|
Tiada tindakan atas Dr. M -- MT
UMNO putuskan bekas PM kekal penasihat agensi
kerajaan
Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI dan SADATUL MAHIRAN ROSLI
Utusan Malasyia
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Majlis Tertinggi (MT) UMNO
hari ini memutuskan untuk tidak mengambil tindakan
disiplin terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan
tindakannya berterusan mengkritik kerajaan secara
terbuka.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
berkata, bekas Perdana Menteri itu juga tidak akan
dilucutkan jawatan sebagai penasihat kepada beberapa
badan kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, ini tidak
bermakna Dr. Mahathir kebal daripada dikenakan
sebarang tindakan jika melanggar peraturan dan
perlembagaan parti.
‘‘Tidak ada sesiapa (ahli UMNO) terkecuali daripada
tindakan disiplin, jika mereka melanggar
perlembagaan parti.
‘‘Keputusan MT itu bukan menandakan kepimpinan parti
takut untuk mengambil tindakan terhadap Dr.
Mahathir, cuma buat masa ini parti tidak mahu
mengambil sebarang tindakan,’’ katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO,
di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Abdullah memberitahu, kedudukan
bekas Perdana Menteri itu dalam agensi dan syarikat
milik kerajaan termasuk sebagai Penasihat Petronas
akan dikekalkan.
Dr. Mahathir juga merupakan Penasihat Proton dan
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Abdullah mengulas cadangan Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Kepala Batas yang mendesak kerajaan
melucutkan segera semua jawatan Dr. Mahathir dalam
kerajaan berikutan tindakannya berterusan mengkritik
kepimpinan Perdana Menteri.
Ditanya kemungkinan keputusan MT UMNO tidak
mengambil tindakan disiplin terhadap Dr. Mahathir
akan menyebabkan beliau berterusan melemparkan
kritikan, Abdullah berkata, bekas Presiden UMNO itu
perlu sedar setiap sesuatu itu ada hadnya.
‘‘Kita sentiasa mengikuti, mendengar dan mendapat
maklumat tentang sebarang perkembangan,’’ ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan
memberi penjelasan terhadap kritikan Dr. Mahathir
secara terbuka supaya rakyat dapat mengetahuinya.
‘‘Kerajaan akan menjawab kritikan Dr. Mahathir, di
mana wajar.
‘‘Kita akan beri jawapan secara terbuka seperti yang
dilakukan oleh Dr. Mahathir iaitu mengkritik secara
terbuka supaya semua rakyat dapat memahaminya,’’
jelasnya.
Mengenai penerimaan rakyat terhadap penjelasan yang
diberikan kerajaan setakat ini, Abdullah berkata,
sehingga ini tiada kajian yang dilakukan untuk
mengetahui reaksi rakyat.
‘‘Bagaimanapun, setakat maklumat yang ada, kerajaan
maklum bahawa rakyat menerima penjelasan yang telah
dibuat,’’ ujarnya.
Mengulas surat jemputan daripada Majlis Bekas Wakil
Rakyat (Mubarak) bagi mengadakan pertemuan kedua
beliau dengan Dr. Mahathir, Abdullah berkata:
‘‘Saya tak dengar apa-apa cerita daripada Mubarak,
tapi sekiranya ada permohonan untuk mengadakan
pertemuan tersebut, itu spekulasi, tidak ada jawapan
daripada saya.’
|