BALIK KE MUKA UTAMA

MELAYU MEMBELAKANGI ISLAM JADI BANGSAT


 



Sejak kebelakangan ini, kejutan demi kejutan menyesak dan menyebakkan kelangsungan hidup umat Melayu. Di bidang ekonomi orang Melayu dilihat terpinggir walaupun setelah Negara merdeka 50 tahun. Kemerdekaan yang mencecah setengah kurun lamanya belum memberi apa-apa manfaat kepada mereka. Malah dari segi ketuanan mahu tidak mahu kita orang Melayu mesti berani mengakui bahawa kita hampir-hampir terlucut hak itu di bumi sendiri.

Di mana salah dan silapnya. Semua meraba-raba. Dalam mencari penyelesaian pelbagai punca dan sebab musabab diketengahkan. Orang Melayu ketinggalan di bidang ekonomi, maka tampillah berbagai theory. Puak ini menunding jari kepada golongan lain. Disebabkan masalah ini kita kemunduran. Lantas kerana kemiskinan atau kelemahan ekonomi, anak-anak kitapun dikatakan tidak mampu pergi lebih jauh dalam pengajian tinggi. Dari segi pemerintahan pula, Melayu kecut perut akan bayang-bayang kehilangan haknya. Maka puncanya konon adalah orang Melayu kesemuanya memiliki PhD – singkatan perasaan hasat dan dengki. Kita berpecah belah tidak mahu bersatu hati. Puak yang satu mendakwa ianya sahaja betul, fahaman yang lain salah, maka mesti tunduk kepadanya. Terlalu meluas theory ini dipakai hingga menjadi suatu gurau senda atau bahan ketawa. Sebab terlalu asyik dengan kelucuan theory ini kita orang Melayu langsung hilang kesungguhan untuk mencari punca sebenar mengapa orang Melayu hampir-hampir kecundang di tanahair sendiri!! Kita masih tidak sedar malapetaka yang menanti begitu dekat – tidak sampai setapak lagi. Begitulah umpamanya kelak kepupusan bangsa Melayu di nusantara.

Perhimpunan atau convention – namakan apa sahaja yang diadakan untuk mencari jalan penyelesaian masalah orang Melayu. Satu atau sepuluh kali biarpun seribu kali pasti tidak menjadi. Orang Melayu terus tercari-cari tetapi buntu terperangkap dalam persoalan bersifat circulatory dan vicious. Bak kata orang utara, “Melayu dengan masalah – pi mai pi mai tang tu gak!!

Dalam mencari jalan keluar dari kesesatan dalam belantara penuh kerumitan serabut dan onak sikap, Melayupun dicengkam emosi yang buruk dan mudah tersinggung. Deria pendengarannya meningkat, telinga menjadi lebih tipis – kata orang tua. Pantang ada sesiapa - walaupun jauh nun di seberang laut menyebut tentang orang Melayu, terus dianggap menyindir dan mesti ditentang habis-habisan. Maka berkokoklah kepemimpinan semua mahu menunjukkan kejantanan masing-masing. Apa yang tidak disedari kita menjadi badut hanya untuk ditertawakan.

Inilah padahnya kalau orang Melayu (yang diberi ta’rif beragama Islam) sudah membuang agama. Saban tahun kita memperingati tarikh kelahiran Mohammad s.a.w kononnya cintakan Junjungan besar itu. Kalau umur 63 tahun sudah sebanyak itu jugalah ia mendengar dan meraikan malam Nuzul-alquran. Orang Melayu berpusu-pusu menuju masjid setiap Ramadhan untuk merebut keberkatan dan barakahnya. Mereka sebenarnya berpura-pura dan dalam kebingungan.

Saudara-saudara – penyelesaian masalah orang Melayu ada di depan mata kita. Jalannya terbentang luas menunggu kita hampir seribu 500 tahun lamanya. Junjungan bear Muhammad s.a.w menyeru “jika sekiranya kamu berbantah atas sesuautu perkara, kembalilah (rujuk) kepada Al-quran.” Kita terlalu sibuk dengan pendekatan secular hingga lupa pesan Nabi besar itu, “peganglah kuat-kuat hatta (gigit) dengan geraham kamu, sunnah ku dan Kitabullah, nescaya kamu tidak akan sesat (dalam mencari jalan keluar masalah)”1. Orang Melayu curiga dan tidak memperduli ancaman Allah dalam firmanNya, “Kalau kamu masih berdegil, nantikanlah sa’atnya akan Aku gantikan kamu dengan kaum yang lain.” (Surah Al Imran)

Rasa pelik sering menusuk dalam benak saya. Apakah betul-betul kuno orang yang menyahut saranan Rasulallah s.a.w. Apakah sudah terbukti, jika diikut gaya hidup Islam sesuatu puak menjadi tolol dan bodoh. Hakikat dan fakta adalah sebaliknya, cendiakawan Islamlah yang meneroka penciptaan yang menjadi jambatan pembangunan dan ketamadunan sejagat.

Lebih pilu lagi setiap kali kenyataan balas dibuat pemerintah bukan sekadar menolak tuntutan agama malah memberi gambaran jumud, serba selekeh dan pelbagai sifat negative, orang yang mengikut kehendak agama Islam. Kononnya serban yang berlilit tebal di kepala mengekang minda bebas berfikir. Rasulallah s.a.w dipersoal dengan sinis berapa panjang janggut baginda. Puak ini lebih takut kepada penyakit HIV akibat persetubuhan rambang. Sebagai langkah mengelak puak yang mendakwa Islam memperkenalkan pemakaian condom. Kalangan ini berfahaman hukum zina tidak melekat pada pasangan yang memakai condom.

Di mana letaknya kewajaran pengakuan Islam mereka. Agama mahasuci itu bukan sekadar melafaz syahadah, tetapi merangkum praktis dan keyakinan dalam hati. Di sinilah punca masalah umat Melayu dewasa ini. Mereka mengakui penganutannya tetapi tidak tunduk kepada hukum hakam mahupun menjunjung tuntutannya. Maka jadilah hidup mereka tunggang langgang dan porak poranda. Kalangan ini berani menipu Allah swt. Mereka mengatakan konon tidak menentang Hudud (hukum Allah) tetapi yang dibawa pihak si anu. Mereka berbangga mencanang “Membela agama, bangsa dan negara” walhal pra syarat syahadah tidak diterima dan dipercayai.

Saiyyidina Ali – Khalifah ke empat, menghuraikan punca masalah hidup manusia. (1) Jahil ilmu agama tetapi tidak bercakap atas kejahilan masing-masing – lalu apabila bercakap merapu dan sasau. (2) Orang berilmu tidak amanah pada ilmunya- lantas segala kekejian dilakukan: rasuah, salahguna kuasa, zalim dll (3) Orang kaya tidak mengimfakkan hartanya – menyebabkan kalangan kerabatnya merempat dan meminta-minta dan (4) Si miskin menjual agamanya – kerana berhutang budi untuk hidup.

Justeru terjadilah apa yang membebani orang Melayu dewasa ini. Lebih jauh kita mencampakkan agama lebih perit dirasai beban yang menghimpit kita. Melayu menjadi kaum yang bangsat, buta dan tuli. Bukan sekadar dua juta minda kelompok mereka yang mengidap kejumudan yang teramat teruk tetapi berpuluh juta lagi ditipu dan diperdayakan. Ini satu bilangan yang besar tetapi tiada satu mindapun yang berdaya mencerna. Mereka tidak lebih ayam belanda/turki yang sentiasa mengangguk kepala tiap-tiap langkah yang dibuat.

Apakah kita masih tidak nampak padah yang menimpa di persekitaran kita? Purata tiap-tiap hari ada sahaja berlaku pembunuhan dan beraneka jenayah serta seribu macam lagi yang menjijikkan yang tidak pernah terdengar dan berlaku pada zaman saya kecil dahulu. Usah disebut pelbagai bentuk pelanggaran terhadap undang-undang Negara. Kenapa dan mengapa didalih konon faktor-faktor yang tidak masuk akal langsung. Malah pemberian wang dikalangan orang parti tidak ditakrif sogokan rasuah tetapi diberi istilah hormat “politik wang”!!!

Kemelut politik semasa Mahathir Mohammed dengan Abdullah Badawi dan penyingkiran Anwar Ibrahim memaparkan kepada orang Melayu ketandusan akhlak mulia Islam. Kuasa dan kebijakan diguna bukan untuk memupuk dan memelihara hubungan harmonis sesama insan seperti yang dituntut Allah tetapi menghancur dan meranapkannya. Kalau orang tua sudah kembali bersikap kebudak-budakan, apatah lagi golongan belia dan remaja yang pasti akan hilang pula kesopanan dan budi pekerti mulia mereka. Satu pendedahan dari pemecatan tahun 1998, adalah semua penjawat atasan sanggup berbohong, kalau diarahkan.

Masing-masing dalam jema’ah kepimpinan dipercayai berkelulusan. Malah yang termudapun digembar-gembur lulusan institusi ternama. Tetapi amat mengeciwakan sekali peradaban dan pekerti tidak bertunjang pada agama. ‘Aqal meletakkan manusia pada kedudukan berbeza dari ciptaan Allah yang lain. Nafsu yang berjaya dikekang oleh seorang hamba Allah meletakkannya pada maqam lebih tinggi dari malaikat. Sebaliknya insan yang tunduk kepadanya, lebih hina dari haiwan yang melata dimuka bumi. Untuk bergelar insan berakhlak mulia dan punya nilai diri terpuji di sisi maha pencipta, orang Melayu mesti menerima agama sebai penyuluh hidup.

Saya berdoa semoga kesempatan yang dikurniakan Allah swt menyambut ‘Idilfitri yang menjelang, melahirkan Melayu yang berakhlak mulai dan disegani. Satu Syawal nanti kita letakkan noktah pada episode hitam dalam hidup kita sebelum ini.

Minang Menong



 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762