|
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200 Simpang
Renggam, Johor Darul Ta’zim.
Tel / Faks : 07-7554693 e-mail : dppjohor@yahoo.com
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(45/06)
Kenyataan Media
(4 Ogos 2006)
TAJUK :
PELAN PEMBANGUNAN SJER PERLU DIPERHALUSI
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa bimbang
dengan pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Johor Selatan
(SJER) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia
beberapa hari yang lalu yang dikatakan dapat menjana ekonomi
Johor pada masa akan datang.
Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa pembangunan
SJER ini akan menjadi sebuah wilayah metropolitan bertaraf
antara bangsa setanding dengan Hong Kong dan Shenzen di China.
DPPNJ sangat musykil apakah bentuk pembangunan yang dimaksudkan.
Jika dilihat daripada perancangan yang telah dibuat, SJER adalah
merupakan pelan pembangunan infrastruktur yang membawa kepada
pertumbuhan ekonomi sementara dan bukan jangka panjang kerana ia
lebih kepada pembangunan terhadap pembinaan institusi
pelancongan tetapi tidak berorentasikan pengeluaran dan
pengeksportan.
DPPNJ ingin menyentuh tentang kesan sosial yang bakal melanda
selepas ini. Apabila menyebut tentang pembangunan industri
pelancongan bermakna cabaran yang perlu dihadapi selepas ini
adalah untuk memastikan ianya tidak akan memberikan kesan kepada
pembangunan manusia. Kes jenayah dan gejala sosial yang semakin
meningkat dibimbangi akan terus meningkat.
Di antara projek yang akan dijalankan di dalam pelan pembangunan
SJER adalah untuk mewujudkan Taman Tema di Segi Tiga Emas Johor
ini. Sebelum ini DPPNJ pernah membantah tindakan kerajaan yang
sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan taman tema Disneyland
di Nusajaya, Johor setelah mengambil kira pelbagai kesan negatif
yang timbul.
Pelan pembangunan SJER ini juga dikatakan akan memberikan
tumpuan kepada bidang pelancongan memandangkan selatan Johor
terutamanya Johor Bahru telah menerima pembangunan pesat seperti
di Danga Bay. Pada awal Januari 2006 DPPNJ telah pun membuat
laporan polis dan pertemuan dengan Mufti Johor untuk membenteras
aktiviti maksiat yang berlaku di Danga Bay yang dilakukan oleh
rakyat yang majoritinya adalah remaja melayu/Islam. Apakah
kerajaan mampu untuk membendung aktiviti maksiat ini dengan
pembangunan seperti ini?.
DPPNJ cukup bimbang dengan pembangunan yang tidak menitik
beratkan soal pembangunan sosial yang berteraskan Islam akan
menyebabkan peningkatan kadar jenayah, menambahkan bilangan anak
luar nikah dan menyuburkan kadar gejala sosial di kalangan
remaja.
Sekian.
Sekian, wassalam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/
6.10 petang
|