|
petikan mengenai
agenda Melayu dalam teks ucapan Pak Lah pada
perhimpunan Agung UMNO 2005. Untuk teks penuh
klik sini
AGENDA
MELAYU
Saudara-Saudari
39. Orang Melayu bimbang jika mereka terus
ketinggalan dari segi kedudukan sosial dan
pencapaian ekonomi dan berada di belakang kaum-kaum
lain di negara ini. Pada tahun enam puluhan, jurang
pendapatan antara Melayu dan bukan Melayu amat luas.
Pendapatan orang Melayu kurang dari separuh
pendapatan bukan Melayu. Jurang ekonomi ini telah
menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu.
Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan
sedar adalah penting untuk dilaksanakan program yang
dapat mengimbangkan kedudukan sosial dan kedudukan
ekonomi antara warga pelbagai kaum di negara ini.
Orang Melayu perlu diberi peluang untuk berupaya
mempertingkatkan diri, supaya dapat menikmati hasil
kemakmuran ekonomi negara secara saksama. Dasar
Ekonomi Baru (DEB) lalu diperkenalkan sebagai
formula untuk menangani jurang ketidakseimbangan
pencapaian ekonomi antara rakyat pelbagai kaum.
40. DEB memberi nafas baru kepada orang Melayu. DEB
instrumental dalam menghasilkan lebih ramai individu
Melayu yang berpendidikan dan berkemahiran. DEB
berjaya meramaikan tenaga profesional dan pengurusan
Melayu di peringkat tinggi. DEB telah membuka ruang
untuk orang Melayu berpeluang menceburi pelbagai
bidang keusahawanan. Ini memangkinkan pertumbuhan
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera.
Melalui DEB, kelas menengah Melayu telah berjaya
diperbesarkan. DEB telah berjaya menaikkan taraf
hidup dan pendapatan orang Melayu. Pada permulaan
DEB, orang Melayu hanya berpendapatan 44 sen bagi
setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu.
Setelah berakhirnya DEB pada tahun 1990, orang
Melayu telah berjaya merapatkan jurang pendapatan
kepada 57 sen bagi setiap satu Ringgit, pertambahan
sebanyak 30%. Pegangan ekuiti Bumiputera meningkat
daripada 2% pada permulaan DEB kepada 19% pada tahun
2000.
41. Perangkaan sehingga ini menunjukan sasaran DEB
masih belum tercapai sepenuhnya. Ketidakcapaian
sasaran DEB bukan kerana kesilapan dasar.
Ketidakcapaian tersebut antaranya disebabkan
berlakunya ketirisan di peringkat perlaksanaan. Ini
kerana perbuatan pihak-pihak yang lebih mementingkan
keuntungan jangka pendek (rent-seeking). Peluang
yang diberi, disalahgunakan. Peluang yang diberi,
tidak diguna bagi membesarkan urusniaga atau
meningkatkan kapasiti bagi menjamin kejayaan yang
berterusan dan berpanjangan. Permit, kemudahan,
kontrak dan lesen yang diperuntukkan kepada
Bumiputera, diserahkan kepada orang lain, untuk
keuntungan jangka pendek. Setelah itu mereka meminta
peluang baru, kali kedua, kali ketiga, kali keempat
dan seterusnya; hingga akhirnya lahir satu angkatan
Melayu yang menjadikan peranan orang tengah sebagai
profesion.
42. Bumiputera diperuntukkan kuota memiliki saham,
dalam hasrat mencapai sasaran pegangan ekuiti
Bumiputera. Malang bagi bangsa, apabila saham-saham
kuota bumiputera, dijual dalam masa terdekat untuk
keuntungan cepat. Ada pula individu Melayu diberikan
amanah memimpin syarikat-syarikat, mudah berpuas
hati dengan penyertaan secara simbolik, memilih
berada di pinggiran. Lebih malang lagi apabila
terdapat pula yang tidak memenuhi amanah dan
melakukan penyelewengan. Selain dari menggagalkan
pencapaian matlamat DEB, ketirisan yang berlaku
telah mencemarkan imej Melayu, di samping menghakis
keyakinan umum terhadap orang Melayu.
43. Masalah yang kita hadapi ini harus ditangani
dengan minda dan wadah perjuangan baru. Ia menyentuh
maruah bangsa. Ia mengancam survival bangsa.
Malaysia di hari semalam, di era DEB baru
diperkenalkan, berbeza dengan Malaysia di era
ekonomi berpaksikan pengetahuan. Era ekonomi
berpaksikan pengetahuan memberi pulangan kepada
mereka yang berpengetahuan, mereka yang benar-benar
bekerja, mereka yang berupaya menambah nilai. Orang
Melayu harus mencetus semangat perjuangan baru.
Kelemahan perlaksanaan DEB harus diperbetulkan. Kita
hendaklah menyemarakkan usaha perjuangan Melayu
dengan strategi pendekatan meningkat keupayaan yang
dapat meningkatkan pendapatan orang Melayu, secara
mutlak – secara berpanjangan. Sasaran kita adalah
untuk mencapai matlamat pendapatan yang saksama,
iaitu bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan
Melayu, orang Melayu juga akan menikmati pendapatan
yang sama.
44. Insan adalah aset penting negara. Modal insan
adalah penentu kepada ‘survival’ sesebuah negara.
Modal insan merupakan aset yang boleh disuntik nilai
tambah, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya
modal budaya. Pembangunan modal insan adalah penentu
bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.
Oleh itu, Kerajaan akan melipat gandakan usaha
dengan memperbanyak dan mempelbagaikan program
pembangunan insan di kalangan orang Melayu untuk
membina kekuatan fizikal, mental dan rohani. Usaha
akan ditingkatkan dan kemudahan akan ditambah untuk
meramaikan anak Melayu menguasai sains – menguasai
teknologi supaya sumber bekalan tenaga profesional
Melayu terus terjamin.
45. Dalam merealisasikan hasrat tersebut, pendidikan
dan latihan yang berasaskan pengetahuan dan
teknologi terkini perlu diperkukuhkan dan akan
menjadi teras utama agenda pembangunan Melayu.
Agenda pembangunan Melayu mesti memberi tumpuan
kepada perisian dan kandungan untuk berupaya
meningkatkan kualiti hidup dan modal budaya. Orang
Melayu tidak harus berhenti berusaha menimba ilmu –
menguasai kemahiran. Orang Melayu harus belajar dan
terus belajar sepanjang hayat. Peluang kepada orang
Melayu dalam bidang keusahawanan, profesional atau
pekerjaan akan terus disediakan. Namun, tatacara
memberi peluang perlu dirangka semula, untuk
mempastikan peluang diberikan kepada mereka yang
benar-benar berkelayakan, berkebolehan serta
mempunyai etika kerja - etika urusniga yang betul.
Kegiatan meraih untung mudah melalui syarikat
bertopengkan Bumiputera serta budaya niaga orang
tengah, sementara sifatnya. Amalan ini bercanggah
dengan semangat DEB dan perlu dihentikan.
46. Strategi baru ini juga akan memastikan orang
Melayu dapat terus membangun tanpa terlalu
bergantung kepada Kerajaan. Orang Melayu harus bijak
mempelbagaikan pengetahuan, mempelbagaikan kemahiran,
mempelbagaikan produk dan mempelbagaikan
perkhidmatan, selaras dengan arus pembangunan
ekonomi masa kini. Kerajaan tidak mahu orang Melayu
selama-lamanya bergantung kepada aktiviti ekonomi
yang sama dengan punca pendapatan yang terbatas.
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera
mesti berupaya berdiri di atas kaki sendiri dan
merebut pelbagai peluang baru, sementara kerajaan
berperanan sebagai pemangkin dan fasilitator. Jika
sikap berdikari tidak disemai dan dijadikan prinsip,
dikhuatiri hasrat melahirkan Masyarakat Perdagangan
dan Perindustrian Bumiputera tidak mungkin tercapai.
47. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian
Bumiputera perlu menjadi satu tenaga penggerak –
satu kuasa pemangkin, menjayakan Melayu dalam bidang
urus niaga. Usahawan Melayu perlu berkembang hingga
dapat menjana kegiatan ekonomi kepada generasi
pelapis, kepada anggota keluarga dan kepada
bangsanya. Lebih ramai usahawan Melayu hendaklah
berupaya memperbesarkan urus niaga hingga ke
peringkat dapat mewariskan kepada anggota keluarga
turun temurun. Berniaga dan berusaha sendiri mesti
menjadi sebahagian besar budaya Melayu.
48. Sasaran pegangan ekuiti 30% Bumiputera perlu
terus diusahakan. Pegangan hartanah orang Melayu
tidak boleh dipandang ringan. Hartanah adalah sumber
asli yang semakin terhad. Kita wajib memastikan
milik hartanah Melayu terjamin, terutama di
kawasan-kawasan bandar, supaya Melayu pada satu hari
nanti tidak terpinggir di bumi dan tanah airnya.
Tanah wakaf, tanah adat, tanah rezab Melayu, tanah
pusaka, tanah pertanian tidak harus terbiar; malah
perlu dimajukan, dirancang pembangunan yang dapat
memberi nilai dan pulangan ekonomi tinggi.
49. Kita perlu lebih bijaksana dalam merangka
strategi untuk mencapai matlamat DEB. Orang Melayu
yang bersikap betul dan bersifat jujur, apabila
diberikan peluang, berupaya membuktikan kejayaan.
Begitu ramai anak Melayu mencipta kejayaan, berada
di tangga sosioekonomi lebih tinggi, hanya dalam
tempoh satu generasi. Melayu seperti inilah yang
perlu kita ramaikan dan ditingkatkan kapasitinya.
50. Keadaan kritikal yang melanda sektor pembinaan
perlu dijadikan pengajaran. Putaran ekonomi ada
turun naiknya. Kini sektor pembinaan tidak serancak
dahulu. Keresahan tentunya melanda para kontraktor
Melayu. Yang paling terjejas adalah kontraktor
‘kelas F’; kalangan kontraktor awam yang menjalankan
kerja-kerja di bawah harga 200,000 ringgit.
Kontraktor ‘kelas F’ diwujudkan dengan tujuan
membimbing bumiputera menceburi sektor binaan.
Kerancakan yang berlaku dalam sektor binaan dalam
tempoh masa 15 tahun yang lalu, telah memberikan
tanggapan yang salah kepada kontraktor Melayu.
Mungkin, ramai usahawan Melayu beranggapan, bahawa
sektor binaan merupakan lubuk untuk dapat membantu
mereka menjadi kaya secara berkekalan dan
berterusan. Lalu mereka berlumba-lumba menceburi
bidang ini. Mereka yang terkemudian, menceburinya
pada ketika bidang ini sudah sampai ke tahap
ketepuan (saturation point).
51. Dalam tahun 1992, bilangan kontraktor bumiputera
berjumlah 2,049 meningkat kepada lebih 46,000 dalam
tahun 2005, peningkatan lebih 2,000 % (dua ribu
peratus) dalam tempoh 13 tahun. Dari bilangan
tersebut lebih 42,000 berdaftar sebagai kontraktor
‘kelas F’. Hampir kesemua kontraktor ini
mengharapkan kontrak kerajaan. Jika semua kumpulan
dan kelas kontraktor digabungkan, terdapat lebih
63,000 kontraktor di negara ini; sebuah negara yang
mempunyai 25 juta penduduk; menjadikan nisbah, satu
kontraktor bagi setiap 350 penduduk (1:350);
sedangkan di negara Jepun yang memperoleh pelbagai
kontrak antarabangsa, nisbah kontraktor kepada
penduduk adalah satu kontraktor bagi setiap 10,000
penduduk (1:10,000).
52. Dalam tahun 2003, Kementerian Kewangan
meluluskan sebanyak 26 billion ringgit bagi
kerja-kerja pembinaan dan bekalan, peruntukan
tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakang. Dalam
tahun 2005, sebanyak 22 billion ringgit
diperuntukkan bagi sektor binaan dan khidmat
bekalan, jumlah kedua terbesar dalam tempoh lima
tahun kebelakang. Namun kerja-kerja binaan masih
belum cukup untuk diagihkan kepada bilangan
kontraktor yang begitu ramai. Nyatalah dalam sektor
binaan, bekalan perkhidmatan telah jauh mengatasi
permintaan. Terlalu ramai pemain berada dalam padang
permainan yang semakin kecil. Dalam tahun 2000,
kerajaan terpaksa melancarkan projek ‘pre-emptive’,
meluluskan peruntukan 3 juta ringgit bagi setiap
kawasan Parlimen bagi membantu ‘survival’ kontraktor
‘kelas F’. Sepatutnya para kontraktor telah dapat
membaca mesej bahawa masa hadapan sektor pembinaan
tidak lagi berlangit cerah. Kerajaan tidak akan
dapat selama-lamanya berperanan sebagai ‘Santa
Claus’, menganugerahkan pemberian sepanjang musim.
Mereka sepatutnya mengenali realiti lalu
mempersiapkan diri beralih ke sektor lain. Malangnya
langkah sekali lalu (one-off) Kerajaan untuk
menolong ketika itu, telah disalahtanggap mesejnya.
Bilangan kontraktor yang sepatutnya menguncup, terus
berkembang.
53. Kerajaan menerima banyak permintaan, desakan,
malah ugutan untuk memperbanyakkan kerja-kerja
binaan secara “pump priming”, (secara kerajaan
memperuntukkan projek dan kontrak), seperti yang
pernah dilakukan dahulu. Setiap ayat ada noktahnya.
Setiap kitab ada penghujungnya. Kerajaan perlu
mengambil pendirian berasaskan realiti. Kerajaan
bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara secara
berhemah; memikirkan kesan jangka panjang kepada
rakyat dan negara. Perbelanjaan negara harus
dikawal, mengimbangkan keperluan untuk membolehkan
pertumbuhan ekonomi dijana tetapi tidak pula
meletakkan negara dalam keadaan kewangan yang tidak
stabil dan berisiko tinggi. Semua negara turut
tertakluk kepada hukum-hukum ekonomi ini. Tiada
negara yang terpelihara daripada diisytiharkan
muflis jika ia tidak dapat menampung
perbelanjaannya. Kerajaan tidak boleh berpura-pura,
bermain silap mata, menipu ahli UMNO – menipu orang
Melayu – menipu rakyat, mengadakan yang tiada. Orang
Melayu tidak harus dibina kekuatan berasaskan
kepalsuan. Saya sedar ketetapan ini merupakan
keputusan yang tidak popular. Tetapi, kita harus
mengambil jalan yang betul. ‘Survival’ bangsa dan
negara hendaklah diutamakan.
54. Orang Melayu perlu mencari sumber kekayaan baru,
terutamanya dalam sektor-sektor yang orang Melayu
telah lama bertapak dan mempunyai kelebihan. Sumber
baru kekayaan banyak terdapat di sektor pertanian,
perikanan dan industri-industri yang berkaitan.
Sektor-sektor ini berupaya memberi jaminan pulangan
berjangka masa panjang. Banyak potensi yang dapat
diraih; tambahan pula dengan penggunaan kaedah
bioteknologi. Kunjungan ke Netherlands meningkatkan
keyakinan saya akan potensi besar yang terdapat
dalam sektor-sektor ini. Sebuah negara seluas negeri
Pahang, berupaya menjadi pengekspot barangan makanan
dan pertanian kedua terbesar di dunia. Kita perlu
mengubah minda dan merubah penilaian terhadap sektor
tersebut. Orang Melayu hendaklah ke hadapan,
merintis usaha menjadi petani moden – memajukan
sektor pertanian – menggerakkan industri asas tani.
55. Kesediaan dan keberanian menceburkan diri dalam
sektor-sektor baru yang berpotensi besar, dalam
industri perkhidmatan dan industri pelancongan,
dipercayai dapat membangunkan kumpulan usahawan
Melayu yang lebih bijak meneroka peluang, inovatif
dan lebih cekal untuk bersaing. Pengalihan aktiviti
ke sektor-sektor baru ini amatlah perlu untuk
memastikan penyertaan orang Melayu dalam sektor
urusniaga dan ekonomi yang lebih lebar dan luas
parameternya. Kerajaan juga akan memberi penekanan
kepada pembangunan sektor industri kecil dan
sederhana yang memiliki potensi besar untuk
berkembang.
56. Kerajaan akan meneruskan dasar membantu
perkembangan orang Melayu di sektor swasta dengan
menyediakan pelbagai insentif dan membangunkan
prasarana. Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau
GLC akan memainkan peranan yang besar dalam agenda
pembangunan bangsa Melayu. Program vendor dan
perolehan GLC akan ditambahbaik untuk memberi lebih
banyak peluang kepada vendor-vendor bumiputera yang
tulen dan kompeten, berdaya saing – berdaya maju.
GLC juga diarah menerajui sektor-sektor baru,
merintis usaha – membuka jalan, kepada penyertaan
sektor swasta bumiputera. GLC diminta memberi
penekanan kepada pembangunan modal insan,
terutamanya membantu perkembangan dan pembangunan
bumiputera dalam bidang profesional, pengurusan dan
pentadbiran. Tumpuan perlu dijuruskan kepada
komponen perisian, dari segi pengetahuan dan
kemahiran, nilai dan etika. Usaha hari ini adalah
usaha pengisian, usaha dalaman, usaha yang sukar
dilihat secara zahir, usaha yang memakan masa untuk
bangsa melalui satu marathon panjang. Bahawa
perubahan itu memakan masa yang panjang, tetapi kita
harus berani memulakan langkah pertama pada hari
ini.
57. Wawasan 2020 jelas menggariskan bahawa menjelang
tahun 2020, akan berlaku kesaksamaan kaum dengan
tiadanya mana-mana kaum yang akan dikaitkan dengan
kemunduran ekonomi. Bahawa kesaksamaan tidaklah
bermaksud bahawa setiap individu perlu sama
kedudukan ekonominya. Kesaksamaan yang dianjurkan
perlu mengambil kira merit ataupun prestasi. Untuk
tempoh 14 tahun yang akan datang, kita perlu membuat
lonjakan besar sekiranya kita berhasrat mencapai
tahap kesaksamaan. Usaha mengorak langkah perkasa
perlu kita lakukan sekarang. Kita perlu menyusun
strategi yang betul demi masa hadapan orang Melayu
dan masa hadapan negara. Kita perlu memastikan
bahawa segala tindakan berada pada landasan yang
betul supaya kita tidak tersasar haluan.
58. Kita perlu belajar dari kejayaan. Kita harus
mengambil iktibar dari kesilapan. Bahawa usaha-usaha
untuk meningkatkan kedudukan dan prestasi masyarakat
Melayu perlu dilakukan dalam konteks ekonomi
Malaysia yang pesat membangun. Kita perlu mengambil
langkah bijak memastikan kita secara saksama
mendapat manfaat dari proses pembangunan pesat yang
berlaku itu. Kita perlu memastikan pembaziran tidak
berlaku; sebaliknya pengurusan ekonomi mempunyai
wajah dan karakter yang melambangkan kecekapan,
keberkesanan, keadilan dan kesaksamaan. Persaingan
sengit yang perlu dihadapi tidak memberi ruang untuk
pembaziran berlaku; tidak membenarkan tanggungjawab
besar diserahkan kepada mereka yang tidak mempunyai
cukup pengalaman, pengetahuan, kapasiti dan
keupayaan. Kita perlu memastikan agar kecekapan dan
keberkesanan dioptimumkan. Kita perlu memastikan
agar setiap ringgit yang kita laburkan, membawa
pulangan maksimum.
59. Tiada siapa boleh menafikan bahawa untuk tempoh
masa yang lalu, ada di antara kita yang telah
menerima terlalu banyak bantuan dan peluang. Ada
juga yang menerima bantuan dan peluang terlalu
sedikit. Ada pula yang tidak langsung mendapat
bantuan atau peluang. Ini tidak adil. Ini jauh dari
saksama. Ini sama sekali tidak boleh diteruskan. Ia
perlu dihapuskan dari kamus amalan kita. Tidak akan
pernah ada cukup kontrak, lesen, permit mahupun
biasiswa untuk semua bumiputera. Kita perlu sedar
bahawa apabila kita memberikan biasiswa kepada
seorang pelajar bumiputera yang kurang layak, kita
sebenarnya menidakkan hak pelajar bumiputera lain
yang lebih layak. Ini jelas tidak adil.
Menganugerahkan kontrak kepada syarikat bumiputera
yang tidak boleh menjalankan kerja secara berkualiti
sedangkan ada syarikat bumiputera lain yang lebih
berwibawa, juga tidak adil dan tidak boleh
diteruskan. Malah, ia merupakan satu pembaziran.
Menganugerahkan lesen dan permit dengan tidak
berasaskan kepada merit atau prestasi, juga
merupakan satu pembaziran. Ia jelas satu
ketidakadilan. Kita tidak boleh menutup sebelah
mata, tidak boleh memandang ringan kepada segala
amalan ini.
60. Segalanya ini adalah budaya yang boleh
memusnahkan bangsa dan akhirnya menjatuhkan negara.
Ini perlu kita hentikan. Kita meletakkan sasaran
pencapaian, tetapi orang lain mentertawakan kita.
Apa yang dapat kita banggakan jika pegangan ekuiti
Bumiputera hanya tercatat di atas kertas, apabila
berlaku ketirisan kerana ada Bumiputera yang
digunakan memegang ekuiti tersebut bagi pihak orang
lain. Ini penyelewengan namanya. Agenda ekonomi
untuk Bumiputera tidak akan tercapai selamanya, jika
keadaan ini dibiarkan terus berlaku. Kita perlulah
berani melakukan langkah pembetulan secara tegas.
61. Kita tidak mungkin berjaya membuat lonjakan,
sekiranya kita tidak memberi fokus kepada usaha
memupuk budaya mencapai kecemerlangan, berdasarkan
merit – berdasarkan prestasi di kalangan bumiputera.
Kita harus berani membetulkan kesilapan yang
berlaku. Ini mungkin berat; tetapi kita hendaklah
memiliki azam politik, secara tegas, bertekad
melakukan pembetulan. Kita sebenarnya melakukan
langkah serius lagi bertanggungjawab untuk
memperkuatkan Melayu. Jika kita terus melayan mereka
yang hanya tahu menggunakan jalan belakang, kita
sebenarnya menyuburkan satu budaya yang akan
merosakkan bangsa. Kita harus membina budaya baru.
Budaya orang Melayu berani berlumba, membina
prestasi, memiliki merit, hingga mereka dapat
bersaing dan bertanding di peringkat antarabangsa.
62. Asas paling kukuh untuk kita berjaya dalam
persaingan yang berteraskan merit dan prestasi
adalah kemahuan, kemahiran, kepakaran, ilmu
pengetahuan, daya tahan dan kerja kuat. Jika setiap
aspek ini disemai dan dipupuk dalam diri Melayu,
kita tidak perlu bimbang, Insya’Allah kejayaan
sedang menunggu orang Melayu. Jika komponen-komponen
ini tidak ada dalam diri kita, janganlah bermimpi
untuk kejayaan datang menggolek. Atas dasar inilah,
bermula dari sekarang, dengan azam politik, dengan
kekuatan politik yang ada pada UMNO, kita menumpukan
fokus kepada sektor pendidikan dan sektor latihan,
membangunkan modal insan – memperkaya modal budaya
keluarga Melayu.
63. Orang yang berani membuat pembaharuan, percaya
dan yakin, bahawa bantuan dan pertolongan paling
besar dan paling penting akan kita terima, apabila
kita memanfaatkan segala apa yang dikurniakan oleh
ALLAH SWT. Dua tangan yang dikurniakan, dua kaki
kanan dan kiri, dan yang paling penting akal fikiran
kurniaan ILAHI. Kita tidak ada banyak masa. Bermula
dari hari ini, marilah kita menyediakan diri,
mengambil langkah membuat lonjakan; lonjakan perkasa
bagi orang Melayu.
64. Menentukan kejayaan Melayu adalah wadah
perjuangan UMNO – adalah amanah – adalah
tanggungjawab. Matlamat kita adalah untuk melihat
orang Melayu berperanan signifikan lagi bermakna.
Wawasan 2020 telah meletakkan matlamat untuk
mencapai taraf negara maju. Negara maju yang kita
impikan itu hendaklah disertai dengan kemajuan orang
Melayu. Apalah ertinya kepada bangsa, jika negaranya
maju, sedangkan orang Melayu hidup merempat. Kita
harus memastikan, bukan sahaja ‘Melayu tidak hilang
di dunia’, tetapi Melayu juga tidak ketinggalan.
Perubahan minda berteraskan kejayaan – berakarkan
kecemerlangan, perlu disemai – perlu dipupuk. Kita
telah mula melangkah dari garisan permulaan. Kita
hendaklah melangkah dan terus melangkah, biar beribu
dan berjuta langkah. Setiap langkah kita bersama,
akan memperkuatkan jiwa, memperkukuhkan minda,
menanam keyakinan, menyemai keazaman, dalam hati –
dalam minda, bahawa kita akan menjadi individu yang
cemerlang, gemilang dan terbilang.
65. Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang,
gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun
bilangan kita, walau dalam sebesar manapun
perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau
di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita
akan dirasai dan diberi penghormatan. Kita laksana
menara tinggi, teguh kukuh terpacak di bumi –
memuncak gagah menyunsung angin. Bahawa kitalah ‘The
Towering Malays’ – berdiri gagah – melangkah segak,
bijak akal bersalut iman, dilontar ke laut menjadi
pulau, dicampak ke darat menjadi gunung.
|