BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

PRK Batu Talam : Koyakkan kertas undi! - Mohamad Sabu
Azamin Amin
 

Sat | Jan 27, 07 | 03:42:49 AM
 

BATU TALAM, 27 Jan (Hrkh) - "Koyakkan kertas undi!" demikianlah gesaan Naib Presiden PAS Muhammad Sabu kepada penduduk dan pengundi Batu Talam sebagai tanda protes pada hari membuang undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Batu Talam yang dijadualkan pada 28 Januari (Ahad) ini.
"Dan jika takut nak buat macam tu, tak payahlah keluar mengundi," kata beliau sambil disambut sorakan oleh hampir 1000 orang ramai yang hadir mendengar ceramahnya pemboikotan pilihan raya kecil di pejabat PAS kawasan Raub di Kampung Durian Sebatang malam tadi.
Hadir sama berceramah ialah Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor yang turut menyatakan pendapat yang sama meminta pada hari mengundi nanti, penduduk Batu Talam akan membuat satu keputusan dan tindakan protes yang dilakukan supaya masyarakat seluruhnya celik dan mula menghayati serta menuntut demokrasi yang sebenar.
Turut hadir sama ialah AJK PAS Hanipa Maidin,YDP Kawasan Raub Ustaz Abdullah Suhaimin Saat, bekas calon PAS Batu Talam Dr Nilam Abdul Manap, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Tengku Puji Tengku Abdul Hamid dan pimpinan peringkat kawasan.
"Kalau ada media, pemberita yang nak rakam dan nak siarkan...dengar sini, koyakkan kertas undi!," ulang Mat Sabu sambil menambah tindakan tersebut adalah hak untuk seseorang untuk protes.
Tindakan protes itu katanya supaya masyarakat dunia tahu tentang kepincangan dan ketempangan demokrasi yang ada di negara ini di samping mahu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dirombak sama sekali.
"Kita mahu rakyat di Batu Talam buktikan dan tunjukkan pada dunia bahawa demokrasi kita dah pengsan...hampir mampus!" katanya lagi.



Siapa berani praktikkan cadangan Mat Sabu, koyak kertas undi, dilaksanakan?
Pak Tam Mat
Sat | Jan 27, 07 | 05:57:03 AM
 

TAHNIAH buat Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor kerana berani mencadangkan satu tindakan drastik selepas BA memutuskan untuk boikot pilihan raya Batu Talam, iaitu "koyak kertas undi".
Biar bukan saja negara gempar dengan langkah itu, tapi dunia juga akan buka mata terhadap perjalanan pilihan raya Malaysia yang tempang dan penuh penipuan ini.
Persetankan segala tohmahan dan tanggapan negatif kepada pembangkang kerana kalau kita bergerak secara "penuh adab sopan" pun, kita terus difitnah dan dikeji.
Kali ini kita mahu usaha pemboikotan itu membekalkan momentum secukupnya bagi mendesak kerajaan dan SPR melakukan perubahan yang kita tuntut.
Apa pun saya sedikit pesimis dengan perlaksanaan kepada cadangan "koyak kertas undi" di depan publik itu, yakni sejurus selepas pengundi dibekalkan kertas undi untuk dipangkah.
Terus terang saya katakan saya tidak yakin ada keberanian daripada ahli-ahli, malah pimpinan PAS, sendiri, untuk mengoyak kertas undi sebagai tanda protes dan amarah terhadap pilihan raya songsang dan berat sebelah ini!
Bagaimanapun, jika cadangan Mohd Sabu dan Ezam itu tidak disambut pada hari pengundian, sedikit sebanyak ia menjejaskan komitmen dan tekad politik BA untuk mengasak pemerintah.
Seolah-olah usaha boikot itu satu gimik politik bertaraf murahan, tetapi tidak disusuli dengan agenda konkrit "kalah mati" sama ada suasana pilihan raya berubah atau PAS akan memulaukan terus pilihan raya umum akan datang.
PAS memang perlu lebih banyak melakukan eksperimen politik di luar kebiasaan yang sukar dijangka atau ditelah BN. Dan usaha boikot ini satu permulaan yang baik.
Justeru, ia tidak wajar terhenti setakat itu, malah perlu dilipatgandakan, khususnya untuk menarik perhatian umum memandangkan masih ramai rakyat yang tidak tahu ataupun dikelirukan dengan tindakan boikot itu.
PAS harus bersedia membuat kejutan demi kejutan kerana dengan cara itu media pemerintah akan memberikan liputan -- tentunya secara negatif -- dan tumpuan rakyat di seluruh negara akan difokuskan kepada tindakan "koyak kertas undi" itu. Masalahnya, siapa akan memulakannya?
Oleh kerana Mohamad Sabu sudah mencadangkannya, maka saya menggesa beliau sendiri harus memastikan cadangannya itu menjadi realiti esok hari!/wann.

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762