|
Oleh: DR. HASSAN AHMAD
SALAH satu warisan kolonial yang masih kekal tinggalnya dalam
sejarah bangsa Melayu di rantau ini, khususnya di Semenanjung
Tanah Melayu, ialah kepercayaan bahawa tanah asal orang Melayu
bukan di Semenanjung ini tetapi di kawasan lain. Ada yang
mengatakan bahawa orang Melayu dari Funan. Walaupun `teori' ini
sudah ditolak, atau sekurang-kurangnya tidak dipercayai lagi,
namun masih ada orang yang tetap percaya bahawa orang Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu bukan penduduk asal tetapi ialah
pendatang dari kawasan lain dari Sumatera, dari Jawa, dari
Makasar dan entah dari mana lagi.
Maka berdasarkan kepercayaan ini, terciptalah sebuah puisi
baru-baru ini, bertajuk Kingdom of Purplaya dikarang oleh orang
yang bernama Cecil Rajendra dan diterbitkan dalam majalah Aliran,
menghina orang Melayu dengan berkata bahawa orang Melayu yang
berada di negara yang disebut `Tanah Melayu' itu bukan penduduk
asal kawasan ini. Orang Melayu adalah kaum pendatang. Mereka
datang merantau dari kawasan-kawasan lain, terutama dari
Sumatera, lalu mendakwa inilah `tanah asal' mereka. Maka
dikatakan bahawa orang Melayu itu mula menuntut hak sebagai kaum
bumiputera Persekutuan Tanah Melayu, lalu akhirnya mereka
menggubal perlembagaan yang menetapkan beberapa hak mereka.
Menurut puisi itu, orang Melayu menetapkan, dalam perlembagaan
itu bahawa raja di negara ini ialah raja Melayu, agama rasminya
ialah agama Islam, bahasa rasminya ialah bahasa Melayu. Selain
ini, orang Melayu yang dianggap kaum pendatang ini, menuntut
hak-hak istimewa yang lain lagi, misalnya dalam bidang
pendidikan, dalam bidang ekonomi, dalam bidang pentadbiran, dan
sebagainya.
Jikalau puisi ini dideklamasikan di seluruh negara, atau di RTM,
misalnya, saya tidak tahu apakah reaksi orang Melayu, reaksi
UMNO, reaksi Pas, reaksi raja-raja Melayu, reaksi para sarjana
sejarah Melayu dan kumpulan-kumpulan lain lagi. Apa yang akan
terjadi pada `kestabilan' perpaduan kaum di Malaysia jikalau ada
pula puisi lain yang `menghina' kaum-kaum lain, dengan berkata
merekalah yang sebenarnya kaum pendatang, yang datang dari
kawasan di luar rantau tamadun Kepulauan Melayu ini (istilah
yang diciptakan oleh orang Inggeris - Malay Archipelago), tetapi
selepas kemerdekaan - kemerdekaan yang diperjuangkan oleh orang
Melayu - kaum-kaum pendatang ini diterima oleh orang Melayu
sebagai warga atau rakyat Malaysia, hidup bersama-sama mencari
rezeki di bumi yang bertuah ini, walaupun sejak itu orang Melayu
bukanlah kaum yang `istimewa', kaum kelas satu, kaum yang
terkaya dan yang membolot semua kemudahan yang ada di negara ini,
kemudahan yang dibina, dibangunkan oleh kerajaan yang boleh
dikatakan didominasi oleh orang Melayu: Raja Melayu, Perdana
Menteri Melayu, Menteri Besar Melayu, kebanyakan ketua
pentadbiran awamnya orang Melayu. Perhatikan juga kaum minoriti
pun diterima oleh orang Melayu untuk duduk dalam kabinet,
menjadi menteri dan timbalan menteri, bersama-sama mentadbirkan
negara ini.
Dan perhatikan juga, walaupun bahasa Melayu bahasa rasmi dan
bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, kaum Melayu tidak
merupakan kaum yang paling maju dalam bidang pendidikan. Bahasa
Inggeris masih tetap merupakan bahasa penting dalam pembangunan
negara ini. Walaupun Islam agama rasmi, tempat-tempat sembahyang
agama lain tumbuh merebak-rebak di serata negara, termasuk di
kampung-kampung Melayu.
Tidak wujud di negara ini kumpulan-kumpulan rasis di kalangan
orang Melayu, seperti yang terdapat di negara-negara lain,
misalnya kumpulan rasis Skinhead di Britain, Klux Klan di
Amerika Syarikat, kumpulan rasis Swastika di Jerman atau di
Eropah. Kalaupun ada berlaku beberapa peristiwa `pergaduhan kaum'
banyak orang berpendapat bahawa orang Melayu bukanlah pihak yang
memulakan atau mencetuskannya. Ingat peristiwa `Bintang Tiga'
yang mengganas semasa Jepun kalah perang dan sebelum tentera
British masuk semula di kawasan yang mereka sebut `British
Malaya' ini. Orang Melayu bertindak hanya setelah mereka diancam.
Maka terkenallah orang Melayu ini sebagai bangsa yang paling `toleran',
bangsa lemah lembut, cukup bersopan santun. Maka aman damailah
negara selama ini.Sejarah tamadun bangsa Melayu di Tanah Melayu
dan di seluruh rantau berbahasa Melayu ini telah ditenggelami
oleh `acuan' sejarah menurut tafsiran Barat. Perlulah diketahui,
terutama oleh pencipta puisi menghina Melayu itu - bahawa
sebelum kedatangan kuasa penjajah Inggeris dan Belanda (sebelum
itu Portugis), kawasan ini merupakan kawasan tamadun Melayu-Islam
yang satu. Sejak tertubuhnya karajaan Melayu-Islam yang terawal
di Sumatera, iaitu kerajaan Perlak, dalam abad kesembilan
seluruh rantau ini mewarisi satu tradisi yang sama, dibentuk
oleh dua alat pembentuk tamadun yang dominan, iaitu bahasa
Melayu dan agama Islam.
Kerajaan Sriwijaya bukan kerajaan asing, tetapi kerajaan Melayu
walaupun agama yang dianuti oleh raja dan para pembesarnya ialah
agama Hindu-Buddha. Bahasa kerajaannya ialah bahasa Melayu,
misalnya disebut oleh para sarjana Barat sebagai `Bahasa Melayu
Kuno'. Dalam abad ke-12, semasa kerajaan Sriwijaya masih wujud
bahasa Melayu sudah digunakan untuk menterjemahkan sebuah kitab
ilmu dalam bahasa Arab bertajuk Bahr al-Lahut karangan Abdullah
Arif, seorang syeikh dari tanah Arab, yang datang ke Acheh tahun
1177 untuk mengembangkan agama Islam di situ.
Selepas Perlak (yang ditakluk oleh kerajaan Melayu-Islam Acheh-
wujud pula kerajaan Melayu-Islam di Samudera-Pasai (1250-1524) -
waktu itu kerajaan Sriwijaya sudah lama tidak ada lagi di
samping kerajaan Melayu-Islam Acheh, kemudian kerajaan Melayu-Islam
Melaka, kemudian kerajaan Johor dan kerajaan Riau. Di sebelah
timur Selat Melaka wujud pula beberapa kerajaan Melayu-Islam
yang lain, misalnya di Ternate, di Kepulauan Muluku dan di
Makasar.
Raja Ternate, Sultan Abu Hayat menulis dua pucuk surat kepada
Raja Portugis, King John ke-III, dalam bahasa Melayu dalam tahun
1521 dan 1522 menunjukkan bahawa pada zaman itu bahasa Melayu
sudah bertaraf bahasa tinggi, bahasa diplomatik. Sebelum itu,
Hikayat Raja Pasai telah dikarang beberapa tahun selepas tahun
1326 (Hikayat ini telah diterbitkan oleh Yayasan Karyawan
sebagai salah sebuah karya agung Melayu). Pulau Jawa diislamkan
dan tertubuh kerajaan-kerajaan Islam di pulau itu sejak abad
ke-16, setelah kerajaan Majapahit beragama Hindu runtuh.
Inilah secara ringkasnya, sejarah rantau ini menjadi sebuah
kawasan tamadun berbahasa Melayu dan beragama Islam. Dalam
kawasan ini sempadan geografi dan etnik tidak wujud. Warisan
budaya atau tamadunnya sama. Orang Melayu-Sumatera yang datang
ke Semenanjung Tanah Melayu untuk menginap di situ sebenarnya
berpindah ke kawasan tamadun yang sama, bukan sebagai orang
asing, walaupun mereka boleh jadi dianggap sebagai orang dagang,
tetapi bukan sebagai pendatang atau imigran di Tanah Melayu.
Karya agung Melayu, Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu
(1612) mengungkapkan konsep ini, secara simbolik, dengan
mengulangi tradisi bahawa raja-raja Melayu baik di Melaka atau
di tempat-tempat lain di kawasan yang sama, berasal dari Bukit (Gunung)
Seguntang Mahameru di Sumatera. Konsep ketamadunan inilah yang
perlu digunakan untuk membetulkan mitos tentang `bangsa Melayu'
di Tanah Melayu ini. Konsep `bangsa Melayu', kerajaan Melayu,
raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam bukan ciptaan para
nasionalis Melayu selepas kemerdekaan tetapi ialah proses dan
hakikat yang dibentuk oleh sejarah ketamadunan Melayu di seluruh
rantau ini sejak abad kesembilan lagi. Bahasa Melayu dan agama
Islam merupakan dua `alat' yang cukup tahan dan berpengaruh
sekali dalam proses pembentukan tamadun `bangsa Melayu' ini,
merentas kawasan etnik dan sempadan daerah.
Maka tidaklah menghairankan jika pengkaji Eropah menamakan
rantau ini sebagai The Malay Archipelago. Orang di Indonesia
menamakannya kawasan Nusantara, walaupun mungkin konsep
geopolitik ini tidak termasuk Malaysia, namun dari segi budaya
atau ketamadunan istilah apa pun yang digunakan, kawasan ini
tetap merupakan kawasan yang mewarisi tamadun yang sama.
Jikalau ada orang yang mengatakan bahawa konsep `Bangsa Melayu'
di Malaysia atau The Malay Nation seperti yang digunakan oleh
Stamford Raffles (lihat buku Lady Sophia, 830 Memoirs of the
Life and Services of Sir Stamford Raffles, London halaman 15)
ialah ciptaan orang Eropah atau ciptaan ilmu kolonial, saya kira
mereka jahil. Barangkali mereka masih terperangkap dengan takrif
`bangsa' atau race dari segi tradisi ilmu antropologi.
Keadaan mula berubah dan konsep ketamadunan bersama bangsa
Melayu itu mula dimusnahkan apabila kuasa penjajah Inggeris dan
Belanda memecahkan rantau ini kepada dua kawasan geopolitik
untuk kepentingan politik dan ekonomi atau perdagangan mereka
dengan menggunakan kekuatan tentera, iaitu kawasan kuasa
Inggeris yang disebut `British Malaya' dan kawasan kuasa Belanda
yang asalnya disebut kawasan Dutch East Indies.
Istilah `British Malaya' dalam tahun 1948 digantikan dengan
istilah lain, iaitu Federation of Malaya, pada hal sepatutnya,
Federation of Malay States atau `Persekutuan Negeri-Negeri
Melayu'. Singapura dan Pulau Pinang yang masing-masing merupakan
kawasan takluk kerajaan Johor dan kerajaan Kedah, diubah namanya
kepada `Negeri Selat' atau Straits Settlements.
Maka sejak itulah kaum-kaum pendatang di Tanah Melayu dan juga
di Singapura ghairah mengatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu
dan Negeri-Negeri Selat itu bukan tanah asal orang Melayu (atau
lebih tepat `bangsa Melayu').
Singapura dikatakan tidak mempunyai sejarah sebelum kedatangan
Raffles, pada hal Raffles sendiri mengiktiraf bahawa pulau itu
adalah takluk kerajaan Johor-Riau, maka itulah dia terpaksa
membuat perjanjian dengan Temenggung Abdul Rahman yang berada di
pulau itu sebagai waris kerajaan Johor, dalam tahun 1819, untuk
mendapat izin mendirikan sebuah loji atau kilang perniagaan
Syarikat Hindia Timur Inggeris.
Sejarah Melayu menamakan pulau itu sebagai Temasik sejak ratusan
abad sebelum kedatangan Raffles. Maka timbullah mitos yang
mengatakan bahawa Raffleslah orang yang menemui/membuka pulau
itu. Saya tidak fikir Raffles sendiri mendakwa bahawa dialah the
founder of Singapore. Ini dongeng yang diciptakan oleh ahli
sejarah Inggeris dan para pengikut mereka kemudiannya.
Jadi, ahli-ahli sejarah bangsa Melayu hendaklah berusaha, secara
ilmiah dan benar, untuk membetulkan mitos-mitos yang masih
menyelaputi imej bangsa Melayu hari ini akibat sejarah ciptaan
ilmu kolonial yang salah itu. Diharap penulis puisi yang
menghina itu menyedari hakikat ini.
DATUK DR. HASSAN AHMAD ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.
|