|
Walaupun Pak Lah telah memberi keputusan bahawa
tidak akan ada isu penggiliran, namun Pemuda UMNO Pulau Pinang
tetap mengeluarkan resolusi - resolusi menuntut penggiliran atas
alasan kerajaan negeri telah mengabaikan pembangunan kaum - kaum
Melayu. Menurut laporan malaysiakini.com ada kepimpinan yang
mengatakan "Pak Lah apa tahu, dia duduk di Kuala Lumpur".
Abdullah Hj Ahmad Badawi sebelum ini pernah mengeluarkan
kenyataan ringkas - tidak akan ada penggiliran di Pulau Pinang
kemudiannya bertindak untuk menasihati Ketua Menteri mengenai
kemungkinan kurangnya usaha untuk membantu bumiputra merupakan
punca mereka bertindak mengeluarkan resolusi tersebut. Ketuanya,
Mohamed Salim Abdul Bari berkata, mereka komited dalam
mengukuhkan kedudukan orang Melayu dan dalam usaha membuktikan
kesungguhan mereka menuntut penggiliran jawatan Ketua
Menteri.petikan Utusan Malaysia 17hb Ogos 2006
Dialog selesai kemiskinan Melayu Pulau Pinang
Oleh ROZILAN SALLEH
PULAU PINANG 16 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Pulau
Pinang akan menganjurkan pertemuan dan dialog dengan
pelbagai pihak dalam masa terdekat bagi mendapatkan
pandangan mereka untuk menyelesaikan masalah
kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu di negeri
ini.
Ketuanya, Mohamed Salim Abdul Bari berkata,
pertemuan itu penting bagi menjayakan wawasan untuk
mengukuhkan kedudukan orang Melayu dalam usaha
membuktikan kesungguhan mereka menuntut penggiliran
jawatan Ketua Menteri.
Menurutnya, antara pihak yang akan diundang termasuk
ahli akademik, korporat, pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) dan individu yang berasal dari Pulau Pinang
tetapi mencapai kecemerlangan di perantauan.
“Ini adalah antara usaha awal kita yang digerakkan
mulai hari ini setelah mendapat mandat Pergerakan
Pemuda UMNO Malaysia untuk menyelesaikan masalah
kemiskinan itu,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Pemuda UMNO Pulau Pinang,
Ramlan Ishak.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein berkata, mandat bagi
menyelesaikan masalah kemiskinan itu diserahkan
kepada Pemuda UMNO Pulau Pinang yang diyakini mampu
diselesaikan sendiri tanpa perlu membabitkan Pemuda
UMNO Pusat.
Isu penggiliran jawatan Ketua Menteri itu
dibangkitkan Pemuda UMNO Pulau Pinang di mana hampir
semua bahagian menyentuhnya pada Mesyuarat Agung
Pemuda masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
kemudiannya menegur kerajaan negeri yang dikuasai
Gerakan kerana ada usahanya yang belum dapat
membantu orang Melayu di Pulau Pinang dan dipercayai
menjadi punca timbulnya perasaan tidak puas hati
mereka terhadap Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.
Dalam reaksinya, Tsu Koon mengakui usaha kerajaan
negeri itu masih belum mencukupi kerana menurutnya,
kerajaan negeri bukan sahaja harus memberi tumpuan
terhadap satu-satu kaum sahaja, sebaliknya perlu
bersikap adil kepada semua kaum termasuk Cina dan
India.
Sementara itu, Mohamed Salim berkata, sebelum
pertemuan itu, Pemuda UMNO Pulau Pinang akan
mendapatkan maklum balas daripada semua Pemuda UMNO
Bahagian di negeri ini berhubung cadangan
penggiliran jawatan Ketua Menteri yang mereka
bangkitkan pada mesyuarat masing-masing.
“Kali ini kita bersungguh-sungguh dalam perjuangan
memastikan kepentingan Melayu sentiasa terjamin,”
jelasnya sambil memberitahu Pemuda UMNO menerima
sokongan daripada banyak pihak berhubung isu
berkenaan.
|
Bagaimanpun Pemuda Pulau Pinang menegaskan bahawa
mereka tetap menyokong pentadbiran Pak Lah dan ini bukan usaha
untuk menentang pucuk pimpinan tetapi adalah untuk memberi
kesedaran kepada semua mengenai kedudukan Melayu Pulau Pinang.
Sungguhpun begitu terdapat pelayar dalam
blog arahkita mengatakan bahawa usaha penggiliran
ini tidak akan membantu Melayu selagi asas - asas pembaharuan
dalam UMNO itu sendiri tidak diperbetulkan. Selain dari itu
Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Amizuddin Ahmat berkata, usul
yang hendak dibawa oleh Pemuda Umno itu lebih merupakan gimik
politik dalam usaha untuk mempertahankan pengaruh BN setelah
menyedari pengaruh PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin kuat
di negeri itu.
|