|
Kenyataan Media (9 Julai 2006)
KES SAMAN BALAS TAJUDDIN RAMLI TERHADAP KERAJAAN MALAYSIA
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kes saman
balas Tajuddin Ramli keatas Kerajaan Malaysia berjumlah RM13
billion dan menyifatkan kes ini satu tragedi negara yang tidak
terpencil dan penunjuk kepada tanda-tanda ‘kebobrokan yang
dahsyat’ diperingkat paling tertinggi di dalam pentadbiran
Kerajaan Barisan Nasional dimana UMNO menjadi teras utamanya.
Menurut Tajuddin, pada 1994 beliau telah diarah oleh Perdana
Menteri Malaysia dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad dan
Daim Zainuddin, Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO untuk
membeli 32% saham Syarikat Penerbangan MAS pada harga RM8 atau
RM4.30 di atas paras harga pasaran yang melibatkan Tajuddin
mengambil pinjaman peribadi RM1.8 billion. Pembelian saham MAS
yang dipegang oleh Kerajaan Malaysia ini kononnya ialah untuk
menyelamatkan negara yang terjebak dalam kes kerugian dalam
urusniaga matawang luar yang sepatutnya tidak boleh dilakukan
oleh sebuah Bank Pusat, seperti Bank Negara Malaysia.
Tajuddin telah menjadi Pak Turut, mengikut telunjuk Mahathir dan
Daim kerana telah dijanjikan perlindungan di bawah apa yang
dipanggil ‘Overiding Agreement’. Perlindungan ini menjamin
Tajuddin tidak akan mengalami sebarang kerugian kerana beliau
menjalankan suatu “‘Khidmat Negara” iaitu menyelamatkan kerajaan
dari krisis kewangan. Tentunya skim sulit ini menjanjikan
keuntungan yang besar disamping melonjakkan Tajuddin sebagai
model ‘Billionaire Bumiputra’ ciptaan UMNO walaupun ia tidak
disebut dalam affidevit saman balas tersebut. Kerajaan menjamin
akan membeli semula saham-saham yang telah bertukar tangan
melalui pembelian dengan pinjaman bank dengan cagaran Syarikat
Tajuddin iaitu TRI Resources Bhd dan Naluri Bhd. Malang tidak
berbau, satu krisis kewangan pula telah melanda negara pada 1997
lalu memporak perandakan skim sulit Kerajaan dan Tajuddin.
Menurut Tajuddin kemelut kewangan perniagaannya memberi laluan
kepada Danaharta menstruktur semula perniagaan
syarikat-syarikatnya mengakibatkan beliau kehilangan TRI
Resources Bhd dan Naluri Bhd. Danaharta pula telah menyaman
beliau berjumlah RM589 million. Kerajaan Malaysia kemudiannya
membeli semula saham-saham Tajuddin di dalam Malaysia Airlines
pada harga RM8 walaupun harganya ketika itu ialah sekitar
RM3.60. Tajuddin menganggap tragedi ini sebagai satu konspirasi
untuk mengambil alih penguasaannya di dalam syarikat-syarikat
milik beliau. Pada 26 Jun 2006 Tajuddin menyaman balik Kerajaan
Malaysia sebanyak RM13 billion.
Dato’ Sri Najib Tun Razak apabila diminta penjelasan bagi pihak
Perdana Menteri yang sedang berada di luar negara telah menjawab
bahawa beliau tidak tahu menahu tentang perjanjian diantara
Kerajaan dan Tajuddin Ramli tersebut. Adalah tidak masuk akal
seorang Timbalan Perdana Menteri yang ketika kes ini berlaku
adalah seorang Menteri Kanan dan Naib Presiden UMNO memberi
respon kepada kes ini seperti seorang yang bebal. Bukankah
Kerajaan Malaysia mengamalkan konsep “Collective
Responsibility?”. Datuk Shahrir Samad, Pengerusi PAC (Parlimentary
Audit Committee) pula berkata, kes ini terpulang kepada mahkamah
untuk menentukannya. Sebaik-baiknya Najib dan Shahrir meletakkan
jawatan sahaja kalau tidak mampu memberi reaksi yang lebih
proaktif dan bertanggungjawab.
Pembetulan sistem Pentadbiran Kerajaan yang bobrok tidak boleh
diserahkan kepada mahkamah semata-mata. Kecuali kes saman ini
hanya diperbesar-besarkan untuk mengacah dan mengugut Mahathir
supaya tutup mulut dan berhenti mengkritik kerajaan ekoran
kelantangan beliau menghentam kerajaan kebelakangan ini.
Cerita ini nampaknya semacam lucu, tetapi sebenarnya ini menjadi
satu petunjuk (pointer) kepada ‘kebobrokan’ yang semakin meratah
setiap struktur, institusi dan sistem pentadbiran Kerajaan
Malaysia. Jika tidak dibongkar, dicuci dan diperbetulkan BN yang
berteraskan UMNO akan menghumbankan negara ke jurang kehancuran.
Kes ini bukanlah kes terpencil (isolated). Ini hanyalah “tip of
the iceberg” (sudut kecil dari apungan gunung ais di lautan
besar). Kita percaya yang tersorok dan belum terbongkar masih
banyak dan lebih parah dan lebih dahsyat lagi. Tengkorak dan
bangkai yang tersembunyi perlu digeledah, dikenal pasti supaya
tidak melarat menjadi pekong dan kanser. Pemuda PAS memberi
amaran bahawa kami akan terus menjadikan pembongkaran
‘kebobrokan’ Kerajaan BN sebagai agenda terpenting sehingga
segala penyakit dikesan, setiap jenayah diadili, setiap pelaku
dikesan dan dihukum samada mereka masih berada di dalam kerajaan,
syarikat-syarikat tertentu ataupun sudah bersara atau berada di
luar kerajaan. Sejajar dengan dasar Pemuda PAS ini, maka kami
menyarankan ditubuhkan satu Suruhanjaya Bebas yang turut
dianggotai badan-badan bebas dan parti-parti pembangkang bukan
sahaja untuk menyiasat kes saman balas Tajuddin Ramli tetapi
untuk menyiasat perkara-perkara yang tersenarai tetapi tidak
terhad kepada isu-isu berikut :
1. Penyelewangan KWSP
2. Penyelewangan Tabung Haji
3. Jambatan Singapura.
4. Bekalan Air ke Singapura.
5. Kes Batu Putih.
6. Kes Penjualan Pasir ke Singapura
7. Pembelian-pembelian oleh Kementerian Pertahanan.
8. Pembelian Kapal Peronda Laut
9. Wang Royalti Negeri Terengganu.
10. Penswastaan IPP.
11. MISC Bailout.
12. Projek KLCC dan peranan Ananda Krishnan
13. Tanah KTM di Singapura.
14. Bank Bumiputra Bailout.
15. Harta-harta keluarga Pemimpin Barisan Nasional dan
Penglibatan mereka dalam Perniagaan.
16. Projek Putrajaya.
17. Membenarkan Parti-Parti Politik menubuhkan
Universiti-Universiti.
18. Projek Proton Saga.
19. Pemberian AP.
20. Projek-projek Lebuhraya.
21. Projek-projek Dana Selangor, Dana Johor dan sebagainya.
22. Menyiasat Pentadbiran Kerajaan-kerajaan Negeri yang
menghadapi
kes-kes Muflis (bangkrap).
23. Projek Empangan Bakun.
24. Perniagaan matawang asing oleh Bank Negara, dan lain-lain…
Senarai di atas bukanlah merupakan senarai lengkap kerana tidak
mungkin dalam satu masa yang pendek dan ruang yang terhad kita
dapat memberi senarai yang lengkap untuk setiap salah laku
Kerajaan BN dan UMNO. Memadai untuk kita memberi contoh dan
garis panduan untuk tindakan selanjutnya.
Walaupun kes ini berlaku ketika rejim Mahathir berkuasa, kita
yakin dan percaya kelangsungan beberapa program yang mirip
kepada penyalahgunaan kuasa, dasar ekonomi patronage, kronisme
dan rasuah masih wujud. BN yang sama masih memerintah dan UMNO
yang sama masih berkuasa, yang berbeza ialah pucuk pimpinan
sahaja!
DPP Pusat menyarankan, Suruhanjaya ini menjalankan audit yang
menyeluruh dan secara global dan juga kepada setiap projek yang
dipercayai diselewengkan atau lari dari matlamat asal.
Suruhanjaya ini juga harus mencadangkan perubahan undang-undang
dan institusi tertentu yang perlu dibaik pulih untuk membolehkan
konsep ketelusan kerajaan subur kembali dan menyumbang kepada
kekuatan minda rakyat dan sistem demokrasi di negara ini.
Adalah menjadi tanggungjawab kepada parti-parti pembangkang,
NGO, para intellectual dan rakyat yang celik untuk membentras
penyelewengan-penyelewengan Kerajaan BN.
YB. Salahuddin Ayub
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.
|