|
Lelaki Mengaku Nabi Dibenar
Mohon Cabar Undang-undang Jenayah Syariah
PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan
di sini hari ini membenarkan permohonan seorang
lelaki, yang menghadapi tuduhan mendakwa dirinya
nabi dan menghina ajaran Islam, mencabar beberapa
peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Abdul Kahar Ahmad, 56, dari Kampung Kemensah, Ampang,
diberi tempoh 60 hari mulai hari ini untuk
memfailkan petisyennya itu.
Dia memohon perisytiharan bahawa seksyen-seksyen 7,
8(a), 10(b), 12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah
Selangor 1995 dan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran
Agama Islam (Selangor) 2003 terbatal dan melanggar
Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.
Abdul Kahar menamakan kerajaan Selangor sebagai
responden.
Peguamnya Malik Imtiaz Sarwar berkata tuduhan
terhadap Abdul Kahar kononnya dia menyebarkan ajaran
salah, menghina dan melanggar ajaran Islam dan
bertindak menyalahi fatwa dan Mufti, bukannya
kesalahan mengikut ajaran Islam.
Pada 17 Ogos 2005, Abdul Kahar mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam
terhadap lima tuduhan mengikut Enakmen Jenayah
Syariah Selangor 1995. Dia dibenarkan ikat jamin
RM8,000.
Pengikutnya, Mazli Mansor, 48, dan Mat Razali, 43,
juga mengemukakan permohonan serupa bagi mencabar
kesahihan seksyen-seksyen 8(a) dan 16(1)(a) enakmen
berkenaan. Kedua-duanya turut didakwa mengikut
seksyen-seksyen itu.
Dalam afidavit mereka, Abdul Kahar dan Mazli berkata
hanya Parlimen diberi kuasa menggubal undang-undang
jenayah, dan oleh itu, Dewan Undangan Negeri
Selangor tidak ada kuasa membuat peruntukan
berkenaan kerana masing-masingnya merupakan
peruntukan undang-undang jenayah.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun
Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim juga membenarkan
kerajaan Malaysia mencampuri prosiding berkenaan.
Kerajaan Selangor diwakili Penasihat Undang-undang
Negeri Datuk Zauyah Be Loth Khan manakala Peguam
Kanan Persekutuan Azizah Nawawi mewakili kerajaan.
--BERNAMA
|