|
Laporan Polis Terhadap Hujah-Hujah
Yang Dikeluarkan Oleh Perwakilan-Perwakilan UMNO
Police Report
by Lau Weng San
(Petaling Jaya, Satursday) : Saya dengan nama di
atas, ingin membuat satu laporan polis untuk meminta
pihak polis untuk memulakan siasatan terhadap
hujah-hujah berbau perkauman yang dilafazkan oleh
perwakilan-perwakilan UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri
UMNO semasa mereka berhimpun di Dewan Merdeka, Pusat
Perdagangan Dunia Putra untuk menghadiri Perhimpunan
Agung UMNO ke-57 yang berlangsung daripada 13hb
November hingga 17hb November 2006.
Hujah-hujah mereka ini telah merosakkan keharmonian
kaum, integrasi dan perpaduan nasional di mana
hujah-hujah mereka yang bersifat menghasut dan
berkauman ini ditujukan untuk mengapi-apikan
perasaan dan sentimen perkauman bagi mengukuhkan
kepentingan politik mereka.
Bahkan hujah-hujah mereka juga telah menimbulkan
perasaan takut, terancam, dimusuhi dan tidak selamat
bagi warganegara bukan Muslim, bukan Melayu dan
mereka yang menganggotai beberapa Badan-Badan Bukan
Kerajaan (NGO) yang dibidas semasa perjalanan
Perhimpunan Agung UMNO ini.
Selain itu, hujah-hujah mereka ini juga akan
menjejaskan iklim pelaburan dan pembanguan ekonomi
negara yang sedang mengalami kemelesetan sekarang.
Di antara hujah-hujah menghasut yang dapat
dikumpulkan bagi memulakan siasatan awal PDRM ialah
seperti yang berikut. Hujah-hujah ini merupakan
petikan daripada laporan-laporan akhbar tempatan.
Razali Idris, Ketua Penerangan Pemuda UMNO
Terengganu
“Hak Orang Melayu tidak boleh
dicabar, jika tidak orang Melayu akan mengamok,
peristiwa Mei 13 akan berulang yang ianya akan lebih
teruk daripada tahun 1969 yang akan menjadikan Kuala
Lumpur padang terkukur.
UMNO rela mengorbankan nyawa
dan bermandi darah untuk mempertahankan bangsa dan
agama daripada bukan Muslim atau bukan Melayu.”
Reezal Merican Naina Merican
“Maka berdasarkan fakta-fakta
ini, Pemuda dengan tegas menyelar tindakan bekas
Presiden ASLI (Institut Kepimpinan dan Strategik
Asia), Dr. Lim Teck Ghee yang cuba memutarbelitkan
fakta dengan niat ingin menidakkan agenda Melayu,
sekaligus merubah kontrak sosial.
“Tinjauan Pemuda mendapati hampir 80 peratus
daripada jumlah kontrak keseluruhan, pusingannya
pergi ke tangan bukan Melayu.
“Ini kerana pembekal bahan binaan terdiri daripada
kaum Cina yang wujud dalam rangkaian kartel yang
begitu kuat sejak sekian lama dari dahulu lagi.
“Pemuda juga meminta kerajaan terus menamakan
pembekal bumiputera dalam setiap kontrak yang
diberikan di bawah tender bagi memastikan pusingan
kontrak dinikmati oleh bumiputera.”
Datuk Salamon Selamat
“UMNO Selangor mencadangkan
agar proses pemberian kontrak secara berkelompok
diberi keutamaan manakala syarikat bumiputera yang
berpotensi diberi peluang memperoleh kontrak projek
mega melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
“Peluang perlu diberi kepada kontraktor bumiputera
berkemampuan mendapatkan kontrak dengan GLC,
mewajibkan semua GLC mewujudkan Unit Penyertaan
Bumiputera dan mengadakan pakatan strategik antara
GLC dengan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam
projek pembangunan dan infrastruktur.”
Datuk Hamdi Abu Bakar, Ketua UMNO Bahagian Beruas
“Kita ini sebagai tuan, tetapi
tuan apa kalau papa kedana, tuan apa kalau tak mampu,
tuan apa kalau selekeh, sengkek dan lembek? Tuan
mesti hebat, barulah kita kata kita kuat.
“Jika dicabut semua bangunan milik bukan bumiputera
di Kuala Lumpur, rakyat boleh melihat bahawa tidak
ada apa lagi bangunan yang tinggal. Ibu negara akan
menjadi ‘padang jarak padang tekukur’.
“Begitu juga dengan Bursa
Malaysia. Kalau digugurkan saham milik bukan
bumiputera, maka tidak ada apa-apa lagi yang tinggal
kecuali papan sahaja.”
Datuk Azimi Daim
“Kerajaan perlu melantik ahli
UMNO yang profesional menggantikan CEO GLC terbabit
yang tidak mampu menjalankan tugas.”
Senator Mohd. Puad Zarkashi
“UMNO Johor juga ingin
mencadangkan supaya televisyen berbayar diletakkan
di bawah Kementerian Penerangan dan tidak lagi
diletakkan di bawah Kementerian Tenaga, Air dan
Komunikasi, dan kementerian itu sendiri mesti
diketuai menteri UMNO.
“Langkah tertentu diambil termasuk mensyaratkan
syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memperuntukkan
peratusan tertentu untuk iklan dalam akhbar-akhbar
Melayu sahaja.”
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy
Jamaluddin
“Angka 45 peratus yang sengaja
dikeluarkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan
Asia (ASLI) itu sengaja mengelirukan kita.
“Tidak kiralah ASLI itu think tank siapa. Hakikatnya
orang Melayu masih lemah dan perlu dibantu.”
Ketua Puteri UMNO bahagian Tangga Batu, Azlieza
Azizan
“Pergerakan Puteri UMNO Melaka
meminta kerajaan menentukan syarikat-syarikat swasta
mengambil lebih 60 peratus bumiputera profesional
untuk mengisi keperluan dalam organisasi mereka.”
Hujah-hujah sebegini sebenarnya digolongkan sebagai
hujah-hujah yang mempunyai kecenderungan menghasut
di bawah Seksyen 3(1)(e) Akta Hasutan 1948 yang
menakrifkan bahawa ianya merupakan kecenderungan
yang menyebabkan perasaan sakit hati di antara kaum
atau kelas di kalangan rakyat Malaysia.
Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh disabit
bersalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948
kerana mengeluarkan kata-kata yang menghasut dan
boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara
maksimum tiga tahun atau kedua-duanya untuk
kesalahan pertaman dan hukuman penjara tidak
melebihi lima tahun untuk kesalahan seterusnya.
Sekian laporan saya.
|