|
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200 Simpang Renggam,
Johor Darul Ta’zim.
Tel / Faks : 07-7554693 e-mail : dppjohor@yahoo.com
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(46/06)
Kenyataan Media
(5 Ogos 2006)
TAJUK :
KRISIS GULA TERUS BERPANJANGAN : KERAJAAN TERUS GAGAL DALAM
TINDAKAN DAN PEMANTAUAN
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kecewa di
atas krisis kekurangan gula yang masih berlarutan walaupun pihak
kerajaan telah menaburkan pelbagai janji untuk menyelesaikan
masalah ini yang telah berlaku sejak beberapa bulan yang lalu.
Dalam tinjauan DPPNJ ke beberapa lokasi di dalam negeri Johor,
di dapati bahawa kawasan Batu Pahat dan Kluang adalah di antara
daerah dalam negeri Johor yang sangat terkesan dengan masalah
kekurangan gula.
Di Kluang, bekalan gula pasir tidak dijumpai di mana-mana
pasaraya. Peniaga-peniaga makanan pula merungut kerana
kekurangan bekalan gula telah menyebabkan perniagaan mereka
terjejas teruk.
Krisis kekurangan gula sebelum ini pernah berlaku beberapa bulan
yang lalu. Pelbagai janji telah dibuat bagi meyakinkan rakyat
bahawa isu ini akan dapat diatasi. Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan satu
jawatankuasa khas bagi memantau masalah kekurangan bekalan gula
di seluruh negara.(Utusan Malaysia, 6 Jun 2006)
Jawatankuasa khas ini berfungsi untuk menyiasat aktiviti
penyeludupan dan kes menyorok bekalan gula oleh pemborong dan
peniaga. Hukumannya, peniaga dan pemborong yang didapati
menyorok bekalan gula, boleh didenda maksimum sebanyak RM25,000
termasuk dihukum penjara mengikut Akta Kawalan Bekalan 1991.
Talian bebas tol kementerian 1-800-886-800 telah diwujudkan
untuk menerima sebarang bentuk maklumat untuk menyelesaikan kes
ini.
Yang menariknya, KPDNHEP dengan penuh yakin bahawa masalah
kekurangan gula akan dapat diatasi dalam masa satu atau dua hari
lagi.
Sistem pengangkutan juga pernah dijadikan sebab masalah bekalan
gula berlarutan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDN), Datuk Mohd. Shafie Apdal menyatakan bahawa
kekurangan gula disebabkan sistem penghantaran yang tidak cekap
oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).(Utusan Malaysia, 6
Julai 2006).
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula
mencadangkan kenaikan harga gula sebanyak 30 sen daripada harga
asalnya RM1.40 sebagai langkah yang dilihat dapat mengatasi
masalah ini.
Cadangan untuk menaikkan harga gula bagaimanapun telah ditolak
oleh kerajaan dengan alasania akan memberi kesan kepada
peningkatan kos hidup rakyat.
Selepas itu, KPDNHEP memperkenalkan sistem pembekalan gula oleh
pemborong mengikut zon bagi mengatasi masalah bekalan bahan itu
yang tidak seimbang di seluruh negara (Utusan Malaysia, 12 Julai
2006) dan perkara yang sama diulangi oleh Datuk Mohd. Shafie
Apdal pada 17 Julai 2006.
Semalam, KPDNHEP terpaksa mengakui bahawa masih belum dapat
mengatasi masalah kekurangan gula di negara ini walaupun
pelbagai mekanisme digunakan.
Cuma kali ini bukannya masalah pengangkutan yang menjadi alasan
tetapi disebabkan oleh sikap pengilang yang lebih cenderung
mengeluarkan gula halus berbanding gula kasar kerana harganya
tidak dikawal. Gula halus dikatakan boleh dijual sehingga lebih
RM2 sekilogram sedangkan gula kasar RM1.45 sekilogram..
DPPNJ mengingatkan bahawa krisis kekurangan gula perlu diatasi
dengan segera, bukannya dengan memberikan pelbagai alasan untuk
menutup kelemahan kerajaan. Paling terkesan sudah tentunya
pengguna. Harga barangan keperluan yang menggunakan gula sudah
pasti akan meningkat. Peniaga akan mengambil kesempatan dengan
menaikkan harga gula.
Dengan perkembangan ini, bermakna kerajaan GAGAL untuk
menyelesaikan masalah kekurangan gula. Apa yang dibimbangi,
kerajaan akan mengambil keputusan untuk menaikkan harga gula
seperti mana yang pernah dilakukan terhadap krisis kekurangan
minyak diesel satu masa dahulu. Dalam apa jua keadaan, kerajaan
mesti bertegas dengan keputusan untuk tidak menaikkan harga
gula. Jangan jadikan rakyat/pengguna sebagai mangsa.
Sekian, wassalam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/
8.11 pagi
|