BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Singapura : 3 Oktober 2006
akhbar internet Singapura

SURAT MM LEE KEPADA PM ABDULLAH

TIADA NIAT CAMPURI POLITIK M'SIA
MM Lee jelaskan konteks ulasan beliau yang timbulkan tengkarah

Oleh
Saat A. Rahman

MENTERI Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, berkata beliau tidak berniat mencampuri urusan politik Malaysia, malah tiada kuasa untuk mempengaruhi politik negara itu mahupun menghasut perasaan rakyat Cina mereka.

Ini dijelaskan oleh Encik Lee dalam suratnya kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berhubung kenyataan beliau baru-baru ini bahawa rakyat Cina Malaysia dipinggirkan.

Menerusi surat itu, yang salinannya diedarkan kepada Berita Harian semalam, Encik Lee menjelaskan kepada Datuk Seri Abdullah akan konteks kenyataannya itu yang telah menimbulkan tengkarah di Malaysia.

Encik Lee turut menyertakan transkrip komen beliau itu, yang dibuat semasa satu dialog di sini pada 15 September lalu.

Mengenai kenyataan di dialog itu, Encik Lee berkata beliau sedang memberi penerangan kepada hadirin Barat yang liberal, yang ingin melihat pembangkang lebih kuat di Singapura dan mengapa Singapura memerlukan pemerintah dengan majoriti kuat.

Singapura, jelas Encik Lee dalam surat itu, memerlukan pemerintah yang kukuh untuk memelihara hubungan baik dengan Indonesia dan Malaysia.

Pemerintah yang kukuh juga penting dalam interaksi negara ini dengan ahli politik Indonesia dan Malaysia yang menganggap Si ngapura sebagai negara rakyat Cina dan mahu Singapura agar peka dan tunduk terhadap permintaan mereka.

Encik Lee turut menarik perhatian mengenai para pemimpin Umno, termasuk mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sering memberi amaran secara terbuka kepada warga Melayu mereka.

Antara amaran itu ialah jika mereka hilang kuasa, mereka menghadapi bahaya menanggung nasib seperti masyarakat Melayu Singapura, yang dianggapnya sebagai dipinggir dan didiskriminasikan.

Encik Lee berkata Singapura memahami realiti politik Malaysia, dan tidak pernah membantah kecaman-kecaman terhadap sistem berbilang kaum Singapura atau dasar Singapura, kecuali dalam menjelaskan pendirian negara ini apabila perlu.

Namun, Singapura juga perlu memperjelas kepada rakyatnya punca kepayahan dalam hubungan dua hala.

Jika tidak, rakyat Singapura akan percaya bahawa pemerintahnya telah melakukan kesilapan.

Encik Lee berkata beliau tidak menyatakan sesuatu lebih daripada apa yang pernah dinyatakannya banyak kali sebelum ini.

Malah, kenyataan itu tidak sebanyak apa yang dinyatakan dalam buku riwayatnya yang diterbitkan dalam 1998.

Kepada Datuk Seri Abdullah, Encik Lee berkata sejak beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam November 2003, hubungan antara kedua-dua negara telah bertambah baik.

Rakyat Singapura menghargai hal ini.

Dan Encik Lee percaya, hal yang sama juga dirasakan rakyat Malaysia.

Kepada Datuk Seri Abdullah, Encik Lee berkata:

'Saya meminta maaf bahawa apa yang saya telah katakan menyebabkan anda terasa amat tidak selesa. Selepas tempoh satu dekad mengharungi hubungan bermasalah dengan orang yang anda gantikan, ini adalah perkara yang tidak sama sekali saya inginkan.'

http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,82726,00.html?

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762