BALIK KE MUKA UTAMA

 

dari http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=6061
 

Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Oleh Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein

Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana mengizinkan kita menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2006 ini.


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta para sahabat baginda. Bagi pihak seluruh barisan Exco, saya mengalu-alukan kehadiran saudara para perwakilan sekalian.

Semoga perhimpunan ini akan terus meneguhkan iman, meningkatkan amal dan menambahkan ilmu kita semua demi mengangkat maruah bangsa dan syiar Islam.

Mudah-mudahan ia akan menyemarakkan idealisme serta memastikan obor perjuangan UMNO terus membara.

Hasrat memperkukuh tekad perjuangan ini adalah hasrat murni yang lahir dari jiwa yang sentiasa ingin mengejar kecemerlangan dan kegemilangan.

Dalam konteks ini, saya ingin mengajak saudara-saudara merenung sejenak ucapan Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar dalam satu perjumpaan Pemuda di Muar, Johor beberapa jam sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir:-

“... perjuangan UMNO seluruhnya dan khasnya Pemuda yang akan menerima pusaka daripada orang-orang yang tua sekarang ini, adalah satu perjuangan yang amat sulit, amat berat dan tidak boleh diambil secara sambil lewa sahaja.

Dalam perjuangan, kita mestilah serius. Selain dari serius, dalam keadaan serius kita juga, kita mestilah jujur. Inilah dua syarat yang penting untuk mencapai atau sampai ke matlamat yang kita tuju. Kalau kita tidak serius, (atau) kalau kita serius tetapi untuk kepentingan diri, bencana dan celaka juga padahnya kepada bangsa dan keturunan kita yang akan datang.”

Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar

Ucapan Terakhir Ketika Memimpin Pemuda UMNO Malaysia.

Muar, Johor 1977

Inilah wasiat terakhir seorang Ketua Pemuda UMNO yang mengingatkan agar kita berjuang secara serius dan jujur. Atas semangat inilah, saya juga mengingatkan saudara-saudara semasa berhimpun di dewan ini tahun lalu, kita telah sama-sama berikrar untuk mewarisi perjuangan ini dengan rasa keinsafan dan tanggungjawab.

Kita telah bersumpah bahawa perjuangan ini tidak dipersia malah akan terus dibela dan dipertahankan. Kita telah berjanji nasib bangsa tidak diperjudikan, tamadun kegemilangan Melayu akan terus subur dan Melayu takkan hilang di dunia.

Kekuatan Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional hari ini. Berkat kesabaran, kesatuan hati dan fikiran dalam merencana serta menunaikan amanah tersebut, maka dalam Perhimpunan Agong Pergerakan Pemuda tahun 2006 ini, saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah berada di puncak kekuatan.

Prinsip, nilai dan budaya kerja yang selama ini kita semai telah mekar subur menjadi pegangan serta amalan Pemuda.

Alhamdulillah, kehadiran Pemuda kini dirasai di mana-mana dari ceruk kampung hingga ke kota besar, dari persada nasional hingga ke peringkat antarabangsa. Khidmat Pemuda dicurah tanpa mengira masa dan sesiapa jua; tua, muda, miskin dan kaya; dari pelajar, belia dan peneroka malah mat rempit pun kita himpit!

Kekuatan ini hanyalah permulaan kepada perjuangan yang lebih besar iaitu perjuangan mengisi, melengkapi dan memenuhi tuntutan bangsa; membebaskan orang Melayu dari belenggu kemunduran, menegakkan cita-cita agama serta melahirkan rakyat Malaysia yang progresif dan bersatu padu.

Kekuatan ini mengajak kita untuk bersama-sama merenung sambil memikirkan nasib masa depan kita dan anak-anak kita yang bakal mewarisi bumi tercinta ini; merenung sambil menginsafi agar tidak mudah khayal bila ada kuasa dan mudah alpa bila sudah bahagia; merenung sambil bermuhasabah untuk memperbaiki kelemahan lalu agar amalan diberkati Allah S.W.T.

Kekuatan Pemuda UMNO ini membolehkan ia tidak lagi sekadar menjadi jurubicara dan menjadi pendesak semata-mata tetapi sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab dan bersedia diuji ketajaman fikiran, kekentalan semangat serta keluhuran perjuangannya.

Saat ini bukan lagi saat untuk menuntut pengiktirafan dan bukan saat untuk bertentang haluan. Sebaliknya, dengan kepemimpinan yang dinamik dan kesediaan untuk menerajui pembaharuan, Pemuda perlu lebih serius mempersiapkan diri bagi memikul tanggungjawab membina bangsa yang kian hari kian besar; kian hari kian mencabar.

Kekuatan Pemuda UMNO ini juga seiring dengan kekuatan Pemuda Barisan Nasional. Sepanjang memimpin Pemuda Barisan Nasional, saya amat menghargai sokongan, semangat setia kawan dan kepercayaan yang telah diberikan. Dalam keadaan yang ada kalanya menguji kekuatan dan perpaduan sesama kita; sokongan, semangat setia kawan dan kepercayaan inilah yang menjadi benteng kekuatan kepada bahtera Barisan Nasional dari tenggelam dipukul gelora dugaan dan cabaran.

Saya yakin bahawa kekuatan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional ini berjaya wujud sejak sekian lama kerana ia dipupuk dan dijaga bersendikan kepada keikhlasan, persefahaman, kejujuran, tanpa rasa curiga dan syak wasangka.

Saya percaya bahawa kekuatan ini juga lahir di atas kesedaran akan perlunya kepada perkongsian tanggungjawab dalam menuju destinasi bersama (shared responsibility and joint destiny).

Ini kerana semangat Barisan Nasional itu bukan sekadar berdiri atas persefahaman politik kongsi kuasa semata-mata tetapi juga bersandarkan kepada hubungan jiwa dan hubungan niat. Oleh itu, sebarang permasalahan dan konflik hendaklah ditangani secara bersama dengan penuh kebijaksanaan.

Kita mesti ingat bahawa pembentukan negara Malaysia yang diimpikan tidak mungkin terbina di atas pemikiran sempit, chauvinis dan keterlaluan.

Jangan pertaruhkan masa depan negara di tangan mereka yang bankrap idea politik perpaduan dan keharmonian; mereka yang tergamak mengamalkan politik perkauman yang dangkal untuk menonjolkan diri sebagai `jaguh’ kepada kaumnya; mereka yang hanya mahu dan mementingkan pulangan politik murahan semata-mata.

Kita mengingatkan mereka agar jangan cuba menggugat perpaduan ini dan jangan sama sekali bermain api perpecahan. Kita kenal siapa mereka, kita tahu di mana mereka berada dan apa yang mereka perkatakan.

Kita Pemuda UMNO, sama sekali tidak gentar untuk berhadapan dengan jenis pemimpin oportunis ini. Kepada mereka, saya ingin ulangi bahawa sesungguhnya.

Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dalam soal masa depan negara. Kita akan pastikan tidak ada tempat bagi mereka menjadi pemimpin dalam perjuangan Parti Barisan Nasional.

Lantaran itulah sering kali saya mengingatkan Pemuda UMNO agar tidak terjebak dalam permainan politik kebencian.

Sebaliknya saya menekankan kepada saudara-saudara sekalian agar kembali kepada idealisme UMNO yang mementingkan kesatuan, sikap toleransi yang tinggi dan sifat bertanggungjawab; yang menjadi teras kepada kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Kesetiaan kepada UMNO dan kesetiaan kepada pemimpin dalam konteks agama dan budaya Melayu.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Kesetiaan kepada UMNO

Pada tahun ini, sekali lagi kita melihat keris pusaka kita dibawa masuk dengan penuh adat-istiadat ke dalam perhimpunan yang berkat ini. Saya masih tidak lupa bahawa pada Perhimpunan Agung Pemuda tahun lepas, Keris Panca Warisan telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Melayu.

Sungguh terkongkong pemikiran dan pemahaman mereka terhadap budaya warisan nenek moyang kita! Apakah mereka tidak sedar bahawa selama ini kita telah sama-sama mengamalkan konsep Kesatuan Dalam Kepelbagaian Budaya (Unity in Diversity)?

Keris tidak seharusnya dianggap sebagai satu lambang penjajahan ke atas kaum bukan Melayu, bukan juga satu simbol penganiayaan kepada mereka dan tidak sekali-kali merupakan penindasan ke atas kaum bukan Melayu oleh orang Melayu.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa tiada apa yang perlu ditakuti dan digusari terhadap Keris Panca Warisan kerana sebenarnya ia adalah lambang manifestasi Tekad Baru Pemuda - satu tekad untuk mengupayakan orang Melayu melalui perjuangan Pemuda UMNO; Tekad yang berlandaskan kepada pancaran lima rukun idealisme Pemuda iaitu Rukun Islam, Rukun Iman, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati Diri. Ia juga mengajar kita untuk sentiasa membina kekuatan dalam menghadapi setiap cabaran.

Disebabkan itu, saya amat berbangga dengan kematangan dan kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh Pemuda dalam menangani isu-isu semasa walaupun kadang-kala ada di kalangan kita yang terlepas had dan batasan.

Kematangan dan kebijaksanaan menghadapi babak-babak tragis serta jatuh bangun sejak UMNO ditubuhkan, benar-benar memberikan kesedaran kepada orang Melayu untuk mempertahankan kewujudan dan kesinambungannya.

Ini kerana UMNO begitu sinonim dengan Melayu. Kiranya pemimpin UMNO digoyang, maka haluan perjuangan menjadi terumbang. Kiranya UMNO pula tumbang, maka nasib Melayu akan menjadi malang.

Justeru, ahli-ahli UMNO dan Pemuda dilatih untuk cepat bertindak bermuhasabah dan pantas berdiri teguh setia dengan parti ketika berdepan tentangan dan cabaran. Meskipun ada kalanya masyarakat memandang sinis terhadap kita, tetapi setia kita tetap bertempat dan tepat kepada UMNO. Itulah yang menjadi azimat besar kepada kelangsungan kita selama ini.

Angkut-Angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah,
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia kita tak kan berubah.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Kesetiaan kepada pemimpin dalam konteks tuntutan agama Islam

Alhamdulillah, kelangsungan kita ini bersendikan ketaatan kepada pucuk kepimpinan parti yang kita pilih, dari akar umbi hinggalah kepimpinan tertinggi. Selama ini ahli-ahli UMNO tidak salah membuat perhitungan dalam memilih pemimpinnya.

Pemimpin yang ditakdirkan Allah S.W.T dan dipilih dari rasa hormat umat ke atas kepimpinannya adalah pemimpin yang wajib ditaati. Seperti firman Allah S.W.T, Surah An Nisa’ ayat 59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul dan kepada pemimpin yang dilantik di kalangan kamu”.

Jelas, ketaatan adalah tonggak kekuatan parti dan negara. Maka saya mengharapkan agar Pemuda yang telah sekian lama setia berpegang pada prinsip ketaatan kepada parti dan pemimpin ini dapat menggunakan kematangan dan kewarasan dalam menghadapi sebarang situasi sukar agar pemimpin kita terus dipertahankan dan parti keramat UMNO ini dapat terus menjadi wadah kepada orang Melayu dan agama suci Islam.

Berdasarkan kepada ajaran Islam yang suci, marilah kita membina sebuah kesatuan yang bersandarkan kepada kesatuan fikiran (wahdatul fikri) dan kesatuan tindakan (wahdatul amal) agar setiap tindakan dan gerakan yang berpaksi teguh kepada agama ini, dapat menyelesaikan krisis, cabaran dan gelombang dalam kepimpinan.

Sekali lagi dalam Surah An-Nisa’, dalam ayat yang sama, Allah S.W.T telah memberi panduan kepada kita apabila berhadapan dengan kemelut krisis perbezaan pandangan dalam firman-Nya;

“Apabila kamu berselisih pandangan tentang sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali merujuk kepada Allah dan Rasul (Agama), jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Hal yang demikian merupakan sebaik-baik jalan buat kamu”.

Islam adalah agama yang mengajar kita menghormati perbezaan pandangan dan pendekatan, asalkan niatnya ikhlas kerana Allah S.W.T dan tujuannya adalah untuk kebaikan membangunkan ummah. Sabda Nabi Muhamad S.A.W. yang bermaksud :

“Perbezaan pandangan di kalangan umatku akan mendatangkan rahmat” Walau bagaimanapun, Islam tidak mengizinkan nilai rahmat ini dicemari akibat pergeseran peribadi dan kepentingan diri. Kesannya bukan rahmat yang dinikmati umat tetapi akan muncul keretakan dan perpecahan yang meresahkan.

Islam juga mengajar kita agar perlu sentiasa berpegang kepada prinsip mematuhi keputusan yang dibuat secara kolektif dan melalui musyawarah.

Dengan ini ia dapat mengekalkan keharmonian antara yang memimpin dan yang dipimpin. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-Imran, Ayat 159:

“...dan hendaklah kamu bermusyawarah dengan mereka dalam sesuatu perkara, dan setelah membuat keputusan dengan penuh keazaman, maka bertawakallah kepada Allah ke atas keputusan itu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.

Maka sebagai ahli-ahli UMNO yang taat setia pada ikrar parti dan berpegang teguh kepada ajaran Islam, marilah kita bertawakal kepada-Nya. Insya Allah, Allah S.W.T akan merahmati dan melindungi kita dan para pemimpin kita.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Kesetiaan kepada pemimpin dalam konteks budaya Melayu

UMNO adalah parti keramat, ditubuhkan atas ketentuan, bukan kebetulan; ketentuan matlamat dan ketentuan kepimpinan; ketentuan yang telah menjadikan UMNO tetap utuh dan kukuh biarpun telah melewati usia 60 tahun.

Pastinya bukan mudah bagi setiap kepimpinan memikul perjuangan keramat ini. Begitu banyak cabaran, rintangan dan cemuhan terpaksa ditempuhi.

Walau bagaimanapun dengan rahmat dan keredaan-Nya mereka diberikan kekuatan dan semangat untuk membina bangsa dan membawa negara ke arah yang lebih cemerlang.

Kini tiada siapa boleh menafikan, sejarah telah dan akan menilai mereka sebagai pemimpin-pemimpin terbilang. Inilah takdir dan ketentuan kepimpinan parti keramat UMNO.

Dengan bertiangkan syiar agama dan berpandukan nilai budaya Melayu, kita telah berjaya membina tradisi kepimpinan sehingga hari ini. Dalam semangat yang sama kita berjaya merungkaikan segala kekusutan dan kembali bertaut bagaikan kiambang.

Air dicincang tidak akan putus,
air yang dingin dapat juga memadamkan api,
Air sama air kelak akan menjadi satu, dan
sampan itu akan ke tepi jua

Dalam alam Melayu pemimpin memiliki pengaruh besar dalam menentukan nasib bangsa dan negara. Kekuasaan dan kepercayaan untuk memimpin diberikan dengan harapan ia mampu memegang amanah dan tidak disalahgunakan. Dalam ungkapan adat dikatakan bagi seorang pemimpin :-

Adat memegang kepercayaan orang,
Jangan sekali tikam  belakang;
Adat memegang kekuasaan,
Jangan sekali merosak-binasakan;
Adat memegang kebebasan,
Jangan sekali lupa batasan.

Kita turut diajar tentang sifat pemimpin Melayu yang luhur. Masyarakat telah mengenal rangkap berikut sejak turun temurun dalam usaha menentukan pemimpin;

Tuah kain pada tenunnya,
Tuah pemimpin pada santunnya;
Tuah kayu elok buahnya,
Tuah Melayu elok maruahnya; Elok kain elok raginya,
Elok pemimpin elok negerinya.

Tetapi sekiranya sudah wujud gangguan dalam kepimpinan,

Bila kain sudah koyak,
Bila dipakai aib tersingkap,
Bila pemimpin sudah rosak,
Bila dipakai umat menghidap,
Bila kain sudah lapuk,
Bila dipakai tentulah koyak,
Bila pemimpin akhlaknya buruk,
Aib terburai umat bergasak.

Pada masa yang sama Pemuda tidak melupai jasa dan pengorbanan para pemimpin ulung UMNO. Walau apa pun yang telah zahir dan dizahirkan dalam polemik di akhir-akhir ini, Pemuda akan terus membudayakan kebenaran dan menghormati lagi menghargai jasa pemimpin.

Pemuda bukan tergolong kepada ungkapan ‘hilang di mata hilang di hati’. Presiden yang membimbing kita disokong tanpa berbelah bagi; pemimpin terdahulu tetap dihormati dan dikasihi.

Di sinilah letaknya budi bahasa dan tata susila Melayu. Kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad – kami terhutang budi. Kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi – terus pimpinlah kami.

Demikianlah dalam budaya Melayu bila sengketa bermula. Ia bermain dengan penuh kiasan, pantun, lambang, ibarat, tamsil dan perumpamaan yang sarat dengan nilai-nilai luhur dan kehalusan budi.

Ia adalah lambang kelunakan hati-budi dalam mengungkai segala permasalahan. Demikianlah pula yang terjadi dalam soal kepimpinan UMNO yang tentunya dapat dirungkaikan dalam adat dan syarak selagi ia berhajat membawa kepada kebaikan.

Percayalah, sejarah akan membuktikan bahawa ketentuan di setiap era kepimpinan parti keramat UMNO ini akan mempunyai nilai dan makna yang tersendiri kepada ketamadunan bangsa dan negara.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Keterbukaan dan ketelusan dalam kedudukan agama Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan dan sosial kontrak.

Hari ini kita dapat merasai corak kepimpinan yang terbuka dan telus dalam Kerajaan mentadbir dan mengurus hal ehwal negara. Pelbagai pandangan dan suara rakyat dapat kita dengar.

Malah suara keterbukaan dan kebebasan semakin terasa dalam suasana masyarakat sivil sama ada dari pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), media atau individu.

Sesungguhnya pendekatan keterbukaan ini adalah satu keikhlasan Kerajaan dalam membina sebuah negara di mana rakyatnya mesti peka dan responsif dengan segala keadaan dalaman atau luaran.

Walau bagaimanapun kesedaran untuk memelihara kontrak sosial dan mempertahankan keluhuran perlembagaan sejak sekian lama hendaklah terlebih dahulu difahami dan ditaati.

Pemuda menekankan perkara ini kerana sejak akhir-akhir ini kita dapati ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya mengintai peluang lalu mengambil kesempatan dengan menguji batas toleransi Kerajaan.

Isu-isu agama dan perkauman diperdebatkan tanpa ada pertimbangan rasional terhadap kesannya kepada hubungan antara kaum di negara ini.

Kritikan yang sepatutnya membina telah menjadi semakin berdendam (vindictive), melepaskan geram dan benci; berniat jahat dan iri hati.

Ada di antara mereka pula menggunakan segala ruang dengan menyebar fitnah, hasutan dan khabar angin melalui pelbagai kaedah dan cara.

Mereka langsung tidak sensitif dengan suasana kehidupan rakyat yang majmuk, langsung tidak peka dengan implikasi krisis etnik, langsung tidak endah dengan persefahaman dan kesepakatan hidup dalam sebuah negara Malaysia yang selama ini kita warisi.

Pemuda berasa amat khuatir dengan perkembangan ini. Perkembangan yang tentunya menyentuh perasaan dan hati-nurani orang Melayu dan umat Islam.

Jangan sewenang-wenangnya mempermain, mempertikai dan mencabar kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Sebarang gerakan atas nama gerakan apa sekalipun, hatta atas nama kebebasan beragama, kebebasan bersuara atau kebebasan media tidak akan dibiarkan mencabar hak dan kedudukan yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Negara.

Kepada mereka yang menggelar diri sebagai "Kumpulan Artikel 11", yang bergerak dalam kempen-kempen mereka ke seluruh negara atas alasan kononnya untuk menyedarkan rakyat tentang hak kebebasan beragama,

Pemuda ingin memberi amaran, jangan cuba untuk membangkitkan isu berkaitan Artikel 11 dan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Jika usaha negatif sebegini tidak dibendung maka ia akan mendatangkan implikasi yang amat besar terhadap keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini.

Justeru Pemuda berpendapat bahawa apa-apa persoalan dan isu yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah didengar dan diadili oleh Mahkamah Syariah dan bukannya oleh Mahkamah Sivil, sesuai dengan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Manakala mengenai hal berkaitan dengan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (Inter-faith Commission), Pemuda UMNO mendesak dalam perhimpunan ini agar Kerajaan menolak terus cadangan penubuhannya.

Kerajaan perlu bertegas dalam perkara ini. Kita perlu bergerak seiring untuk memastikan seluruh rakyat menyedari bahawa kelalaian kita dalam memelihara perpaduan dan keamanan akan membuka ruang kepada ancaman dari dalam mahupun luar yang boleh memusnahkan negara.

Tragedi dan peristiwa malang yang berlaku di negara-negara luar ini harus dijadikan pengajaran dan teladan. Kelemahan dalaman telah menyebabkan kuasa-kuasa besar menggerakkan propaganda yang akhirnya membawa kepada peperangan dan kemusnahan. Keamanan dan nilai kemanusiaan telah hilang dimamah kezaliman dan kerakusan.

Saudara perwakilan sekalian,

Gerakan Keamanan Sejagat

Kita amat bersedih dan bersimpati melihat penderitaan rakyat di negara-negara yang terlibat dalam peperangan dan malapetaka.

Atas kesedaran dan keinsafan inilah, sejak tahun 2000 lagi, saya telah memulakan gerakan keamanan dan kemanusiaan yang didukung ratusan ribu generasi muda di dalam UMNO dan Barisan Nasional.

Selagi kezaliman, ketidakadilan dan hegemoni kuasa-kuasa besar ini berterusan, selagi itulah kita akan terus menentangnya.

Kita akan terus sebarkan mesej keamanan dan kedamaian kerana kita yakin dan percaya bahawa inilah perjuangan yang suci dan murni.

Jangan diragui kejayaan perjuangan ini. Bagi saya ia cukup bermakna sekiranya kita dapat memberikan bumbung tempat warga tua berteduh, memberikan sesuap nasi kepada ibu yang mengandung atau dapat menyelamatkan nyawa walaupun seorang bayi.

Malah ia juga sudah cukup bernilai walau dengan hanya memberikan sokongan kepada mereka yang tertindas untuk terus bertahan; memberikan harapan kepada mereka bahawa cahaya keamanan akan terpancar jua akhirnya.

Saudara perwakilan sekalian,

Rancangan Malaysia Kesembilan dan Agenda Melayu dalam pelaksanaan Misi Nasional dalam konteks ekonomi - sektor-sektor baru yang strategik, GLC, ketirisan, pariti pendapatan dan pegangan ekuiti. (Isu kajian ASLI dan kenyataan Lee Kuan Yew)

Ketika jutaan rakyat di negara lain terhimpit dengan kesukaran dan keperitan, kita di negara ini amat bernasib baik kerana dirahmati dan dilimpahi dengan nikmat kesejahteraan dan keamanan.

Di saat negara tertentu dilanda bencana dan terbelenggu dengan rancangan pemulihan dari ambang kemusnahan, negara kita sebaliknya, mengorak langkah berani untuk menyusun rancangan strategik mencapai wawasan.

Agenda Melayu dalam Misi Nasional

Malah buat pertama kalinya dalam sejarah pembangunan negara, Agenda Melayu diletakkan secara tersurat di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) tanpa meminggirkan kedudukan kaum-kaum lain.

Keberanian pemimpin kita ini perlu disahut kerana rancangan ini adalah satu Misi Nasional di mana strategi Pertumbuhan dengan Pengagihan yang digagaskan adalah untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Ia selaras dengan pendirian Pemuda sebelum ini agar strategi pembangunan negara ditumpukan kepada kedua-dua aspek pertumbuhan dan pengagihan, dan bukannya semata-mata kepada pertumbuhan.

Misi Nasional ini penting kerana ia merupakan fasa lima tahun kedua Wawasan 2020 dapat tercapai sepenuhnya melalui lima teras utama, iaitu;

i. Teras Pertama: Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
ii. Teras Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama';
iii. Teras Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif;
iv. Teras keempat: Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup; dan
v. Teras kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

Misi Nasional ini adalah falsafah pembangunan yang merupakan perkongsian tulen bersandarkan kepada semangat kontrak sosial yang telah dipersetujui selama ini.

Perkongsian tulen ini mesti wujud berdasarkan kesungguhan, pengorbanan dan kesediaan untuk membantu kepada yang kurang berkemampuan agar sikap meminta-minta hanya untuk kelompok sendiri dapat dihindari.

Sesungguhnya, perkongsian tulen hanya akan berjaya sekiranya mendapat sokongan dan kerjasama kedua-dua belah pihak. Sekadar bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi.

Agenda Melayu dalam Misi Nasional pula tidak wajar dianggap sebagai ‘zero-sum game’, dengan mengatakan hanya orang Melayu sahaja yang untung dan bukan Melayu akan rugi.

Mereka perlu berani untuk mengakui bahawa sepanjang pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), orang bukan Melayu juga turut mendapat manfaat, secara langsung dan tidak langsung melalui projek-projek di dalam pelbagai sektor.

Saudara perwakilan sekalian,

Sektor-sektor baru yang strategik

Dalam Misi Nasional kita dapati sektor-sektor baru yang lebih strategic akan menjadi enjin pertumbuhan masa hadapan dalam memacu ekonomi negara.

Seperti yang Pemuda suarakan tahun lalu, Pemuda ingin menyaksikan orang Melayu terlibat dan bersaing dalam sektor-sektor strategik ini.

Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sektor pembuatan semata-mata dan membiarkan sektor-sektor strategik terlepas dari tangan kita seperti sebelumnya.

Biarpun ada di antara sektor-sektor ini yang sinonim dengan orang Melayu, kita tidak boleh beranggapan bahawa orang Melayu akan dapat menguasainya dengan mudah.

Kita perlu sedar bahawa dengan kepakaran mereka, orang bukan Melayu juga turut mengintai peluang yang sama di dalam sektor-sektor ini.

Maka, Pemuda UMNO menyarankan agar satu perancangan dan strategi yang lengkap dibentuk bagi menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam bidang bioteknologi, angkasa lepas dan pertahanan, teknologi maklumat dan telekomunikasi, industri makanan halal, bidang perbankan dan kewangan, bidang automotif, bidang tenaga dan utiliti, bidang perkhidmatan pelancongan, perladangan dan pertanian.

Bagi memastikan kejayaan hasrat ini, peruntukan kewangan yang mencukupi juga hendaklah disediakan. Dahulu kita mempunyai Dasar Pinjaman Bank yang mempunyai sasaran pinjaman mengikut sektor.

Bagaimanapun hari ini, ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

Justeru Pemuda ingin mencadangkan agar diwujudkan semula Dasar Pinjaman Bank ini yang mempunyai sasaran pinjaman dalam sektor-sektor strategik ini.

GLC

Kepada Syarikat-syarikat Milik Kerajaan (GLC) pula, Pemuda mengalu-alukan usaha mereka yang telah mula menggerakkan pelbagai program berpaksikan kepentingan Agenda Melayu.

Ia selaras dengan gesaan Pemuda UMNO yang selama ini ingin melihat GLC memainkan peranan yang lebih bersungguh-sungguh dalam mengatasi pelbagai isu ekuiti dan pekerjaan.

Hari ini, Kerajaan telah memberikan kepercayaan dan tanggungjawab penuh kepada GLC untuk sama-sama membantu menjayakan Misi Nasional seperti yang diamanahkan kepada Khazanah Nasional, Sime Darby dan Petronas dalam membangunkan koridor wilayah-wilayah.

Selain memberi fokus bagi memastikan kejayaan pembangunan koridor ini, Pemuda mengharapkan agar mereka juga memberi penekanan dalam menyediakan program latihan dan perancangan penempatan, khususnya untuk siswazah yang berkelayakan dan yang menganggur.

Dalam masa yang sama, Pemuda tetap berpegang kepada prinsip bahawa GLC perlu memastikan kemajuan pengusaha kecil dan sederhana dijadikan penunjuk utama kejayaan GLC dan bukan hanya bersandarkan keuntungan semata-mata.

Ini kerana masih terdapat situasi di mana syarikat GLC dan Perbadanan Kemajuan Negeri bersaing dengan ahli perniagaan kecil dan sederhana Bumiputera dalam mengejar projek.

Ini persaingan yang tidak sihat malah bertentangan dengan tugas dan peranan mereka. Pemuda akan terus membuat pemantauan agar suasana seperti ini tidak berterusan.

Ketirisan

Kita kena menerima hakikat bahawa perancangan yang baik perlu disusuli dengan pelaksanaan yang kemas dan tersusun. Sebagai contoh, kita tidak mahu melihat masalah ketirisan yang akhirnya tidak dapat membantu orang Melayu untuk berdaya maju dari berulang.

Ketirisan akan meletakkan orang Melayu lebih jauh dari kedudukan ekonomi yang disasarkan.

Ketirisan menyebabkan keuntungan ratusan juta ringgit yang sepatutnya menjadi milik Melayu berpindah tangan.

Lantaran itu Pemuda ingin melihat pendekatan yang bersungguh-sungguh dilaksanakan bagi membentuk kumpulan usahawan Melayu yang berdikari, mampu bersaing dan memiliki sikap terpuji.

Pemuda sekali lagi ingin mengulangi permintaan yang dibuat dalam perhimpunan tahun lalu, iaitu keinginan untuk melihat agar Unit Penyertaan Bumiputera digerakkan segera bagi menjayakan pelan pembangunan Misi Nasional.

Di Kementerian Pelajaran misalnya, unit ini telah mula beroperasi. Dengan cara ini, saya dapat memastikan agar usahawan Bumiputera yang tulen diberi seluas-luas peluang dan bimbingan untuk terlibat di dalam projek-projek Kementerian.

Sementara itu, saya juga telah mengarahkan penelitian dan pemeriksaan yang ketat dibuat terhadap syarikat dan pemiliknya sebelum dilibatkan sebagai mekanisme untuk mengelakkan ketirisan.

Saya sedar, dengan peruntukan yang sedia ada di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, di bahu saya bukan sahaja terpikul amanah untuk memastikan agenda pendidikan anak bangsa berada pada tempatnya, tetapi terpikul juga tanggungjawab untuk memberi melahirkan dan membimbing kepada seramai mungkin usahawan Bumiputera yang tulen dan mampu mengisi pertumbuhan ekonomi negara.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Pariti pendapatan dan pegangan ekuiti

Walaupun kaum Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, pariti pendapatan antara Bumiputera dan Bukan-Bumiputera adalah sesuatu yang masih membimbangkan.

Malahan ia semakin melebar. Sebagai contoh jurang pendapatan antara Bumiputera dan etnik Cina pada tahun 2004 ialah 1:1.64. Justeru, apakah menjadi suatu kesalahan sekiranya Kerajaan berusaha untuk mengurangkan kepada nisbah 1:1.5 pada tahun 2010?

Apakah menjadi suatu dosa sekiranya jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar dapat dikurangkan daripada kedudukan 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1.2 dalam tahun 2010?

Percayalah jika sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan untuk membetulkan keadaan ini, kita memerlukan tempoh selama 120 tahun untuk mencapai pariti pendapatan dengan bukan Bumiputera seperti yang disebutkan oleh sekumpulan pengkaji Universiti Putra Malaysia.

Demikian juga halnya dengan pencapaian sasaran ekuiti 30 peratus. Dalam tahun 2020 jumlah ekuiti negara dijangka meningkat pada jumlah RM4,000 bilion.

Sekiranya Bumiputera ingin mencapai 30 peratus, ianya memerlukan sebanyak RM1,200 bilion. Walau bagaimanapun dalam tahun 2004, jumlah milikan ekuiti Bumiputera hanyalah berjumlah RM100 bilion sahaja.

Bayangkanlah saudara-saudara sekalian, sekiranya tindakan-tindakan radikal tidak diambil apakah mungkin kita dapat mencapai sasaran pariti dan ekuiti tersebut?

Dengan kesungguhan pelaksanaan penglibatan syarikat-syarikat Bumiputera tadi dan kesungguhan mengatasi isu-isu ketirisan ini, saya percaya ia akan dapat mempercepatkan kedudukan keseimbangan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera; sama ada dalam soal agihan harta, pekerjaan atau merapatkan jurang pendapatan.

Kesemuanya ini akan dapat menjawab sindiran-sindiran secara terbuka kononnya Agenda ekuiti Bumiputera sudah tercapai. Mereka mempersoalkan kaedah Kerajaan yang kononnya tidak telus, tidak menggunakan fakta sebenar dan menyembunyikan data-data tertentu.

Dengan hanya melihat ke dalam 1,000 syarikat di bursa saham dan dengan hanya mengambil kira 70 peratus saham GLCs sebagai hak Bumiputera, mereka membuat kesimpulan bahawa ekuiti Bumiputera sudah mencapai 45 peratus.

Percayalah kaedah rasmi Kerajaan yang lebih meluas dengan menggunakan fakta yang menyeluruh, jelas menunjukkan pemilikan Bumiputera masih di tahap 18.9 peratus.

Inilah realiti ekonomi negara yang boleh dilihat dengan mata kita sendiri berbanding dengan kajian ASLI yang langsung tidak memijak bumi yang nyata.

Amat malang apabila sebuah kajian yang dibuat lebih bersifat polemik daripada menunjukkan kebenaran yang sahih.

Pemuda UMNO ingin mengulangi dan mengingatkan kepada mereka supaya tidak bermain dengan isu pemilikan ekuiti antara kaum ini.

Dalam mata kasar sesiapa sahaja memaklumi bagaimana perlumbaan untuk mencapai keseimbangan ekuiti dan pendapatan masih menjadi tajuk perbincangan utama.

Sekiranya tidak mahu bercakap soal penumpuan agihan pada satu-satu kaum sahaja, maka mereka juga perlu telus melihat ke dalam amalan-amalan diskriminasi yang berlaku di dalam pasaran seperti yang pernah kita bangkitkan dulu mengenai fenomena syarikat-syarikat bukan Bumiputera yang mensyaratkan bahasa tertentu sahaja sebagai kemestian untuk mendapatkan pekerjaan.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Dalam masa yang sama, kita juga amat berang dengan kenyataan dan pandangan yang tidak berasas oleh seorang pemimpin negara luar yang mempersoalkan dasar-dasar Kerajaan.

Saya yakin bahawa Pemuda UMNO tidak teragak-agak untuk berhadapan dengan mereka apatah lagi percubaan tersebut telah mempertikaikan kedudukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sebenarnya kenyataan yang tidak bertanggungjawab, menghina dan menuduh dasar-dasar kita adalah untuk menutup kelemahan dan tembelang mereka sendiri. Ada pantun lama yang amat sesuai ditujukan pada mereka:-

Anak Dagang dari seberang,
Bawa jual ikan tenggiri,
Mengata orang jangan sebarang,
Tak pernah cermin diri sendiri.

Biar saya dedahkan tentang apa yang sebenarnya berlaku di negara tersebut dengan memetik rencana tulisan Michael D. Barr yang dilaporkan dalam Far Eastern Economic Review, Oktober 2006 baru-baru ini (artikel disertakan). Beliau menyebut bahawa:-

“telah berlaku diskriminasi yang nyata terhadap kaum-kaum bukan cina di Singapura di mana kalau dalam bidang pendidikan; daripada tahun 1966 hingga 2005, penerima Biasiswa Presiden, hanya 14 atau 6.4 peratus sahaja penerimanya yang bukan berbangsa Cina termasuklah hanya seorang anak Melayu.

Sekiranya kita melihat dalam perspektif yang lebih luas, sejak merdeka senarai penerima Biasiswa Presiden pula, hanya 2 orang penerima muslim, itu pun salah seorang daripadanya adalah penerima berdarah campuran Melayu dan Cina.”

Jelas amalan diskriminasi yang didakwa berlaku di negara ini sebenarnya berlaku dengan serius di negara mereka sendiri, “kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih.”

Pemuda UMNO ingin memberitahu kepada pemimpin tersebut agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan adalah lebih baik agar beliau menjaga negaranya terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan negara kita.

Saudara perwakilan sekalian,

Agenda Pendidikan dalam Misi Nasional – Agenda Teras, Pemartabatan Profesion Keguruan, Agenda Memperkasa Bahasa Kebangsaan dan Pemeliharaan Tulisan Jawi

Selain memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu, Misi Nasional juga adalah sebaik-baik ruang dan peluang untuk orang Melayu bersatu bagi memperkukuh agenda pendidikan Melayu.

Generasi muda hari ini, yang masih berada di bangku sekolah, akan berada di barisan hadapan, membawa obor, meneraju bangsa, memimpin negara tatkala kita sama-sama melintasi garis penamat Wawasan 2020.

Setiap ruang dan peluang ini mesti dimanfaatkan untuk melahirkan sebanyak mungkin anak Melayu dengan ciri-ciri warga glokal yang mampu menerajui pelbagai bidang serta kepakaran di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Agenda Teras

Pemuda sedar bahawa pendidikan amat penting untuk mengubah taraf sosio-ekonomi orang Melayu. Atas kesedaran ini, agenda pendidikan sentiasa diangkat sebagai salah satu agenda utama Pergerakan Pemuda.

Sejak tahun 2000, saya telah memperjuangkan agenda untuk memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan dan membasmi keciciran agar nasib anak-anak Melayu yang majoritinya berada di sekolah kebangsaan, yang majoritinya berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan yang majoritinya berada di kawasan luar bandar akan terbela.

Hasrat kita adalah agar anak-anak Melayu yang terpinggir ini diberi peluang untuk bersaing secara lebih adil di atas padang yang lebih rata.

Jangan sekali-kali kita benarkan kemiskinan, ketiadaan prasarana yang lengkap, ketiadaan perkakasan yang sempurna dan ketiadaan guru yang mencukupi menjadi penghalang kepada anak Melayu untuk berjaya dan menjadi punca keciciran mereka.

Pemartabatan profesion keguruan

Pada waktu yang sama, kita juga sedar bahawa tanpa guru yang berkemahiran, berpengalaman dan yang benar-benar bertanggungjawab terhadap tugasnya, tidak mungkin matlamat agenda pendidikan dapat dicapai dengan sempurna.

Hakikatnya, hanya guru yang cemerlang sahaja yang dapat melahirkan pelajar yang cemerlang. Justeru perjuangan untuk memartabatkan profesion keguruan telah menjadi keutamaan saya sejak dahulu lagi.

Melalui agenda ini, kita bukan sahaja mahu lebih ramai guru cemerlang dihasilkan, tetapi juga agar guru yang cemerlang ini kekal cemerlang di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Melalui agenda ini, kita mahu agar golongan guru, yang sebahagian besarnya terdiri dari guru Melayu, merasa terbela dan terjamin masa depan mereka seterusnya membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian untuk mendidik anak bangsa sebaik-baiknya.

Ditakdirkan hari ini saya telah diberi kepercayaan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan dilantik menjadi Menteri Pelajaran.

Suka tak suka, mahu tak mahu, sekarang tanggungjawab untuk melaksanakan agenda pendidikan Melayu yang merupakan perjuangan saya sejak menerajui Pemuda telah diletakkan di atas bahu saya sendiri.

Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, di dalam RMK-9, perancangan untuk melaksanakan agenda pendidikan Melayu ini telah pun tersenarai.

Agenda untuk memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan merupakan antara enam teras utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Kementerian Pelajaran.

Kita telah mengetahui jumlah peruntukan yang diberikan dan kita juga telah mengetahui tempoh masa yang ditetapkan untuk melaksanakannya. Saya sedar peruntukan yang diberikan agak terhad dan tempoh pelaksanaannya agak singkat.

Justeru saya akan pastikan agar tidak berlaku sebarang pertindihan dan pembaziran. Kita akan memastikan program yang tersenarai dilaksanakan secara berhati-hati dan jentera Kerajaan dihalang dari pembaziran, amalan boros dan bermegah-megah dengan keindahan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Biarpun sukar, amanah dan kepercayaan yang diberi kepada saya ini tidak pernah sekali-kali saya abaikan dan telah saya junjung untuk meletakkan agenda pendidikan Melayu pada tempatnya.

Saya suka menyatakan di sini bahawa tidak mungkin saya dapat melaksanakan segala ini tanpa mandat dan kepercayaan untuk saya terus memimpin saudara-saudara sekalian.

Malah tidak mungkin juga saya mampu melaksanakan tugas dan memikul amanah yang amat berat ini tanpa sokongan, tanpa bantuan dan doa saudara-saudara semua.

Saudara Perwakilan sekalian,

Agenda Memperkasa Bahasa Kebangsaan

Dalam keghairahan kita semua memacu kemajuan negara di dalam RMK-9, jangan sesekali kita lupakan soal jati diri dan soal identiti Bangsa yang hendak dilahirkan.

Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan rakyat Malaysia adalah lambang identiti bukan sahaja untuk kaum Melayu malah juga bagi semua bangsa, keturunan atau suku kaum di negara ini.

Bagi Pemuda, tiada noktah di dalam perjuangan untuk memperkasa bahasa kebangsaan.

Perjuangan memperkasa bahasa kebangsaan adalah usaha yang berterusan bagi memastikan Bahasa Melayu dihormati, diutamakan, dimuliakan dan dimartabatkan oleh setiap yang mengaku dirinya Bangsa Malaysia.

Tugas memperkasa bahasa kebangsaan adalah tugas kita semua; tugas dan tanggungjawab setiap rakyat mahupun kumpulan yang ghairah memperjuangkan konsep Bangsa Malaysia.

Ramai sudah orang Kampuchea
datang mendadak merayu-rayu
Jangan mudah berbangsa Malaysia
selagi tidak berbahasa Melayu

Bersama Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan Yang Berhormat Dato’ Zainuddin Maidin, kami telah memulakan gelombang baru gerakan memperkasa bahasa kebangsaan sejak tahun 2004 lagi.

Kita telah bermula dengan kajian semula Dasar Buku Negara, diikuti dengan pembentukan Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan sehinggalah kita mendapat persetujuan Jemaah Menteri untuk memberi lebih kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam soal memperkasa bahasa kebangsaan ini, saya yakin bahawa, zaman ketika DBP dilahirkan 50 tahun dahulu amat berbeza daripada suasana hari ini.

Tentu sahaja, pada zaman yang berbeza ini, cabaran yang didepani DBP dan tuntutan serta pengharapan rakyat terhadap DBP juga berbeza.

Selama ini, kita sentiasa meminta DBP mendekati rakyat pelbagai kaum tetapi dalam gelombang baru ini, saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab rakyat juga untuk mendampingi DBP kerana DBP tidak akan bererti tanpa sokongan rakyat.

Pemeliharaan Tulisan Jawi

Seiring dengan perjuangan memperkasa Bahasa Kebangsaan, kita jangan sekali-kali lupa terhadap pemeliharaan penggunaan tulisan jawi yang semakin pupus.

Saya amat memandang serius apabila satu-satunya akhbar dalam tulisan jawi - Utusan Melayu - berkubur pada penghujung tahun 2002, setelah 63 tahun lahir di tengah-tengah masyarakat Melayu pada 29 Mei 1939.

Saya menganggap ia merupakan satu tragedi dalam sejarah keilmuan bahasa Melayu kerana jika berkuburnya tulisan jawi maka akan berakhirlah satu sejarah gemilang tradisi persuratan orang Melayu.

Justeru, tulisan jawi yang juga merupakan skrip budaya Melayu wajar dibudayakan terus.

Kementerian Pelajaran, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Penerangan, akan terus berpadu tenaga untuk menyemarakkan perjuangan ini kerana dengan berkuburnya tulisan jawi, maka akan terputus langsunglah hubungan unik di antara tulisan orang Melayu dengan teras agamanya - yakni Bahasa Arab yang menjadi asas tulisan jawi itu.

Alhamdulillah, atas kesedaran segera untuk menyelamatkan akhbar Utusan Melayu ini maka inisiatif untuk menghidupkan semula akhbar tersebut menjadi kenyataan walaupun buat masa ini ia diterbitkan seminggu sekali.

Malah melalui program j-QAF anak-anak kita sedang dan akan dilatih untuk menguasai tulisan jawi sebelum mereka menamatkan pelajaran di peringkat rendah.

Insyaallah, melalui gerakan memperkasa bahasa kebangsaan; melalui gerakan untuk memperkukuh kedudukan warisan dan budaya, akan terbina tamadun bangsa seperti yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Presiden kita.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Penangguhan Pemilihan Parti

Mulai hari ini saya mahu Pemuda melangkah setapak lagi ke hadapan dengan bukan sekadar menjadi jurubicara rakyat tetapi mempersiapkan diri untuk menjadi penggerak utama kepada usaha meningkatkan keupayaan survival UMNO.

Musuh-musuh dan pesaing-pesaing kita akan sentiasa berusaha untuk menghalang kemajuan ini. Seperti yang saya nyatakan tadi, musuh sentiasa menunggu peluang; menanti dengan sabar seandainya mendapati kita melakukan kesilapan.

Semakin banyak ruang yang kita buka maka semakin luaslah peluang mereka. Mereka tidak berjuang bersandarkan rasa tanggungjawab kepada masa depan negara tetapi lebih kepada kepentingan diri.

Kuasa menjadi rebutan dan kesilapan kita menjadi sandaran. Sebab itu hari ini, parti-parti pembangkang juga telah kehabisan modal dan jika kita tutup rapat peluang mereka maka kita akan berjaya menghalang hasrat mereka mencapai matlamat politik sempit ini.

Yakinlah bahawa tiada gunanya kita bersengketa dengan mencari kelemahan sesama sendiri, kerana jika digandingkan kelebihan yang ada, Pemuda UMNO sebenarnya merupakan pergerakan yang amat kuat, digeruni dan mampu berhadapan dengan sesiapa jua. Tidak ada gunanya kita berjawatan dalam parti tetapi kalah dalam pilihan raya.

Justeru, Pemuda mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi menangguhkan pemilihan UMNO sehingga pilihan raya akan datang.

Keputusan ini akan menyumbang kepada usaha untuk menumpu pengukuhan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12.

Penangguhan pemilihan kepimpinan ini perlu kita sahut dengan mengelak dan mengurangkan pergeseran sesama kita kerana sesungguhnya kempen keterlaluan untuk merebut jawatan sudah tentu akan menyemai benih-benih perpecahan di antara kita. Situasi ini perlu dielak dari berlaku dalam apa jua keadaan.

Selagi saya menjadi Ketua saudara-saudara sekalian, tidak akan saya izinkan mereka yang mementingkan diri sendiri, menghancurkan parti kita kerana tindakan seumpama ini samalah seperti kelakuan pembangkang yang hanya mahu meraih kuasa untuk memenuhi matlamat diri semata-mata.

Saya ingin bertanya kepada saudara-saudara sekalian, kalau beginilah sikap sahabat, apa gunanya musuh.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Bendera UMNO dinamakan Sang Saka Bangsa

Pada tanggal 29hb Jun 1946, di persidangan kedua Majlis Agung UMNO di Dewan Bandaran Ipoh, Perak, telah menyaksikan detik bersejarah kelahiran bendera UMNO.

Mulai dari saat itu, bendera UMNO yang dicadangkan oleh Persatuan Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur telah banyak menyaksikan peristiwa suka duka sejarah perjalanan perjuangan bangsa.

Bermula dengan penentangan terhadap Malayan Union, kejayaan memerdekakan negara, menangani isu konfrontasi dan ancaman komunis, sehinggalah ke hari ini kita telah dapat menyaksikan pembangunan negara berlangsung dengan pesatnya.

Setelah sekian lama berkibar megah dan terpampang indah di serata pelosok negara, tidak kira panas dan hujan, tidak kira angin dan taufan, sudah tiba masanya bendera keramat yang membawa obor kemerdekaan dan menjulang martabat bangsa Melayu ini diberi identiti dan pengertian yang lebih bermakna.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi Maha mengasihani, Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar Bendera keramat UMNO ini dinamakan "Sang Saka Bangsa".

Nama ini terbit dari kesedaran bahawa warisan kewibawaan keturunan yang menjadi tiang seri penegak dan peneguh agama, bangsa dan negara.

Ia adalah lambang orang Melayu yang menjadi bangsa berdaulat yang diperjuangkan hak dan maruahnya oleh UMNO.

Ia adalah panji yang membawa makna mendalam bagi seluruh orang Melayu untuk terus berjuang atas nama kesatuan jiwa, kesatuan cita-cita. Maka marilah kita berdoa agar bendera Sang Saka Bangsa akan terus berkibar megah, walaupun kita akan meredah duri dan ranjau, meskipun kita akan menghadapi kemungkinan mendatang.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Perhimpunan Pemuda hari ini sesungguhnya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa sanubari kita. Sejak membina tekad baru Pemuda tahun lalu atas nama Keris Panca Warisan hari ini menyaksikan semangat itu telah meresapi dalam jiwa sanubari saudara-saudara sekalian.

Ia menjadi bara yang akhirnya menyala sehingga terbina kekuatan Pemuda UMNO yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa lagi.

Saya berbangga warisan perjuangan ini meletakkan saudara-saudara Pemuda UMNO, Pewaris bangsa, di atas landasan kukuh dengan jiwa Melayu dan berani meneruskan Agenda Melayu.

Ingatlah saudara-saudara sekalian, Melayu yang beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu serta mengamalkan adat istiadat Melayu hanya satu. Dan Melayu yang satu itu hanya ada di bumi Malaysia ini.

Pertubuhan yang satu-satunya berjuang untuk menjadikan Melayu ini kekal wujud hanya satu. Dan yang satu itu adalah UMNO.

Maka jagalah UMNO baik-baik. UMNO yang satu ini perlu dipelihara dan dipertahankan kewujudannya agar Melayu yang satu itu tidak akan hilang di dunia.

Kibarkanlah Sang Saka Bangsa ini sebagai lambang kewujudan, keteguhan dan kesinambungan perjuangan UMNO. Selagi Sang Saka Bangsa terus berkibar, selagi itulah kita akan mendaulatkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Hidup UMNO!
Hidup Melayu!
Allahu Akbar!
Walillah hil hamd


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762