|
Hubungan Tidak Baik TPM, PM Hanya
Dongengan
PEKAN, 17 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak menyangkal desas-desus di
Internet bahawa hubungan beliau dengan Perdana
Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak
begitu baik.
Sambil menyifatkan desas-desus berkenaan sebagai
satu dongengan, beliau berkata hubungan beliau
dengan Perdana Menteri begitu erat serta kukuh dalam
memacu pembangunan negara.
"Saya sebagai orang nombor dua dalam negara sentiasa
berusaha membantu Perdana Menteri dalam urusan
pentadbiran dan sebagainya bagi kepentingan negara.
"Jangan dengarlah cerita-cerita dalam Internet...ini
semua cerita dongeng," katanya ketika berucap pada
majlis ramah mesra dan makan tengah hari
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Pekan di sini.
Beliau juga berkata tindakan segelintir pihak yang
mengadakan ceramah untuk memburuk-burukkannya
termasuk di kawasan Pekan merupakan satu tindakan
bagi meracuni fikiran masyarakat.
"Kita jangan cepat melatah, kita berpegang kepada
kebenaran dan prinsip...yang penting kita faham,
kenal dan tahu siapa yang akan membantu kita,"
katanya.
Katanya rakyat kini mampu menilai kepimpinan negara
dan mempunyai hak untuk memilih pemimpin yang paling
baik dan sesuai.
"Tahun ini kita menyambut 50 tahun kemerdekaan
negara dan kita patut bersyukur dan rasa bertuah
menjadi warga Malaysia yang maju dan mantap
berbanding negara lain.
"Pencapaian ini terletak kepada banyak faktor dan
satu daripadanya ialah soal kepimpinan berkesan
kerana pemimpin sejak dulu begitu berwawasan,
berdedikasi dan mempunyai perancangan teratur untuk
kepentingan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat perlu
bersama-sama kerajaan mempunyai matlamat untuk
bersatu padu dan bermuafakat bagi meneruskan agenda
pembangunan negara.
Pada sidang akhbar selepas itu, Najib berkata
ketua-ketua kampung dan anggota JKKK perlu peka dan
sentiasa sedar dengan peranan mereka dalam
menyampaikan maklumat-maklumat terkini berhubung
dasar kerajaan.
Katanya pemimpin peringkat akar umbi itu mempunyai
peranan penting bukan hanya membantu menyelesaikan
masalah masyarakat, malah menjadi penyambung lidah
kerajaan.
-- BERNAMA
|