|
PERANG PAK LAH DENGAN MAHATHIR MACAM PERANG
AHLI SUNNAH DENGAN SYIAH
4 Jun 2006 saya dan anak saya, Mohd Fuaad Alattas berada di
makam Almarhum Imam Ayatullah Ruhollah Musawi Khomeini di
Teheran bersama ratusan ribu manusia dari empat penjuru alam di
seluruh pelusuk dunia yang berbeza agama mazhab dan fahaman
politik sempena menyambut hari ulang tahun kematian Imam
Khomeini, pemimpin spiritual dan pengasas revolusi Islam Iran
1979.
Sudah 17 tahun Imam meninggal dunia namun ‘luar biasa’ manusia
yang bertaraf Insanul Kamil ini hidup dan matinya di dalam
kemuliaan. Apa yang menyebabkan dia dikurniakan ‘karamah’,
kemuliaan padahal dia bukan boleh terbang macam superman, hebat
macam spiderman atau batman.
Mungkin tidak ada satu negara di dunia yang meratapi kematian
pemimpinnya seperti yang dilakukan oleh rakyat Iran.
Kenapa? Apa rahsianya? Hendak tahu ikuti pengembaraan spiritual
saya.
Pelik , ajaib biarpun ada puak yang mengatakan menziarahi kubur
itu perbuatan yang syirik , bidaah tapi bukan Syiah yang
biarpun sudah hilang kuasa dan sudah mati masih dikasihi dan
dihormati. Berbeza dengan negara kita, Tun Mahathir, mantan
Perdana Menteri belum dua tahun berhenti, para pengampu
yang menjulangnya dulu sudah mencaci maki. Di mana silapnya? Pak
Lah belum satu penggal jadi Perdana Menteri, setiap hari
dia dicaci maki oleh rakyatnya sendiri. Ketua Agama dan
para ulama buatlah apa Allah suruh iaitu damaikan bila ada dua
puak yang berperang jika tidak mahu berdamai perangi
mereka yang lebih zalim.
Salam
Hidup ini ada awal ada akhir, ada dunia dan ada akhirat. Untuk
apa ucap salam pada Rasulullah S.A.W. dan keluarga Nabi
ketika tahyat dalam solat jika kita tak percaya dengan
kekuasaan alam ghaib? Allah dan roh itu ghaib.
Dulu sebelum tercetus revolusi Islam di Iran tidak ada orang
yang bercakap mengenai Syiah apa lagi mahu menyerang Syiah
dengan tuduhan sesat kafir dan macam-macam lagi. Namun bila
Shah Reza Pahlavi, raja (Puppet) Amerika, sahabat baik raja Arab
yang juga sahabat karib Amerika dan sekutunya digulingkan
oleh rakyat, media massa antarabangsa mula berani
menyerang Imam dan menganggap Revolusi Iran bukan Revolusi
Islam. Ramai ulama upahan dengan berani mengkafirkan
mazhab Syiah sedangkan telah mendapat fatwa dari Shakul Azhar
Syeikh Mahmud Shaltut padahal sebelum ini mereka menerima
apa saja fatwa dari Sheikh Al Azhar.
Selepas 17 tahun meninggal dunia, Imam seperti dapat memerintah
dari dalam kubur. Kenapa? Presiden Iran, Mahmoud
Ahmadinejad sepanjang ucapannya dalam satu majlis tak
putus-putus mengingatkan rakyat mengenai ‘Tauhid’ tentang
amanah Ayatollah Khomeini sewaktu hidupnya. Perjuangan
yang diasaskan 27 tahun itu terus menjadi kesinambungan
pemerintahan baru di bawah pimpinan Ahmedinejad.
Bersama ratusan-ribuan manusia yang sedang mendengar ceramah
dari cucu Imam, saya perhatikan manusia yang begitu
kasihkan pemimpin mereka. Sikap taat dan kasihkan pemimpin telah
menjadi satu budaya. Saya terbayang makam para pembesar
negara dan ahli politik UMNO yang ada di Makam Pahlawan di
Masjid Negara. Berapa ramai ahli UMNO orang yang datang ke makam
tersebut untuk memperingati atau memuliakan mereka?
Kasihan!
Kongres
Daripada satu kongres yang bertajuk Imam and Human Dignity, saya
diplih untuk berucap sebagai wakil Malaysia ke kongres
yang diwakili oleh para pemikir, ulama Ayatullah Hujjatul
Islam, pengarang dan wartawan dari seluruh dunia. Kebetulan saya
dianggap penulis berpengalaman yang pernah berucap di luar
negara maka hanya pada pagi hari kongres akan diadakan
saya diberitahu mengenainya.
Nasib saya baik, acara sebelum persidangan yang dipengerusikan
oleh Ayatullah Sayied Khatami, mantan presiden itu
dimulakan pada 1 Jun dan kami dibawa melawat rumah Imam di
Husyniah, Jamaran. Keadaan hidup Almarhum begitu sederhana,
sekadar menumpang di sebuah rumah yang cukup muat untuk
dirinya saja.
Saya pernah melawat makam Shah Iran, raja segala raja yang
diletakkan bersebelahan dengan makam King Farouq, Raja
Mesir di Cairo yang juga telah diturunkan dari takhta. Semasa
hidup baginda dimuliakan namun bila jatuh Amerika tak
peduli, pengampu dan pencacai tinggalkan baginda dalam
kehinaan untuk dikebumikan di dalam masjid Syed Ahmed Raffee
seorang wali Allah yang terus dimuliakan sesudah jasadnya
dikebumikan. Saya juga pernah ke istana yang dijadikan
muzium Shah Pahlavi. Macam langit dengan bumi beza kehidupan
raja yang bersultan di mata dan beraja di hati
dibandingkan dengan tokoh sufi yang hidupnya seperti seorang
fakir.
Kematian
Kenapa kematiannya masih ditangisi seperti mereka tangisi
kematian Datuknya Imam Ali, Imam Hussien, Imam As Sajjad
dan imam sebelumnya? Apakah semata kerana Imam adalah zuriat
Ahlul Bait Rasulullah s.a.w?
“Katakanlah (hai Nabi): Aku tidak minta upah apa pun dari kalian
kecuali kasih sayang dalam (hubungan) kekeluargaan.” (Asy-Syura:
23)
“Barangsiapa mencintaiku dan mencintai keduanya itu - yakni Al-Hasan
dan Al-Husain radhiyallahu ‘anhuma - serta mencintai ibu
dan bapak mereka - yakni Siti Fatimah Az-Zahra dan Imam
Ali bin Abu Thalib radhiyallahu ‘anhuma - kemudian Ia meninggal
dunia sebagai pengikut sunnahku, Ia bersamaku di dalam
syurga yang sederajat.” (Hadis oleh Imam Ahmad bin Hanbal)
‘Siapa saja yang memusuhi waliku, aku akan memerangi mereka dan
pada Wali Allah ini tidak pernah mati’
(Hadis Qudsi)
Untuk mengenal Imam Khomeini elok kita mengenal sejarah Datuknya
Imam Ali Zainul Abidin , putera Imam Hussein, anakanda
Imam Ali Karamallahu wajhah, Imam keempat mengikut Syiah
As-Sajjad, Imam dua belas. Nama Imam Ali Zainul Abidin diberikan
sendiri oleh datuknya, Amirul Mukminin. Sebaik saja
dilahirkan, ibunya Syahzanan, puteri Parsi menutup mata untuk
selama-lamanya.Imam Khomeini ada campuran darah Parsi.
Ali bin Husayn mereguk kefasihan bicara dan kesucian hati dari
Ali bin Abi Thalib. Setelah Ali yang pertama dibaringkan
di perut bumi Kufah di mana Imam Ali, cucu nabi yang amat
dikasihi telah dibunuh dengan kejam oleh tentera Yazid anak
Muawiyah. Bayangkan 72 orang bersama wanita dan anak kecil
di luar mati kehausan.Dunia tidak pernah kehilangan Ali yang
berlidah fasih dan berhati suci kerana akhirnya Imam Ayatullah
menjadi penggantinya.
Ali yang kecil menghabiskan masa kanak-kanaknya di tengah-tengah
dunia yang sudah menguburkan Ali yang adil. Ali, yang
disebut George Jordac sebagai the Voice of Human Justice
sudah kembali kepada Tuhan. Suara keadilan sudah tidak terdengar
lagi. Para penguasa menegakkan istana di atas kuduk-kuduk
manusia yang dilemahkan. Mereka minum anggur yang diramu
dari darah dan keringat orang yang tidak berdaya.
Ketika ia menghantarkan jenazah yang mulia untuk dikuburkan di
samping pusara Rasulullah s.a.w, ia melihat ada kelompok
Muslim yang menentangnya. la melihat muka-muka garang dan
teriak galak. Mereka bukan saja menggertak para pengantar dengan
makian, mereka juga menghujaninya dengan anak panah. la
menyaksikan ayahnya, Husayn, berusaha mengendalikan
dirinya dan mengalihkan jenazah ke perkuburan Baqi’. Dari
ayahnya, ia belajar mengendalikan diri dalam menentang
kezaliman. Dari peristiwa ini ia mengerti bahawa jalan yang
harus ditempuh Ahli Bait ditaburi duri pengkhianatan dari
orang-orang terdekat dan anak panah kebuasan dari musuh
yang jauh.
Syakifah Ahlul Bait oleh Dr Jalaluddin Rahmat
Sejarah tidak berbohong kenapa pengikut imam Ali mencintai ahlul
bait, zuriat Rasulullah s.a.w dan jika kita berpegang
teguh pada hadis yang mengatakan; orang mukmin itu seperti
satu tubuh, sakit yang mesti dipertanggungjawabkan oleh seluruh
tubuh bila ada bahagian tubuh lain yang sakit. Bagaimana
dengan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu?
Mencemuh
Hendak tahu perbuatan genocide yang menimpa keluarga ahlul bait
di zaman dinasti Bani Umaiyah? Kaji apa yang dilakukan
oleh Amerika terhadap Iraq dan di Afghanistan. U.S.A,
Yahudi dan sekutu mereka yang membenci Islam dan menuduh Islam
terrorist, memfitnah dengan peristiwa 11 September. Semua
media massa mencemuh dan memburuk-burukkan Islam. Yang pelik,
orang Islam tak mahu bersatu. Kenapa? Apakah terlupa bahawa
Tuhan tidak akan mengubah nasib satu-satu kaum melainkan
kaum itu sendiri?
Sampai bilakah kita mahu membiarkan apa yang diperlakukan oleh
Bani Umaiyah terhadap terhadap pencinta dan mereka yang
bersimpati dengan keluarga Rasulullah s.a.w. dilakukan
terhadap Iran dan umat Islam di seluruh dunia semata-mata kerana
mempunyai kuasa nuklear yang sangat ditakuti oleh Yahudi
dan Amerika?
Siapa itu Ahlul Bait, kenapa orang Syiah Parsi begitu kasih
kepada Ahlul Bait?
Kaum Muslimin sedunia tidak berbeza pendapat mengenai sikap
terhadap junjungan kita Nabi Besar Muhammad s.a.w sebagai
manusia pilihan Allah yang diutus menyampaikan kebenaran
agamaNya kepada segenap ummat manusia. Al-Qur’anul Karim tidak
hanya menegaskan kedudukan beliau sebagai Utusan Allah (Rasulullah)
bahkan juga menetapkan keharusan bagi ummat beriman supaya
senantiasa berselawat dan mengucapkan salam penghormatan kepada
baginda. Tiada taat kepada Allah tanpa disertai ketaatan
kepada Muhammad Rasulullah s.a.w. Mencintai Allah tanpa
mencintai dan mentaati serta mengikuti RasulNya adalah sia-sia.
Demikian pula orang yang mendambakan keredhaan dan
kecintaan Allah kepadanya tanpa mencintai dan mengikuti tuntunan
RasulNya. Sikap demikian itu sama sekali bertolak di dalam
Islam.
Mengenal Ahli Bait Rasulullah s.a.w
H.M.H Al Hamid Al Husaini ( Indonesia)
Imam mengamalkan apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w selain
dari berpegang teguh kepada Tauhid, menolak tiga ta iaitu
takhta, harta dan wanita. Imam berjaya memerdekakan bangsanya
dari cengkaman kerajaan yang zalim dan membela nasib
‘mustad’afeen marhain’
Ketika ada perebutan di antara golongan Muhajirin dan Ansar,
keduanya menyatakan Salman Al Farisi adalah dari golongan
mereka. Keduanya dinafikan oleh Rasulullah s.a.w. Nabi s.a.w
berkata, “Salman Al-Farasi adalah Ahlul Bait, keluargaku”
Keluarga Nabi s.a.w adalah Ali, Hassan, Hussein dan
Fatimah Az- Zaharah.
Hamba
Nabi membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan Salman yang
ketika itu menjadi hamba abdi. Salman datang dari Parsi
untuk menemui Rasulullah s.a.w. Sebelum memeluk Islam, Salman
menganut agama menyembah matahari (majusi), kemudian Kristian
dan akhirnya menjadi umat Muhammad. Maka tak hairanlah
kita di akhir zaman muncul Islam di bumi Parsi.
Pencinta Ahlul Bait marah kepada musuh-musuh keluarga Rasulullah
bukan kerana Imam Ali tidak menjadi khalifah tetapi marah
dengan apa yang telah dilakukan oleh keluarga Muawiyah
terhadap zuriat Rasulullah s.a.w. Sejarah hitam ini telah
disembunyikan begitu saja. Dunia sudah berada di
penghujung apakah kita menunggu munculnya Imam Mahdi baru kita
mahu bersuara? Namun awan tebal tidak akan dapat menahan
cahaya yang bakal timbul bila ia bangkit dan giliran Bani
Hashim memimpin dunia.
Imam menggulingkan Shah kerana Shah mengamalkan sistem monarki.
Bukan Imam mahu jadi ditaktor setelah mengambil kuasa raja
Parsi tapi Imam terus mengadakan pilihan raya dan
pemerintahan demokrasi. Yang berkuasa adalah rakyat, rakyat itu
raja!
Kalaulah PAS boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Imam iaitu
mengIslamkan politik di bumi Islam sebagai satu kejayaan
yang baik, siapa tahu satu hari nanti PAS boleh memerintah
negara ini. Budu belacan sesudah diberikan bungkusan yang cantik
boleh dijual di pasaraya antarabangsa, inikan pula Islam
satu produk pilihan Allah S.W.T. Dalam gerakan Islam yang
dibawa oleh Imam, ada tokoh-tokoh yang berbeza-beza aliran dan
pendirian pendapat. Asal sahaja mereka bersumber al-Quran
dan mengikut sunnah, ia harus diterima dalam spektrum Islam
yang luas, apatah lagi kumpulan-kumpulan non-muslim. Mereka
bebas menganut apa sahaja fahaman kiri ataupun kanan, dan
tidak harus kita menjarakkan diri dengan mereka. Imam tidak
pernah memaksa sesiapa mengikutinya, Ahlul Bait, Sunnah dan
Syiah itu sama saja. Dia berpegang tidak ada paksaan dalam
beragama, “No East No West, Islam Is The Best”. Islam
agama kedamaian (PEACE)
“Revolusi Islam Iran menampilkan sebuah contoh baru dari umat
dan masyarakat manusia yang sempurna. Inilah latar
belakang permusuhan Barat terhadapnya. Khomeini telah memberikan
sebuah makna baru kepada kehidupan rakyat Iran” Roger Garaudy
Bekas Menteri Luar Jerman, Joseph Martin Fischer pula memandang
revolusi pimpinan Imam Khomeini sebagai: “Monopoli
ideologi Marxisme di antara pergerakan pembebasan Dunia Ketiga
tampaknya telah usai. Revolusi Parsi ini menghunjam
langsung ke jantung keyakinan Barat”. Di samping memuji, tak
kurang yang mengeji dan membenci. Kasyful-Asrar adalah sebuah
buku yang ditulis oleh Ayatullah Khomeini dalam Bahasa
Parsi, mengenai pandangan dan fikirannya tentang berbagai
masalah. Buku tersebut ditulisnya setengah abad sebelum revolusi
Islam Iran bahkan sebelum ia menjadi Ayatullah dan
Mujtahid.
Berbohong
Seorang penulis dari Jordan telah menterjemah buku Imam ke dalam
Bahasa Arab dengan curang, khianat dan berbohong. Banyak
kata-katanya yang diputar belit, dipotong, dibuang dan diubah
makna sebenarnya. Akibatnya penulis, propagandis, ulama dan
pembaca yang tak mengerti Bahasa Arab percaya dan
berkiblat dengan taglid buta terhadap Kasyful Asrar terjemahan
Bahasa Arab itu, sehingga tidak sedikit orang yang keliru
dan tidak faham tentang Khomeini dan pandangannya hingga
ada yang sanggup menuduh Khomeini kafir dan sesat. Yang paling
mengerikan lagi, bahawa Mazhab Ahlul Bait itu kononnya adalah
Khomeini ala Kasyful Asrar terjemahan itu.
Nasib baik ada seorang cendikiawan Mesir, Dr. Ibrahim Ad-Dasugi
Syata berjaya menterjemahkan mesej Imam yang sebenarnya
untuk menghapuskan kecurangan dan pengkhianatan untuk memecah
belahkan umat Islam.
Ada empat mazhab, dalam Ahlul sunnah mereka menerima ilmu feqah
dari imam ke enam , Imam Jaafar As Sadiq begitu juga
mazhab Syiah. Ribuan sungai yang mengalir akan hanya menuju ke
satu destinasi...lautan! ‘Kas na deedam ke gum shud az raahe
raast’ “Saya belum pernah melihat sesiapa saja yang
mengikut jalan yang lurus (benar) sesat” Saadi Shirazis
KeKhalifahan Bani Umaiyah ini telah membuat umat Islam
berpecah-belah menjadi dua golongan besar yang bertelagah,
Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Pernahkah kita mengkaji bila
munculnya Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Syiah?
“Apakah seorang sahabat akan sanggup memerangi menantu dan
sepupu Nabi iaitu Saidina Ali? Sanggup meletakkan lembaran
ayat ayat suci Al Quran di hujung tombak ketika hampir kalah
dalam Perang Siffin? Bagaimanakah manusia yang bertanggungjawab
menjatuhkan cucu Nabi iaitu SaidinaHassan dari takhta
keKhalifahan kemudian meracuni baginda hingga mati boleh
dikatakan sahabat apalagi untuk dinyatakan sesetengah
pihak sebagai seorang daripada 10 yang dijanjikan syurga?
Jika dahulu, Abu Sufyan banyak menyusahkan Rasulullah SAW dan
umat Islam di Mekah, apa kurangnya Muawiyah yang sentiasa
memusuhi Saidina Ali serta keluarganya? Malah sikap
Muawiyah lebih teruk lagi kerana dia melakukan semua ini selepas
mengaku Islam! Apakah dia betul-betul ikhlas memeluk Islam
atau dia setakat mengaku Islam selepas Fathul Mekah demi
menyelamatkan kemudian menaikkan kaum kerabatnya Bani Umaiyah?”
Badrul pula terdiam panjang. Apa yang disebut rakannya memang
diketahui ramai. Cuma dakwaan bahawa Muawiyah
bertanggungjawab meracuni Saidina Hassan dan dia tidak jujur
memeluk Islam sahaja yang boleh dipertikaikan kerana ini
selalu dikemukakan para ulamak Syiah yang secara terang
terangan amat membenci Muawiyah dan Bani Umaiyah.
Dipetik dari buku: Berpetualang Ke Aceh oleh Radzi Sapiee
Dalam dunia Melayu, Imam Shafie diagung-agungkan sebagai imam
yang paling tegas dalam masalah hukum-hakam Islam sendiri
tidak pernah menghukum setiap pengikut Syiah sesat. Kerana
beliau berbalik kepada makna perkataan Syiah yang asal iaitu
para penyokong kepimpinan Ahlul Bait, bermula dengan
penyokong Saidina Ali ketika menentang Muawiyah dahulu.
Bukankah Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya bahawa, “baginda
gedung ilmu dan Ali bin Abi Talib itu pintu ilmu”.
Imam Shafie pernah mengatakan; “Jika aku dituduh Syiah Rafidah (Syiah
sesat) kerana mencintai Ahlul Bait. Maka saksikanlah aku
ini Syiah Rafidah”
Apa jua fitnah yang ditabur, Syiah terus berkembang, sebagaimana
yang terjadi di Pakistan, di Indonesia, Malaysia dan di
negara-negara Timur Tengah. ‘Bila timbul kebenaran yang batil
akan gugur dengan sendirinya’. Mengikut Professor Dr. Chandra
Muzaffar dalam kata pengantar buku Facing One Qiblah oleh
Karim D.Crow dan Ahmad Kazemi Moussavi, tidak ada rakyat
Malaysia dipenjara kerana mengamalkan mazhab Syiah, yang
dilarang adalah mempropagandakan ajaran Syiah.Mereka boleh
ditahan di bawah ISA.
Masyarakat yang hidup dalam zaman langit terbuka, dunia tanpa
sempadan boleh mendapat informasi mengenai Syiah di dalam
laman web tentang apa dan siapa Syiah itu? Kafirkah Syiah?
Khalifah
Sejarah rasmi Islam menyebut Muawiyah telah mempersoalkan
pengangkatan Saidina Ali sebagai Khalifah, salah satunya
dengan menyalahkan baginda kerana tidak mendedahkan orang-orang
yang terlibat dalam pembunuhan Khalifah Saidina Uthman,
seorang saudara rapat Muawiyah. Sejak itu dia sentiasa
mencari jalan untuk menjatuhkan menantu Nabi ini sehingga
terjadinya Perang Siffin yang menyaksikan lembaran ayat
ayat suci Al Quran disangkutkan di hujung tombak. Maka
muncullah puak Khawarij yang marahkan Muawiyah dan marahkan Ali
juga.
Kita tidak boleh tidak mesti bercakap mengenai Muawiyah namun
bercakap tentang keburukan Muawiyah bin Abu Sufyan adalah
satu perkara sensitif kerana ada pula yang percaya kepada
sejarah yang mencatatkan beliau sebagai seorang sahabat. Ada
hadis maudhu’ kononnya umat Islam dilarang memburuk
burukkan para sahabat; “Sahabat sahabatku ibarat bintang-bintang
di langit”
Perrnahkah kita mengkaji ‘definasi’ taklid sahabat? Kita hidup
di akhir zaman, bila-bila pun dunia boleh kiamat. Kita ini
manusia yang diberi akal, tak dapatkah kita membezakan
mereka sahabat, kawan-kawan atau musuh dalam selimut dan gunting
dalam lipatan? Hilang akal bila kita tak dapat membezakan
antara yang hak dengan yang batil. Ikutlah yang mana satu
yang benar nescaya kamu tidak akan sesat.
Iran dan Iraq atau bumi di mana terdapat majoriti Syiah berada
di dalam OIC namun tidur sebantal, mimpi lain-lain. Macam
mana label Syiah sesat jika setiap tahun mereka boleh
menyertai Tilawah Al-Quran di Malaysia dan mereka juga
mengerjakan haji dan sembahyang menghadap kiblat yang sama?
Lupakah kita istimewanya insan ini kerana adanya akal. Tidak
beragama mereka yang tidak berakal.
Terhina
Punca kepada Perang Iran-Iraq pada tahun 1980 ialah apabila
Saddam Hussein yang begitu terhina dengan perjanjian
Algeirs tahun 1976 yang menetapkan sempadan Iran-Iraq di Shattal
Arab terkena pancing negara-negara Teluk yang begitu takut
dengan revolusi Iran.
Saddam diberikan bantuan wang dan senjata untuk berperang.
Jutaan rakyat kedua negara mati. Perang lapan tahun hanya
menguntungkan tauke-tauke senjata dan pemimpin negara-negara
teluk yang menjadi penonton di kala Iran dan Iraq musnah.
Selepas perang negara-negara berkenaan mendesak supaya Saddam
membayar hutang. Iraq bagaimanapun tidak mampu kerana
negara itu telah muflis. Maka berlakulah penaklukan Kuwait
oleh Iraq.
Hari ini ketika Iran sedang ditekan hebat oleh Amerika Syarikat
(AS) dan Barat ekoran program nuklearnya yang dianggap
mengancam keselamatan Asia Barat dan dunia, Iran di bawah
kepimpinan Ahmedinejad langsung tidak menunjukkan tanda-tanda
akan berundur malah Iran tetap menegaskan bahawa program
nuklear mereka yang menjadi ketakutan barat hanyalah
bertujuan untuk keamanan semata. Siapa selain dari Iran yang
kita boleh harapkan untuk bersaing dengan U.S.A yang
angkuh dan berlagak sebagai polis dunia? Sampai bila kita mesti
membiarkan umat Islam dibunuh oleh Yahudi dan dizalimi oleh
Amerika di mana saja mereka berada dengan menggunakan
puak-puak ketiga?
Apakah umat Islam tidak patut bangga bila Iran muncul untuk
bersaing dengan musuh Islam yang bermaharajalela?
Ayatollah Imam Khomeini pernah memberi pesanan yang menyatakan
Islam tidak membenarkan mereka untuk membuat senjata yang
boleh membunuh ramai orang.
Menentang
Digniti yang ada pada Imam, Imam sanggup menentang raja yang
menjadi ‘patung’ dan menentang Amerika satu kuasa besar
yang ditakuti oleh dunia. Tanpa merasa gentar Imam berdepan
dengan U.S.A yang menguasai PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu) yang tidak membantu umat Islam yang dizalimi oleh
Yahudi dan Amerika.
Jika umat Islam mahu menyelamatkan dunia mereka perlu adakan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Beriman (P.B.B.B) dan
menggantikan Sister In Islam kepada Sister In Iman.
Perjuangan Imam diteruskan oleh Presiden Iran yang baru,
Ahmedinajed yang hidup fakir seperi Imam Tidak ada
pertelagahan antara Ahmedinejad dengan mantan Presiden, Syed
Khatami seperti yang berlaku di Malaysia di antara Pak Lah
dan Tun Mahathir.
Apa akan jadi pada UMNO (Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu)
jika Melayu masih berpegang teguh pada peribahasa ‘gajah
sama gajah berperang, pelanduk mati tersepit’. Tak bolehkah
kita menggunakan peribahasa India yang berbunyi; ‘Gajah ada
harinya, kucing pun ada harinya juga’kerana kita berada di
era ikan kecik makan ikan besar bila tiba musim pilihanraya.
Ke mana perginya bijak pandai dan cendiakawan Melayu? Apakah tak
mustahil akibat tak ada yang mahu mendamaikan perang Pak
Lah dengan Tun Mahathir, UMNO akhirnya akan jadi parti yang
tak berguna biarpun Anwar Ibrahim berjaya dimasukkan semula ke
dalamnya.
Apakah kita tidak bimbang berakhirnya kepimpinan Melayu seperti
Khalifah Othman ibni Affan yang dibunuh akibat mengamalkan
kronies dan nepotisme oleh puak Khawarij yang ‘hilang akal’?
Kemudian Khalifah Omar ibni Khatab dan Amirul Mukminin Ali bin
Abi Thalib juga mati dibunuh yang akhirnya menyebabkan
peperangan demi peperangan sudah lebih seribu empat ratus tahun
antara Sunni dan Syiah?
|