|
Mahathir mati di luar Umno?
Oleh Helme Hanafi
Soalan paling panas minggu ini adalah apakah Dr Mahathir akan
menjadi Presiden Umno selama 22 tahun itu akan mati di luar
habitatnya?
Soal itu, yang jika ditanya 3 tahun lalu kedengaran tidak masuk
akal, kini menjadi sebaliknya.
Kemungkinannya boleh dilihat dengan kritikan 'ganas' Mahathir
kepada Abdullah yang dibuat sejak akhir-akhir ini.
Kita ingat Datuk Onn Jaafar. Seorang yang berfikir mendahului
zamannya. Dia keluar dari Umno selepas idea untuk menjadikan
parti itu parti multi etnik (separti KeADILan) ditolak
mentah-mentah oleh parti perkauman itu.
Bekas Pegawai Daerah Batu Pahat itu nekad keluar Umno dan
menubuhkan Parti Negara. Kita tahu dia kecewa, sehingga terpaksa
bertanding di Terangganu untuk menjadi ahli Parlimen.
Apapun, Datuk Onn seorang yang bermaruah dan 'gentleman'.
Ideanya ditolak dan dia keluar dari Umno.
Tempatnya diganti anak raja dari Kedah, Tunku Abdul Rahman. Dia
seorang yang lucu, dan katanya, dia adalah 'Perdana Menteri
paling gembira di dunia'. Dr Mahathir dipecat dari Umno di zaman
Tunku.
Mengikut riwayatnya, Tunku memberi kata dua kepada MT Umno,
pilih dia atau Mahathir. Sudahnya pemilik Klinik Maha itu
dipecat dan ketika itulah dia 'bergerila' dengan Pas. Ada satu
gambar Mahathir sewaktu di pentas Pas dengan berjambang penuh.
Tunku yang suka ketawa, kemudian dikejutkan dengan peristiwa 13
Mei. Negara panik, dan Tunku sudah tentu lagi terkejut. Awalnya
berpunca dari kekalahan besar Perikatan dalam pilihanraya umum.
Doktor kulit Klinik Maha pun mencelah. Dia menulis surat layang
dari Filipina, kononnya Tunku bermain judi dengan Tan Chin Nam (Pemilik
Mid Valley) semasa api marah membakar Kuala Lumpur.
Surat layang Mahathir dipungut Ibrahim Ali, yang kemudiannya
menganjurkan demonstrasi menentang Tunku.
Tunku kecewa, hingga sakit. Dalam hospital beliau menulis buku
bertajuk 'Sebelum dan Selepas 13 Mei' yang jelas mengatakan
kekesalannya dengan tuduhan liar Dr Mahathir.
Tunku mati pada tahun 1989 tanpa sempat mengisi borang Umno Baru
selepas beliau bersama anak raja Kelantan, berjuang dalam
Semangat 46. Tunku adalah penasihat parti 'hijau kuning' itu.
Selepas Tunku berundur dan memberikan kerajaannya kepada Tun
Razak. Mahathir kembali dalam Umno dibawa oleh Datuk Harun Idris.
Beliau kemudiannya 'koliborasi' dengan Musa Hitam, Tengku
Razaliegh dan setiusaha Tun Razak, Abdullah Ahmad.
Di pihak lain ada Datuk Harun, King Ghaz dan Khir Johari
masing-masing mahu menunjuk taat setia pada Tun Razak. Biarpun
dari kem berbeza.
Tun Razak mati mengejut. Dia negarawan yang menyatu dan
memajukan negara. Hussein Onn mengantikan beliau, tercari-cari
siapa yang mahu menjadi timbalannya. Ikut hatinya mahu diberi
kepada King Ghaz, tapi Mahathir, Musa dan Ghafar yang ketika itu
merupakan naib presiden Umno menentang keras.
Satu surat dihantar kepada Hussein, pilih salah seorang dari
mereka atau ketiga-tiganya meletak jawatan. Hussein mengalah dan
memilih Mahathir. Ghafar yang merupakan naib presiden nombor
satu gigit jari.
Di zaman Tun Razak, Pas dibawa masuk dalam kerajaan. Mustapha
Ali sempat menjadi setiausaha parlimen di zaman itu. Zaman
Mahathir jadi Timbalan Perdana Menteri, Pas di sepak dari Umno.
Ibrahim Ali tukang buat kacau di Kota Bharu, darurat
diistiharkan, Pas di sepak keluar, dan Umno ambil alih Kelantan.
Mahathir rancang semuanya.
Kini selepas tiga tahun letak jawatan, pesara bernama Mahathir
Mohamad Kutty itu buat kacau lagi. Dia nekad hendak serang
Abdullah. Berpatah arang berkerat rotan. Bersama Ibrahim Ali (lagi-lagi
watak Ibrahim Ali ini muncul) berceramah di sebuah kelab di
pinggir Kuala Lumpur.
Dia serang semuanya. Peluru bertubi-tubi. Ceramahnya merayau
merana. Sekejab kesal, sekejab sesal. Nyaris sasau.
Seperti kata Nazri Aziz, "Mahathir sanggup duduk semeja dengan
orang yang memanggilnya firaun ketika menjadi PM dahulu,".
Tapi Mahathir kata, dia tidak bersama pembangkang. "Saya
bersendirian". (Bab ini dramatik sebab timbul persoalan apakah
pemimpin pembangkang yang dikaitkan dengan Mahathir itu syok
sendiri kerana Mahathir dengan mudah menolak mereka).
Mengenali Mahathir, dia akan melakukan apa saja demi memenuhi
cita-citanya.
Sejarah menunjukkan, dia menfitnah Tunku, menikam Musa Hitam
dari belakang (kes Mamali, apakah kita sudah lupa, Mahathir
memberi arahan kepada Musa, bunuh Ibrahim Libya dan sebelum
terbang ke China?).
Mahathir mengkhianati Ku Li, janjikan jawatan bertaraf menteri
kanan jika bubarkan Semangat 46, dan akhirnya anak raja Kelantan
itu dilayan sebagai 'Pontianak Gua Musang'.
Mahathir menggunakan semua jentera kerajaan, menjatuhkan Anwar
yang pernah mengangapkan ayah dan guru. Hanya kerana Anwar
menghalang cita-citanya.
Mahathir desak Majlis Raja-raja menarik nama Islam pada
pertubuhan politik dan NGO. Apakah kita lupa?
Kini Mahathir kembali menyerang kerajaan. Dia mungkin akan 'berdamai'
dengan sesiapa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatinya.
Persoalannya kini, apakah anak guru besar dari Alor Setar Kedah
itu, akan mati di luar Umno, akan terus diperkatakan. Jauh di
sudut hati, saya berdoa, bekas 'Firaun' ini tidak mati untuk
setahun dua ini.
Dan jika dia dengan, saya cuma nak pesan, Lawan Mahathir Lawan.
Penulis adalah wartawan Suara Keadilan. Tulisan
ini adalah pandangan peribadinya semata-mata. Beliau boleh
dihubungi melalui email helme.hanafi@gmail.com
|