BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Lee Kuan Yew mohon maaf
Berita Harian 3 Okt 2006

Pesuruhjaya Tinggi Singapura serah surat jawapan isu kaum Cina dipinggir


KUALA LUMPUR: Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew (gambar) dalam surat penjelasan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, meminta maaf kerana kenyataannya itu menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, perkara seperti ini tidak diingini langsung,” katanya di dalam surat bertarikh 29 September yang diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, T Jasudasen semalam.

Salinan surat tiga muka itu difakskan kepada Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini, malam tadi.

Minggu lalu, Abdullah menulis surat kepada Kuan Yew meminta beliau menjelaskan mengenai kenyataannya bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk berdasarkan cara mereka melayan masyarakat Cina.

Lee berterima kasih kepada Abdullah berkenaan surat itu dan berkata beliau membuat kenyataan itu pada sesi dialog bebas dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Larry Summers di hadapan ramai delegasi asing yang menghadiri mesyuarat IMF/WB.

Di dalam suratnya, beliau turut menyertakan transkrip bahagian berkenaan yang dilaporkan Reuters.

“Biar saya ringkaskan, kenapa anda mesti mempunyai kerajaan di Singapura yang kukuh, teguh, berfikiran tajam dan tegas. Jiran saya mempunyai masalah dengan orang Cina.

“Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah dalam bidang pendidikan, ada kuota untuk menghalang mereka.

“Jadi anda perlu mendapatkan wang untuk ke luar negara atau pergi ke universiti swasta. Jadi mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka.

“Jadi setiap masa, kami mengatakan “Tidak” kepada beberapa cadangan untuk menutup tambak dan membina jambatan, dia berkata “Anda tidak bekerjasama, anda hanya fikirkan diri sendiri”. Tanpa alasan, kami tolak cadangan tutup tambak, yang hampir 100 tahun berguna kepada kami. Dia mahu membina jambatan baru kerana ia nampak cantik dan katanya kapal boleh lalu dan kontena boleh bergerak dari Pantai Timur ke Pantai Barat melaluinya.

“Tetapi kami kata tidak... jadi kami kata “Baiklah jika kamu boleh beri faedah bersama kepada kami, kami bersetuju”. Tetapi anda perlukan kerajaan yang mampu, bukan hanya yang ada keberanian, tetapi juga kemahiran berkata “Tidak” dengan tenang, sopan yang tidak menyebabkan mereka sehingga melakukan sesuatu yang bodoh,” kata Kuan Yew.

Beliau berkata, mengenai jambatan dan jambatan separuh untuk menggantikan Tambak Johor, Abdullah membuat keputusan bahawa kerajaan Malaysia jelas bahawa Malaysia menghormati perjanjian perundangan dan bertindak berdasarkan undang-undang antarabangsa.

“Ia menjadikan tidak perlu merujuk kepada ITLOS dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang boleh dielakkan. Sikap menghormati undang-undang ini adalah asas kepada hubungan jangka panjang antara kita,” katanya.

Kuan Yew berkata, beliau menjelaskan kepada wakil Barat yang liberal yang mahu melihat pembangkang lebih kuat di Singapura, kenapa republik itu perlukan kerajaan majoriti kuat, bukan perikatan lemah yang boleh menjejaskan usaha mempertahankan kepentingan nasional.

“Singapura perlukan kerajaan yang kuat mengekalkan hubungan baik dengan Indonesia dan Malaysia untuk berinteraksi dengan ahli politik Indonesia dan Malaysia yang menganggap Singapura sebagai orang Cina dan mahu Singapura ‘sensitif’ mengikut permintaan mereka,” katanya.

Kenyataan ini menimbulkan bantahan di Malaysia dan Indonesia.
Kementerian Luar kedua-dua negara memanggil wakil Singapura untuk menjelaskan kenyataan Kuan Yew.

Menteri Mentor itu berkata, beberapa kali pemimpin Umno termasuk Dr Mahathir secara terbuka memberi amaran kepada Melayu Malaysia bahawa jika mereka kehilangan kuasa, mereka dikhuatiri mengalami nasib sama seperti Melayu di Singapura, yang mereka dakwa dipinggirkan dan didiskriminasi.

Beliau berkata, dari semasa ke semasa ahli politik Malaysia menyerang Singapura berhubung isu dua hala, di mana beberapa orang memberitahu ahli politik di Singapura secara senyap menerimanya sebagai sebahagian politik Malaysia dan tidak bertindak terhadap serangan itu.

“Singapura faham realiti politik Malaysia. Kami tidak pernah membantah serangan ini terhadap sistem pelbagai kaum kami atau polisi kami melainkan untuk menjelaskan kedudukan kami apabila perlu,” katanya.

Katanya, beliau tidak berniat masuk campur dalam politik Malaysia, malah beliau tidak ada kuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau menghasut orang Cina di Malaysia.

Di dalam catatan tambahannya, Kuan Yew ada juga mengatakan berikutan tindakan Abdullah menulis surat kepadanya mendapat publisiti dan meminta jawapan daripadanya, beliau mesti mendedahkan surat ini kepada media selepas Perdana Menteri menerimanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Berita Harian, malam tadi, berkata kerajaan akan mengkaji dengan terperinci kandungan surat Kuan Yew dan kesannya kepada negara selepas surat dibaca Perdana Menteri.

“Ia penting supaya semua pihak faham hubungan dua hala yang terjalin kukuh selama ini adalah berteraskan kepercayaan bersama dan rasa hormat,” katanya.


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762