|
Oleh Nor Aziah Jaafar
KEPALA BATAS 13 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil
kira cadangan-cadangan yang disuarakan oleh
masyarakat Melayu bagi memelihara kepentingan mereka
di negeri ini.
Menurut Perdana Menteri, ini kerana ada usaha
kerajaan negeri yang diterajui Gerakan gagal
membantu masyarakat Melayu, dipercayai menjadi punca
timbulnya perasaan tidak puas hati di kalangan
mereka terhadap Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu
Koon.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri masih
memberikan bantuan dalam menjaga kepentingan orang
Melayu walaupun mungkin tidak sepenuhnya.
‘‘Bantuan itu ada tetapi mungkin tidak sepenuhnya
seperti yang diharapkan oleh masyarakat Melayu di
Pulau Pinang, jadi ia mungkin menyebabkan adanya
perasaan tak puas hati itu.
“Tetapi kita tidak boleh kata Kerajaan Negeri Pulau
Pinang tidak bantu langsung orang Melayu, itu
kenyataan yang tidak betul. Kalau kata tidak bantu
langsung, tidak betul, kalau kata belum cukup, betul,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
merasmikan Hari Pengasas Yayasan Budi Penyayang dan
Bank Muamalat Malaysia Berhad cawangan Kepala Batas
yang terletak di Kompleks Budi Penyayang di sini
hari ini.
Kelmarin, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tanjong,
Raja Munir Shah Raja Mustafa mendakwa Tsu Koon gagal
membantu Melayu Pulau Pinang dan sudah tiba masanya
jawatan Ketua Menteri diserahkan kepada UMNO secara
mutlak bukannya menerusi sistem penggiliran.
Tsu Koon bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan
menjelaskan segala program pembangunan di negeri ini
bukan keputusan beliau sendiri, sebaliknya
persetujuan yang dicapai melalui musyawarah dengan
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)
dari parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk
UMNO, MCA dan MIC.
Hampir semua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian di
Pulau Pinang mahu membangkitkan cadangan penggiliran
itu pada mesyuarat mereka yang sedang berlangsung
ketika ini, sebagai tidak puas hati berhubung
kegagalan kerajaan negeri membantu menjaga
kepentingan orang Melayu.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata,mungkin ada
antara cadangan tersebut boleh dilaksanakan dan ada
yang sebaliknya kerana masalah kekurangan sumber
yang dihadapi kerajaan negeri.
‘‘Tetapi pembangunan mesti kita laksanakan,”
tegasnya.
Perdana Menteri memberitahu, salah satu perkara yang
sering ditimbulkan dalam memperkatakan isu orang
Melayu Pulau Pinang ialah pembangunan tanah wakaf
yang masih tidak dapat dilakukan.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM40
juta bagi pembangunan tanah wakaf orang Islam di
seluruh negara khususnya yang banyak terdapat di
sekitar Georgetown.
‘‘Tanah-tanah ini memang bernilai tinggi dan boleh
digunakan untuk pembangunan yang mendatangkan hasil
lebih baik,” ujarnya
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, wujud sedikit
kesukaran dan halangan dari segi hukum agama yang
perlu diambil kira sebelum melaksanakan pembangunan
di tanah-tanah berkenaan.
Ini kerana, katanya, ada tanah itu yang merupakan
tanah wakaf keluarga, untuk tujuan umum dan yang
disediakan untuk masjid sahaja, bukannya untuk
tujuan lain.
‘‘Itu pun kena ambil kira juga, kalau dia kata untuk
masjid sahaja, tidak boleh guna untuk pembangunan
lain. Itulah yang menjadi sedikit kesusahan dan
halangan untuk menggunakan tanah itu sepenuhnya
untuk memberi faedah ekonomi,'' jelasnya.
|