BALIK KE MUKA UTAMA

ANTARA JAMBATAN BENGKOK DAN PEMIMPIN BENGKOK
Pak Habib



RABU, 12 Julai 2006, Jam 11 pagi, saya bersama anak angkat saya Norzah Hj Kepol dari Buletin Rakyat tiba pada waktu yang dijanjikan di pejabat Datuk Idris Tulis yang terletak di Wisma Central bersebelahan KLCC diikuti oleh Yahya Ismail, penerbit tabloid bebas. Seperti biasa Rosli Ismail, editor akhbar internet AgendaDaily.com tiba lewat. Kita semua tahu kenapa.

Gambar Idris Tulis bersama Tun Mahathir dan menteri-menteri kabinet memenuhi meja perhiasan. Penerbit tabloid Era Baru dan pengimport kereta mewah Porsche yang pernah bertanding kerusi MT UMNO menjadikan bendera UMNO sebagai satu kebanggaan. Datuk Idris Tulis adalah satu-satunya tokoh korporat yang meminati dunia penulisan dan sentiasa mesra dengan penulis. Namun inilah pertama kali diundang ke pejabatnya.

“Saya menjemput Pak Habib, Pak Yahya dan kawan-kawan yang lain hadir kerana mahu berbincang perihal masalah politik dalaman negara yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Tentunya anda sedia maklum bahawa sana sini orang kita sedang memperkatakan tentang pergeseran antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi. Sebagai penulis dan pemikir kita perlu memikirkan masa depan anak cucu kita.”

Memang betul kata Idris Tulis pergaduhan mereka berdua sedikit pun tidak menguntungkan rakyat. Bangsa lain tengok pemimpin Melayu bergaduh. Melayu tak tolong Melayu, Melayu tak tolong diri sendiri. Kasihan orang kita. Tun Mahathir memang sudah hilang kepercayaan pada bangsanya sendiri. Tanggungjawab siapa sekarang ini kalau bukan penulis yang boleh menembusi pemikiran rakyat untuk menerangkan apa yang kita perlu buat bila Tun Mahathir mengisytiharkan perang terhadap Pak Lah dan kerajaan yang dipimpinnya sedangkan dia mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, siapa yang menikam siapa dari belakang? Siapa yang menepuk air di dulang?

KHABAR

Saya sudah dengar khabar angin dan terima SMS yang mengatakan sebuah buku akan yang lebih hebat dari buku ‘The Da Vinci Code’ karangan Dan Brown akan terbit tak lama lagi. Tajuk buku yang akan diterbitkan itu ialah ‘Dah Benci Kot?’ Siapa yang berani buat, dia mestilah berani tanggung. Jangan pulak tangan berani mencincang, bahu tak berani memikul. Kasihan Tun Mahathir, di hari tua terpaksa menerima sesuatu yang tak diduga olehnya.

“Datuk, saya sudah ‘letih’ hendak bela pemimpin UMNO, 22 tahun dengan Tun Mahathir, orang dikeliling Pak Lah buat apa? Sebab itu saya terbitkan buku Kalau Jodoh Tak Ke Mana. Orang ramai lebih suka baca cerita mengenai Datuk K dan Siti dari antara jambatan bengkok dan pemimpin bengkok. Selain daripada buku itu laris meletup, tak ada masalah memasarkannya. Tak macam buku politik, di PWTC pun tak boleh jual,” jelas saya kepada Idris Tulis.

“Orang ramai susah hendak percaya dengan pemimpin yang mengkhianati sumpah dan janji perjuangan UMNO untuk membela agama, bangsa dan tanah air. Depa dok pulun untuk keluarga dan kronis sendiri,” antara kata-kata Pak Ya.

Berapa ramai yang berfikir apa yang berlaku hari ini adalah ‘karma’ pembalasan dari dosa-dosa pemimpin sendiri. Inilah ‘kifarah’ yang harus mereka terima. Hidup ini menjawab soalan, itu belum soalan dalam kubur lagi.

Kalau kita tanam lalang mustahil ia boleh menghasilkan padi. Dr. Mahathir kata Melayu mudah lupa, Pak Lah bukan Melayu ke? Mahathir sendiri bukan Melayu ke? Lepas ini pilih sajelah pemimpin dan bangsa lain kalau dah semua orang Melayu tak layak jadi Perdana Menteri.

Pemimpin yang serupa kereta yang chasisnya bengkok, janganlah berangan-angan hendak berlumba di atas jalan raya. Kesilapan Mahathir dia terlupa dia itu siapa? Itulah yang sedang saya fikirkan semasa Idris bercakap. Mahathir seorang penulis veteran. Sepatutnya Idris Tulis jemput Mahathir sama.

MENULIS

Norzah dan Roslee tak banyak bercakap. Tapi kedua-duanya memberikan maklum balas rakyat antara sebab Dr Mahathir kritik Pak Lah kerana menantunya Khairy dan ura-ura Anwar masuk UMNO. Yang penting apakah yang mahu dilaporkan oleh mereka nanti? Jangan main-main dengan ‘wartawan’ yang ada akhbar. Media massa boleh jatuhkan seseorang pemimpin macam itu saja. Mereka tak menulis pakai pen lagi. Dengan komputer dan internet, segala maklumat cepat sampai kepada rakyat dan rakyat lebih percaya pada akhbar nyamuk atau akhbar milik pembangkang terutama mereka yang penakut nak bersuara sebab itu mereka seronok bila Tun Mahathir bersekongkol dengan penentang kerajaan terutama yang kaki ampu.

Apa pun orang mahu kata tentang Yahya Ismail, dia begitu gigih sejak krisis politik tahun 1987. Yahya telah memilih untuk berjuang bersama Team B, Ku Li, Musa Hitam, Rais Yatim dan Pak Lah. Bukan setakat Yahya sahaja tetapi ramai lagi penulis lain yang berpihak kepada Team B berperang dengan Team A antaranya adalah Ahmad Mokhtar dan Halim Mahmood yang kedua-duanya sudah menjadi arwah. Hari ini, Pak Ya bantai Pak Lah dan menantunya. Tanya Yahya kenapa?

Tahun 1969 Yahya Ismail menerbitkan buku kritikan sastera Langkah Kiri. Saya menerbitkan buku motivasi ‘Langkah Kanan’ yang antara lain menghuraikan bagaimana mahu berjaya menerusi kekuatan ‘spiritual’ dengan menggunakan doa dan petua. Bila dunia filem Melayu berhijrah dari Singapura ke Kuala Lumpur, saya meninggalkan majalah di Singapura.

Menulis bukanlah satu kerjaya yang mudah. Ia tidak semudah bercakap seperti orang politik. Ramai pemimpin mempunyai kelebihan berpidato. Cakap-cakap mereka yang retorik boleh memukau ribuan manusia namun berapa ramai yang tulisannya boleh membuat orang ramai berfikir? Itulah kesilapan Tun Mahathir, sepatutnya dia buat satu ‘blog’ atau ikut Raja Petra dalam ‘MalaysiaToday’ yang lebih sejuta melayari laman webnya. Dan Raja Petra yang pernah ditahan ISA semasa Tun jadi PM kini membantu Tun. Itulah istimewanya Raja Petra, mulianya sikap memaafkan orang ketika kuasa berada di tangan bukan minta maaf ketika terdesak dan tertekan.

PENDAPAT

Nak bagi pendapat memang senang. Bukan susah nak bercakap. Cakap sahajalah apa yang hendak dicakapkan. Tapi berapa banyak sekalipun pendapat yang diberikan, hujah yang digunakan, cakap-cakap yang dicakapkan, akhirnya kita terpaksa terima bahawa hanya ada satu sahaja fakta yang menjelaskan segala-galanya, kebenaran. Bila timbul kebenaran, yang salah pasti salah.

Saya tak menyesal melawan arus kerana hidup ini adalah satu perjalanan. Ketika rakan-rakan lain menyokong Team B, saya menyokong Team A. Penulis adalah pemimpin pemikiran rakyat. Pemimpin tak patut jadi tukang tulis seperti tukang kayu dan tukang kasut. Tun Musa Hitam berjaya membuktikan di mahkamah Tinggi Malaysia dia kalah kerana buku ‘Challenger Siapa Lawan Siapa’.

Hanya setakat itu sahajalah yang ahli politik tahu menghargai peranan penulis. Bila kes saman mega Musa Hitam terhadap saya berjalan di mahkamah seorang pun tak nampak batang hidung untuk datang memberi sokongan moral kepada saya. Begitu jugalah yang berlaku kepada arwah Datuk Khalid Jefri. Maka salahkah penulis bila mereka bergaduh, kita kata “lantak pi lah hang nak bergaduh, bergaduhlah, aku peduli apa, hang bergaduh ada agenda. Lebih baik aku ajak rakyat fikirkan perkara-perkara yang tak memeningkan kepala tetapi menguntungkan rakyat.” Padahal Musa saman saya bukan saman mereka, apa yang mereka nak takut. Namun sekadar nak dengar apa cerita Idris kita dengar sajalah.

Saya tiba-tiba teringat kata-kata Yahya Ismail setahun yang lepas ketika kami berbual bersama Datuk Dr Hilmi Yahya Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan dan juga Ahli Parlimen Bayan Lepas, di Bukit Genting, Bayan Lepas. Yahya pada hari tu menyatakan bahawa kalaulah dia tahu kerja menulis ini sengsara sudah lama dia berhenti menulis dan mengikut jejak anak lelaki dia yang menjadi petani moden dengan menanam dragon fruit. Anak Yahya memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan, memang jauh beza dengan pendapatan penulis sepenuh masa. Tapi saya tahu kata Yahya Ismail itu hanya rintihan penulis veteran yang kecewa terhadap peranan penulis yang tidak pernah dihargai oleh pemimpin. Orang dikeliling pemimpin suka mempermainkan penulis cakap tak serupa bukin punya. Pak Lah atau Tun Mahathir tahu ke ini semua?

SASTERAWAN

Saya teringat kata-kata seorang sasterawan negara bila memperkatakan tentang nasib penulis sepenuh masa, “hidup penulis sepenuh masa ini ibarat bahagia di dalam derita”.

Maka bila sekali lagi dunia Melayu dikejutkan dengan berita cucu ulama besar Malaysia menikam orang yang memberinya kerusi. Biar betul ni? Siapa mainkan siapa? Mereka yang terlibat dengan perang Team A lawan Team B masih belum mati. Betulkah Pak Lah tunduk pada Singapura? Betulkah Pak Lah menikam Tun Mahathir dari belakang? Siapa yang mengenali Mahathir mungkin tidak terkejut. “Dr. Mahathir” siapa tak kenal, ahli politik yang mempunyai kebolehan menulis. Biarlah Tun Mahathir lawan KJ, mungkin dia cemburu dengan Khairy Jamaluddin budak dari Oxford yang juga boleh menulis macam dia semasa muda dulu.

Mudah-mudahan penulis sesama penulis biarpun berbeza idealogi tetapi tidak seharusnya bercakaran seperti orang politik yang sudah hilang hala tuju. Biarlah ahli politik sahaja yang bercakaran sesama sendiri. Kalau kita tak tokok tambah cerita, tak mengapa, rakyat nak tahu cerita yang disorok oleh pemimpin. Penulis politik mesti bersatu. Apa mereka nak tulis itu hak mereka, yang penting bukan ‘half truth’, cerita benar bukan separuh benar. Penulis ada pendapat sendiri, terserah pada pembaca.

Sebab itu sebaik sahaja kita membaca dan diberitahu mengenai fakta mengenai kritikan Tun, maka segala anggapan kita menjadi meleset, semua pendapat ‘half truth’ yang dikemukakan menimbulkan keraguan (suspicious). Kita tak kata Pak Lah tu baik, bersih. Pak Lah pun manusia biasa jugak. Akhirnya segala cakap-cakap yang dicakapkan menjadi cakap-cakap kosong di warong teh tarik yang sekadar membuang masa membuat Melayu jadi ‘busy body’ terlibat dengan fitnah. Sepatutnya buat kerja yang menguntungkan diri dan keluarga seperti kaum lain di negeri ini. Adalah lebih baik kita cerita pasal murtad terkeluar dari Islam.

MURTAD

Sebelum itu mari tanya mereka yang ‘masuk Islam’ itu dia menganut agama Islam atau ‘masuk Melayu’? Islam bukan macam UMNO, hari ini masuk besok keluar. Melayu belum tentu Islam. Mengikut cerita Mufti Perak lebih 100 ribu sudah murtad. Islam tak boleh main masuk-masuk macam restoran, masuk karaoke, namun mari kita fikirkan sesuatu yang lebih serius sebelum saya meneruskan.

Akhir-akhir ini terdapat satu usaha yang agresif dan berterusan bertujuan menggugat kedudukan Islam di Malaysia melalui saluran perundangan. Ini dapat disaksikan melalui deretan kes-kes yang timbul selain Azlina Jailani seperti Kamariah Ali dan lain-lain kes murtad, kes Muhammad Abdullah @ Moorthy selain isu penubuhan Interfaith Commission (IFC), ‘Article 11’ dan lain-lain.

Situasi ini menjadi hangat kerana penglibatan aktif pelbagai organisasi dan individu (Islam dan bukan Islam) yang bergerak atas nama hak asasi, kebebasan dan seumpamanya. Mereka juga turut menggerakkan kempen yang sama di peringkat antarabangsa.

Walau apapun niat mereka, hakikatnya usaha ini tetap mendatangkan banyak kesan buruk dan merumitkan keadaan. Ia turut boleh mengakibatkan ketidakharmonian dan menjejaskan kestabilan dalam masyarakat berbilang agama di negara kita. Akhir nanti Melayu keluar dari Islam.

Tahukah anda bahawa penulis politik veteran kini cuma tinggal saya dan Yahya Ismail sahaja. Untung Datuk Rohanie Ahmad muncul semula dengan gaya penulisan ‘populer writting’ bukunya ‘Mahathir Menyinga’. Bukan mudah menjadi ‘bestseller writer’ sama seperti mahu menjadi bintang filem jadi artis o.klah. Penulis bukan sekadar tukang penyampai berita biarpun peranannya seperti pembesar suara yang menyuarakan suara tuan. Penulis perlu menyampaikan suara kebenaran, suara Tuhan dalam penulisan sebagai amalan ‘amar makruf nahi mungkar’.

Antara kami berlima hanya saya sahaja yang tidak mempunyai sebarang permit tabloid atau suratkhabar. Bagi saya yang penting nama atau jenama bukan buku tapi penulis. Seperti bukan lagu tapi siapa penyanyi.

BERDAKWAH

Saya tak susah hati, tak punya akhbar, tak malu menumpang menulis di Agendadaily.com, Malaysia Today dan Buletin Rakyat. Kerana kerja penulis adalah fardhu kifayah apabila kita melakukannya kerana Allah. Berdakwah sebagai amanah. Yang penting kita tahu apa yang kita tulis dan kita bertanggungjawab. Kita tak lontar satu batu sembunyi tangan. Kita tak guna nama samaran, pukul curi, belasah, takut berdepan dengan orang ramai tapi seronok menulis. Ini bukan sifat anak jantan.

Penulis kena tahu bahawa manusia bukan sekadar ‘human being’ iaitu manusia yang sekadar mempunyai jasad saja tapi manusia adalah insan yang mempunyai ‘akal’ dan ‘emosi’ dengan di anugerah oleh lima deria. Manusia juga adalah insan yang mempunyai roh. Selaku orang Islam kita kena ingat Tuhan sahaja yang boleh memberi hidayat, kita kena percaya pada kadak dan kadar. Biarpun kita dipilih sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini Allah yang Maha Besar, Allah juga yang Maha Kuasa.

Saya melihat diri saya sebagai sebahagian daripada kerajaan. ‘Demokrasi’ the government of the people, by the people, for the people. Saya mula terlibat secara langsung semasa perlawanan merebut kerusi Timbalan Presiden, Musa Hitam lawan Ku Li tahun 1981. Baca ceritanya dalam buku Siapa Selapas Musa. Saya menyebelahi Mahathir, dia mahu Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim dimenangkan, Suhaimi dikalahkan, baca Pemuda Di Zaman Mahathir. Siapa yang dia mahu Anwar atau Najib? Apakah pergaduhannya dengan Pak Lah bukan satu lagi sandiwara, satu agenda untuk mengalihkan perhatian? Betulkah mosad cuma ada di Singapura? Apakah Free Mason tidak berkuasa di Malaysia? Maka mana lebih penting, bercakap pasal pemimpin bengkok atau jambatan bengkok?

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762