BALIK KE MUKA UTAMA

Jual Pasir Bukan Cadangan Malaysia - Ulangi Najib petikan Bernama


Adakah dengan itu Dr Mahathir sebenarnya melemparkan fitnah kepada kerajaan yang ada sekarang ini? Kenapa dan mengapa ? Adakah kita percaya bahawa setelah Mahathir 22 tahun memerintah maka beliau akan mengeluarkan kenyataan tanpa kesahihan bukti yang dipegang oleh beliau . Bagi Najib sokongan kepada Pak Lah adalah mungkin rutin dalam UMNO untuk tidak disingkirkan. Mereka akan sokong Pak Lah seperti kata - kata Mahathir - mana titah patik junjung Tuanku


SEREMBAN, 12 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi bahawa Malaysia  tidak terlintas langsung mahu menjual pasir kepada Singapura dalam isu menggantikan Tambak Johor.

"Saya dapat sahkan perkara ini dalam kerajaan dan kabinet. Perkara ini disahkan oleh duta kita di Singapura (pada masa itu) dan cadangan (menjual pasir kepada Singapura) itu dari Singapura," katanya semasa berucap merasmikan persidangan  perwakilan Umno Bahagian Rembau di sini hari Sabtu.

Najib berkata perkara itu, termasuk penggunaan ruang udara, dibangkitkan dalam mesyuarat peringkat pegawai dengan  Singapura dan mesyuarat peringkat pegawai bukannya membuat keputusan kerajaan.

Akhirnya apabila perkara itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dibawa ke  mesyuarat kabinet, satu keputusan diambil di mana kedua-dua perkara itu tidak boleh diterima kerajaan Malaysia, jelas  beliau.

"Bila kita kata kita nak buat jambatan, dia kata mesti ada timbal balas. Orang Singapura bukan calang-calang orang  juga, kalau kita nak suruh dia belanja 300-400 juta dia pun nak juga bahagian dia.

"Jadi timbullah cadangan dari Singapura dia nak ruang udara, dia nak pasir untuk teruskan projek itu. Jadi di mana  letaknya kelemahan kerajaan atas isu nak buat jambatan menggantikan tambak di antara Johor dan Singapura?" tanya  Najib.

Beliau mempersoalkan bahawa dalam perkara ini di mana letaknya kelemahan dalam membuat keputusan sehingga orang  mengatakan kerajaan menjual maruah dengan hasrat menjual pasir kepada Singapura.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga memaklumkan kepada Abdullah supaya berhati-hati dalam isu ini kerana jika  sekiranya pulau Singapura yang ada, jadi sekali ganda besar lagi kerana pasir dijual dari Malaysia, ia merupakan satu  tamparan politik yang hebat kepada Umno dan kerajaan.

Ruang udara walaupun tidak begitu menjejaskan keselamatan negara, ia juga akan jadi isu politik dan mengganggu  penduduk sekitarnya, katanya.
 


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762