BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Oleh:Dato'Fauzi Abdul Rahman

Anwar Ibrahim Siri 1

Mukaddimah

Nukilan mengisahkan satu cerita
Dalam bentuk gurindam dan seloka
Anwar Ibrahim watak utama
Hasil coretan nota-nota tua
Bukan nak ampu bukan nak puja
Jauh sekali dari menghina
Kisah ini benar-benar belaka
Sepertimana saya mengenali dia
Tiada kerja orang dah bersara
Di ruang masa terkenang yang lama
Untuk dikongsi dengan semua
Ada kecacatan maafkan saja

Anwar Di MCKK
Mula bertemu tahun enam puluh tiga
Di Maktab Melayu Kolej ternama
Di situ persahabatan kami bermula
Tak sangka bertahan begini lama
Seorang sains seorang sastera
Namun dibawah bumbung yang sama
Memang ku kenal dia siapa
Tinggi pekerti berakhlak mulia
Menyingkap kisah muda remaja
Dia mengeloh ketidak-adilan dunia
Mereka yang kaya berfoya-foya
Yang miskin pula hidup menderita

Menjadi Pengawas menunas kepimpinan
Menggarap bakat diperingkat awalan
Anwar dikolej tak pandai bersukan
Sukar ditewas dalam perbahasan
Melayu dan Inggeris dia kepetehan
Pertandingan Pidato dialah johan
Disini beliau memiliki kelebihan
Hingga 'envy' 'senior' atasan
Jika ini kekuatan lisan
Juga memiliki sifat keikhlasan
Sesama rakan mudah kasihan
Inilah Anwar yang jadi kenalan

Melihat si miskin dia berdukacita
Kepada tertindas hendak dibela
Maka disini cita-cita bermula
Hendak dirombak budaya dunia
Dengan sinis kami memandangnya
Diperli-perli dan disindir pula
Apakah ini idealisma remaja
Atau igauan diwaktu senja
Di himpun segelintir rakan sebaya
'Maramunjangan' di bentuk, dia ketua
Sesama sendiri mengumpul dana
Hasrat membantu sesiapa sahaja

Berpisah
Saya ke London nak jadi jurutera
Dia pula ke Universiti Malaya
Tiga tahun bukannya lama
Masing mencari ilmu dunia
Tahun enam puluh sembilan ada huru-hara
Kami nan jauh mendengar sahaja
Gulungan fanatik punya angkara
Hingga bergaduh rakyat jelata
Kerajaan MAGERAN memegang kuasa
Keadaan negara bertambah reda
Akhirnya Tunku berundur bersara
Tun Abdul Razak menaiki 'takhta'

Pertemuan kembali di KL
Pada tahun tujuh-puluh saya kembali
Di Perbadanan Nasional kerja diberi
Sebagai jurutera tugas mencari-gali
Tengku Razaleigh menjadi Pengerusi
PERNAS itu nama singkatan
Di tubuh olih kerajaan Mageran
Agar Bumiputra diberi bantuan
Bidang perniagaan serta perindustrian
Tengku Razaleigh memang berjasa
Melahir teras Melayu berniaga
Jika ketika itu PERNAS tiada
Usahawan Melayu lenyap didunia

Dengan Anwar bejumpa semula
Di Yayasan Anda dia Pengetua
Pelajar diberi peluang kedua
Bayaran rendah ada yang percuma
Saya menjadi guru sementara
Di masa lapang mengajar juga
Niat menyumbang tenaga suka-rela
Cukup bulan imbuhan di berinya
ABIM di ilham ketika itu
Hendak di daftar jalan terbuntu
Anwar, Sanusi dan Suhaimi bersatu
Menjana pasukan kemas dan padu

Berulang kali ABIM kegagalan
Agar sah mendapat pendaftaran
Ketika itu kerajaan ketakutan
Penyatuan pelajar memiliki kekuatan
Strategi diatur cara bermufakatan
Agar kerajaan diberi keyakinan
ABIM adalah satu badan
Tak akan terlibat politik partisan
Pengerusi pertama Wahab Sulaiman
Saya membantunya menjadi teman
Berkat kerjasama dan doa taulan
ABIM didaftar awal tujuh-puluhan

Apabila Anwar campur Sanusi
Duduk berunding bersama yang lain
Hasil pakatan terbentuk kooperasi
Kooperasi bernama Syarikat SHAMELIN

Ramai tenaga berkerja bersama
Berkorban masa berkorban harta
Ada yang muda ada yang tua
Semangat berkobar macam nak gila
Shamelin ditubuh berpaksi ekonomi
Mahu dilerai kusutan monopoli
Kedai runcit Shamelin menjadi-jadi
Lebih yang untung dari yang rugi

Semua bekerja secara sukarela
Jelajah negara mencari ahli
Kempen ahli cukup berjaya
Bila mendengar pidato Sanusi
Tetapi ada juga peristiwa
Orang UMNO radang dan sangsi
Jaafar Salim, Sanusi dan saya
Dihambat parang mencucut lari
Pendekatan kami cara agama
Bagi menjelas semangat kooperasi
Rupa-rupanya mereka menyangka
Orang PAS datang nak pancing undi

Perpisan ke Kuantan
Kerana mengutama perkara keluarga
Saya kembali ke Bandar Kuantan
Ini berlaku hujung tujuh puluh dua
Tugasan di KL semua dilepaskan
Dengan Anwar dah jarang berjumpa
Masing-masing dengan kesibukan
Sekali-sekala bertembung juga
Kerana ABIM bibit persamaan
Bila berjumpa selalu dibicara
Agar politik diambil bahagian
Kerana melihat dia sangat peka
Kepada masyarakat yang kepincangan
Masuk parti yang ada kuasa
Dari dalam menyumbang perubahan
Tetapi Anwar cukup waspada
Yang mana satu nak jadi pilihan
(Bersambung)

Fauzi A. Rahman
Kuantan


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762