|
formmail.to: umnoreform
From_Name: Pak Ali
Subjek: Request for Proposal
Segera: Yes
Pesanan: PM vs TDM vs DSAI
Mungkin inilah satu-satunya negara di dunia yang dikuasai oleh
suatu bangsa tapi itulah juga bangsa yang tidak habis berkemelut.
Dari rakyat terkebawah hingga ke pemimpin di atas. Masing-masing
dengan kemelut masing-masing.
Dalam krisis PM vs TDM, aku melihat betapa PM banyak belajar
dari insiden DSAI dahulu. Itulah sebabnya mengapa beliau tidak
mahu bersemuka dengan TDM dalam hal pertelagahan mereka. PM tahu
pengaruh beliau tidak sehebat pengaruh DSAI untuk berentap satu
lawan satu. Sekiranya itu berlaku, kedudukan PM dalam partinya
akan tergugat. Maka oleh itu, PM mengambil sikap memindahkan
risiko tersebut kepada menteri kabinet berkenaan untuk menjawab
segala kritikan TDM. Dan kita mengetahui bahawa mereka ini
kebanyakannya adalah mereka yang sama ketika era TDM dahulu.
Peluru yang dilepaskan adalah hasil bikinan mereka bersama
dahulu. PM bijak dengan membolehkan DSAI dibebaskan (bukan
membebaskan), sekaligus ibarat melepas harimau bagi mengimbangi
kekuatan seekor lagi harimau.
Hari ini kedua-dua harimau itu berada di luar, walau bukan
sebebas yang disangka. Dan mereka kini dalam episod pertarungan
yang dahpun bermula. PM pula ibarat singa jantan yang menunggu
hasil perjuangan kawanan singa betinanya. Adalah sangat penting
bagi DSAI untuk membersihkan namanya. Begitu juga bagi TDM untuk
membenarkan tuduhan dan tindakannya 8 tahun dulu. Dan pemberat
bagi dacing perhitungan mereka kini dipegang oleh PM. DSAI
memerlukan PM untuk kekal takhta agar peluangnya lebih cerah,
sebaliknya bagi TDM. Kes demi kes yang memihak kepada DSAI cukup
menggerunkan beliau. Maka tidak hairan jika DSAI seolah dan
semestinya memihak kepada PM dalam isu jambatan dan lain-lainnya
walaupun dalam nada yang berhati-hati. Begitu juga dengan
sentimen negatif Keadilan terhadap tindakan beberapa pemimpin
PAS bersekedudukan dengan TDM di Hulu Kelang, yang dikatakan
dangkal jika pun tidak melampau. Insiden pendedahan
maklumat berkaitan pemecatan TDM dari UMNO juga
berkemungkinan bertujuan mengelakkan TDM dari dipecat. Kerana
jika tidak PM tak akan mampu menahan gelora penentangan
yang mungkin akan dibawa oleh TDM ke atasnya. Jika PM
jatuh, maka nasib DSAI mungkin akan berubah. Itulah apa
yang dipelajarinya dari insiden DSAI. Apa yang perlu
dilakukan oleh PM sekarang ialah mengwujudkan seberapa banyak
hulubalang yang akan berjuang bagi pihaknya. Dalam parti,
ketaatan kepada yang berkuasa dieksploitasi sepenuhnya. Di
luar parti, hakim rasuah perlu dihapuskan. Keduanya bagi
menyediakan hulubalang luar dan dalam.
TDM dan sedikit sebanyak PM sememangnya bijak dalam percaturan
politik mereka. Malangnya pemburu-pemburu harimau tidak
sebijak mereka. Asyik masuk perangkap sendiri. Pembangkang
seolah hilang fokus apabila sudah wujud banyak mangsa
untuk dijerat. Antara PM dan TDM siapa harus dijerat dan
ditumpaskan, atau perlu duduk semeja dan bergelak ketawa? PAS
mungkin menfokuskan PM manakala keadilan menfokuskan TDM. Ini
boleh dilihat dalam hal pendapat dan tindakbalas mereka
dalam hal isu-isu yang dibawa TDM. PAS beiringan dengan
TDM dalam hal jambatan manakala Keadilan beriringan dengan
PM. Pembangkang sememangnya masih gagal membina kekuatan
sendiri, lebih teruk lagi hari ini mereka terperangkap
dalam pertarungan musuh-musuh mereka yang sedia lemah.
Pembangkang seharusnya tidak melayan kerenah TDM. Biarkan
si luncai itu. Biarkan si Ibrahim melayannya. Mereka
berdua kini senasib. Ditolak kaum kerabat sendiri. Kenapa
perlu memperbodohkan diri? Isu-isu yang dibangkitkan
bukannya menyentuh secara langsung kebajikan rakyat umum. Lebih
kepada sentimen kuasa, pengaruh dan ego. Kalau betul ianya
berkepentingan rakyat secara langsung, kenapa tidak TDM
berterus terang apa yang dimungkiri PM selepas dua minggu
itu? Biar semua rakyat tahu. Kenapa hanya perlu mereka
berdua yang tahu? Dan kita tidak semena-mena bersorak
bersama. Akhirnya kita sendiri yang kehilangan arah.
Fikir-fikirkan.
Pak Ali
Padang Serai.
|