|
'Lonjakan
Perkasa Bangsa'
UCAPAN YAB DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
PRESIDEN UMNO DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-56
DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTERA (PWTC)
21 JULAI 2005
“LONJAKAN PERKASA BANGSA”
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden
Naib Presiden-Naib Presiden
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Tuan-Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi dan Duta
Besar
Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL
Wakil Parti-Parti dari luar negara
Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan
Para Perwakilan dan Pemerhati
MUKADIMAH
1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat ILAHI
kerana dengan izin dari Nya juga, kita berkampung di
Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, untuk
melangsungkan Perhimpunan Agung Tahunan UMNO. Bagi
pihak Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, saya
mengalu-alukan kehadiran para tetamu, para
perwakilan dan para pemerhati.
2. Kehadiran bekas pemimpin-pemimpin UMNO di Majlis
ini amatlah besar ertinya. Mereka adalah contoh ahli
UMNO yang sejati, cekal bersatu, kekal bersetia,
taat berkhidmat bersama UMNO. Meskipun telah tidak
memegang jawatan di dalam parti mahupun di dalam
kerajaan, mereka tetap bersama UMNO secara zahir –
secara batin. Kehadiran mereka, menjadi teladan yang
membuktikan jiwa besar mereka, menzahirkan ikatan
kasih – melambangkan tanda setia, kepada parti dan
kepada bangsa. Semangat dan sikap yang mereka
tunjukkan, wajib tersemai di dada setiap ahli yang
sejati berjiwa UMNO.
3. Kepada semua pemimpin di peringkat Perhubungan,
Bahagian dan Cawangan dan kepada sayap-sayap
Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri saya
mengucapkan terima kasih kerana telah berjaya
melaksanakan mesyuarat di peringkat masing-masing.
Kejayaan melangsungkan mesyuarat mengikut jadual,
memperlihatkan keupayaan kita menguruskan organisasi
parti secara teratur lagi berdisiplin, berlandaskan
perlembagaan; dan ini menyemarakkan lagi budaya
demokrasi subur berkembang.
4. Perhimpunan ini adalah forum terpenting
memberikan kesempatan kepada perwakilan bersuara
menyentuh perjalanan parti, urusan kerajaan, keadaan
semasa negara dan situasi antarabangsa, dalam usaha
melangsungkan perjuangan untuk bangsa, negara dan
agama. Perhimpunan ini adalah forum tertinggi parti
untuk membincangkan isu-isu, menyuarakan pandangan,
menyarankan cadangan dan merumuskan resolusi, agar
aspirasi ahli dan aspirasi rakyat dapat difahami –
dapat dipenuhi. Kepimpinan akan menjadi lebih
berkesan, jika ahli-ahli secara jujur – secara
ikhlas, secara berani – secara tegas, menyuarakan
kebenaran. Kepimpinan akan menjadi bertambah
berkesan, jika pemimpin pula bersedia, dengan dada
lapang – fikiran terbuka, menerima suara dari
ahli-ahli lalu memberi perhatian kepada setiap
teguran, pandangan, saranan dan cadangan.
SENARIO SEMASA
Saudara-Saudari
5. Dunia menyambut tahun 2005 dengan perasaan hiba
dan sedih. Bencana tsunami melanda Lautan Hindi pada
26 Disember lalu. Lebih dua ratus ribu nyawa
terkorban. Lebih dua juta warga Asia menjadi miskin,
hilang harta – hilang sumber pencarian. Peristiwa
tersebut adalah satu peringatan kepada manusia akan
kebesaran kuasa ILAHI. Bencana tersebut telah
memperlihatkan rasa kemanusiaan yang tinggi di
kalangan warga dunia. Pelbagai bentuk bantuan
dihulurkan, termasuk dari kalangan warga Malaysia.
Betapa dunia ini akan menjadi lebih aman dan lebih
tenteram, jika sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi
ini, dijadikan pegangan hidup terutama di kalangan
mereka yang memiliki kuasa.
6. Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2005 akan berada
pada tahap sederhana. Harga minyak dunia yang terus
meningkat mempunyai kesan langsung kepada ekonomi
dunia. Asia terus bangkit untuk menjadi pusat
graviti pembangunan dan paksi utama ekonomi dunia.
Asia Timur memiliki segala potensi untuk menjadi
pusat perdagangan dan pusat ekonomi dunia. Di
samping China dan Jepun, India sedang bergerak
rancak dan diramalkan dalam tahun 2015, menjadi
kuasa ekonomi ketiga dunia selepas China dan Amerika
Syarikat.
7. UMNO sedang melangkah masuk ke usia 60 tahun.
Negara Malaysia di ambang usia 48 tahun merayakan
kemerdekaan. Wawasan 2020, telah 15 tahun berlalu
dan kini tinggal 15 tahun lagi untuk memastikan
matlamat menjadi negara maju akan tercapai.
Rancangan Malaysia Kelapan telah sampai ke hari
senja Fajar Rancangan Malaysia Kesembilan akan
menyingsing.
8. Kita berada di era globalisasi – era yang
menjadikan dunia begitu terbuka lagi terdedah. Kita
berada di era teknologi maklumat dan komunikasi –
era yang ditimbuni pelbagai maklumat dan
merangkaikan dunia bagai tercantum. Kita berada di
era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan – era
ekonomi yang memberi nilai tinggi kepada pengetahuan
dan harta intelek. Globalisasi, teknologi maklumat
dan komunikasi, serta ekonomi berpaksikan
pengetahuan, berpengaruh besar dalam mencorakkan
budaya sosial, budaya ekonomi dan budaya politik
warga dunia.
HUBUNGAN ANTARABANGSA
Saudara-Saudari
9. Dalam era globalisasi, Malaysia tidak dapat
meneruskan agenda pembangunannya secara
bersendirian. Pembangunan ekonomi negara bukan
sahaja bergantung kepada sumber domestik, tetapi
juga kepada sumber-sumber kewangan, ilmu dan
kepakaran dari luar. Dalam usaha memelihara
kepentingan Malaysia di arena antarabangsa, kita
perlu mengurus dan mentadbir secara bijak jalinan
perhubungan yang diwujudkan dengan negara-negara
lain melalui dasar luar yang berprinsip, bebas dan
pragmatik. Adalah penting untuk Malaysia mengamalkan
dasar luar yang berkecuali dan tidak bersekutu
supaya perhubungan baik dapat dijalinkan dengan
semua negara, walaupun berbeza pendapat dan
ideologi. Namun, kita perlu konsisten dengan prinsip
yang kita pegang supaya Malaysia kekal dihormati,
mendapat kefahaman dan kepercayaan di peringkat
antarabangsa.
10. Kepentingan negara di peringkat antarabangsa
semakin menyeluruh; kerana itu pancang-pancang
kepentingan Malaysia ditempatkan di serata dunia
melalui pejabat-pejabat perwakilan dan pesuruhjaya
perdagangan. Kita perlu menghadapi isu-isu sejagat
menyentuh keamanan, kedaulatan, kemerdekaan,
perdagangan global, sistem kewangan dan perbankan
global, serta pelbagai lagi protokol antarabangsa.
Kita menyertai pelbagai badan antarabangsa dan turut
diberikan kepercayaan memimpin OIC dan NAM. Malaysia
juga akan diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi
ASEAN pada akhir bulan ini. Pertama kali dalam
sejarah, Malaysia secara serentak
dipertanggungjawabkan menjadi Pengerusi kepada tiga
badan antarabangsa. Pada bulan Disember akan datang,
kita akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan
Puncak Asia Timur yang pertama. Kita tidak mahu
sekadar memanaskan kerusi sepanjang tempoh
melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kita perlu
membawa kemajuan dan memberikan dimensi baru kepada
organisasi-organisasi antarabangsa tersebut.
11. Pada Jun 2004, Majlis Perniagaan NAM telah
dilancarkan di Kuala Lumpur. Majlis tersebut
bertindak sebagai platform kepada komuniti peniaga
negara ahli untuk mewujudkan jaringan perhubungan
kerjasama Selatan-Selatan. Pada Mei 2005, kita telah
menganjurkan Mesyuarat Peringkat Menteri Pergerakan
Negara-Negara Berkecuali buat pertama kalinya bagi
membincangkan isu pembangunan wanita. Deklarasi
mesyuarat tersebut menegaskan bahawa peranan dan
penglibatan wanita dalam segenap aspek, di semua
sektor dan di pelbagai peringkat, adalah perlu bagi
mencapai keadilan gender.
12. Adalah menjadi azam saya sebagai Pengerusi OIC
untuk memberikan penekanan terhadap agenda ekonomi.
Sejak Mac yang lalu, Malaysia telah melancarkan
program membinaupaya bagi negara-negara miskin dalam
OIC agar pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara
mereka dapat dirangsangkan. Bahawa negara Islam yang
lebih maju ekonominya akan lebih stabil politiknya,
akan lebih dihormati di peringkat antarabangsa, akan
berupaya bersuara secara lebih berkesan.
13. Selaras dengan wawasan tersebut, Malaysia
mempelopori agenda pembangunan ekonomi untuk OIC.
Malaysia merintis usaha menganjurkan Forum
Perdagangan OIC pada 20 Jun yang lalu. Kita
memulakan usaha menggubal Pelan Induk untuk
membangunkan industri perkhidmatan kewangan Islam
bagi tempoh 10 tahun. Tabung Bon OIC telah
dicadangkan untuk membiayai program pembangunan
prasarana, terutama di kalangan negara anggota yang
miskin. Malaysia akan terus berusaha memperjuangkan
agenda ekonomi OIC, terutama sepanjang tempoh kita
menjadi Pengerusi OIC.
14. Keupayaan kita menyuarakan kepentingan
kumpulan-kumpulan yang kita wakili, tanpa gentar dan
ragu-ragu, telah membolehkan Malaysia berperanan
secara berkesan di forum-forum antarabangsa.
Malaysia dihormati kerana kebijaksanaan mengamalkan
diplomasi halus secara tersirat, terutama dalam
usaha merintis perdamaian serta membantu
menyelesaikan krisis dan konflik. Malaysia
berperanan aktif membantu menyatukan
kumpulan-kumpulan yang berkrisis di Kampuchea, di
Bosnia dan di Filipina. Malaysia akan tampil ke
hadapan secara aktif untuk membantu program
membangunkan Iraq dan proses damai di Palestin.
15. Malaysia berpegang teguh kepada prinsip
kedaulatan sesebuah negara, walau sekecil mana
sekalipun. Berpegang kepada prinsip tersebut,
Malaysia tegas dengan pendirian bahawa tanggungjawab
mengawal perairan di Selat Melaka adalah
tanggungjawab kita. Kita sama sekali tidak akan
membenarkan tentera asing membuat rondaan di
perairan berkenaan. Kehadiran mereka tanpa kebenaran
kita, merupakan satu pencerobohan yang kita anggap
tidak menghormati kedaulatan negara kita.
16. Imej Islam pada kaca mata masyarakat
antarabangsa telah dihitamkan semenjak peristiwa 11
September di New York. Ini diperburukkan lagi dengan
pelbagai insiden keganasan yang berlaku selepas itu.
Yang terakhir, keganasan di London pada 7 Julai yang
lalu. Dalam konteks ini, saya mempunyai tiga misi
yang ingin dilaksanakan. Pertama, saya akan tegas
menggesa masyarakat antarbangsa, terutamanya
kuasa-kuasa besar, supaya memahami isu-isu yang
menjadi punca sebenar yang mencetuskan keganasan,
antaranya dasar kuasa besar terhadap Palestin dan
Iraq. Kedua, sebagai Pengerusi OIC, adalah menjadi
tanggungjawab saya untuk menerangkan kepada
masyarakat dunia, bahawa Islam adalah agama
kedamaian yang menentang keganasan. Ketiga, sebagai
Perdana Menteri Malaysia, saya bertanggungjawab
untuk memaparkan kepada dunia bahawa Malaysia ialah
sebuah negara Islam moden, dinamik, bertanggungjawab
dan boleh dipercayai untuk menjadi rakan
perdagangan, dan tempat yang selamat untuk melabur
dan melancong.
ISLAM
Saudara-Saudari
17. Jika di halusi, orang Melayu telah berjaya
menegakkan syiar Islam, bukan sahaja di negara kita
tetapi di persada antarabangsa, melalui kemajuan
negara dan kemajuan ummah yang telah kita capai.
Kita juga sedar bahawa Islam dan ajarannya boleh
diperalatkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu, bukan
sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara, untuk
tujuan memenuhi agenda sempit. Atas nama Islam,
mereka sanggup melakukan perbuatan melampau bersifat
ganas. Yang amat kita sesalkan, tindakan mereka ini
setiap kalinya membawa kepada kemusnahan,
penderitaan dan porak peranda kepada manusia
sejagat, termasuk juga orang Islam, yang
rata-ratanya tidak berdosa.
18. Kita bertanggungjawab memastikan agar budaya
ekstremisme dan tindakan ganas menggunakan nama dan
lambang Islam sama sekali tidak berlaku di negara
ini. Kita bertanggungjawab melindungi orang Melayu
dan umat Islam, dari menjadi alat kepada mana-mana
pihak yang mahu menjayakan agenda sempit mereka.
Sebarang kealpaan akan memberi ruang kepada mereka,
membuat pelbagai perubahan yang boleh memporak
perandakan umat Islam dan juga menjejas hubungan
harmoni yang terjalin antara kaum di negara ini.
19. Kerana itulah kita perkenalkan pendekatan Islam
Hadhari. Pendekatan Islam Hadhari, memerlukan
perlaksanaan jangka panjang kerajaan, untuk
memastikan masyarakat Islam kembali mengamalkan
Islam secara syumul, dalam konteks lebih luas dan
pelbagai, meliputi segenap aspek kehidupan. Islam
Hadhari kita perkenalkan, agar umat Islam di
Malaysia bangun, menjadi pelopor tamadun baru yang
dapat memimpin masyarakat dan membawa perubahan
progresif lagi menyeluruh. Insya’Allah, umat Islam
akan mampu bergerak, seiring dengan bangsa-bangsa
yang telah mencapai taraf maju. Malah, umat Islam
akan lebih perkasa untuk mempertingkatkan daya
usaha, mengukir kejayaan lebih besar – mencipta
kecemerlangan lebih agung, komited kepada usaha
melahirkan umat terbilang. Alhamdulillah, pendekatan
ini semakin diterima oleh segenap lapisan
masyarakat. Pendekatan Islam yang kita laksanakan
semakin difahami dan sekaligus menghilangkan
kebimbangan di kalangan rakyat bukan Islam.
20. Kejayaan kita mewarnakan imej Islam yang
progresif lagi dinamik, telah menimbulkan
kebimbangan kepada kumpulan politik yang selama ini,
menganggap Islam sebagai monopoli mereka.
Usaha-usaha sabotaj lalu dilakukan. Islam Hadhari
sengaja disalahtafsirkan untuk menimbulkan
kekeliruan. Islam Hadhari bukanlah satu
penyelewengan terhadap kesucian ajaran Islam. Islam
Hadhari merupakan satu pendekatan – satu kaedah yang
menepati kehendak agama; satu usaha penambahbaikan
untuk membolehkan perlaksanaan lebih menyeluruh dan
bersifat semasa dapat dilakukan. Ia sama sekali
tidak mengubah prinsip asas dan nilai teras ajaran
Islam. Ia merupakan satu juzuk daripada kesempurnaan
Islam yang perlu diberikan kefahaman dan penekanan
berdasarkan keperluan dan cabaran semasa.
21. Mereka yang membuat tohmah, bahawa Islam Hadhari
hanya memberikan penekanan kepada keduniaan, telah
melakukan fitnah. Prinsip pertama Islam Hadhari,
‘Keimanan dan Ketakwaan kepada Allah’, secara nyata
menetapkan bahawa pendekatan Islam Hadhari
meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah
sebagai teras utama, Al Quran dan Sunnah Rasulullah
sebagai teras pegangan dan rujukan, fardhu ain -
fardhu kifayah dijalin bersama. Pendekatan ini tidak
susah difahami, jika tafsiran dilakukan secara
ikhlas. Penerangan tentang Islam Hadhari turut
dilakukan di peringkat antarabangsa. Bermula dari
ucapan yang saya sampaikan di Universiti Oxford pada
Oktober tahun lalu, perkara ini telah mendapat
perhatian utama dalam lawatan-lawatan rasmi saya ke
India, ke Pakistan, ke New Zealand, ke Australia dan
ke Jerman. Hujah berhubung Islam Hadhari telah
diterima baik.
22. Kita tetap mempertahankan pendekatan Islam
Hadhari untuk menjadi tunjang pembangunan umat Islam
di Malaysia. Insya’Allah, Islam Hadhari akan menjadi
pendorong - menjadi inspirasi paling utama,
mencetuskan kekuatan, untuk kita mengorak langkah
besar ke hadapan, mencapai kecemerlangan, di samping
memberi sumbangan ke arah pembangunan tamadun insan.
Islam Hadhari dapat menjadi kompas, memandu
kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk
itu, program pembangunan Kerajaan akan dihuraikan
dari perspektif Islam Hadhari, sama ada program
pendidikan, ekonomi, kesihatan, membina keluarga
bahagia, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah,
mengatasi jenayah dan segala gejala buruk dalam
masyarakat. Kerajaan akan memantau segala program
yang dilaksanakan, yang berkait dengan Islam
Hadhari, agar mencapai tujuan dan maksudnya.
23. Islam Hadhari memberi keutamaan kepada
pembangunan membina peradaban. Kualiti kehidupan
mesti kita perbaiki melalui pembangunan insan yang
menguasai ilmu – menguasai kemahiran. Pembangunan
fizikal yang diperlengkap dengan pembangunan insan,
dilaksanakan secara berhikmah dan seimbang, akan
berupaya mengembalikan kegemilangan dan keagungan
Islam dan umatnya. Kecemerlangan Islam pada suatu
masa dahulu akan kita garap semula di bumi Malaysia.
Kegemilangan Islam ketika Tamadun Andalusia, kita
jadikan benih inspirasi untuk di semai di Putrajaya.
EKONOMI
Saudara-Saudari
24. Malaysia kini berada dalam persaingan liga utama
perdagangan dunia. Negara tidak diberikan sebarang
keistimewaan dalam menghadapi persaingan peringkat
global. Negara kecil seperti Malaysia berada dalam
padang permainan yang sama untuk bersaing dengan
kuasa-kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat,
Kesatuan Eropah, China, Jepun dan India. Walaupun
menghadapi saingan sengit, kita bersyukur kerana
Malaysia masih merupakan salah satu negara
perdagangan utama dunia. Perangkaan tahun 2004
mencatatkan Malaysia menduduki tangga ke 18 terbesar
di dunia dari segi eksport dan berada di tangga ke
20 dari segi import. Jumlah dagangan import dan
eksport negara di tahun 2004 mencatat angka 882
bilion ringgit.
25. Malaysia telah diiktiraf sebagai negara kedua
terpantas membangun selepas India, dan mengatasi
China, berasaskan laporan Deutsche Bank mengenai
potensi pertumbuhan 34 negara yang maju dan sedang
membangun, dalam tempoh 2006 hingga 2020. Laporan
juruperunding AT Kearney, menunjukkan Malaysia
berada di antara 15 negara utama dari segi destinasi
pelaburan asing (F.D.I.), dan berada pada tangga
ketiga dunia sebagai lokasi “outsourcing”. Laporan
AT Kearney bersama majalah Foreign Policy meletakkan
Malaysia sebagai satu-satunya negara dari Benua
Asia, tersenarai dalam 20 negara paling global.
Kedudukan Malaysia seperti ini adalah potensi besar
negara kita. Kita mesti cepat mengambil peluang,
merebut dan cepat bertindak, bersedia dan sanggup
bersaing dan meraih nikmat sebanyak mungkin. Ke arah
itu, persediaan secukupnya perlu dibuat. Rancangan
Malaysia Kesembilan adalah perancangan dan juga
pelan tindakan. Untuk itu, kita perlu menetapkan
beberapa strategi.
26. Pertama; kita perlu melipat gandakan usaha
memastikan pencapaian ekonomi negara berada di tahap
tinggi dan mapan. Menyedari sumber kita adalah
terbatas, kita perlu menguruskan ekonomi negara
secara berhemah dengan memikirkan kesan jangka
panjang kepada rakyat dan kepada negara. Amat
penting bagi negara memikirkan tabungan dan simpanan
untuk masa hadapan. Perbelanjaan negara harus
dikawal, mengimbangkan keperluan pembangunan bagi
menjana pertumbuhan dan pada masa yang sama
memastikan bahawa negara tidak menghadapi defisit
besar sehingga menjadi masalah membebankan, kerana
perbelanjaan Kerajaan melebihi hasil.
27. Keputusan paling berat yang perlu saya lakukan
di tahun pertama mengambil tanggungjawab sebagai
Perdana Menteri adalah untuk mengurangkan defisit
negara. Walaupun demikian, tidaklah bermakna kita
sampai ke peringkat melakukan tindakan drastik
hingga menyebabkan ekonomi menguncup. Kita lakukan
pendekatan untuk mengurangkan defisit secara
beransur-ansur supaya ekonomi dapat terus
berkembang. Perbelanjaan pembangunan yang munasabah
masih diperuntukkan. Kita membina kekuatan untuk
menghadapi sebarang kemungkinan. Bagi sesetengah
pihak, ketetapan untuk mengurangkan defisit negara
dilihat sebagai menafikan mereka dari sumber
pendapatan yang biasa diperolehi. Saya amat sedar
bahawa ketetapan kerajaan itu tidak merupakan
keputusan yang popular dari segi politik. Namun bagi
saya, kepentingan jangka panjang negara hendaklah
diutamakan; kepentingan negara hendaklah mendahului
kepentingan politik kumpulan atau kepentingan
politik diri sendiri.
28. Kedua; membina ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sesungguhnya, Malaysia tidak lagi berada di kalangan
negara-negara yang rendah kos perniagaannya.
Malaysia pula belum dianggap berada dalam kumpulan
negara-negara berteknologi tinggi. Negara sebenarnya
tersepit di antara dua senario ini. Keadaan ini
menuntut kita melakukan anjakan pendekatan, memberi
perhatian berat terhadap usaha-usaha meningkatkan
produktiviti, menggalakkan kreativiti dan inovasi,
serta memberi fokus kepada bidang-bidang yang kita
mempunyai kelebihan persaingan.
29. Rancangan Malaysia Kesembilan dirangka pada
waktu Wawasan 2020 berada di fasa kedua. Komponen
perkakasan dalam bentuk fizikal dan prasarana telah
dibangunkan dengan hebat dalam masa 15 tahun pertama
selepas Wawasan 2020 diperkenalkan. Di peringkat
melangkah ke fasa kedua Wawasan 2020, tumpuan akan
diberikan kepada komponen perisian, menyentuh
pembangunan modal insan untuk mengoptimumkan
penggunaan segala kemudahan yang telah dibangunkan
di fasa pertama, demi menjamin bahawa matlamat
mencapai taraf negara maju, menjadi realiti. Sumber
manusia adalah elemen terpenting dalam ekonomi
negara dan mesti ditambah nilai dan dibinaupaya.
Program-program Penyelidikan dan Pembangunan,
penguasaan sains dan teknologi, penguasaan ilmu dan
kemahiran, perlu digalakkan bagi membolehkan warga
menghasilkan ciptaan baru, produk baru, pendapatan
baru, kekayaan baru.
30. Ketiga; usaha memperkukuh asas dan fundamental
ekonomi negara serta menerokai bidang-bidang
pertumbuhan baru. Sektor pertanian akan dimangkinkan
melalui pengunaan bioteknologi dan kaedah pertanian
termoden; sektor pembuatan ditingkatkan melalui
penggalakan pelaburan dalam industri yang lebih
berteknologi tinggi; sementara sektor perkhidmatan
dimantapkan, khususnya dalam bidang-bidang
pelancongan, pendidikan, kesihatan, sistem kewangan
Islam dan pemasaran makanan halal yang mempunyai
potensi besar.
31. Keempat; terus memperbaiki sistem penyampaian
perkhidmatan awam. Kecekapan dan kepantasan sistem
penyampaian di negara maju dan di negara-negara yang
mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rancak harus
dijadikan perbandingan. Para pelabur, termasuk para
pelabur dari dalam negara, tidak ada masa dan tidak
ada kesabaran untuk menanti lama. Para pelabur
memilih tempat pelaburan yang memudahkan urusniaga.
Dalam hasrat kita untuk sektor swasta menjana
pertumbuhan ekonomi, sistem penyampaian yang cekap
dan cepat menjadi semakin kritikal. Sistem
penyampaian yang cekap dan cepat hendaklah
benar-benar berlaku dan dilaksanakan, tidak sekadar
tercatat di atas kertas. Kerenah birokrasi perlu
dihapuskan. Malah sistem penyampaian yang cekap dan
cepat berperanan besar menghindar rasuah. Amalan
rasuah turut meningkatkan kos urusniaga dan sekali
gus menjejaskan daya saing.
32. Kelima; usaha meningkatkan integriti dan
membasmi rasuah meliputi setiap sektor – merangkumi
setiap kumpulan; baik di sektor awam, di badan-badan
berkanun kerajaan, di dalam Syarikat-Syarikat
Berkaitan Kerajaan (GLC), termasuk juga di sektor
swasta. Kerajaan amat sedar bahawa rasuah mempunyai
kesan meningkatkan kos pentadbiran, kos urusniaga
dan kos pengeluaran, sekali gus menjejaskan kualiti
perkhidmatan dan produk.
33. Keenam; meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan
memperbaiki kemudahan perumahan, kesihatan,
pendidikan dan prasarana.
34. Ketujuh; membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh
masa Rancangan Malaysia Kesembilan.
35. Kelapan; merapatkan jurang pendapatan dan jurang
pembangunan. Melaksanakan langkah-langkah untuk
merapatkan jurang antara bumiputera dengan bukan
bumiputera, antara bumiputera sesama bumiputera dan
meningkatkan pendapatan di kalangan kumpulan
berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana
melalui usaha meningkatkan modal budaya. Begitu juga
usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar
dan luar bandar, dan di antara wilayah, dengan
meningkatkan prasarana-prasarana asas dari segi
sistem perhubungan dan komunikasi, bekalan elektrik
dan air, serta institusi pendidikan dan kesihatan,
di kawasan-kawasan yang masih tertinggal. Pendekatan
inovatif perlu diperkenalkan untuk mempelbagai dan
meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemasaran di
kawasan luar bandar.
36. Kesembilan; memastikan sumber tenaga manusia
bukan hanya dibinaupaya, malah ditingkatkan
keupayaan (capacity enhancement). Pengangguran
merupakan satu pembaziran lebih-lebih lagi apabila
berlaku di kalangan mereka yang memiliki kelulusan
akademik. Sektor awam dan sektor swasta tidak lagi
dapat menampung bilangan siswazah yang semakin hari
bertambah ramai. Para siswazah dan lepasan sekolah
perlu dibuka mindanya merintis daya usaha untuk
sedia bekerja sendiri. Institusi pengajian dan
latihan perlu menilai bentuk-bentuk kursus dan
pengajian supaya lebih relevan dengan keperluan
semasa sumber manusia.
37. Kesepuluh; membina sebuah negara bangsa yang
aman, stabil, makmur dan bersatu padu. Program
ekonomi dan program sosial yang dirancangkan
perlulah membuktikan sikap adil lagi saksama
terhadap warga Malaysia yang berbilang kaum. Di
samping itu, iklim pelaburan harus terus memberi
keyakinan kepada para pelabur.
38. Saya menghargai sebarang pandangan dari para
perwakilan yang boleh dijadikan input tambahan
kepada Rancangan Malaysia Kesembilan yang sedang
berada di peringkat akhir penggubalan.
AGENDA MELAYU
Saudara-Saudari
39. Orang Melayu bimbang jika mereka terus
ketinggalan dari segi kedudukan sosial dan
pencapaian ekonomi dan berada di belakang kaum-kaum
lain di negara ini. Pada tahun enam puluhan, jurang
pendapatan antara Melayu dan bukan Melayu amat luas.
Pendapatan orang Melayu kurang dari separuh
pendapatan bukan Melayu. Jurang ekonomi ini telah
menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu.
Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan
sedar adalah penting untuk dilaksanakan program yang
dapat mengimbangkan kedudukan sosial dan kedudukan
ekonomi antara warga pelbagai kaum di negara ini.
Orang Melayu perlu diberi peluang untuk berupaya
mempertingkatkan diri, supaya dapat menikmati hasil
kemakmuran ekonomi negara secara saksama. Dasar
Ekonomi Baru (DEB) lalu diperkenalkan sebagai
formula untuk menangani jurang ketidakseimbangan
pencapaian ekonomi antara rakyat pelbagai kaum.
40. DEB memberi nafas baru kepada orang Melayu. DEB
instrumental dalam menghasilkan lebih ramai individu
Melayu yang berpendidikan dan berkemahiran. DEB
berjaya meramaikan tenaga profesional dan pengurusan
Melayu di peringkat tinggi. DEB telah membuka ruang
untuk orang Melayu berpeluang menceburi pelbagai
bidang keusahawanan. Ini memangkinkan pertumbuhan
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera.
Melalui DEB, kelas menengah Melayu telah berjaya
diperbesarkan. DEB telah berjaya menaikkan taraf
hidup dan pendapatan orang Melayu. Pada permulaan
DEB, orang Melayu hanya berpendapatan 44 sen bagi
setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu.
Setelah berakhirnya DEB pada tahun 1990, orang
Melayu telah berjaya merapatkan jurang pendapatan
kepada 57 sen bagi setiap satu Ringgit, pertambahan
sebanyak 30%. Pegangan ekuiti Bumiputera meningkat
daripada 2% pada permulaan DEB kepada 19% pada tahun
2000.
41. Perangkaan sehingga ini menunjukan sasaran DEB
masih belum tercapai sepenuhnya. Ketidakcapaian
sasaran DEB bukan kerana kesilapan dasar.
Ketidakcapaian tersebut antaranya disebabkan
berlakunya ketirisan di peringkat perlaksanaan. Ini
kerana perbuatan pihak-pihak yang lebih mementingkan
keuntungan jangka pendek (rent-seeking). Peluang
yang diberi, disalahgunakan. Peluang yang diberi,
tidak diguna bagi membesarkan urusniaga atau
meningkatkan kapasiti bagi menjamin kejayaan yang
berterusan dan berpanjangan. Permit, kemudahan,
kontrak dan lesen yang diperuntukkan kepada
Bumiputera, diserahkan kepada orang lain, untuk
keuntungan jangka pendek. Setelah itu mereka meminta
peluang baru, kali kedua, kali ketiga, kali keempat
dan seterusnya; hingga akhirnya lahir satu angkatan
Melayu yang menjadikan peranan orang tengah sebagai
profesion.
42. Bumiputera diperuntukkan kuota memiliki saham,
dalam hasrat mencapai sasaran pegangan ekuiti
Bumiputera. Malang bagi bangsa, apabila saham-saham
kuota bumiputera, dijual dalam masa terdekat untuk
keuntungan cepat. Ada pula individu Melayu diberikan
amanah memimpin syarikat-syarikat, mudah berpuas
hati dengan penyertaan secara simbolik, memilih
berada di pinggiran. Lebih malang lagi apabila
terdapat pula yang tidak memenuhi amanah dan
melakukan penyelewengan. Selain dari menggagalkan
pencapaian matlamat DEB, ketirisan yang berlaku
telah mencemarkan imej Melayu, di samping menghakis
keyakinan umum terhadap orang Melayu.
43. Masalah yang kita hadapi ini harus ditangani
dengan minda dan wadah perjuangan baru. Ia menyentuh
maruah bangsa. Ia mengancam survival bangsa.
Malaysia di hari semalam, di era DEB baru
diperkenalkan, berbeza dengan Malaysia di era
ekonomi berpaksikan pengetahuan. Era ekonomi
berpaksikan pengetahuan memberi pulangan kepada
mereka yang berpengetahuan, mereka yang benar-benar
bekerja, mereka yang berupaya menambah nilai. Orang
Melayu harus mencetus semangat perjuangan baru.
Kelemahan perlaksanaan DEB harus diperbetulkan. Kita
hendaklah menyemarakkan usaha perjuangan Melayu
dengan strategi pendekatan meningkat keupayaan yang
dapat meningkatkan pendapatan orang Melayu, secara
mutlak – secara berpanjangan. Sasaran kita adalah
untuk mencapai matlamat pendapatan yang saksama,
iaitu bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan
Melayu, orang Melayu juga akan menikmati pendapatan
yang sama.
44. Insan adalah aset penting negara. Modal insan
adalah penentu kepada ‘survival’ sesebuah negara.
Modal insan merupakan aset yang boleh disuntik nilai
tambah, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya
modal budaya. Pembangunan modal insan adalah penentu
bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti
negara. Oleh itu, Kerajaan akan melipat gandakan
usaha dengan memperbanyak dan mempelbagaikan program
pembangunan insan di kalangan orang Melayu untuk
membina kekuatan fizikal, mental dan rohani. Usaha
akan ditingkatkan dan kemudahan akan ditambah untuk
meramaikan anak Melayu menguasai sains – menguasai
teknologi supaya sumber bekalan tenaga profesional
Melayu terus terjamin.
45. Dalam merealisasikan hasrat tersebut, pendidikan
dan latihan yang berasaskan pengetahuan dan
teknologi terkini perlu diperkukuhkan dan akan
menjadi teras utama agenda pembangunan Melayu.
Agenda pembangunan Melayu mesti memberi tumpuan
kepada perisian dan kandungan untuk berupaya
meningkatkan kualiti hidup dan modal budaya. Orang
Melayu tidak harus berhenti berusaha menimba ilmu –
menguasai kemahiran. Orang Melayu harus belajar dan
terus belajar sepanjang hayat. Peluang kepada orang
Melayu dalam bidang keusahawanan, profesional atau
pekerjaan akan terus disediakan. Namun, tatacara
memberi peluang perlu dirangka semula, untuk
mempastikan peluang diberikan kepada mereka yang
benar-benar berkelayakan, berkebolehan serta
mempunyai etika kerja - etika urusniga yang betul.
Kegiatan meraih untung mudah melalui syarikat
bertopengkan Bumiputera serta budaya niaga orang
tengah, sementara sifatnya. Amalan ini bercanggah
dengan semangat DEB dan perlu dihentikan.
46. Strategi baru ini juga akan memastikan orang
Melayu dapat terus membangun tanpa terlalu
bergantung kepada Kerajaan. Orang Melayu harus bijak
mempelbagaikan pengetahuan, mempelbagaikan
kemahiran, mempelbagaikan produk dan mempelbagaikan
perkhidmatan, selaras dengan arus pembangunan
ekonomi masa kini. Kerajaan tidak mahu orang Melayu
selama-lamanya bergantung kepada aktiviti ekonomi
yang sama dengan punca pendapatan yang terbatas.
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera
mesti berupaya berdiri di atas kaki sendiri dan
merebut pelbagai peluang baru, sementara kerajaan
berperanan sebagai pemangkin dan fasilitator. Jika
sikap berdikari tidak disemai dan dijadikan prinsip,
dikhuatiri hasrat melahirkan Masyarakat Perdagangan
dan Perindustrian Bumiputera tidak mungkin tercapai.
47. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian
Bumiputera perlu menjadi satu tenaga penggerak –
satu kuasa pemangkin, menjayakan Melayu dalam bidang
urus niaga. Usahawan Melayu perlu berkembang hingga
dapat menjana kegiatan ekonomi kepada generasi
pelapis, kepada anggota keluarga dan kepada
bangsanya. Lebih ramai usahawan Melayu hendaklah
berupaya memperbesarkan urus niaga hingga ke
peringkat dapat mewariskan kepada anggota keluarga
turun temurun. Berniaga dan berusaha sendiri mesti
menjadi sebahagian besar budaya Melayu.
48. Sasaran pegangan ekuiti 30% Bumiputera perlu
terus diusahakan. Pegangan hartanah orang Melayu
tidak boleh dipandang ringan. Hartanah adalah sumber
asli yang semakin terhad. Kita wajib memastikan
milik hartanah Melayu terjamin, terutama di
kawasan-kawasan bandar, supaya Melayu pada satu hari
nanti tidak terpinggir di bumi dan tanah airnya.
Tanah wakaf, tanah adat, tanah rezab Melayu, tanah
pusaka, tanah pertanian tidak harus terbiar; malah
perlu dimajukan, dirancang pembangunan yang dapat
memberi nilai dan pulangan ekonomi tinggi.
49. Kita perlu lebih bijaksana dalam merangka
strategi untuk mencapai matlamat DEB. Orang Melayu
yang bersikap betul dan bersifat jujur, apabila
diberikan peluang, berupaya membuktikan kejayaan.
Begitu ramai anak Melayu mencipta kejayaan, berada
di tangga sosioekonomi lebih tinggi, hanya dalam
tempoh satu generasi. Melayu seperti inilah yang
perlu kita ramaikan dan ditingkatkan kapasitinya.
50. Keadaan kritikal yang melanda sektor pembinaan
perlu dijadikan pengajaran. Putaran ekonomi ada
turun naiknya. Kini sektor pembinaan tidak serancak
dahulu. Keresahan tentunya melanda para kontraktor
Melayu. Yang paling terjejas adalah kontraktor
‘kelas F’; kalangan kontraktor awam yang menjalankan
kerja-kerja di bawah harga 200,000 ringgit.
Kontraktor ‘kelas F’ diwujudkan dengan tujuan
membimbing bumiputera menceburi sektor binaan.
Kerancakan yang berlaku dalam sektor binaan dalam
tempoh masa 15 tahun yang lalu, telah memberikan
tanggapan yang salah kepada kontraktor Melayu.
Mungkin, ramai usahawan Melayu beranggapan, bahawa
sektor binaan merupakan lubuk untuk dapat membantu
mereka menjadi kaya secara berkekalan dan
berterusan. Lalu mereka berlumba-lumba menceburi
bidang ini. Mereka yang terkemudian, menceburinya
pada ketika bidang ini sudah sampai ke tahap
ketepuan (saturation point).
51. Dalam tahun 1992, bilangan kontraktor bumiputera
berjumlah 2,049 meningkat kepada lebih 46,000 dalam
tahun 2005, peningkatan lebih 2,000 % (dua ribu
peratus) dalam tempoh 13 tahun. Dari bilangan
tersebut lebih 42,000 berdaftar sebagai kontraktor
‘kelas F’. Hampir kesemua kontraktor ini
mengharapkan kontrak kerajaan. Jika semua kumpulan
dan kelas kontraktor digabungkan, terdapat lebih
63,000 kontraktor di negara ini; sebuah negara yang
mempunyai 25 juta penduduk; menjadikan nisbah, satu
kontraktor bagi setiap 350 penduduk (1:350);
sedangkan di negara Jepun yang memperoleh pelbagai
kontrak antarabangsa, nisbah kontraktor kepada
penduduk adalah satu kontraktor bagi setiap 10,000
penduduk (1:10,000).
52. Dalam tahun 2003, Kementerian Kewangan
meluluskan sebanyak 26 billion ringgit bagi
kerja-kerja pembinaan dan bekalan, peruntukan
tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakang. Dalam
tahun 2005, sebanyak 22 billion ringgit
diperuntukkan bagi sektor binaan dan khidmat
bekalan, jumlah kedua terbesar dalam tempoh lima
tahun kebelakang. Namun kerja-kerja binaan masih
belum cukup untuk diagihkan kepada bilangan
kontraktor yang begitu ramai. Nyatalah dalam sektor
binaan, bekalan perkhidmatan telah jauh mengatasi
permintaan. Terlalu ramai pemain berada dalam padang
permainan yang semakin kecil. Dalam tahun 2000,
kerajaan terpaksa melancarkan projek ‘pre-emptive’,
meluluskan peruntukan 3 juta ringgit bagi setiap
kawasan Parlimen bagi membantu ‘survival’ kontraktor
‘kelas F’. Sepatutnya para kontraktor telah dapat
membaca mesej bahawa masa hadapan sektor pembinaan
tidak lagi berlangit cerah. Kerajaan tidak akan
dapat selama-lamanya berperanan sebagai ‘Santa
Claus’, menganugerahkan pemberian sepanjang musim.
Mereka sepatutnya mengenali realiti lalu
mempersiapkan diri beralih ke sektor lain. Malangnya
langkah sekali lalu (one-off) Kerajaan untuk
menolong ketika itu, telah disalahtanggap mesejnya.
Bilangan kontraktor yang sepatutnya menguncup, terus
berkembang.
53. Kerajaan menerima banyak permintaan, desakan,
malah ugutan untuk memperbanyakkan kerja-kerja
binaan secara “pump priming”, (secara kerajaan
memperuntukkan projek dan kontrak), seperti yang
pernah dilakukan dahulu. Setiap ayat ada noktahnya.
Setiap kitab ada penghujungnya. Kerajaan perlu
mengambil pendirian berasaskan realiti. Kerajaan
bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara secara
berhemah; memikirkan kesan jangka panjang kepada
rakyat dan negara. Perbelanjaan negara harus
dikawal, mengimbangkan keperluan untuk membolehkan
pertumbuhan ekonomi dijana tetapi tidak pula
meletakkan negara dalam keadaan kewangan yang tidak
stabil dan berisiko tinggi. Semua negara turut
tertakluk kepada hukum-hukum ekonomi ini. Tiada
negara yang terpelihara daripada diisytiharkan
muflis jika ia tidak dapat menampung
perbelanjaannya. Kerajaan tidak boleh berpura-pura,
bermain silap mata, menipu ahli UMNO – menipu orang
Melayu – menipu rakyat, mengadakan yang tiada. Orang
Melayu tidak harus dibina kekuatan berasaskan
kepalsuan. Saya sedar ketetapan ini merupakan
keputusan yang tidak popular. Tetapi, kita harus
mengambil jalan yang betul. ‘Survival’ bangsa dan
negara hendaklah diutamakan.
54. Orang Melayu perlu mencari sumber kekayaan baru,
terutamanya dalam sektor-sektor yang orang Melayu
telah lama bertapak dan mempunyai kelebihan. Sumber
baru kekayaan banyak terdapat di sektor pertanian,
perikanan dan industri-industri yang berkaitan.
Sektor-sektor ini berupaya memberi jaminan pulangan
berjangka masa panjang. Banyak potensi yang dapat
diraih; tambahan pula dengan penggunaan kaedah
bioteknologi. Kunjungan ke Netherlands meningkatkan
keyakinan saya akan potensi besar yang terdapat
dalam sektor-sektor ini. Sebuah negara seluas negeri
Pahang, berupaya menjadi pengekspot barangan makanan
dan pertanian kedua terbesar di dunia. Kita perlu
mengubah minda dan merubah penilaian terhadap sektor
tersebut. Orang Melayu hendaklah ke hadapan,
merintis usaha menjadi petani moden – memajukan
sektor pertanian – menggerakkan industri asas tani.
55. Kesediaan dan keberanian menceburkan diri dalam
sektor-sektor baru yang berpotensi besar, dalam
industri perkhidmatan dan industri pelancongan,
dipercayai dapat membangunkan kumpulan usahawan
Melayu yang lebih bijak meneroka peluang, inovatif
dan lebih cekal untuk bersaing. Pengalihan aktiviti
ke sektor-sektor baru ini amatlah perlu untuk
memastikan penyertaan orang Melayu dalam sektor
urusniaga dan ekonomi yang lebih lebar dan luas
parameternya. Kerajaan juga akan memberi penekanan
kepada pembangunan sektor industri kecil dan
sederhana yang memiliki potensi besar untuk
berkembang.
56. Kerajaan akan meneruskan dasar membantu
perkembangan orang Melayu di sektor swasta dengan
menyediakan pelbagai insentif dan membangunkan
prasarana. Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau
GLC akan memainkan peranan yang besar dalam agenda
pembangunan bangsa Melayu. Program vendor dan
perolehan GLC akan ditambahbaik untuk memberi lebih
banyak peluang kepada vendor-vendor bumiputera yang
tulen dan kompeten, berdaya saing – berdaya maju.
GLC juga diarah menerajui sektor-sektor baru,
merintis usaha – membuka jalan, kepada penyertaan
sektor swasta bumiputera. GLC diminta memberi
penekanan kepada pembangunan modal insan,
terutamanya membantu perkembangan dan pembangunan
bumiputera dalam bidang profesional, pengurusan dan
pentadbiran. Tumpuan perlu dijuruskan kepada
komponen perisian, dari segi pengetahuan dan
kemahiran, nilai dan etika. Usaha hari ini adalah
usaha pengisian, usaha dalaman, usaha yang sukar
dilihat secara zahir, usaha yang memakan masa untuk
bangsa melalui satu marathon panjang. Bahawa
perubahan itu memakan masa yang panjang, tetapi kita
harus berani memulakan langkah pertama pada hari
ini.
57. Wawasan 2020 jelas menggariskan bahawa menjelang
tahun 2020, akan berlaku kesaksamaan kaum dengan
tiadanya mana-mana kaum yang akan dikaitkan dengan
kemunduran ekonomi. Bahawa kesaksamaan tidaklah
bermaksud bahawa setiap individu perlu sama
kedudukan ekonominya. Kesaksamaan yang dianjurkan
perlu mengambil kira merit ataupun prestasi. Untuk
tempoh 14 tahun yang akan datang, kita perlu membuat
lonjakan besar sekiranya kita berhasrat mencapai
tahap kesaksamaan. Usaha mengorak langkah perkasa
perlu kita lakukan sekarang. Kita perlu menyusun
strategi yang betul demi masa hadapan orang Melayu
dan masa hadapan negara. Kita perlu memastikan
bahawa segala tindakan berada pada landasan yang
betul supaya kita tidak tersasar haluan.
58. Kita perlu belajar dari kejayaan. Kita harus
mengambil iktibar dari kesilapan. Bahawa usaha-usaha
untuk meningkatkan kedudukan dan prestasi masyarakat
Melayu perlu dilakukan dalam konteks ekonomi
Malaysia yang pesat membangun. Kita perlu mengambil
langkah bijak memastikan kita secara saksama
mendapat manfaat dari proses pembangunan pesat yang
berlaku itu. Kita perlu memastikan pembaziran tidak
berlaku; sebaliknya pengurusan ekonomi mempunyai
wajah dan karakter yang melambangkan kecekapan,
keberkesanan, keadilan dan kesaksamaan. Persaingan
sengit yang perlu dihadapi tidak memberi ruang untuk
pembaziran berlaku; tidak membenarkan tanggungjawab
besar diserahkan kepada mereka yang tidak mempunyai
cukup pengalaman, pengetahuan, kapasiti dan
keupayaan. Kita perlu memastikan agar kecekapan dan
keberkesanan dioptimumkan. Kita perlu memastikan
agar setiap ringgit yang kita laburkan, membawa
pulangan maksimum.
59. Tiada siapa boleh menafikan bahawa untuk tempoh
masa yang lalu, ada di antara kita yang telah
menerima terlalu banyak bantuan dan peluang. Ada
juga yang menerima bantuan dan peluang terlalu
sedikit. Ada pula yang tidak langsung mendapat
bantuan atau peluang. Ini tidak adil. Ini jauh dari
saksama. Ini sama sekali tidak boleh diteruskan. Ia
perlu dihapuskan dari kamus amalan kita. Tidak akan
pernah ada cukup kontrak, lesen, permit mahupun
biasiswa untuk semua bumiputera. Kita perlu sedar
bahawa apabila kita memberikan biasiswa kepada
seorang pelajar bumiputera yang kurang layak, kita
sebenarnya menidakkan hak pelajar bumiputera lain
yang lebih layak. Ini jelas tidak adil.
Menganugerahkan kontrak kepada syarikat bumiputera
yang tidak boleh menjalankan kerja secara berkualiti
sedangkan ada syarikat bumiputera lain yang lebih
berwibawa, juga tidak adil dan tidak boleh
diteruskan. Malah, ia merupakan satu pembaziran.
Menganugerahkan lesen dan permit dengan tidak
berasaskan kepada merit atau prestasi, juga
merupakan satu pembaziran. Ia jelas satu
ketidakadilan. Kita tidak boleh menutup sebelah
mata, tidak boleh memandang ringan kepada segala
amalan ini.
60. Segalanya ini adalah budaya yang boleh
memusnahkan bangsa dan akhirnya menjatuhkan negara.
Ini perlu kita hentikan. Kita meletakkan sasaran
pencapaian, tetapi orang lain mentertawakan kita.
Apa yang dapat kita banggakan jika pegangan ekuiti
Bumiputera hanya tercatat di atas kertas, apabila
berlaku ketirisan kerana ada Bumiputera yang
digunakan memegang ekuiti tersebut bagi pihak orang
lain. Ini penyelewengan namanya. Agenda ekonomi
untuk Bumiputera tidak akan tercapai selamanya, jika
keadaan ini dibiarkan terus berlaku. Kita perlulah
berani melakukan langkah pembetulan secara tegas.
61. Kita tidak mungkin berjaya membuat lonjakan,
sekiranya kita tidak memberi fokus kepada usaha
memupuk budaya mencapai kecemerlangan, berdasarkan
merit – berdasarkan prestasi di kalangan bumiputera.
Kita harus berani membetulkan kesilapan yang
berlaku. Ini mungkin berat; tetapi kita hendaklah
memiliki azam politik, secara tegas, bertekad
melakukan pembetulan. Kita sebenarnya melakukan
langkah serius lagi bertanggungjawab untuk
memperkuatkan Melayu. Jika kita terus melayan mereka
yang hanya tahu menggunakan jalan belakang, kita
sebenarnya menyuburkan satu budaya yang akan
merosakkan bangsa. Kita harus membina budaya baru.
Budaya orang Melayu berani berlumba, membina
prestasi, memiliki merit, hingga mereka dapat
bersaing dan bertanding di peringkat antarabangsa.
62. Asas paling kukuh untuk kita berjaya dalam
persaingan yang berteraskan merit dan prestasi
adalah kemahuan, kemahiran, kepakaran, ilmu
pengetahuan, daya tahan dan kerja kuat. Jika setiap
aspek ini disemai dan dipupuk dalam diri Melayu,
kita tidak perlu bimbang, Insya’Allah kejayaan
sedang menunggu orang Melayu. Jika komponen-komponen
ini tidak ada dalam diri kita, janganlah bermimpi
untuk kejayaan datang menggolek. Atas dasar inilah,
bermula dari sekarang, dengan azam politik, dengan
kekuatan politik yang ada pada UMNO, kita menumpukan
fokus kepada sektor pendidikan dan sektor latihan,
membangunkan modal insan – memperkaya modal budaya
keluarga Melayu.
63. Orang yang berani membuat pembaharuan, percaya
dan yakin, bahawa bantuan dan pertolongan paling
besar dan paling penting akan kita terima, apabila
kita memanfaatkan segala apa yang dikurniakan oleh
ALLAH SWT. Dua tangan yang dikurniakan, dua kaki
kanan dan kiri, dan yang paling penting akal fikiran
kurniaan ILAHI. Kita tidak ada banyak masa. Bermula
dari hari ini, marilah kita menyediakan diri,
mengambil langkah membuat lonjakan; lonjakan perkasa
bagi orang Melayu.
64. Menentukan kejayaan Melayu adalah wadah
perjuangan UMNO – adalah amanah – adalah
tanggungjawab. Matlamat kita adalah untuk melihat
orang Melayu berperanan signifikan lagi bermakna.
Wawasan 2020 telah meletakkan matlamat untuk
mencapai taraf negara maju. Negara maju yang kita
impikan itu hendaklah disertai dengan kemajuan orang
Melayu. Apalah ertinya kepada bangsa, jika negaranya
maju, sedangkan orang Melayu hidup merempat. Kita
harus memastikan, bukan sahaja ‘Melayu tidak hilang
di dunia’, tetapi Melayu juga tidak ketinggalan.
Perubahan minda berteraskan kejayaan – berakarkan
kecemerlangan, perlu disemai – perlu dipupuk. Kita
telah mula melangkah dari garisan permulaan. Kita
hendaklah melangkah dan terus melangkah, biar beribu
dan berjuta langkah. Setiap langkah kita bersama,
akan memperkuatkan jiwa, memperkukuhkan minda,
menanam keyakinan, menyemai keazaman, dalam hati –
dalam minda, bahawa kita akan menjadi individu yang
cemerlang, gemilang dan terbilang.
65. Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang,
gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun
bilangan kita, walau dalam sebesar manapun
perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau
di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita
akan dirasai dan diberi penghormatan. Kita laksana
menara tinggi, teguh kukuh terpacak di bumi –
memuncak gagah menyunsung angin. Bahawa kitalah ‘The
Towering Malays’ – berdiri gagah – melangkah segak,
bijak akal bersalut iman, dilontar ke laut menjadi
pulau, dicampak ke darat menjadi gunung.
UMNO
Saudara-Saudari
66. UMNO adalah milik bangsa Melayu, yang telah
diwarisi sejak 59 tahun yang lalu. Alhamdulillah,
semakin dewasa usianya, UMNO menjadi semakin teguh –
semakin kukuh. UMNO telah diterima dan diberikan
kepercayaan sebagai pejuang yang telah membuktikan
kejayaan meningkatkan syiar Islam, mendaulatkan
kemerdekaan negara dan memartabatkan maruah bangsa.
67. UMNO terus relevan dan segar sepanjang zaman –
sepanjang masa. UMNO relevan kerana kita selalu
memikirkan tentang masa depan dan tentang generasi
akan datang. Kita berpandangan jauh dan merancang
untuk jangka masa panjang. Kita dirahmati dengan
dianugerahkan kuasa menerajui Kerajaan. Kita diberi
kepercayaan oleh rakyat semenjak kemerdekaan.
Matlamat perpaduan rakyat, konsep perkongsian kuasa,
Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020 – semuanya berkisar
untuk membina masa depan yang lebih baik bagi
generasi akan datang. Kita meletakkan batu asas bagi
pembangunan Malaysia yang lebih aman, maju dan
makmur. Kita berusaha dengan gigih untuk mencapai
hasrat dan cita-cita.
68. UMNO terus merimbun segar, berbunga sepanjang
waktu – berbuah sepanjang musim. UMNO segar kerana
taman UMNO ditumbuhi tunas-tunas baru, disiram –
dibaja, dijaga baik – dipelihara cermat. Menjadi
tanggungjawab angkatan dewasa di dalam UMNO,
mendidik dan mengasuh anak-anak muda di dalam parti,
agar dapat berperanan dan berkebolehan untuk
mewarisi amanah bangsa. Generasi muda UMNO, di dalam
Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri – dan kini Putera
– perlu dibawa bersama, diberi panduan – diberi
bimbingan, diberi nasihat – diberi asuhan. Generasi
muda ini semakin terpelajar dan berkemahiran.
Sumbangan mereka diperlukan dalam usaha membina
bangsa yang maju dan negara yang berjaya.
69. Ahli-ahli UMNO bukan sekadar mewarisi sebuah
organisasi, malah mewarisi satu amanah perjuangan –
mewarisi satu tanggungjawab terhadap bangsa,
terhadap negara, terhadap agama. Tanggungjawab
menjadi lebih berat dengan kemenangan besar yang
telah diberikan oleh rakyat kepada UMNO dan BARISAN
NASIONAL dalam pilihan raya umum pada bulan Mac
2004. Ahli-ahli UMNO adalah pendukung kepada
Kerajaan yang telah dipilih melalui proses
demokrasi. Kita tidak sekali-kali mempermainkan
kuasa pemerintahan dan tidak berniat untuk
mengecewakan rakyat. Kata dan janji kita bukan
pemanis mulut ataupun sekadar perhiasan parti.
Penguatkuasaan undang-undang secara tegas bukan
bertujuan menganiayai sesiapa. Kuasa pemerintahan
adalah amanah rakyat yang perlu ditunaikan dengan
ikhlas – dengan insaf, melalui perancangan dasar,
program dan pelaksanaan yang kukuh lagi jitu. Kita
perlu menentukan kelangsungan dan kesinambungan
perjuangan UMNO supaya matlamat yang kita kejar,
tidak keciciran dan hasrat yang kita impikan, tetap
tercapai.
70. Kita menghadapi pelbagai cabaran, rintangan dan
halangan dalam mendokong perjuangan parti dan
meneruskan usaha membangunkan negara. Namun kita
cekal dan tabah, melaksanakan amanah bangsa. Ada
kalanya usaha kita terhakis dan tergencat, umpamanya
ketika dilanda krisis kewangan Asia di tahun 1997.
Berpegang kepada sumpah, ‘berpantang mati sebelum
ajal’, UMNO tidak cepat menyerah kalah. Kita tidak
mengalah kerana cabaran, tidak kalah kerana
halangan, tidak tunduk kerana persaingan. Malah UMNO
berguru pada pengalaman, berpegang kukuh kepada
perjuangan, teguh beriman dengan syariat. Kita yakin
pada kuasa dan rahmat ILAHI. Selagi kita ikhlas
menjalankan tuntutan ILAHI, beramanah menunaikan
harapan rakyat, selagi itu Allah SWT merahmati usaha
kita.
71. UMNO kini bukan sahaja dinilai secara dalaman
malah turut mendapat perhatian dunia luar. Penilaian
dunia luar terhadap UMNO akan mempengaruhi imej
mereka terhadap negara kita. Cabaran kepada UMNO
menjadi lebih besar apabila UMNO diburuk-burukkan
kepada dunia luar melalui tindak tanduk parti-parti
pembangkang serta orang-orang perseorangan termasuk
dari kalangan yang tidak lagi mendapat tempat di
dalam UMNO.
72. Faktor perpaduan ahli, adalah penentu kepada
kekuatan UMNO. UMNO terbukti dapat mengharungi
pelbagai dugaan selagi ahli-ahli parti kekal bersatu
– cekal berpadu. UMNO Insya’Allah tidak mungkin
dikalahkan oleh tenaga luar. Tetapi kita perlu
waspada dengan perbuatan dari kalangan ahli-ahli
UMNO sendiri yang boleh menyebabkan UMNO jatuh.
73. UMNO tidak boleh selesa dan berbangga dengan
bilangan ahli yang ramai. UMNO perlu memastikan
ahli-ahli parti memiliki integriti yang tinggi.
Ahli-ahli UMNO perlu mengawal disiplin diri –
memiliki nilai moral yang tinggi – menghindarkan
diri dari terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang
membolehkan rakyat memandang kita secara sinis.
Disiplin dan kawalan moral hendaklah dilakukan
secara dalaman; berasa malu untuk terlibat dengan
kegiatan-kegiatan maksiat. Organisasi yang kuat dan
kekal berkuasa, amat mengutamakan disiplin.
Integriti ahli-ahli UMNO akan dapat dipenuhi jika
parti mengutamakan amalan disiplin yang tinggi.
Integriti ahli-ahli parti akan menentukan budaya
yang terdapat di dalam parti.
74. Usaha kerajaan memerangi rasuah tidak akan
tercapai jika budaya rasuah terdapat di dalam UMNO.
Amalan politik menggunakan wang untuk berkuasa
adalah rasuah politik. UMNO tidak mungkin kekal
dihormati, jika rasuah politik tidak kita hapuskan.
Proses pemilihan dalam UMNO diberikan perhatian
kerana UMNO menguasai kerajaan. Pemimpin yang
dipilih oleh UMNO akan menjadi pemimpin kerajaan.
Jika pemimpin UMNO diragui integritinya, maka usaha
kerajaan pimpinan UMNO untuk memerangi rasuah
tentulah tidak dapat meyakinkan mana-mana pihak.
75. Proses mendisiplinkan ahli adalah rumit. Banyak
rungutan yang dibuat. Banyak cerita yang sampai
kepada saya; banyak kisah yang berlegar di telinga
rakyat, tentang berlakunya salah laku di kalangan
ahli semasa proses pemilihan pemimpin. Ahli UMNO
sukar menidakkan tentang berlakunya amalan rasuah
politik. Proses siasatan sangatlah rumit kerana
pihak yang merungut tidak bersedia tampil kehadapan
memberi bukti yang boleh mensabitkan kesalahan.
Kaedah dan mekanisme disiplin yang ada perlu terus
ditambahbaik. Kita perlu memberikan sokongan kepada
setiap langkah dan setiap usaha untuk mendisiplinkan
ahli dan membersihkan UMNO dari rasuah.
76. Pemimpin yang korup akan membawa UMNO
mengamalkan budaya politik yang korup. UMNO yang
korup tidak berupaya menyemai nilai-nilai bersih di
kalangan bangsa. Usaha kerajaan memerangi rasuah
hendaklah bertunjang dari dalam UMNO. Ahli-ahli UMNO
hendaklah berasa jijik terhadap rasuah dan tidak
merelakan walau setitik darah yang mengalir di dalam
batang tubuhnya atau ahli keluarganya bersumberkan
rasuah.
77. Ahli dan pemimpin parti yang terlibat dengan
rasuah tidak dapat menipu diri, tentunya tidak lagi
dianggap bersih dari kanta penglihatan mereka yang
sama-sama terlibat dalam proses memberi dan menerima
sogokan, dan sama sekali tidak terlepas dari
pengetahuan Allah SWT. Mungkin perbuatan rasuah
dapat dilindungi dengan pelbagai dalih di kalangan
sesama insan, namun tidak ada siapa yang dapat
terlepas dari pembalasan ILAHI. Bahawa jika tuhan
mengasihi seseorang hamba, maka hukuman di atas
sesuatu kemungkaran itu akan dilakukan di dunia ini,
dengan tujuan menginsafkan seseorang insan supaya
segera bertaubat. Di sebaliknya, bagi mereka yang
diberikan tangguh, pembalasan akan tetap menunggu di
Padang Mahsyar.
78. Saya berazam dan nekad membersihkan UMNO dari
rasuah politik. Ianya adalah satu usaha yang berat
bagai mendaki gunung yang curam. Saya tidak akan
kecewa. Saya tidak berputus asa. Selagi hayat di
kandung badan, saya akan terus menyeru, memohon
kekuatan dari ILAHI, berikhtiar menghapuskan rasuah.
Ahli-ahli UMNO hendaklah berpegang kuat kepada
prinsip, “bersedia tidak terpilih memegang jawatan”
dari terjerumus mengamalkan rasuah. Tidak ada apa
yang dapat dibanggakan, jika jawatan diperoleh
secara rasuah, kemudiannya mendorong diri menerima
rasuah, untuk dijadikan modal menghulurkan rasuah.
Malang bagi bangsa, jika kekayaan digunakan untuk
mendagangkan kuasa dan jika kuasa pula digunakan
untuk menggadaikan bangsa.
79. UMNO perlu mengembalikan budaya politik yang
sihat. Budaya politik yang menjadi prinsip pegangan
para pengasas UMNO pada masa dahulu. UMNO ditegakkan
atas nilai perjuangan bangsa dan atas khidmat kepada
bangsa. UMNO tidak sekadar parti politik tetapi
hendaklah kita jadikan sebagai satu rumpun besar
keluarga Melayu untuk memenuhi satu wadah
perjuangan. Bila UMNO dilihat sebagai organisasi
politik semata-mata, ahli-ahli UMNO menjadi lebih
cenderung untuk bersaing bagi mendapatkan tempat dan
kuasa. Teknologi diguna menyebar fitnah. Penulis
diupah menyerang individu tertentu. Buruk sangka
mengatasi semangat persaudaraan. Berita buruk cepat
dimamah – cerita baik sukar diterima.
80. Jika UMNO dapat diperkukuhkan dengan semangat
kekeluargaan, maka kita akan dapat membina tali
persaudaraan sesama kita. Kita akan mencari dan
menerima yang terbaik di kalangan kita untuk
memimpin. Kita akan sepakat bersama melaksanakan
tugas. Setiap niat – setiap langkah kita, adalah
untuk memperkukuhkan UMNO. Untuk itu kita akan
menghargai mereka yang terbaik dari kalangan kita.
Mereka yang terbaik, diangkat menjadi pemimpin
hingga terbina budaya politik yang lebih segar,
melangsungkan wadah perjuangan bangsa, diberikan
sokongan – diberikan keyakinan. Kita akan dapat
menghidupkan budaya politik yang berupaya membina
insan merdeka, penuh keimanan, bertakwa dan
mengabdikan diri sepenuh-penuhnya kepada Allah SWT.
81. Budaya politik sihat akan menyelamatkan UMNO –
akan terus memperkasakan UMNO. Perjuangan
memartabatkan bangsa mustahil tercapai sekiranya
UMNO tidak bersih, tidak cekap dan tidak amanah.
Ahli-ahli UMNO janganlah terlibat dengan
kegiatan-kegiatan yang boleh mencemarkan nama baik
UMNO. UMNO perlu diperkasakan dengan organisasi yang
utuh dan keahlian yang kukuh. Saidina Ali (k.w.)
mengingatkan kita dengan pesanan yang bermaksud
kemungkaran dapat ditegakkan oleh organisasi yang
kemas, dan sebaliknya, kebenaran boleh diruntuhkan
sekiranya organisasi lemah.
82. Oleh itu, organisasi UMNO di setiap peringkat
perlu dipertingkatkan sejajar dengan kedudukan UMNO
sebagai peneraju politik di dalam negara. Urusetia
UMNO – sama ada di peringkat nasional, negeri,
pergerakan, bahagian dan cawangan – perlu
dibinaupaya dengan kelengkapan moden yang
secukupnya, didokong oleh sumber tenaga manusia yang
cekap dan berhemah. Urusetia UMNO perlu
diperkukuhkan supaya berupaya menjadi pemangkin dan
pendokong kepada pelbagai usaha pucuk pimpinan dan
pelbagai kegiatan ahli parti.
83. Ahli-ahli UMNO yang mencorak dan mewarnakan
perjuangan parti. Ahli-ahli UMNO yang akan
menentukan jatuh bangunnya parti, maju mundurnya
bangsa dan kuat lemahnya negara. Ahli-ahli UMNO
perlu diperkasakan dengan kefahaman dan kesedaran
tentang erti perjuangan, tentang peranan dan
tanggung jawab ahli kepada parti. Ahli-ahli perlu
diperkasakan dengan sifat-sifat berhemah tinggi,
beramanah dan berjiwa besar serta dipertingkatkan
kebolehan mereka dengan ilmu dan kemahiran.
Sesungguhnya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di
setiap peringkat, yang menjauhkan diri dari
perkara-perkara negatif, dari mengadu domba, dari
menyebarkan fitnah, atau dari membawa cerita-cerita
yang melemahkan pemimpin, parti dan ahli-ahli.
Sebaliknya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di
setiap peringkat, yang kukuh kebolehannya, yang kuat
semangatnya, yang cekal hatinya, yang soleh imannya,
yang elok muafakatnya dan yang berkesan kerjanya.
PENUTUP
Saudara-Saudari
84. Negara telah menetapkan sasaran mencapai taraf
negara maju dalam tahun 2020. Tanggungjawab
pengisian wawasan adalah tanggungjawab kita bersama.
The ‘towering Malays’ ketika itu perlu berada di
barisan utama dalam sebuah negara Malaysia yang
telah pun mencapai taraf negara maju. Merekalah
Melayu, berani bersaing - berupaya berganding di
liga antarabangsa, dalam gelanggang yang lebih luas
- dengan peraturan yang lebih bebas.
85. Kita tidak boleh lari dari jihad untuk
menentukan pencapaian tersebut. Kita tidak boleh
membenarkan diri kita diganggu oleh suara-suara yang
masih bercakap tentang isu-isu remeh dan kecil.
Kegiatan bercakap, kita biarkan kepada mereka yang
selama ini tidak ada kerja lain, melainkan bercakap.
UMNO mengutamakan kerja. Masa dan tenaga kita
hendaklah kita tumpukan kepada kerja. Kerja yang
berat dan tugas yang rumit tidak dapat saya penuhi
secara sendirian. Saya berterima kasih kepada
rakan-rakan di dalam Majlis Tertinggi terutamanya
kepada Timbalan Presiden parti, Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang
sama-sama mengambil tanggungjawab bekerja bersama
saya.
86. Saya menghargai kerjasama serta sokongan yang
telah diberikan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi,
barisan pimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri, pimpinan
di peringkat Perhubungan Negeri dan pimpinan di
peringkat Bahagian dan Cawangan untuk merealisasikan
wawasan dan impian perjuangan UMNO. Saya mengucapkan
tahniah atas kreativiti Pergerakan Pemuda mewujudkan
Putera UMNO dengan tujuan untuk meningkatkan
penyertaan secara aktif golongan remaja di dalam
parti.
87. Semoga kita senantiasa mendapat petunjuk dan
hidayat ILAHI dalam memenuhi perjuangan yang kita
warisi ini. Semoga parti kita, bangsa kita, warga
kita, negara kita dan agama kita terus terpelihara.
Semoga kita dapat memenuhi cita-cita perjuangan
kita. Marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam
Surah Al-Faatir, ayat 10:
Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia
berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah
Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.
Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik
(yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan
ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh
pula diangkatNya naik (sebagai amal yang makbul –
yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya).
Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan
kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), adalah bagi
mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat
mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.
88. Marilah kita memohon petunjuk dan keredaan ILAHI
dengan membaca umul-kitab:
AL-FATIHAH
BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!
HIDUP UMNO!
HIDUP MELAYU! |