BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Apa bezanya ‘GORES DAN MENANG’ dan ‘CABUTAN BERTUAH JPN’?


Pada kerajaan, rakyat pengecut. Kalau kerajaan buat silap, rakyat diam tutup mulut. Menjerit bimbang kena hukum. Menentang akan ditentang. Memboikot akan diugut. Tunjuk perasaan, sembur air kimia, asap racun, rakyat lari masuk kebun. Kerana pengalaman sebegini maka apa sahaja kesilapan kerajaan, mereka buat tak tahu. Persaoalan tidak dijawab, jerit sana, jerit sini, tuding sana, tuding sini. Akhirnya senyap isu tanpa bukti. Esok kerajaan buat silap lagi dan perkara yang sama berulang dan berulang. Kerajaan tidak bimbang kerana rakyat tidak berani tentang. Bodoh kerajaan bukan sekali. Konon nak tunjuk pandai tetapi idea datang macam dari otak kaldai.


Ini lah yang berlaku kepada idea bodoh beberapa orang pemimpin negara. Mencadangkan perkara yang tidak mampu dilakukan semata-mata untuk menunjukkan yang mereka itu hebat. Akhirnya cabutan bertuah MYKAD di batalkan. Masing-masing tuduh menuduh dan bodoh membodohkan diantara mereka yang pasti mangsanya adalah rakyat Malaysia sendiri.

Kini proses 'tuding jari' sudah pun bermula. A tudin B, B tuding C. Hakikatnya semuanya sama. Bukan hendak kata kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, tetapi memang di dalam belanga, nila sudah penuh, susu sudah lama tiada dan kini nila yang biru itu dikatakan susu. Rakyat diam, bukan tak tahu tapi buat-buat tak tahu. Malas nak bicara kerana rakyat tahu bahawa dikalangan pemimpin yang ada sekarang, semua nya kurang akal, lemah otak, tidak berfikiran panjang serta tidak mampu mentadbir sebuah negara yang besarnya hanya sekangkang kera.

Menteri ramai, pemimpin pun ramai, cuma otak mereka yang sedikit dibanding dengan jumlah kepala yang ada.

PENIPUAN ITU SATU JENAYAH

Tindakan pihak berkuasa memantau dan menghukum peniaga yang menganjurkan peraduan ‘GORES dan MENANG’ amat lah dipuji. Ini semua perniagaan yang MENIPU untuk cari untung. Tiada tindakan pun, yang ada hanya cerita yang berdegar-degar. Tindakan dibuat seperti melepas kan batuk ditangga. Sama juga seperti membasmi dadah, CD haram, along dan gangsterism. Bila panas, semuanya melompat, bila sejuk semua diam, kaki pun berlipat. Duduk di pejabat, makan gaji buta. Keluar TV cerita berjela, balik rumah semua dah lupa. Tindakan tiada kerana pemimpin negara kita, CAKAP TARAK SERUPA BIKIN.


Dalam sebuk bercerita tentang idea bodoh dari pemimpin yang bodoh, tanpa kita sedari bahawa penipuan perniagaan ‘GORES dan MENANG’ saling tidak tumpah dengan cabutan bertuah MYKAD yang dianjurkan oleh JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Bezanya ‘GORES dan MENANG’ di dalangi oleh banyak syarikat perniagaan sementara ‘Cabutan Bertuah MYKAD’ di dalangi oleh satu kerajaan sahaja.


Mangsa yang ditipu pula teramat berbeza jumlahnya. Gores dan menang tidak lah seramai mangsa penipuan Cabutan Bertuah MYKAD. Dan kalau dikaji dengan teliti, tindakan yang boleh diambil oleh mangsa penipuan adalah membuat lapuran polis tentang adanya penipuan pertandingan. Masalahnya adakah tindakan membuat lapuran ini akan dilayan? Mungkin juga si pelapur pula yang kena hukuman. Biasa lah, negaraku Malaysia.


KAKI PANCING DITIPU

Mungkin ada antara kita yang masih ingat akan pertandingan memancing di sebuah pantai di PERAK. Janji untuk menghadiahkan kenderaan baru untuk pemenang pertama. Dan kerana itu maka berduyun-duyun lah si KAKI PANCING yang datang seawal pagi untuk beradu nasib. Maklumlah hadiah lumayan, untung nasib bawa pulang kereta baru, pandu keliling kampung bawa anak isteri, gigi bersidai dicermin kereta tanda gembira.


Malangnya, hadiah tidak ada. Yang ada cuma bangsal tanpa hadiah dan beberapa orang pegawai yang bingung dan ketakutan kerana peserta memancing sudah berubah wajah dari ikan sepat kepada jerung raksaksa melihat hadiah tidak ada. Peserta menjadi berang dan menjerit-jerit. Akhirnya kereta pegawai pertandingan dihumban beramai-ramai ke Laut Dalam. Maka lintang pukang lah penganjur dan minta bantuan polis untuk redakan keadaan. Itu lah akibatnya GHAIRAH hendak buat pertandingan tetapi tidak mampu beri hadiah.


TIADA MAAF PUN

Penipuan Cabutan Bertuah MYKAD bukan lah satu perkara kecil. Ramai yang jadi mangsa. Semua golongan rakyat dan bukan sahaja kaki pancing. Malah yang menjual pancing, jual umpan, anak sikaki pancing, atuk, nenek dan semua golongan masyarakat. Semua sekali kena tipu dek idea bodoh JPN.


JPN bukan lah satu badan kecil atau syarikat bernilai RM2 yang pengalamannya sekadar buat pertandingan hari ini dan esoknya gulung tikar. Ia adalah satu badan yang bertanggung-jawab memastikan rakyat Malaysia mempunyai kad pengenalan diri. Dan mereka yang berada di dalam Jabatan ini bukan lah calang-calang orang dan kelulusannya. Malah ada yang besar-besar gajinya serta miliki kemudahan yang hebat hasil pemberian kerajaan. Tetapi malangnya hebat mereka pada pangkat dan bukan pada Pendapat.


Bukan untuk mengapi-apikan perasaan rakyat tetapi kita mahukan satu ucapan MAAF sekadar untuk menunjukkan bahawa kerajaan itu bertanggung-jawab. Berani buat berani tanggung. Sesungguhnya ini bukan lah TIPU kerajaan yang pertama, tetapi banyak penipuan dan kesilapan yang dibiarkan tergantung terhoyong hayang. Mungkin kerajaan tahu bahawa kuasa Rakyat hanya setakat dihujung lidah. Sebut tetapi digetak, pucat sampai kelutut. Dan jika ini lah persepsi kerajaan kepada rakyat, maka benarlah kenapa MAAF tidak perlu dipohon.


JANGAN BERJANJI KALAU TIDAK DITEPATI

Sebenarnya rakyat tidak pernah mengimpikan kebaikan kerajaan sehingga sanggup memberi kepada rakyat kenderaan secara percuma. Ia tidak pernah berlaku. Segala-galanya perlu diusahakan sendiri. Untuk memiliki rumah, kenderaan, menyara keluarga, segalanya perlu diusahakan sendiri. Sifir kehidupan rakyat mudah. Tiada kerja, tiada gaji, tiada gaji tiada makan, dan untuk mencari makan, rakyat perlu kerja dan berusaha. Tetapi janji yang diberikan oleh kerajaan selalu nya menjadi harapan kepada rakyat. Rakyat tidak pernah minta tetapi kerajaan yang janjikan. Kita tidak pernah minta, tetapi kerajaan yang janji hendak beri.


Malangnya kerajaan Malaysia adalah satu badan yang tidak tahu malu. Berjanji menggunung tapi tidak
ditunaikan. Bila ditanya, kerajaan cerita pasal perkara lain. Itu bodoh, ini bodoh, sana bodoh dan sini bodoh. Hampir semua yang ada bodoh. Seolah-olah tiada lah yang pandai selain yang bodoh-bodoh belaka.


Kesimpulannya disini, kerajaan harus tunjuk mereka ini hebat, berintegriti, berwibawa dan tepati janji. Kalau tidak mampu, jangan sebut. Kalau tidak pandai menipu, jangan cuba berbohong. Kerana banyak bohong perlu untuk tutup satu bohong. Jika Datuk Azmi Khalid tidak mampu tunai janji realisasikan peraduan cabutan bertuah, keluar TV, mohon maaf. Jika masih tidak mahu, maka apa lah bezanya PENIPUAN CABUTAN BERTUAH JPN DENGAN PERTANDINGAN GORES DAN MENANG.


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762