|
Kenyataan Media (8 Ogos 2006)
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mencabar Khairy Jamaluddin
bertanggungjawab meredakan keraguan dan kebimbangan rakyat dan
mesti bersumpah dengan kalimah sumpah yang diajarkan oleh Islam
bahawa beliau tidak mempunyai hubungan sama ada secara terang
atau sulit dengan pelakon Maya Karin. Perkara itulah yang
menjadi antara isu sebenar yang dipersoalkankan oleh rakyat
untuk melihat kebenarannya selama ini yang telah dipamerkanya
dengan tangisan.
Tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang
bersumpah demi Allah bahawa isterinya hanya seorang, iaitu Nori
Abdullah, tidak menyelesaikan isu sebenar di kalangan rakyat
yang prihatin jika mana perkara tersebut yang telah diperkatakan.
Mengambilkira bahawa Khairy bukan sahaja menantu Perdana Menteri,
malah disepakati di dalam dan di luar UMNO sebagai begitu
berpengaruh ke atas bapa mertuanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi, beliau seharusnya mempunyai keperibadian yang tidak
dikecam dan dipertikaikan. Tindakan buruk mana-mana pihak yang
rapat dengan puncak kuasa boleh mengakibatkan kerajaan dan
negara berhadapan dengan pelbagai risiko termasuk diperas ugut.
Lebih mendesak dari itu dan oleh kerana Khairy sudah memulakan
amalan bersumpah untuk membersihkan namanya, beliau juga
bertanggungjawab meredakan kebimbangan rakyat mengenai
perkara-perkara lain yang lebih menuntut penjelasan dan
pembersihan keperibadiannya yang amat diragui dan dibimbangi
rakyat.
Beliau mesti bersumpah dengan cara yang ditetapkan oleh Islam
bahawa beliau bukanlah pihak ketiga yang cuba mengawal kerajaan
seperti yang didedahkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin.
Khairy juga mesti bersumpah dengan cara yang ditetapkan oleh
Islam bahawa beliau tidak meletakkan Perdana Menteri di bawah
kawalannya dan mempengaruhi keputusan Perdana Menteri serta.
Khairy juga mesti mengisytiharkan asetnya sebelum Abdullah
menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 dan asetnya pada
masa ini serta bersumpah dengan cara yang ditetapkan Islam
bahawa beliau mendapatkan kekayaannya, termasuk kejayaan menjadi
jutawan segera dan mampu membeli RM9.2 juta saham ECM Libra
Berhad dengan cara yang sah di sisi Islam dan undang-undang
negara tanpa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli keluarga
Perdana Menteri.
Beliau juga mesti bersumpah dengan cara yang ditetapkan oleh
Islam bahawa beliau tidak mengambil ringan terhadap hakikat
bahawa ECM Libra adalah salah satu syarikat di bawah empayar
perniagaan tokoh kewangan Yahudi, Richard Blum, yang mana isteri
Blum, Dianne Feinsteine, adalah senator Amerika yang amat
terkenal sebagai pelobi kuat Yahudi dan sentiasa berusaha untuk
membebaskan ECM Libra dari berada di bawah empayar perniagaan
Yahudi itu.
Beliau bersumpah dengan cara yang ditetapkan Islam bahawa beliau
tidak menelefon menteri-menteri besar untuk memberi arahan atau
campur tangan dalam urusan pentadbiran.
Khairy juga mesti bersumpah dengan cara yang ditetapkan oleh
Islam bahawa penggabungan ECM-Libra dengan Avenue Asset sebaik
sahaja beliau membeli RM9.2 juta saham ECM Libra tidak menyalahi
peraturan serta tidak menyalahgunakan kedudukan dan bapa
mertuanya benar-benar tidak tahu dan tidak terlibat langsung
dengan urusniaga yang mencurigakan itu.
Khairy juga mesti bersumpah dengan cara yang ditetapkan oleh
Islam bahawa beliau tidak terlibat sama-sekali serta tidak
mendapat sebarang keuntungan dari penjualan saham
syarikat-syarikat Malaysia terutama syarikat-syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) kepada syarikat-syarikat Singapura.
Khairy juga mesti bersumpah dengan cara yang ditetapkan oleh
Islam bahawa beliau dan mereka yang disebut sebagai orang-orang
suruhannya yang diletakkan di tingkat empat Jabatan Perdana
Menteri tidak melebihi kuasa Perdana Menteri dalam beberapa
urusan berkaitan kepentingan kerajaan Malaysia.
Jika Khairy beria-ia bersumpah dengan menggunakan kalimah demi
Allah bagi menjelaskan kedudukannya yang hanya mempunyai seorang
isteri, kegagalannya bersumpah dengan cara yang ditetapkan oleh
Islam mengenai keraguan dan persoalan yang dinyatakan hanya akan
menambahkan lagi keraguan sera pelbagai sangkaan terhadapnya.
DPP Pusat tidak akan berdiam diri sehingga keraguan itu tidak
lagi menjadi risiko kepada ekonomi dan keselamatan negara ini.
Jika perkara ini masih berpanjangan tanpa jawapan daripadanya,
DPP Pusat akan mengerakkan rakyat untuk memberikan hukuman
sepenuhnya.
YB. SALAHUDDIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
|