|
KUALA LUMPUR, 22 Nov
(Hrkh) - Apakah
slogan setinggan sifar oleh
Menteri Besar Selangor
cuba direalisasikan
secara kejam sehingga
memaksa para penduduk
Kampung Berembang tinggal
dengan berlantaikan tanah,
berbumbungkan langit dan
berdindingkan angin malam
yang dingin?
Mungkin itu yang boleh
disimpulkan oleh wartawan
Harakahdaily, apabila
mendapat panggilan pada pagi
20 November lalu dan
berkejar serta melihat
secara dekat betapa rakusnya
tangan-tangan penguasa yang
merobohkan mahligai-mahligai
yang telah didiami oleh para
penduduk di kampung
berkenaan sejak 30 tahun
yang lalu.
Nampaknya, slogan 'Modal
Insan' oleh Perdana Menteri,
Dato' Seri Abdullah Ahmad
Badawi diperlekehkan oleh
Mohamad Khir Toyo sendiri
sehingga tangisan, rintihan,
ratapan pelbagai warga
Kampung Berembang di pagi
hari itu tidak langsung
terbenih rasa ehsan di hati
para penguasa MPAJ.
Bersesak,
berhimpit dan berkesejukan
dalam khemah
Tinjauan
di kampung berkenaan hari
ini pula mendapati hampir
kesemua penduduk bertindak
mendirikan khemah untuk
berteduh, sementara menunggu
kediaman mereka yang
dijanjikan siap dibina.
Kamaruddin Ramli, berkata
beliau bersama isterinya,
Norhafisha Abu Hasan; dan
tiga anak mereka Noralia
Fatiha, 11 bulan; Nofara
Adila, dua tahun setengah
dan Normanisha Izana, empat
tahun setengah terpaksa
berteduh di dalam khemah
buat sementara kerana tiada
tempat lain untuk berteduh.
Lebih mengharukan, khemah
kecil itu cukup-cukup untuk
mereka lima beranak dan
terpaksa berhadapan dengan
kesejukan khususnya pada
waktu malam.
"Kami buka tak mahu
berpindah, tapi sediakan
dulu rumah untuk kami. Jika
selesai masalah itu, kami
akan berpindah. Kami tak
halang kemajuan, kami tak
membenci pembangunan," keluh
beliau.
Ulangkaji
pelajaran dalam khemah
Apa
yang dikesali, bukan sahaja
rumah yang dihuni oleh
penghuninya sejak sekian
lama diragut secara rakus
oleh pihak penguasa, tetapi
ia dilakukan ketika musim
tengkujuh serta di saat
anak-anak kampung berkenaan
berdepan dengan peperiksaan.
Ketika tinjauan dilakukan
di sekitar perkampungan
tersebut, terpandang dua
remaja berpakaian sekolah
sedang duduk mentelaah
pelajaran.
Suziyana dan Syed Firdaus,
17, baru selesai menduduki
kertas peperiksaan Matematik
Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), hari
ini ketika kami menghampiri
mereka.
Mahu atau tidak, pelajar
Sekolah Menengah Kebangsaan
Ulu Kelang itu terpaksa
berhadapan dengan keadaan
yang merumitkan, demi
pelajaran dan masa depan
mereka.
Warga emas,
kanak-kanak, wanita dirempuh
MPAJ
Dalam
kejadian pada pagi 20
November itu,
mahligai-mahligai sudah
didiami sejak hampir 30
tahun lalu, dirobohkan dalam
suasana yang cukup tragis
apabila 'benteng manusia'
dirempuh pihak penguasa
tanpa belas kasihan.
Tidak kira warga emas,
wanita dan kanak-kanak,
pihak berkuasa MPAJ tidak
mempunyai sedikit pun rasa
belas kasihan meruntuhkan
rumah serta merempuh mereka.
Ketika itu hanya air mata
dan tangisan mengiringi
pencerobohan pihak berkuasa
tempatan dengan disertai
hujan yang turun dengan
lebatnya.
Suhakam akui MPAJ
salahguna kuasa
Sementara
itu, kehadiran Pesuruhjaya
Suhakam, Dato' Siva
Subramaniam, turut tidak
diendahkan penguasa dan
dengan bangganya mengatakan
bahawa mereka hanya
menjalankan tugas.
Ketika operasi ini
berjalan,
kira-kira 23 orang
ditahan, termasuk beberapa
aktivis ketika mereka
bertelagah dengan pihak
berkuasa bagi mempertahankan
kampung mereka.
Malah, ada di kalangan
mereka yang cedera dan tidak
sedarkan diri hingga
terpaksa ditempatkan di Unit
Rawatan Rapi (ICU), Hospital
Gleneagles Intan.
Rentetan peristiwa
tersebut, keesokkan harinya,
beberapa wakil penduduk dan
para aktivis mengunjungi
Suhakam, di mana Dato' Siva
sendiri mengadakan sidang
media berhubung kes
berkenaan.
Pada majlis itu, Dato'
Siva diberitahu tentang
kejadian sebenar ketika
operasi meroboh itu,
khususnya insiden
penangkapan penduduk dan
aktivis.
Beliau yang mengakui
tindakan MPAJ mengasari
penduduk itu sebagai
penyalahgunaan kuasa,
menegaskan pihaknya akan
segera bertemu dengan
Menteri Besar Selangor, Dato'
Seri Mohamad Khir Toyo, bagi
membincangkan perkara ini
dengan lebih serius. - mks.
|