|
ADUN Pelabuhan Klang Sekali
Lagi Menjadi Tumpuan
PUTRAJAYA, 7 Mac (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan
Negeri kawasan Pelabuhan Klang Datuk Zakaria Deros
sekali lagi menjadi tumpuan, kali ini di pentas
perundangan, berhubung dakwaan mencuri pasir dari
tanah di Batu 13, Taman Sri Puchong milik sebuah
syarikat, Masmanis Sdn Bhd.
Pengarah Masmanis Sdn Bhd, mendapat kebenaran
daripada Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk
memasukkan dakwaan itu, yang terkandung dalam dua
laporan polis, sebagai keterangan baru untuk
digunakan terhadap Zakaria, isterinya dan dua anak
lelakinya.
Laporan polis itu dibuat oleh kontraktor Gan Kien
Hiap dari Chuen Lee Construction and Trading Sdn Bhd
yang mendakwa Gan berurusan dengan Zakaria dan
pembantunya Shohimi Shafie dan membayar tidak kurang
daripada RM200,000 sebagai sebahagian pembayaran
kepada Zakaria dalam urusan pengambilan pasir di
tanah berkenaan.
Satu lagi laporan dibuat oleh pengurus Masmanis,
Mohd Izanee Ismail berhubung aktiviti perlombongan
di tanah itu.
Mahkamah juga membenarkan akuan berkanun Shohimi
bahawa beliau bertindak atas arahan Zakaria, untuk
dimasukkan sebagai keterangan baru.
Keterangan baru itu akan dikemukakan oleh pengarah
berkenaan terhadap Zakaria dan keluarganya dalam
prosiding rayuan untuk mengubah keputusan mahkamah
yang menolak permohonan injunksi yang dikemukakan
Zakaria untuk menghalang pengarah berkenaan daripada
berurusan di tanah itu, yang beliau dakwa miliknya.
Panel hakim Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku
Mahmud, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk
Heliliah Mohd Yusof membenarkan permohonan itu.
Pengarah berkenaan ialah Datuk Muhamad Fasir @ Fasri
Samsudin, Mohd Ariff Taib, Datuk Daud Mohd Deros,
Mhd Tajuddin Mhd Taha, Hassan Hussin dan Bright
Enrich Sdn Bhd, pemegang saham dalam Masmanis akan
mengemukakan keterangan baru itu dalam prosiding
rayuan.
Pada 7 Jun, 2002, Zakaria, yang nama lainnya ialah
Zainal Md Deros, isterinya Datin Zizah Ngah dan dua
anaknya Zaidi dan Zainuri, memfailkan saman di
Mahkamah Tinggi terhadap pengarah berkenaan
mempertikaikan pemilikan saham tertentu dalam
Masmanis.
Bekas anggota Majlis Perbandaran Klang itu juga
memohon injunksi untuk menghalang pengarah berkenaan
daripada mengendalikan urusan Masmanis serta urusan
di tanah milik syarikat itu.
Pada 18 Jun, 2002, Zakaria berjaya memperoleh
injunksi ex-parte (satu pihak) untuk menghalang
pengarah berkenaan daripada berurusan di tanah itu
tetapi gagal mendapatkan injunksi inter-parte (antara
pihak) pada 18 April, 2005.
Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Zakaria
bagi penangguhan perintah tidak membenarkan injunksi
inter-parte sementara menunggu perbicaraan rayuannya
di Mahkamah Rayuan tetapi memerintahkan pengarah
berkenaan supaya tidak berurusan dengan saham dan
tanah syarikat itu sementara menunggu keputusan
rayuan itu.
Peguam yang mewakili pengarah berkenaan, Datuk Cecil
Abraham berhujah keterangan baru itu adalah bahan
penting dalam rayuan itu dan bahawa permohonan
injunksi Zakaria dibuat dengan niat jahat dan
bermotifkan kepentingan peribadi.
Zakaria mendakwa tanah itu miliknya dan bahawa
beliau telah mengarahkan Shohimi untuk membantu
dalam mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Tanah
Petaling dan Majlis Perbandaran Subang Jaya bagi
perlombongan pasir di tanah itu.
Zakaria menjadi tajuk berita dalam media pada tahun
lepas berhubung pembinaan banglo mewah tanpa
kelulusan pelan.
-- BERNAMA
|