BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

PM tegur Pulau Pinang -- Pembangunan tidak sekata, tumpu beberapa kawasan di bahagian pulau saja

Oleh: NOR AZIAH JAAFAR dan ABDUL MUIN SAPIDIN

KEPALA BATAS 26 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegur pembangunan di Pulau Pinang yang dilihatnya hanya tertumpu di beberapa kawasan di bahagian pulau dan mahu pelaksanaannya dibuat dengan lebih sekata di seluruh negeri.

Perdana Menteri menarik perhatian beberapa kawasan tertentu yang majoriti penduduknya adalah Melayu seperti di Balik Pulau masih ketinggalan daripada arus pembangunan berbanding Georgetown dan kawasan utara pulau itu yang sudah lama membangun.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu memberi perhatian yang lebih kepada pembangunan di kawasan berkenaan supaya ia turut menikmatinya dan tidak terbiar seperti kawasan ‘belakang rumah’.

‘‘Kita tidak mahu ada kawasan di dalam Pulau Pinang menjadi kawasan-kawasan ‘terpulau’ dan tidak membangun. Jangan dibiarkan berlaku, itu yang penting.

‘‘Kita tidak mahu kawasan-kawasan itu dilihat sebagai kawasan ‘belakang rumah’ Pulau Pinang yang kurang membangun dan kurang sihat, ini tidak boleh dibiarkan,” tegasnya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, walaupun bahagian pulau dikenali sebagai ‘Pulau Silikon’ dengan segala kemudahan seperti pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa yang menyumbang kepada kemajuan ekonominya, namun masih banyak perkara melibatkan orang Melayu di kawasan itu perlu dibela dan diberi perhatian.

Ini katanya, penting bagi meningkatkan keupayaan orang Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

Abdullah mahu apabila Jambatan Kedua yang menghubungkan Batu Kawan dan Batu Maung di bahagian pulau dibina kelak, kawasan Balik Pulau akan menjadi pintu masuk ke bahagian itu.

Menurutnya, sekiranya pembangunan di kawasan itu tidak dilaksanakan, ia akan memberi gambaran tidak elok kepada negeri dan kerajaan.

Justeru, Perdana Menteri meminta semua pihak terutama Pergerakan Pemuda UMNO negeri mengemukakan segera cadangan kepada kerajaan negeri atau beliau sendiri sebagai input pelaksanaan pembangunan Pulau Pinang yang lebih menyeluruh.

Untuk mendapatkan maklum balas awal bagi mencapai matlamat ini, beliau akan mengadakan lawatan rasmi atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri ke Pulau Pinang selama dua hari pada 4 dan 5 September ini.

Abdullah berkata, sebelum ini banyak pihak di Pulau Pinang merungut kerana beliau mengadakan lawatan kerja ke negeri-negeri lain tetapi tidak ke negeri itu.

‘‘Selepas ini saya akan membuat lawatan ke sini (Pulau Pinang) sebagai Perdana Menteri untuk tentukan langkah-langkah diambil untuk pembangunan negeri ini.

‘‘Masa itu, apa juga teguran, nasihat dan pandangan kemukakanlah agar dapat dibincang dan dilaksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas bangga dengan kemajuan yang dikecapi oleh masyarakat di situ, namun mengingatkan mereka supaya mengatasi masalah sosial terutamanya dadah yang masih menjadi isu utama di Seberang Perai Utara (SPU).

Untuk itu, beliau meminta masyarakat Kepala Batas supaya bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa bagi memerangi masalah itu sehingga ke akar umbi.


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762