BALIK KE MUKA UTAMA


user@FormMail.To
Reply-To: "Pak Ali" <user@FormMail.To>
To: editor1@umno-reform.com

From_Name: Pak Ali

Pesanan: BERAPA TAHUN LAGI?

Kenapa kita perlu tunggu sehingga selepas dia berkuasa selama 22 tahun  untuk kita diberitahu olehnya apa itu erti kebebasan bersuara? Apa itu  nilai menegur salah laku yang berkuasa? Apa itu aset rakyat yang berani  bersuara? Apa rasanya jika pandangan yang diberi tidak diendahkan? Apa  itu persoalan yang tiada jawapan?

Apakah kita perlu menunggu sehingga selepas 22 tahun dia berkuasa untuk  kita mendengar betapa banyak wang rakyat dibelanjakan untuk kemegahan  harta benda? Berapa banyak wang petronas dibelanjakan? Untuk kita  mendengar istilah sindrom lepas bersara? Untuk kita mendengar bahawa ada  kata-kata wang negara semakin kehabisan? Untuk kita mendengar ada orang  kaya hanya dengan jual AP? Untuk kita mendengar bahawa ada keputusan  penting negara dibuat tanpa persetujuan menyeluruh kabinet? Untuk kita  mengetahui bahawa selama itu segala puji-pujian hanyalah untuk mereka  yang berkuasa dan lakonan semata? Untuk kita mendengar budget RMK8  kekeringan sebelum habis penggalnya? Untuk kita mengetahui bahawa  Petronas dan Dana Pencen adalah tabung bagi perbelanjaan mega?

Apakah kita perlu menunggu sehingga 6 tahun untuk akhirnya kita melihat  DSAI dibebaskan dengan tuduhan ke atasnya di akui berniat jahat? Untuk  kita mengetahui bahawa kesemua dalil itu palsu belaka? Untuk akhirnya  ada hakim berkata perbicaraan dahulu melanggar prinsip keadilan? Untuk  kita mendengar bahawa si Sukma telah dipaksa mengaku salah? Untuk kita  membaca akuan perubatan dia tidak pernah diliwat seperti yang  digemburkan?

Berapa tahun lagi kita mahu tunggu untuk kita mengakui bahawa kita tak  sepatutnya menggelar reformis itu pengkhianat? Tak sepatutnya menutup  pintu UMNO kepadanya? Untuk berapa tahun lagi kita mahu menunggu untuk  mengakui bahawa mereka semua dianiayai oleh anak-anak bangsanya sendiri?

Apakah kita perlu tunggu sehingga 46 tahun untuk kita mengetahui bahawa  hari ini bangsa kita masih tidak kemana? Kita masih merempat di negara  sendiri? Ada rakyat kita makan siput babi? Ada kampung kita yang masih  tak punya elektrik disebalik riuh rendah kenaikan tarif elektrik?

Apakah kita perlu tunggu sehingga puluhan tahun DEB dilaksanakan untuk  kita mengetahui bahawa kita masih tak mencapai sasaran 30% pegangan  ekuiti ekonomi negara? Dan kita diminta untuk tunggu sehingga 2020 pula?

Berapa tahun lagi kita mahu menunggu untuk terus mendengar ucapan hambar  pemimpin yang tidak mampu membakar semangat? Untuk kita keliru bila  masanya untuk bertepuk tangan? Untuk wartawan kita memahami apa yang  dikatakannya?

Untuk berapa tahun lagi kita perlu menunggu untuk mengetahui bahawa  islam itu hanyalah islam, tiada hadharinya? Bahawa hadhari itu hanyalah  bunga politik sebuah parti? Bahawa ianya satu bentuk pembaharuan kepada  agama? Penjenamaan agama?

Untuk berapa tahun kita perlu tunggu untuk akhirnya kita mendengar  bahawa kongsi raya itu tidak menepati syariat? Untuk berapa tahun lagi  kita mahu menunggu untuk mendengar bahawa kita sepatutnya memotong  tangan pencuri dan perompak?

Apakah kita perlu tunggu sehingga 2020 untuk kita mengetahui tanah rezab  melayu kita telah kehabisan? Untuk kita mengetahui bahawa sekian banyak  anak-anak kita telah murtad?

Apakah kita perlu menunggu sehingga 48 tahun untuk kita melihat  berkuburnya sebuah suratkhabar jawi melayu? Untuk kita mengetahui bahawa  bahasa pengantar universiti kita kini adalah bahasa inggeris? Untuk kita  mengetahui bahawa merosotnya mutu universiti kita kerana tiadanya  kebebasan akademik? bahawa universiti ditubuhkan kerana pilihanraya?  Sebagai kilang tenaga kerja? bukannya untuk kecemerlangan intelektual?

Berapa tahun orang melayu perlu tunggu untuk akhirnya diberitahu bahawa  mereka perlu ubah cara hidup? Bahawa mereka perlu kurang makan gula?  Kurangkan balik kampung? Bahawa mereka perlu guna kereta sekecil yang  boleh?

Berapa tahun orang melayu mahu tunggu untuk mengetahui bahawa dasar  bahasa inggeris kita telah merugikan kita? Berapa tahun lagi orang  Melayu mahu tunggu untuk mengetahui bahasa melayu telah lenyap di bumi  sendiri?

Berapa tahun lagi orang melayu mahu tunggu untuk mengetahui bahawa  mereka telah pupus di Pulau Pinang? Setelah berpuluh tahun mempercayai  bahawa Francis Light adalah pembuka pulau itu, bukannya Pak Dogol  berbangsa melayu?

Berapa tahun lagi kita mahu menunggu untuk mendengar kita sudah tak  punyai hutan lagi? Sungaisungai kita sudah tidak bernyawa lagi? Kita  sudah tak punyai kampung halaman lagi? Bahawa bukit kita telah habis  runtuh?

Untuk berapa tahun lagi kita mahu menunggu untuk mengetahui bahawa  politik pembangunan yang dilaungkan kita itulah yang sebenarnya  menghancurkan kita? Alam sekitar kita? Meminggirkan kita?

Berapa tahun lagi orang Melayu mahu tunggu untuk mengetahui bahawa  menahan orang tanpa bicara itu suatu yang salah setelah berapa ramai  yang menderita dan sekian banyak tangisan anak isteri dihamburkan?

Berapa tahun lagi kita mahu menunggu untuk mendengar bahawa memang wujud  pengundi hantu? Bahawa demokrasi acuan kita itu sebenarnya acuan mereka?  Bahawa undi pos itu sepatutnya dihapuskan?

Apakah orang melayu perlu tunggu sehingga beratus tahun untuk akhirnya  mempercayai bahawa Pulau Temasik akhirnya bukan lagi mereka yang punya?

Untuk berpuluh tahun kita hanya mahu menunggu untuk mendengar dan  mengetahui. Tapi kita tidak pernah mahu mempercayainya hari ini. Orang  Melayu masih tidak mahu mempercayai apa yang dikatakan hari ini. Tidak  pernah mahu mempercayainya bertahun dulu? Puluhan tahun dulu? Tidak  pernah mahu berani untuk berubah. Kita hanya mahu menunggu dan  mengharap. Kita hanya mahu mendengar bertahun dari hari ini. Setelah  semuanya sudah terlewat. Mengapa hairan orang lain sentiasa kehadapan  dan kita tidak pernah dapat mengejar sasaran? Untuk berapa tahun lagi?  Orang Melayu akan terus menunggu dan mengharap bahawa nasib mereka akan  berubah beberapa tahun lagi. Bahawa pemimpin mereka akan berubah.
Siapakah Mat Jenin?


Pak Ali
Padang Serai



 

  

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762