat rakyat sudah tidak percaya. Yang peliknya, Hari Raya
Aidil Fitri nanti, barang sukar diperolehi atau harga barang
naik. Syarikat pengeluar air minuman pasti akan beruntung kerana
jika kurang gula bangsa Melayu akan sambut raya dengan 'air
botol' dan kueh terpaksa dibeli dengan harga tinggi. Akan hilang
lah budaya rumah terbuka pada rakyat kecuali para menteri yang
buka rumah kerana ada peruntukan dan untuk membeli hati pengundi.
APA!! DAH MERDEKA KE?
Kini sudah tiba OGOS 2006. Dek kerana lembabnya kerajaan tangani
kenaikan harga barang, rakyat semakin terhimpit. Bezanya merdeka
dan sebelumnya, kini segala-galanya perlu dibayar. Ramai yang
tidak tahu kemewahan sebelum merdeka, tapi sejarah menceritakan
oleh orang tua yang masih hidup, dalam setuju dengan kemodenan,
mereka merungut tentang sikap masyarkat moden dan maju. Rungutan
orang tua membawa ke akhir hayat. Pening kepala tengok gelagat
anak muda yang maju tapi tidak tahu malu. Tutup sana buka sini,
tutup sini buka sana. Akhir sekali, buka semua. Top top
mengandung. Mak bapa ketawa, sejuk perut mak, anak aku normal,
boleh mengandung rupanya.
Kita bersetuju bahawa kemajuan yang kita perolehi ketika ini
menjadikan rakyat semakin senang. Ku sangka panas hingga ke
petang, rupanya hujan ditengah hari. Susah ketika sebelum
merdeka, senang ketika proses capai kemajuan dan kembali susah
apabila sudah maju seperti sekarang.
Kini, sedikit demi sedikit kesempitan sudah mula dirasai. Keluar
sahaja sudah memerlukan belanja. Sehari belanja RM50 sudah
seperti perkara biasa. Minyak, minum, tol, bil talipon dan
belanja harian sebagai perkara yang pasti.
Segalanya perlu dibayar. Begitu juga dengan cukai pintu,
barangan dapor, anak kesekolah, elektrik dan air, minyak
kenderaan, tiusyen anak-anak, tol lebuhraya, talipon tangan,
cukai kenderaan, cukai pendapatan, kenaikan harga barangan.
Semuanya membebankan. Sedangkan pendapatan hanya sedikit tapi
dek kerana hendak merasakan kemajuan, maka segala-galanya perlu
dibayar.
Kerja 5 tahun gaji tidak naik, tapi barangan dan perkhidmatan,
harganya naik berkali-kali ganda sehinggakan kerak melebihi
periuk dan kini terkeluar dari mulut periuk yang besarnya tidak
pernah bertambah besar.
AKU SUDAH JEMU
Tiba sahaja bulan OGOS akan ada kempen kibarkan bendera. Hidup
seperti terpaksa. Hati sedih, jiwa terkongkong dengan karenah
kerajaan dan kelembapan bertanggung-jawab, tapi rakyat dipaksa
untuk menyambut kemerdekaan. Saban hari media meminta agar
sambutan diraikan oleh rakyat dengan menaikkan bendera. Jika 2
ke 5 tahun sebelum ini, terdapat ramai pemilik kenderaan
memasang bendera pada kereta mereka, namun sekarang sudah
berubah. Perbelanjaan perlu lebih berhemah dan kerana itu RM10
untuk satu bendera, dikira membazir. Untuk gantikan bendera,
gantung kan seluar dalam yang berjalur warnanya. Asalkan ada
yang berkibar.
Jika dahulu ada syarikat yang ingin menaja bendera dengan
mengedarkannya kepada pemandu kenderaan ditol-tol tetapi kini
sudah tidak kelihatan. Banyak syarikat yang sekarang sudah tidak
mampu lagi menderma.
Bangsa asing melihat KEMERDEKAAN itu satu peluang, bangsa Melayu
melihatkan Kemerdekaan itu satu sejarah dan keraian yang
berulang. Yang pasti satu untung dan satu rugi. Rugi Melayu
adalah kerana beli bendera dan keluar jauh malam, untung bangsa
asing adalah kerana jual bendera dan malam duduk rumah makan
bersama keluarga. Esok Melayu bangun lewat sedangkan bangsa
asing bangun awal untuk terus berniaga.
JENERASI BARU PRODUK BARU
Berikutan kegagalan kerajaan di dalam menjaga dan menitik
beratkan kepentingan rakyat, kita sebenarnya hidup seperti diera
penjajahan. Sukar memperolehi barangan dizaman dahulu akibat
putus hubungan kerana perang tetapi ketiadaan barangan ketika
ini adalah kerana tiada wang untuk membeli barang dan pengusaha
pula hentikan pengeluaran barang demi untuk menaikkan harga
barangan tersebut. Keadaan berbeza tapi hakikatnya serupa.
Merdeka kah kita?
Dalam banyak-banyak kekesalan, kerajaan seharusnya bersyukur
kerana masih ada golongan yang ingin menyambut kemerdekaan.
Pasti dilihat nanti bagaimana adanya golongan intelek dan
remaja-remaja yang menyambut kemerdekaan di pub-pub, disco dan
pusat hiburan sehingga ke pagi. Kebanyakannya adalah golongan
remaja produk kerajaan. Yang terpesong akibat sistem pelajaran
ala British dan Kerajaan Islam Hadhari, Hari-hari, tiap hari
lupa diri.
RAKYAT SUDAH LUPA KEMERDEKAAN
Semangat nasionalisma dan kemerdekaan kini semakin pudar. Di
dalam kita mengecapi kemerdekaan dan pembangunan yang dicipta
oleh pemimpin UMNO sejak dahulu, ternyata ianya menambah beban
kepada rakyat. Bangsa Melayu semakin hari semakin tercicir.
Pulau Pinang sudah hampir menjadi Singapura, Kuantan sudah
menjadi Hadyai, Kuala Lumpur sudah menjadi New York dan Kelang
sudah menjadi BRONX. Ada kemajuan, ada kemiskinan dan ada
jenayah yang sukar dikawal.
Jenayah akibat kesempitan hidup menjadi-jadi. Sebelum merdeka
kita diserang musuh, kini kita diserang penjenayah yang mungkin
juga jiran kita sendiri. Hidup tidak seharmoni dahulu kerana
ekonomi semakin membimbangkan. Kehidupan rakyat tidak seimbang.
Yang kaya, teramat kayanya dan yang miskin semakin menghimpit
kemiskinannya. Ada yang menjadi ROBIN HOOD dan ada yang menjadi
ARIEAL SHARON.
Rakyat sudah ada kasta. Pariya akan berusaha untuk menjadi kaya.
Kaedah mereka berbeza. Yang bijak guna akal, yang bodoh guna
kederat dan yang ingin mudah, menjadi penjenayah. Rompak sana
dan sini. Jentolak bukan lagi untuk projek RMK 9, tapi untuk
merompak bank, membawa lari mesin ATM.
MELAYU YANG MERDEKA
Setiap tahun, Bangsa melayu adalah bangsa majoriti yang menjerit
sakan dihari kemerdekaan. Entah apa yang dijeritkan, aku tidak
tahu. Namun yang pasti aku menjerit bila semua orang menjerit.
Jeritan aku hanya ikutan dan bukan dari pengertian yang sebenar.
Benarkah kita sudah merdeka? Persoalan yang dijawab dengan
jawapan khayalan para pemimpin sejak dahulu.
Sorakan itu kini terhenti kerana bangsa melayu sudah tidak kekal
merdeka. Puas sudah kerajaan meminta supaya kita terus bersorak,
tetapi sebenarnya kita bimbang akibat SORAK MENANG, TANAH
TERGADAI. Islam kini juga sudah ditindas dan dipermainkan.
Bangsa Melayu sudah lama diperalatkan oleh pemimpin dan bangsa
lain, kerajaan kononnya memperuntukkan belanja untuk kemajuan
bangsa Melayu, sedangkan peruntukan itu lari entah ke mana.
Pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berlaku dimana-mana tanpa
ada usaha sekatan oleh kerajaan. Kebenaran digelar FITNAH dan
TOHMAH. Kerajaan cuba membenteras sebarang kenyataan yang
dianggap fitnah sedangkan tidak berusaha untuk menidakkan
tuduhan dan mencari bukti. Terlalu banyak sekatan untuk mencari
kebenaran tetapi kepada kerajaan pintu luas terbuka cuma malas
nak cari kebenaran kerana tiada lagi kebenaran. Kerajaan sudah
tahu, mencari bukti akan membuka aib diri.
Di dalam kampung Melayu yang mempunyai penduduk yang ramai
keluarga, tidak tentu lagi 10 orang yang berjaya. Hendak salah
kan kerajaan? Tentu alasan kerajaan, MELAYU MALAS. Kini Melayu
benar-benar Malas. Malas untuk berharap kepada kerajaan, malas
untuk percaya kepada kerajaan dan malas untuk menyambut
kemerdekaan.
HASRAT SEBENAR
Aku memang mahu merdeka tetapi pemimpin Melayu yang mahu Melayu
dijajah semula.
Merdekakah kita jika hingga sekarang kita masih berharap untuk
menjadi maju seperti bangsa lain? Merdeka kah kita jika kita
sendiri tidak boleh kritik kerajaan? Merdeka kah kita jika kita
sendiri di dalam kesusahan untuk sekadar hidup?
Kita lambat maju kerana berharap pada kerajaan untuk
merealisasikan kesemua janji yang pernah diucapkan. Tunggu dan
tunggu, kini kerajaan tegah rakyat untuk tidak lagi berharap
pada kerajaan. Melayu kini mula bertapak sendirian tanpa bantuan.
Bantuan diberikan? Itu semua janji palsu.Melayu bodoh kerana
pegang pada janji sedangkan janji tidak pernah ditunaikan
kecuali ada kepentingan.
Aku hilang kenyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan maka
kerana itulah aku tidak lagi sambut 31 OGOS. Pada ku 31 Ogos
adalah hari menjerit sakan ala Pak Kaduk.
|