|
PAK LAH DERHAKA, MAHATHIR DERITA ANWAR KETAWA
Pak Habib
Sabtu 24 Jun 2006, tempat letak kereta di Century Paradise
Melawati penuh, ratusan kereta terpaksa diletakkan di tepi jalan.
Kesemuanya mahu menyaksikan dengan mata kepala, mendengar dengan
sendiri istihar ‘perang’ Tun Mahathir terhadap Pak Lah yang
dituduh menikamnya dari belakang, betulkah mereka sudah berpatah
arang berkerat rotan?Apa sudah jadi kepada pemimpin negara kita
ini? Hilang akal ke? Apa hendak jadi pada rakyat selepas ini?
Betul ke Pak Lah tidak memberi keutamaan kepada ‘kedaulatan’
bangsa dan tanah air seperti Tun Mahathir menarik imuniti dari
raja-raja? Macam mana tiba-tiba saja ‘Mr Clean Man’ Tun Mahathir
boleh tukarkan jadi ‘Mr Con Man’? Kasihan Pak Lah seorang
Perdana Menteri jadi seorang penderhaka seperti gurunya Musa
derhaka? Sejauh mana benarnya Pak Lah sudah menjual bangsa dan
tanah air atau kisah jambatan bengkok yang menghubungkan Johor
Bahru dengan Pulau Singapura yang sebesar kacang putih boleh
bertukar menjadi sebesar buah tembikai kerana lidah Mahathir
untuk mengekalkan dirinya sebagai seorang champion?
Apa punca dendam Mahathir terhadap ‘budak berhingus’ keluaran
dari Oxford sehingga Tun Mahathir terpaksa menghadiri
pertarungan sandiwara yang di anjurkan oleh Malaysia today.net
kini dibawah pimpinan Raja Putra.
Kuah kari bila tumpah ke nasi enak di makan tapi bila tumpah ke
baju putih kotor, begitulah najis bila berada di dalam perut
ianya bersih bidalan ‘shit’ curry teringat buku ‘Shit’ Shahnon
PM.
Tun penjual roti benggali di Langkawi akhirnya tiba dengan
kereta Porsche Canneyen yang berharga lapan ratus ribu yang AP
dimiliki oleh Mokhzani syarikat anaknya pengimport kereta mahal.
Mokhzani pernah memiliki syarikat perkapalan, hospital semasa
Tun menjadi Perdana Menteri, Mokhzani terkenal sebagai raja
pengangkutan Malaysia. Tun Mahathir mudah lupa.
Datuk Rohanie (Ron), penulis buku mengenai jambatan bengkok,
Norzah Kepoh, Raihan, Roslee dari Agendadaily, Dr. Zahrain, M
Raffee dan ramai lagi wartawan politik dari media arus perdana
dan website turut hadir. Yb Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub,
Ketua Pemuda PAS, Naib Presiden, Mahfuz, Nasaruddin Mat Isa
Timbalan Presiden dan NGO-NGO selain dari ahli UMNO yang jadi
mata, telinga Pak Lah termasuk mereka yang menunggu untuk
menjadikan ceramah Tun Mahathir untuk menghentam Pak Lah. Bila
lagi hendak menangguk diair keruh?
Pengaruh Mahathir nampaknya masih ditangga atas, cakapnya ‘masih
masin’, boleh jadi berita sensasi, boleh jual ketika ramai orang
marahkan Pak Lah. Orang ramai nak tahu cerita yang sebenar.
Hanya kebenaran saja boleh menghapuskan penipuan dan kepalsuan
maka kehadiran para pemikir, penganalisa dan penulis yang ikhlas
perlu.
Maka tertumpulah seluruh perhatian kepada shadow boring yang
pelik dan ajaib oleh Mahathir yang mesti didokumentasikan.
Penulis adalah telinga, mata dan suara rakyat. Saya tak
terhutang hidup pada Tun Mahathir, tak terhutang budi pada
mana-mana pemimpin boleh melapur dan mendedahkan apa yang
terselindung.
Saya tidak penting, anda tidak penting, Dr. Mahathir tidak
penting, Pak Lah tidak penting, Anwar Ibrahim, Musa Hitam tidak
penting, UMNO tidak penting. Yang penting ialah apa yang benar
dan apa yang hak. Yang penting ialah siapa yang berada di pihak
yang benar.
Antara negara dengan UMNO, yang penting bukannya UMNO tetapi
negara. antara UMNO dengan Mahathir, yang penting bukannya
Mahathir, tetapi UMNOlah yang penting. Memang UMNO penting.
Ianya tulang belakang kerajaan Barisan Nasional. Kalau nama
Presiden busuk, bahayalah UMNO, kasihan UMNO, UMNO rosak.
Pemimpin dicipta oleh orang ramai untuk berkhidmat kepada orang
ramai. Pemimpin datang dan pergi kerana itu bagi saya pemimpin
lawan pemimpin tidak penting. Perlawanan antara pemimpin dengan
pemimpin tidak akan berakhir dengan menang dan kalah. Buat penat
saja. Satu perlawanan yang sia-sia. Jadi siapakah sebenarnya
yang berlawan dan dengan siapa? Jawabnya ialah kita semua
berlawan. Dan perlawanan yang paling besar sekali iaitu
perlawanan dalam diri kita sendiri.
Tiba-tiba saya teringat, ketika pulang dari Perang Badar,
peperangan yang besar di zaman Nabi Muhammad SAW, baginda
berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersedia untuk
menghadapi peperangan yang lebih besar. Apabila ditanya oleh
sahabat-sahabatnya perang apakah yang lebih besar itu, Nabi SAW
menjawab, perang di dalam diri sendiri antara akal dan nafsu.
Ini bukan sebarangan perang, menang jadi arang, kalah jadi abu,
yang harus menanggung risikonya adalah Melayu. Melayu lawan
Melayu orang asing tepuk tangan.
Tun mungkin ada agendanya tersendiri atau telah menerima nasihat
yang silap seperti Almarhum Tunku dulu diusung oleh Semangat 46.
Siapa tahu ini sandiwara mahu membawa masuk Anwar kembali ke
dalam UMNO kerana ramai yang menunggu terutama yang suka ada
perlawanan baru boleh tumpang hidup.
Jangan salahkan penjual keranda mendapat untung atau penggali
kubur menutup liang lahat tersenyum, bila lagi hendak rasa duit
orang yang bakhil. Bangkai tak boleh di simpan lama-lama, jika
tidak mahu langau berkeliaran. Ini kenyataan, minum arak mesti
mabuk punya, sendiri punya diri sendiri mahu ingatlah.
Jerebu politik sudah bermula, banjir kilat, tanah runtuh, gempa
bumi dan letupan gunung berapi serta musibah berlaku di
sana-sini termasuk dalam UMNO. Bala yang menimpa, ramai terlupa
akibat dosa-dosa sendiri. Tuhan bersifat pemurah lagi penyayang,
manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri. Mereka terlupa
kadak dan kadar. Masa sesak berdoa pada Tuhan, lepas bala lupa
Tuhan.
Apakah tak mustahil perkara yang sama akan berlaku seperti
peristiwa 1988 dan 1998 satu kitaran semula?
Ramai pemimpin UMNO yang pernah bersekongkol, pernah cium tangan
Mahathir akan mati bergelimpangan ‘di telan mati emak, di luah
mati bapak’, mati mesti mati punya. Apakah ini hukum karma atau
sudah dirancang? Jerat tak lupa pelanduk. Anwar senyum ketawa,
lu tahu, gua tahu punya. Jangan mengaku pesan peguambela, kalau
mengaku peguam tak ada kerja. Itulah yang bermain dikepala saya.
Ramai yang mahu datang tapi tak seronok, baru buat statement
bebas bersuara sudah di belasah oleh media massa arus perdana.
Ini yang berlaku pada Datuk Wira Syed Ali Al-Habshi dituduh
orang Mahathir. Kasihan. Namun Syed Ali tidak pernah pentingkan
jawatan. Dia tak peduli.
Tun Mahathir yang berada di atas pentas begitu bertenaga biarpun
dunia kata pergi kubur kata mari. Tun Mahathir tak peduli, Tun
masih bersemangat dan punya keyakinan diri yang cukup tinggi,
jaguh pidato bertaraf dunia, jauh berbeza dengan Megat Junid
yang dianggap satu liabiliti. Tok Mat dan Tan Sri Sanusi sahabat
dan orang kanan yang memainkan peranan utama semasa bersamanya
dulu tak kelihatan, yang ligat Datuk Ibrahim Ali anak angkat Tuk
Guru Nik Aziz.
Kegagahan Tun Mahathir tidak sedikit pun membayangkan usianya
yang sudah melewati 80 tahun, lebih dua jam berbicara, dia tidak
pun membasahkan tekaknya. Gedebe UMNO yang pernah duduk di
kerusi kuasa pernah membelasah, bertarung dengan PAS, Anwar, Ku
Li, pernah membidas bekas Perdana Menteri UK, Australia, USA,
masih lantang memerangi Singapura. Kini macam Muhammad Ali
meninju Pak Lah dan Khairy yang dicabar supaya naik ke
gelanggang.
Tun mengaku yang dia ni ‘suspision’, ada perangai buruk sangka,
sentiasa ada syak terhadap Pak Lah dan menantunya. Sindirannya
tajam menusuk dengan mimik muka dan mulut yang sesekali suka
mencebik seolah-olah Pak Lah dan Khairy mencabar di kedudukannya,
dia kelihatan begitu terdesak. Siapa yang cabar siapa? Dia patut
ingat dia bukan Ahmaddi Najat yang mencabar Yahudi dan Amerika
kerana mempertahankan kuasa nukuler atau Huseniah atau Palastine
yang berdepan dengan Israel.
Kali ini tidak ada siapa yang mengasak Che Det ke penjuru, apa
yang menyebabkan Tun Mahathir hilang akal? Sedangkan dia seperti
pokok yang sudah condong, kura-kura pun boleh panjat. Dah tak
ada kuasa bercakap hebat macam mana pun tak guna. Saya risau,
bimbang takut ada orang kata orang tua ini ‘buang tabiat’.
‘Sayang panas setahun hujan sehari’. Pak Lah bijak, sunyi sepi
tak jawab segala tuduhannya. Biarlah sejarah yang menjadi hakim
dan menghukum.
Memang tabiat manusia suka betul tengok pertarungan, apa lagi
gladiator yang tiba-tiba hilang akal membiarkan dirinya
dipergunakan. Mereka nak lawan Khairy atau Pak Lah takut, tak
ada tulang belakang.
Di dalam dewan yang penuh sesak, ramai yang berdiri, tak kurang
yang diluar tengok TV bertepuk tangan ‘hebat Mahathir’. Jika
tidak dihadkan kehadiran mungkin Century Paradise Taman Melawati
akan dibanjiri ribuan manusia yang mahu menonton siaran ulangan
Dr. Mahathir yang kenyataannya di dalam satu sidang akhbar dalam
satu forum keamanan Criminalise War - Stop World War Four yang
diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 21 dan 22 Jun tidak
mendapat liputan akhbar arus perdana. Pasal ini agaknya dia jadi
berang, dia lupa sekarang ini Pak Lah yang jadi PM. Kasihan Che
Det, orang lain baling batu sembunyi tangan Che Det jadi mangsa.
Berapa ramai peniaga, kontraktor yang sudah gulung tikar? Dulu
zaman Mahathir lupa daratan hidup mewah. Apakah tak mustahil
pada 2020 Melayu menjadi pengemis di buminya sendiri bila
pemimpin Melayu terlalu mengikutkan nafsu? Apakah semua
kesalahan ini kerana Pak Lah dan Pak Lah mesti disingkirkan
melalui reformasi? Tuhan tidak mengubah nasib satu-satu kaum
melainkan kaum itu sendiri.
Tun Musa Hitam berjaya membuktikan di mahkamah tinggi dia kalah
lawan Ghafar 1987 akibat buku saya ‘The Challenger Siapa Lawan
Siapa’, kes saman malu mega terhadap penulis buku bukan kerana
Mahathir atau Team A hebat. Duduk dalam rumah kaca jangan main
baling-baling batu .
Sejarah adalah pengalaman yang berharga untuk masa depan kita.
Berapa ramai yang mahu menjadikan pengalaman sebagai sejarah
untuk mengatur masa depan mereka? Apakah kita tidak bimbang
kitaran 10 tahun akan berulang. Pembuat dasar Melayu yang
melaksanakan dasar Melayu Raja-raja Melayu. Yang miskin, melarat,
penagih dadah, bohsia, rosak akhlak, buang anak siapa?
Mereka yang ada sikap syak wasangka akan bertanya apakah isu
pembatalan cadangan projek jambatan bengkok menghubungkan Johor
dan Singapura. Proton dan Agusta Tun timbulkan kerana Tun ada
kepentingan? Bukankah Tun punya ‘brain child’ semua ini? Kenapa
tak dibincang secara tertutup?
Ramai yang tak dapat membaca yang tersirat dalam ucapan Tun
kerana seronok tengok Pak Lah kena belasah sehingga terlupa Pak
Lah itu Perdana Menteri. Besar sangat ke dosa Pak Lah terhadap
bangsa dan negara? Kalau betul, kenapa tak heret Pak Lah ke
mahkamah? Tun dulu marah bila Rahim Tambi Chik dibelasah,
akhirnya Nazri Aziz tinggalkan Ketua Pemuda UMNO. Tanggungjawab
siapa yang mesti mempertahankan pemimpin dan kerajaan? Baca buku
saya Mahathir Di Ambang Senja yang diterbitkan pada tahun 1999.
Pak Lah perkara biasa, ombak dalam cawan kopi. Setiap bapa ada
hak memarahkan anaknya. Biarkan Tun bercakap memang salah Pak
Lah tak jawab apa yang ditanya, sebab itu perkara ini jadi kecuh.
Pak Lah ada salah dan silap tapi dia masih tetap Perdana Menteri
Malaysia yang mesti dihormati sehingga dia di hukum oleh
mahkamah sebagai penderhaka atau pembelot.
Ramai terlupa kuasa ekonomi dan pendidikan milik Melayu sudah
tinggal nyawa ikan. Apakah tak mungkin ini akan menyebabkan UMNO
akan ditalkinkan sekali lagi? Ramai yang ikut PAS bila mereka
fikirkan akhirat, dunia pun sudah hendak kiamat. Baca balik buku
saya ‘Challenger’ dan ‘Talkin Untuk UMNO’. Kita semua punya
tanggungjawab sosial. Amar makruf nahi mungkar. Sampaikan hatta
sepotong ayat - hadith Nabi SAW.
Tiba-tiba saya teringat satu sms dari seorang Datuk kepada saya,
‘undi PAS kerana akal, undi UMNO kerana nafsu’ - dari buku Clive
S Kessler 1978. ms 229-230.
Dr. Mahathir marah dan kecewa dengan Datuk Sri Abdullah kerana
telah memungkiri janji kepadanya. Betul ke ada ‘gentlemen
agreement’. Ketika ditanya apakah janjinya Tun cuma kata “dia
tahu, saya tahu” dan meneruskan “dia mungkiri dua minggu setelah
saya lepas jawatan, sungguh cepat”. Kenapa tak terangkan apakah
janji yang membawa akibat? Akhirnya rakyat yang tak berdosa
terlibat akibat cerita ‘half truth’, cerita yang separuh saja
benar yang menyerupai fitnah. Apakah kita tak berhak untuk
marahkan Tun Mahathir? Saya tak terhutang hidup padanya. Saya
non partisan.
Mahathir suruh Pak Lah ambil tindakan terhadap perasuah.
“Saya tidak boleh sebut nama, tapi saya yakin BPR tahu ini. Ada
kes yang sudah diputus untuk diambil tindakan tapi tak diambil
tindakan. Entah kenapa saya tak taulah.” Apa yang Mahathir buat
untuk menghapuskan korupsi semasa kuasa berada di tangan? Apa
jadi dengan slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah serta ‘Kepimpinan
Melalui Teladan’ dan ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam’? Banyak
manalah tahi Pak Lah dua tahun jika dibandingkan dengan tahi
‘shit’ Mahathir selama 22 tahun?
Saya teringat kata-kata Tun Mahathir “Mungkin saya ada tabiat
pilih orang yang silap”. Dia sudah melakukan banyak kesilapan
selama 22 tahun. Apakah kerana beliau ‘mengaku’ bersalah maka
dosa-dosanya kepada rakyat terampun macam itu saja? Dan semua
dosanya mesti ditanggung oleh Pak Lah?
Tun sempat mengungkit, “Saya tolong naikkan ramai orang tetapi
ada yang menikam belakang saya.” Apakah Tun tak pernah menikam
pemimpinnya secara terang-terang? Apakah Tun pernah ingat mereka
yang jadi gurkha sabung nyawa untuk mengekalkan dia dikerusi
kuasa?
Kita tak kata Khairy baik, Khairy tak salah, tak berdosa. Siapa
gurunya? Air yang keruh di hulu mustahil boleh jernih di hilir.
Satu tangan Tun Mahathir menunjuk kepada menantu Pak Lah empat
yang lain menunjuk ke anak dan diri sendiri. Siapa yang jadi
billionair, kaya raya, orang Melayu di kampung atau kronis
sendiri?
Tun paling marah pada Khairy sehingga dia tak dapat mengawal
emosi, dia lupa membelasah Khairy tanda mengiktirafkan kehebatan
Khairy seperti kaum Qurais terima perjanjian Hudaibidayah.
Mentang-mentang dia doktor, potong orang, salah kasi ubat, orang
mati, doktor tak boleh dituduh pembunuh. Itu dulu masa dia jadi
PM.
“Saya dengar kata di tingkat empat (di Jabatan Perdana Menteri).
You pi cari tengok ada kerusi meja ke, siapa ada, ada ofisboy
ke, dari Oxford, dari Cambridge,”
Ada ke patut umur sudah 81 tunjuk hebat dengan budak baru
berhingus? Biar saja Mukriz lawan dengan Khairy. Jangan orang
tua pun turut campur, baca semula buku saya Anak Omak Lawan Anak
Bapak. Itu politik Muawiyah namanya. Jangan ulangi peristiwa
perang Siffin.
“Tingkat empat ni boleh telefon siapa saja dan nasihat untuk
buat benda yang baik. Sebab tu hari ini kita tengok semuanya
baik-baik belaka. Tingkat lima Perdana Menteri duduk. (Tingkat
empat) lebih berkuasa daripada tingkat lima sebab dia lebih
pandai. Tingkat lima tak pi Oxford.”
“Mereka sungguh bijak, anda tak boleh tolak dia punya nasihat.”
“Orang bijak pandai anda boleh nampak terang cerah. Kita boleh
tengok dalam surat khabar pun tulisan-tulisan dia tu. Luar
biasa. Saya tak pernah tengok tulisan-tulisan macam tu.”
Tun lupa ke dia pun menulis di akhbar semasa muda. Nyanyuk kot?
Tun berterus terang, dia memang tak suka mengampu, memang dari
muda lagi dia seorang yang suka menentang arus. Dia Jebat
derhaka bukan Tuah budah suruhan Tuanku. Dia tak setia kepada
pucuk pimpinan semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana
Menteri. Dia tolak Ku Li pilih Musa Hitam. Lupakah kita surat
terbuka Tun kepada Tunku dan buku Dilema Melayu? Tun Mahathir
seorang ‘gedebe’ suka berlawan dengan Amerika, Britain,
Australia, Singapura dengan Musa, Ku Li, Anwar, siapa saja.
Sejarah hidupnya penuh dengan perlawanan, termasuk menarik
imuniti dari raja-raja. Kalau 9 raja dia tak takut lawan, Pak
Lah atau Khairy apa sangat. Dia lupa siapa dia dulu, siapa dia
hari ini. Dia lupa dalam UMNO tak ada kawan yang kekal. Kawan
boleh jadi musuh.
Ini bukan pertama kali Mahathir bersama pemimpin PAS, masa kena
buang dari UMNO dulu pun dia pernah naik ke pentas PAS, ini
ibarat nikah ‘misyar’ atau nikah ‘mutaah’ walaupun belum
bercerai dengan UMNO. Yang penting menghalalkan cara, gasing
jangan mati uri.
Pelik dalam keadaan umat Islam di seluruh dunia semakin tertekan
dengan wujudnya perang anti-terrorism tajaan Amerika, Britain
dan puak zionis. Apakah peranan yang telah dimainkan oleh kita
semua? Orang mukmin itu diibaratkan seperti satu tubuh, cubit
peha kanan sakit peha kiri.
Saya mengingatkan diri saya sendiri kenapa kita tidak
menyedarkan umat Islam, negara Islam dan dunia Islam supaya
mereka bergabung fikiran, kekuatan, keberanian dan sumber
kewangan dan ekonomi untuk mematahkan serangan zionis dan
konco-konconya? Pelik, sudah hilang akalkah kita semua ini?
Apakah Mahathir tak tahu serangannya terhadap kredibiliti
Perdana Menteri, Dato’ Seri, Abdullah Ahmad Badawi akan
mengundang musibah lebih besar dalam UMNO? Apa akan jadi pada
kita bila berpecah belah?
Sudah pencen Mahathir tak patut guna cara ‘pecah perintah’ untuk
mengekalkan kuasa. Kalau mahu dimuliakan jadilah seorang wali
Allah yang ada karamah jika mahu memerintah dari dalam kubur
seperti Imam Ayatullah Khomeini yang karamahnya mempunyai
pengikut diseluruh dunia.
Perbalahan pasti memberi kesan kepada sistem pentadbiran negara,
kestabilan politik UMNO. Mahathir tak fikir ke pandangan pelabur
luar serta kesan kepada rakyat? Atau Mahathir sudah nyanyuk
buang tabiat hingga terlupa bahawa pertembungan dia dan Pak Lah
masih dalam konteks sistem yang sama iaitu korup dan nepotisma.
Untuk apa menepuk dulang merecik ke muka sendiri.
Cukuplah dia sudah jadi champion, jadi hero. Nabi Muhammad SAW
mengingatkan kita supaya apa pun yang kita lakukan mesti
sederhana. Kita kena ingat hukum karma serta kadak dan kadar.
Sewaktu Mahathir mengumumkan pengundurannya dari puncak kuasa,
banyak orang khususnya dari kalangan para pemimpin UMNO yang
dilindunginya - menangis terisak-isak di khalayak ramai. Malah
lebih banyak pula yang tidak dapat membayangkan kehidupan di
negara ini tanpa Mahathir. Hendak apa lagi?
Rakyat sudah memaafkan Mahathir yang mengendalikan negara ini
secara kuku besi, kita sudah menjadi biasa dengan suasana
politik dan sosial yang telah dibentuknya secara bersendirian
sehingga dia di gelar ‘Maha Firaun’ oleh Sayuti Omar ketika dia
berkuasa, pemimpin UMNO seolah-olah tidak dapat membayangkan ada
orang lain yang berkemampuan melakukan apa yang telah
dilakukannya selama ini. Terimalah, gajah ada harinya, kuching
pun ada harinya juga.
Tuhan beritahu Nabi Muhammad SAW “kamu hanya boleh menyampaikan,
hidayat datang dari Aku”. Kata Allah SWT jangan berlagak macam
Tuhan. ‘Don’t play god, be godly’.
Tun Dr. Mahathir tak patut melenting marah-marah kerana dilayani
seperti singa pencen, negarawan usang, atau seperti kuda patah
kaki. Sabar Tun! Tak perlu naik angin. Biasalah jika orang tua
82 tahun seperti Tun mudah lupa tapi jangan lebih-lebih, orang
lain pun ada angin juga, angin puting beliung.
Orang tua memang mudah kecil hati, mengalah tak rugi apa-apa,
cuba fikir betapa huru hara dan haru birunya UMNO semasa
bergaduh dengan Anwar? Jangan fikirkan ego dan diri, fikir juga
bangsa dan negara.
Memang tak salah Tun mahu menyata, menegak dan menjunjung
kebenaran? Tak salah Tun mahu menyatakan sesuatu masalah, o.k.
tapi jangan duduk dalam sampan bocorkan sampan. Orang lain pun
nak hidup juga.
Kedaulatan satu perkara yang penting. Seperti apa guna jadi Raja
yang tidak berdaulat? Kita memperjuangkan kemerdekaan kerana
‘kedaulatan’ kita tak mahu negara tidak boleh di jajah akibat
api yang kecil tidak dipadam boleh membakar seluruh bandar. Ini
yang cuba saya lakukan bila melihat Tun yang mula bermain api.
Damaikan orang sedang bergaduh.
Tak salah beliau bersuara lantang supaya Singapura tidak berani
berdolak-dalik dengan soal pembinaan jambatan di Selat Teberau?
Pasir dan macam-macam lagi.
Kerana bersimpati dengan Pak Lah yang tak mahu lawan Tun, hampir
setiap hari menteri makin tambah berani membidas Tun Dr.
Mahathir seolah-olah beliau tidak pernah berjasa kepada agama,
bangsa dan negara? Namun salah siapa? Biarlah penulis yang
jatuhkan pemimpin seperti arwah Khalid Jefri gugurkan Anwar ke
lantai.
Rakyat tak boleh marah Nazri atau lain-lain menteri yang
mengecam Tun Mahathir. Macam mana acuan begitulah isinya. Tun
dulu pun tak menghargai jasa Tunku dan Tun Hussein. Tun
menderhaka pada Tunku biarpun Tunku banyak membuat jasa ‘Bapa
Kemerdekaan’. Tun tetap seorang penderhaka dan dia tak peduli.
Dia tak menyesal. Dia suruh menterinya dulu taat pada siapa yang
jadi pemimpin, bukan yang manten dan yang bakal. Cakap jangan
tak serupa bikin, Tun. Maka jangan marah kalau Pak Lah derhaka
dan Anwar ketawa.
|