BALIK KE MUKA UTAMA

 

 

Najib Kemuka Bukti Tolak Dakwaan Lee Kuan Yew

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin malam mengemukakan bukti kukuh bagi menyangkal dakwaan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew kononnya kaum Cina terpinggir di negara ini.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perangkaan menunjukkan purata pendapatan isi rumah kaum Cina jauh lebih tinggi berbanding kaum Melayu.

Pendapatan per kapita isi rumah kaum Cina bertambah daripada RM796 sebulan pada 1976 kepada RM4,437 sebulan pada 2004, katanya ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini.

Sebaliknya, pendapatan purata isi rumah kaum Bumiputera hanya meningkat daripada RM339 sebulan kepada RM2,711 sebulan bagi tempoh yang sama.

"Oleh itu, tertolaklah sama sekali tuduhan Lee Kuan Yew yang menyatakan bahawa bangsa Cina terpinggir di negara ini," katanya.

Najib berkata dalam usaha kerajaan menaik taraf sosio-ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan kaum Cina tidak pernah dikesampingkan.

Keadilan dan toleransi sememangnya telah lama diamalkan di negara ini, katanya.

"Justeru, janganlah sesekali keterbukaan kita dianggap sebagai satu kelemahan. Bahkan, keterbukaan itulah formula kejayaan kita memerintah selama ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan murni ini telah sekian lama disambut baik oleh rakan bangsa lain dengan berganding bahu membangunkan Malaysia.

Lee semasa berucap pada satu majlis di republik itu membuat dakwaan kononnya kaum Cina di Indonesia dan Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik.

-- BERNAMA



Copyright © 2006 BERNAMA

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762