|
Dr M wajar dikenakan tindakan
Berita Harian 29/08/2006
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk
Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata Tun Dr Mahathir
Mohamad sewajarnya dikenakan tindakan disiplin
kerana mengkritik kerajaan di hadapan pembangkang.
Merujuk usul beberapa cawangan Umno Kubang Pasu
supaya beliau dipecat daripada parti kerana
menghentam bekas Perdana Menteri itu, Nazri berkata,
beliau hanya mempertahankan kerajaan dan
kepemimpinan Umno.
“Yang patut didisiplinkan ialah Tun bukan saya,”
katanya pada sidang media selepas melancarkan Kaukus
Kesaksamaan Gender dan menerima laporan tahunan
pemerhati hak asasi manusia di Bangunan Parlimen,
semalam.
Ditanya kesan usul itu terhadapnya, Nazri yang juga
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,
kedudukan beliau tidak terjejas kerana ia hanya
dikemukakan beberapa cawangan, bukannya keseluruhan
bahagian Umno itu.
“Saya difahamkan usul itu bukan usul Kubang Pasu,
hanya empat atau lima cawangan yang mengemukakannya
kepada mesyuarat perwakilan bahagian dan usul itu
pun ditolak,” katanya.
|
|