|
1. Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke
hadrat Ilahi kerana atas limpah rahmatNya dapat kita berhimpun
sekali lagi untuk melunaskan tanggungjawab melaksanakan Kongres
Nasional Tahunan.
2. Bagi pihak Jawatankuasa Angkatan Muda keADILan Malaysia saya
mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari ke Kongres Nasional
Tahunan Angkatan Muda keADILan Ketiga ini.
3. Meski Kongres adalah acara yang kita laksanakan secara tetap
saban tahun, tidak seharusnya kita memandang ringan
kepentingannya sebagai suatu komponen penting dalam menjayakan
perjuangan kita; yakni perjuangan membela kepentingan rakyat.
Asas Agenda Reformasi
4. Parti kita ini ditubuhkan atas gelombang kebangkitan rakyat,
atas semangat juang dan idealisme perjuangan yang tinggi. Malah
sebelum kita bergerak sebagai sebuah parti, hampir semua kita
secara individu telah akrab dengan perjuangan membela rakyat,
meski dalam organisasi dan pada lapangan masing-masing.
5. Kita tidak gentar menghadapi ancaman dan ugutan, pendakwaan
dan perbicaraan. Malah lokap dan penjara kita hadapi dengan
tabah. Untuk apa dan kerana apa kita sanggup berhadapan dengan
semua ini?
6. Kita lakukan segala-galanya untuk rakyat. Demi mempertahankan
hak dan membela kepentingan rakyat kita ketepikan kepentingan
peribadi. Di dalam perjuangan ini kita tidak mengejar keuntungan,
melainkan untuk kepentingan rakyat semata-mata. Falsafah yang
sama akan terus kita pegang selagi hak rakyat tidak didaulatkan
dan segala kepincangan dibetulkan.
7. Falsafah perjuangan ini diungkapkan dalam Deklarasi Permatang
Pauh yang dimasyhurkan pada 12 September 1998. Deklarasi ini
menyatakan garis-garis besar yang memandu perjuangan Reformasi.
Ia adalah satu gagasan, satu wawasan yang memperincikan agenda
kita untuk rakyat dan masa depan Malaysia.
8. Pendahuluan deklarasi tersebut menggambarkan betapa
perjuangan kita adalah bertunjangkan kepada nilai. Ayat pertama
mengungkapkan kesedaran kita mengenai perintah al-Quran untuk
melakukan pembaikan. Tradisi budaya-budaya Asia yang
keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat
menjadi ilham kepada usaha kita.
9. Kita menuntut dimartabatkan karamah insaniah agar tidak ada
individu yang dianiaya, dizalimi dan dihina. Kita mahu
menegakkan keadilan untuk semua termasuk di dalam soal
pembahagian kekayaan negara secara adil.
10. Perjuangan untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa
adalah agenda kita sejak hari pertama. Keyakinan kita kepada
demokrasi terpancar apabila kita menyatakan dengan jelas bahawa
ia adalah satu instrumen yang mampu menyekat kezaliman.
11. Meski Deklarasi Permatang Pauh bertumpu kepada mencirikan
Gerakan Reformasi, bergeraknya kita dalam wadah kepartaian
melalui keADILan tidak bermakna kandungan deklarasi itu tidak
relevan lagi. Malah pencetus gerakan Reformasi dan deklarasi
tersebut, Anwar Ibrahim sendiri sudah menjelaskan bahawa Parti
keADILan Rakyat memikul beban sejarah yang amat berat untuk
mengenengahkan reformasi yang tulen.
12. Ini petanda jelas bahawa perjuangan Reformasi belum selesai.
Tekad rakyat Malaysia berbilang agama dan bangsa yang sama-sama
melancarkan Gerakan Reformasi melalui Deklarasi Permatang Pauh
belum terlaksana.
13. Justeru pada hari ini kita akan sama-sama memperjelaskan
komitmen kita untuk terus mempertahankan agenda Reformasi bagi
membela kepentingan rakyat.
14. Sepanjang jalan perjuangan ini, kita telah melihat mereka
yang gugur. Kita melihat individu dan organisasi yang pada
awalnya komited kepada perjuangan ini akhirnya tercicir. Malah
kita tidak menolak kemungkinan mereka yang bersama gerakan
Reformasi sejak ia mula diasaskan akhirnya hilang arah dan
mengabaikan komitmen untuk melaksanakan agenda membela
kepentingan rakyat.
15. Ini telah dan akan terus berlaku. Namun kita tidak
seharusnya membiarkan keciciran mereka ini melemahkan semangat
dan menggoyahkan komitmen kita. Kita akan terus komited kepada
agenda Reformasi. Kita tetap percaya bahawa keutamaan kita
adalah untuk membela kepentingan rakyat. Kerana itu Agenda
Reformasi mesti dipertahankan. Kerana itu Agenda Reformasi mesti
terus diperjuangkan.
16. Agenda Reformasi tidak mungkin dicapai dalam tempoh yang
singkat. Sedari awal permulaannya kita sedia maklum bahawa ia
perjuangan jangka panjang yang memerlukan ketahanan jiwa dan
kebijaksanaan.
17. Kepada mereka yang hilang arah, atau mereka yang masih
sehingga ke hari ini bertanya apa sebenarnya yang diperjuangkan
oleh gerakan Reformasi dan keADILan, atau yang menuduh gerakan
Reformasi sebagai tandus falsafah dan idea besar yang memandu
pergerakannya, kita anjurkan mereka menyemak semula Deklarasi
Permatang Pauh.
Perjuangan membela kepentingan rakyat lwn. perjuangan peribadi
18. Di kala kita berjuang dan masih terus-terusan berjuang demi
rakyat, kita melihat satu lagi bentuk perjuangan. Ia amat
berbeza daripada perjuangan kita kerana paksinya bukan rakyat.
19. Kita melihat pertembungan antara seorang bekas Perdana
Menteri dengan Perdana Menteri. Isu-isu yang menjadi tema utama
ialah projek, janji untuk tidak mengubah keputusan yang telah
dibuat dan anak siapa atau menantu siapa yang mendapat habuan.
20. Semangat juang kedua-dua pihak kita lihat tidak alah nyala
dan kilauannya, meski pada peringkat ini hanya kenyataan akhbar,
ceramah dan wawancara yang menjadi senjata pilihan.
21. Namun tema kedua-dua pihak sama. Semuanya berkisar mengenai
wang dan kepentingan peribadi atau keluarga mereka. Ini yang
membakar semangat juang mereka. Ini yang menjadi dasar
perjuangan mereka.
22. Kerana itu perjuangan mereka dan kita berbeza. Tatkala kita
menentang projek mega kerana ia membazirkan wang rakyat, mereka
berjuang melaksanakan projek-projek mega yang di luar kemampuan
negara sehingga memaksa generasi mendatang menanggung hutang
yang bukan kepalang.
23. Manakala kita memikirkan bagaimana rakyat terbanyak dan
golongan termiskin harus dibantu, mereka berusaha keras untuk
memastikan anak pinak dan handai taulan mereka mendapat projek
dan habuan.
24. Sebaliknya kita mahu kekayaan negara ini dinikmati oleh
semua rakyat Malaysia tanpa terhad kepada keluarga tertentu dan
golongan tertentu.
25. Prinsip ini yang mendasari perjuangan kita, sebagaimana yang
diperintahkan di dalam al-Quran. Surah al-Hasyr, Ayat 7:
...supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang
kaya saja di antara kamu...
26. Sementara kita berusaha membina kesedaran dan membuat
kenyataan mengenai rasuah dan masalah rakyat, mereka mengadakan
sidang akhbar mempertahankan kekayaan yang dikumpul oleh anak
dan menantu masing-masing.
Sistem yang pincang – Permulaan negara gagal (failed state)
27. Baru-baru ini, Mahathir Mohamad mengancam akan mendedahkan
amalan rasuah seorang menteri yang memegang jawatan sejak
pemerintahan beliau lagi. Malah beliau mengatakan terdapat
banyak lagi kes-kes rasuah yang beliau akan dedahkan apabila
tiba masanya.
28. Kita katakan kepada beliau, jangan berlengah lagi. Masa itu
seharusnya sudah lama tiba, semasa beliau sendiri menjadi
Perdana Menteri. Dedahkan rasuah demi rakyat dan bukan sebagai
alat untuk memperolehi kelebihan politik. Kita tahu, rakyat juga
tahu, bahawa rasuah sudah menjadi cara hidup di kalangan
pemimpin UMNO-Barisan Nasional dan dibudayakan di bawah
kepemimpinan Mahathir Mohamad.
29. Kita yakin, Mahathir sebagai pemimpin utama mereka untuk
sekian lama lebih maklum dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan
kuasa di kalangan mereka. Beliau seharusnya sedar daripada
dahulu lagi kesan buruk amalan ini terhadap rakyat dan negara.
Oleh itu, walaupun agak terlambat, kita sarankan agar pihak
berkuasa memulakan dengan kes-kes rasuah dan penyelewengan yang
melibatkan diri dan keluarga Mahathir Mohamad sendiri.
30. Semenjak kita berdiri di bumi Malaysia ini, Angkatan Muda
keADILan telah membuat pendedahan mengenai keadaan rasuah yang
membarah di kalangan pemimpin UMNO-BN. Meskipun menghadapi
ancaman tindakan undang-undang dan pelbagai ugutan, kita lakukan
tanpa henti. Ternyata kini perkara-perkara yang telah kita
bongkar didedahkan oleh mereka yang telibat.
31. Pada 27 Januari 2001, Pemuda keADILan telah membuat laporan
polis berkenaan skandal penjualan saham Penerbangan Malaysia. Di
dalam laporan yang ditandatangani oleh lebih seribu orang
pengadu tersebut, kita menyatakan dengan jelas dan nyata bahawa
skandal tersebut melibatkan bukan sahaja Tajudin Ramli, malah
Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. Kita meminta pihak polis
melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
32. Berikutan itu, pihak polis telah memanggil saya untuk
memberi keterangan. Saya memberi kerjasama tetapi malang sekali
pihak polis secara terang-terangan enggan memanggil Tajudin
Ramli, Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin untuk memberi
keterangan.
33. Lima tahun berlalu, tuduhan yang sama mengenai penglibatan
aktif Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin dibuat oleh Tajudin
Ramli sendiri dalam afidavit beliau. Saya percaya afidavit ini
boleh muncul hanya kerana berlakunya perbalahan antara Mahathir
Mohamad dan Abdullah Badawi.
34. Afidavit yang dibuat oleh watak utama dalam skandal yang
merugikan berbilion-bilion ringgit wang rakyat tersebut
mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh kita sejak sekian lama.
Laporan polis, pendedahan yang dibuat oleh kita semuanya
mempunyai asas yang kukuh.
35. Kenapa untuk lima tahun tiada sebarang tindakan yang diambil
oleh pihak berkuasa?
36. Bagaimana pula dengan puluhan laporan polis yang dibuat oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita selama ini? Apakah siasatan
dilakukan dan tindakan diambil?
37. Bagaimana dengan laporan polis kita terhadap Kamaludin
Abdullah yang diberikan kontrak membekalkan makanan kepada
Angkatan Tentera untuk tempoh dua puluh tahun? Suatu tempoh yang
tidak pernah diberikan dalam mana-mana kontrak kerajaan sebelum
itu.
38. Apakah pemberian kontrak ini yang dimaksudkan oleh Abdullah
Badawi bahawa anaknya hanya menjalankan perniagaan di luar
negara dan tidak mendapat manfaat daripada kontrak-kontrak
kerajaan?
39. Kesungguhan mempertahankan anak pinak ini sehingga membuat
kenyataan-kenyataan yang bercanggah kita lihat berlawanan sekali
dengan sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Di dalam hadith
yang masyhur, Rasulullah menyatakan: “Sesungguhnya umat silam
telah binasa akibat (amalan diskriminatif), apabila orang besar
mencuri mereka dibiarkan, tetapi apabila orang kecil yang
mencuri mereka dijatuhi hukuman had (hudud). Demi Allah,
andainya Fatimah puteri Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong
tangannya!”
40. Peristiwa yang mendorong Rasulullah mengucapkan ayat ini
ialah apabila seorang wanita bangsawan Fatimah al-Makhzumiyah
yang ditangkap mencuri emas daripada Baitulmal. Kaum keluarganya
dari kalangan bangsawan cuba melobi Rasulullah melalui anak
angkat kesayangan Baginda, Zayid ibn Harithah, agar si pencuri
dilepaskan daripada hukuman.
41. Percubaan menggugat prinsip keadilan ini benar-benar
menimbulkan kemarahan Rasulullah. Begitu sekali Baginda tegas
menolak amalan pilih kasih dan melebih-lebihkan anak pinak dan
kaum keluarga masing-masing. Prinsip ini yang seharusnya
mendasari tindakan pemimpin hari ini. Lebih-lebih lagi di dalam
negara yang heboh dengan Islam Hadhari.
42. Kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil
tindakan terhadap laporan polis yang telah dibuat menunjukkan
bahawa sistem pentadbiran negara ini kucar-kacir, tempang dan
gagal berfungsi. Jika dibiarkan keadaan ini berterusan, jika
rakyat tidak segera bertindak, Malaysia akan menjadi sebuah
negara gagal atau failed state.
43. Untuk membetulkan masalah ini tidak memadai dengan sekadar
menjawab beberapa soalan, mendedahkan beberapa butiran dan
dokumen. Yang perlu dipulihkan adalah sistemnya. Yang perlu
diperbaiki ialah pengurusan negara ini agar wujud urustadbir
yang baik atau good governance.
44. Kita percaya perhatian sewajarnya mesti diberi kepada
pembangunan sistem yang mantap. Di peringkat tertinggi sistem
chceck and balance antara kerajaan dan parlimen mesti diperkasa.
Usul-usul yang dikemukakan oleh pembangkang tidak seharusnya
ditolak mentah-mentah dengan memberikan pelbagai alasan
sebaliknya perlu dibahaskan dengan teliti.
45. Malang sekali Barisan Nasional mengambil sikap untuk menolak
apa sahaja usul dan cadangan yang dibawa oleh pembangkang tanpa
mengambilkira merit dan kepentingan usul tersebut. Ini jelas
kelihatan apabila ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional tidak
mengendahkan gesaan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk
Shahrir Samad untuk menyokong usul Ketua Pembangkang berkenaan
tuduhan salah guna kuasa Ahli Parlimen Jasin.
46. Sistem-sistem pengimbang yang sama perlu diwujudkan di
setiap peringkat bagi mengelakkan penyelewengan dan salahguna
kuasa. Sistem ini tidak seharusnya dirobah semata-mata untuk
menyesuaikan dengan kehendak dan kepentingan pemerintah. Ia
diwujudkan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan siapa jua
yang mencabar hak rakyat perlu menghadapi akibatnya.
47. Malang sekali rejim Abdullah ini tidak punya sebarang
keinginan, tidak punya iltizam politik (political will) mahupun
kekuatan untuk melakukan perubahan yang benar-benar bermakna.
48. Kerana itu kita melihat setelah lebih dua tahun memenangi
pilihanraya, tidak ada sebarang pindaan undang-undang dilakukan
untuk memperkemaskan usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.
49. Ini amat berbeza dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang meminda Akta Pencegahan Rasuah hanya ketika memangku
jawatan Perdana Menteri selama dua bulan.
50. Penggubalan akta baru dan pindaan undang-undang adalah
langkah pertama dalam melaksanakan usaha membasmi rasuah.
Kegagalan Barisan Nasional di bawah pimpinan Abdullah melakukan
langkah pertama ini adalah bukti nyata bahawa, kepada mereka,
pembasmian rasuah hanya sekadar slogan-sloganan semata-mata.
51. Malah usaha kita berjuang membanteras rasuah dan mewujudkan
sistem yang akan membasmi amalan rasuah, terus-terusan ditentang
oleh BN. Kehendak rakyat agar Badan Pencegah Rasuah diletakkan
di bawah Parlimen dan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk
menjalankan tugas, terus-terusan dinafikan.
Hak rakyat kepada maklumat
52. Tuntutan Mahathir Mohamad agar kerajaan mendedahkan
dokumen-dokumen berkenaan pembinaan jambatan herot di Selat
Johor yang dikategorikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia
Rasmi (OSA) menjadi contoh nyata betapa kepentingan peribadi
yang mendasari tindakan-tindakan beliau.
53. Sejak sekian lama kita menentang penyalahgunaan akta
drakonian OSA ini yang seringkali diperalatkan untuk melindungi
pemimpin-pemimpin BN yang mengamalkan rasuah dan pada masa yang
sama menekan rakyat yang mendedahkan perbuatan mereka. Saya
sendiri merasakan bahananya apabila terpaksa meringkuk di
penjara kerana mendedahkan dokumen siasatan BPR terhadap kes
rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik yang dicop RAHSIA.
54. Episod Mahathir-Abdullah ini jelas memperlihatkan sikap
mereka yang hanya bertindak sekiranya membabitkan kepentingan
mereka sendiri. Mereka sedia mendeklasifikasikan dokumen untuk
mempertahankan diri tetapi tidak sanggup melakukan perkara yang
sama terhadap dokumen rahsia yang membabitkan penyelewengan dan
rasuah melibatkan jutaan ringgit wang rakyat.
55. Kenapa ketika itu, Mahathir Mohamad tidak mempunyai semangat
yang sama? Kenapa selaku Perdana Menteri, beliau tidak bertindak
mendeklasifasikan dokumen-dokumen berkenaan? Kenapa ketika itu
beliau enggan mendedahkan mengenai amalan rasuah menterinya yang
sudah disiasat oleh BPR?
56. Untuk menyekat penyalahgunaan OSA, kita sekali lagi mendesak
agar diwujudkan Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of
Information Act yang membolehkan rakyat memohon perintah
mahkamah bagi mendapatkan maklumat-maklumat daripada kerajaan.
57. Kewujudan akta ini telah terbukti berkesan di beberapa
negara. Di Britain misalnya, penggunaan peruntukan-peruntukan di
bawah akta ini telah mendedahkan wujud unsur penyelewengan dalam
bantuan Kerajaan Britain kepada Kerajaan Malaysia untuk membina
Empangan Pergau di Kelantan. Bantuan tersebut diberikan sebagai
balasan kepada pembelian senjata bernilai berbilion-bilion
ringgit oleh Malaysia.
58. Mahkamah Tinggi di Britain kemudiannya membuat keputusan
bahawa bantuan tersebut adalah tidak sah kerana pembinaan
Empangan Pergau tidak memberi manfaat ekonomi mahupun
kemanusiaan kepada rakyat Malaysia.
59. Perjuangan untuk mewujudkan akta ini perlu ditingkatkan
secara gigih bersama organisasi-organisasi lain. Ini perubahan
sistem yang kita mahukan demi masa depan yang lebih baik untuk
rakyat Malaysia. Mereka perlu terus didesak merombak sepenuhnya
akta drakonian seperti OSA. Ini yang enggan dilakukan oleh rejim
Abdullah sedangkan ketika mula memegang kuasa beliau memperdaya
rakyat dengan menjanjikan perubahan-perubahan yang meluas.
60. Selaras dengan kebebasan maklumat yang kita tuntut, kita
juga menuntut kebebasan media. Tuntutan kita untuk media yang
bebas bukan bermakna kita menuntut Utusan Malaysia, New Straits
Times, The Star, stesyen-stesyen televisyen dan sebagainya yang
dikuasai parti-parti pemerintah untuk simpati dengan perjuangan
rakyat yang kita terajui.
61. Ini alat-alat propaganda yang dikuasai oleh parti-parti
pemerintah. Maka sudah tentu liputan mereka berat sebelah. Sudah
tentu mereka enggan berlaku adil kepada kita. Meski penguasaan
parti pemerintah sering diselindungkan melalui penggunaan
proksi, kita tidak mahu menghalang hak mereka untuk memiliki
media massa. Malah mereka seharusnya berani untuk telus dan
secara terbuka mendedahkan penguasaan mereka dalam
syarikat-syarikat media tersebut.
62. Namun atas kepercayaan kepada hak untuk memiliki media massa
ini, kita juga menuntut hak kita sebagai rakyat di negara
merdeka ini untuk menerbitkan akhbar, mempunyai stesen
televisyen, radio dan sebagainya. Hak ini tidak pernah
diberikan. Malah permohonan permit untuk akhbar rasmi parti
sekalipun sehingga kini dinafikan.
63. Seringkali pemerintah menafikan permohonan permit penerbitan
dengan alasan bahawa organisasi atau individu yang memohon akan
menyalahgunakannya untuk menghasut dan mengancam kestabilan
negara.
64. Ini adalah pre-judgement yang sama sekali tidak berasas.
Sama sahaja dengan penahanan tanpa bicara. Sama sahaja dengan
serangan pre-emptive strike Amerika Syarikat ke atas
negara-negara yang tidak pernah menyerang negaranya. Negara ini
mempunyai undang-undang yang cukup untuk mendakwa sesiapa sahaja
yang menyalahgunakan lesen penerbitan yang diberikan.
65. Keengganan rejim Abdullah memenuhi tuntutan-tuntutan kita
mendapatkan hak ini mencerminkan nilai sebenar yang dipegang
oleh beliau. Ia mendedahkan betapa kepercayaan beliau terhadap
demokrasi dan kebebasan untuk rakyat sama rendahnya dengan sikap
Mahathir semasa beliau memerintah dahulu.
Pastikan rakyat menjadi pemenang
66. Pada hemat saya, antara Abdullah dan Mahathir tidak ada
bezanya. Mereka beroperasi menggunakan sistem yang sama.
Keutamaan mereka juga sama – menguntungkan diri sendiri,
keluarga dan kroni.
67. Adalah amat malang jika kita membiarkan episod pertembungan
Abdullah-Mahathir ini menguasai gelanggang tengah kehidupan
kita. Lebih malang jika kita buta bahawa membina institusi yang
adil dan telus adalah lebih utama daripada membina jambatan
herot.
68. Pendedahan Ketua Hakim Negara dan bekas Hakim Mahkamah
Persekutuan mengenai betapa parah penyelewengan yang berlaku
dalam sistem kehakiman tidak didebatkan dengan serius. Perhatian
yang sewajarnya diberikan kepada isu yang sangat penting ini
dicuri oleh serangan-serangan Mahathir Mohamad terhadap Abdullah
Badawi.
69. Justeru saya menyeru rakyat khususnya elemen-elemen
Reformasi – samada parti politik mahupun NGO – agar tidak
terperangkap dengan drama politik kedua mereka. Kita mesti
memahami keadaan yang berlaku. Kita harus perhalusi asas
pertembungan mereka, yakni persoalan wang dan habuan untuk diri
dan kelompok mereka semata-mata.
70. Jangan terikut-ikut dengan rentak mereka sehingga akhirnya
dipergunakan untuk kepentingan mereka. Saya merayu agar jangan
dikorbankan kepentingan rakyat semata-mata untuk meraih
keuntungan jangka pendek kelompok tertentu. Reformasi menyeluruh
mesti diutamakan.
71. Kita mesti melakukan segala yang terdaya bagi memastikan
pemenang sebenar dalam pertembungan ini adalah rakyat. Kita mahu
natijahnya adalah perubahan berkekalan yang menguntungkan negara
dan rakyat. Asas perjuangan kita tidak seharusnya untuk
menyokong individu dan kepentingan sempit mereka.
72. Kita menyokong dan mendokong Reformasi bukan kerana
individu. Kita menyebelahi Anwar Ibrahim ketika beliau
menghadapi serangan Mahathir Mohamad adalah kerana kepentingan
rakyat terbanyak.
73. Rekod Anwar Ibrahim dan komitmen beliau membela rakyat
begitu terserlah. Justeru apabila beliau menghadapi masa-masa
yang sukar maka sudah tentu rakyat yang menjulang beliau
kembali. Ini rakyat lakukan kerana sedar Anwar Ibrahim adalah
pilihan yang terbaik untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan
yang lebih baik.
74. Rakyat yakin, berdasarkan rekod dan komitmen beliau,
kepentingan rakyat adalah menjadi keutamaan kepada beliau.
75. Kesemua ini membezakan antara perjuangan mereka dan
perjuangan kita. Perjuangan mereka adalah perjuangan yang jahat.
Perjuangan mereka mencabul hak rakyat. Selagimana mereka tetap
dengan perjuangan ini, maka kita harus tegas dengan komitmen
kita untuk membela kepentingan rakyat.
76. Kita sedar ketegasan kita ini mungkin mengundang padah.
Sejak hari pertama kita melangkah ke alam perjuangan ini kita
sedar. Adalah menjadi hukum alam kelompok yang berjuang demi
keadilan dan kebenaran, demi membela kepentingan dan hak rakyat
pasti akan bertembung dengan kelompok yang memperjuangkan
kepentingan peribadi sehingga sanggup mencabul hak rakyat.
77. Namun kita juga sedar betapa tinggi harapan rakyat kepada
kita untuk memimpin perjuangan membela hak mereka ini. Melihat
kepada sambutan rakyat terhadap usaha kita memerangi rasuah dan
penyelewengan, saya percaya kita sebenarnya sudah ada mandat
rakyat untuk memimpin mereka.
78. Ini perlu kita zahirkan dalam bentuk kemenangan pilihanraya
bagi membolehkan kita membentuk kerajaan dan melaksanakan
janji-janji kita kepada rakyat.
Bersedia membentuk kerajaan alternatif
79. Berlangsungnya Kongres ini di Pulau Pinang adalah sangat
bermakna kerana negeri ini yang akan menjadi fokus utama kita
dalam pilihanraya yang akan datang.
80. Selaku sebuah parti politik sudah tentu kita bercita-cita
untuk membentuk kerajaan melalui pilihanraya. Semua kita adalah
demokrat dan pegangan teguh kita kepada demokrasi sebagai wahana
perjuangan adalah jelas.
81. Meski kita pernah ditohmah dengan pelbagai fitnah sebagai
bersikap militan, merancang untuk menggulingkan kerajaan dengan
cara kekerasan, memiliki senjata dan berhasrat menimbulkan
huru-hara; ternyata semuanya adalah dusta yang berniat jahat.
82. Bukan sahaja pihak yang menuduh tidak dapat membawa sebarang
bukti untuk menyokong tuduhan mereka, malah rakyat sama sekali
tidak menpercayai fitnah liar yang dihamburkan oleh mereka,
meskipun diulang-ulang oleh media massa mereka.
83. Ini kerana komitmen kita kepada demokrasi adalah jelas dan
nyata. Tetapi parti-parti di dalam BN yang kononnya mendokong
demokrasi ternyata tidak mempunyai komitmen yang sama.
84. Sikap represif pemerintah, sekatan-sekatan terhadap rakyat,
malah halangan-halangan terhadap demokrasi dalam perjalanan
parti mereka sendiri membuktikan betapa rapuh pegangan mereka
kepada demokrasi. Tindakan-tindakan menindas pemerintah selama
ini membantutkan pertumbuhan demokrasi dan menjadikan keadaan
negara ini sebagai demokrasi tempang atau illiberal democracy.
85. Apabila kita membentuk kerajaan usaha-usaha menyuburkan
demokrasi akan menjadi keutamaan. Pengukuhan institusi-institusi
demokrasi dan masyarakat madani akan kita perhebatkan. Kita akan
mampu melakukannya kerana selaku demokrat tulen kita tidak takut
kepada demokrasi.
86. Kita akan membentuk kerajaan melalui jalan pilihanraya.
Kerana itu kita perlu terus-terusan meyakinkan seberapa ramai
rakyat akan kemampuan dan keupayaan kita.
87. Rakyat harus tahu bahawa parti ini bukan sekadar
pembangkang. Parti ini bersedia pada bila-bila masa untuk
memikul amanah mentadbir negara. Yang kita tunggu hanya mandat
rakyat melalui pilihanraya untuk membentuk kerajaan.
88. Sehingga itu diperolehi kita adalah a government in waiting.
89. Meski kita berhadapan parti lawan dalam keadaan padang yang
tidak sama rata dan mereka pula memperalatkan sepenuhnya
jentera-jentera negara untuk kepentingan politik, kita harus
terus yakin bahawa kehendak rakyat akan akhirnya mengatasi semua
kepincangan ini dan akhirnya kita akan mendapat mandat yang
jelas untuk memerintah negara.
Membina wibawa ahli parti
90. Tatkala kita melakukan segala yang terdaya untuk mendedahkan
dan menggagalkan segala tipu daya dan helah parti lawan dalam
pilihanraya, kita jangan alpa bahawa masih banyak yang harus
dilakukan untuk terus memperkukuhkan parti dan meningkatkan
kualiti ahli.
91. Komponen asasi yang membina parti ini adalah ahli-ahlinya.
Pada hemat saya komponen ini paling utama dan apabila kita
memperkasakan ahli, maka sudah tentu parti dengan sendirinya
menjadi perkasa, bahagian-bahagian menjadi mantap dan imej
nasional keADILan akan kukuh.
92. Justeru saya menyeru para pejuang di hadapan saya ini dan
seluruh Angkatan Muda keADILan untuk mengambil segala tindakan
perlu bagi memantapkan kualiti ahli.
93. Bagi tujuan tersebut, terdapat cabaran-cabaran yang harus
kita sama-sama atasi. Usaha mengatasinya adalah satu proses yang
panjang. Namun kita tidak perlu menanti sehingga semuanya
selesai. Sepanjang usaha tersebut, kita akan dapat melihat hasil
dan kesannya.
94. Cabaran Pertama: Membudayakan ilmu dan menjadikan usaha
menambah ilmu sebagai suatu gaya hidup.
95. Ahli parti yang benar-benar serius dalam perjuangannya akan
mengambil inisiatif melengkapkan diri dengan ilmu. Membaca
seharusnya menjadi satu kelaziman dan malah kemestian setiap
hari. Bidang dan topik yang dipilih sewajarnya tidak dihadkan
kepada perkara-perkara ringan semata-mata, malah perlu meliputi
tajuk-tajuk serius terutamanya mengenai perjuangan dan isu-isu
kenegaraan.
96. Karya-karya yang mengungkapkan mengenai perjuangan rakyat
secara obkejtif dan adil – samada di dalam negara atau di
negara-negara asing – perlu diberikan perhatian. Sejarah adalah
guru yang cukup berkesan. Pengalaman kejayaan dan kegagalan para
pejuang boleh dimanfaatkan untuk perjuangan kita.
97. Saya yakin semua kita sedar akan kepentingan ilmu dalam
memantapkan kualiti diri dan perjuangan. Hanya dengan ilmu kita
akan dapat berhujah, secara lisan mahupun penulisan, dengan
mantap. Hanya dengan ilmu kita akan dapat berjuang dengan lebih
berkesan. Berbekalkan ilmu, kita dapat berkomunikasi secara
mantap dengan rakyat untuk menyampaikan pendirian dan
memperjelaskan dasar kita.
98. Untuk itu setiap bahagian seharusnya memulakan amalan
mengadakan kumpulan-kumpulan diskusi secara tetap setiap minggu
atau sekurang-kurangnya sebulan sekali. Perjumpaan ini tidak
seharusnya digunakan untuk tujuan sembang-sembang ringan
semata-mata. Ia harus dipandu oleh satu tajuk yang telah
ditetapkan dan mempunyai bahan rujukan.
99. Ahli-ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Malaysia juga harus
memberi komitmen kepada program ini di bahagian masing-masing.
Selain itu mereka juga akan digalakkan untuk menulis dengan
lebih aktif melalui pelbagai saluran dan media. Saya percaya
Suara Keadilan akan bersedia memberi ruang yang lebih luas
kepada pemimpin-pemimpin Angkatan Muda.
100. Untuk menyokong usaha pembudayaan ilmu ini, kita akan
mendapatkan tokoh-tokoh masyarakat dan pemimpin-pemimpin parti
untuk menulis makalah-makalah khusus yang akan dijadikan teks
dan rujukan perbincangan.
101. Sebuah sekratariat perlu ditubuhkan di peringkat Pusat
untuk memantau perkembangan usaha pembudayaan ilmu ini. Saya
berharap ahli di setiap peringkat akan menyedari kepentingan
usaha ini dan mengambil serius untuk menjayakannya.
102. Cabaran kedua ialah untuk meningkatkan kepedulian terhadap
masyarakat setempat.
103. Di dalam keadaan kepentingan rakyat semakin terpinggir dan
hanya projek-projek mega yang diberikan tumpuan oleh pemerintah,
kita perlu mengisi kekosongan yang wujud. Saya sedar para ahli
sentiasa prihatin terhadap isu-isu nasional. Namun pada masa
yang sama, saya mahu kita memberikan perhatian yang lebih
terhadap isu-isu setempat.
104. Kita seharusnya mampu menawarkan kepemimpinan dalam
menghadapi masalah-masalah rakyat, meski ia adalah masalah yang
terhad kepada sesuatu daerah atau kampung semata-mata.
105. Kita mahu pemimpin-pemimpin bahagian dikenali oleh
masyarakat setempat. Pada masa yang sama kita harus berusaha
mengenali seberapa ramai anggota masyarakat di kawasan kita.
Malah penglibatan dalam organisasi-organisasi rakyat sewajarnya
dipandang serius.
106. Kita harus menjadi nadi rakyat yang sentiasa sedar dan peka
terhadap sebarang perkembangan atau masalah. Masalah-masalah
yang dihadapi rakyat perlu kita angkat dan usahakan
penyelesaiannya. Dalam keadaan sumber kita yang terhad, kita
tidak seharusnya menunggu terjadinya tragedi atau masalah besar
untuk bertindak.
107. Keprihatinan terhadap isu-isu harian rakyat akan membuatkan
kehadiran kita benar-benar dirasai.
108. Cabaran Ketiga: Meningkatkan partisipasi aktif wanita muda
dan keluarga.
109. Saya sangat bangga dengan penglibatan semakin ramai wanita
muda dalam Angkatan Muda keADILan. Ini adalah satu petanda yang
sangat baik dalam proses memperkasakan parti.
110. Namun penyertaan mereka harus kita transformasikan menjadi
penglibatan aktif – dalam memegang jawatan di semua peringkat,
dalam penyertaan aktiviti-aktiviti parti dan sebagainya. Malah
kita tidak mahu menunggu lama untuk wanita mula memegang
jawatan-jawatan utama dalam Angkatan Muda keADILan dan seiring
memimpin pergerakan ini.
111. Dalam rangka mencergaskan parti, kita mahu semua ahli yang
telah berumahtangga memastikan isteri atau suami mereka juga
menjadi ahli dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti
sekalipun tidak memegang jawatan.
112. Saya juga berharap ahli-ahli parti yang mempunyai anak muda
dapat memastikan anak-anak mereka mendaftar sebagai ahli dan
mengambil bahagian dalam aktiviti Angkatan Muda.
113. Saya gariskan hanya tiga cabaran utama. Ini yang asasi
untuk kita segera atasi. Jika kita berjaya, saya yakin
peningkatan ketara dalam kualiti dan kecergasan parti akan dapat
dilihat dengan nyata.
114. Saya percaya usaha kita mengatasi cabaran-cabaran yang
telah digariskan ini akan menjadikan kita benar-benar matang dan
bersedia. Latihan yang dilalui dan pengalaman yang kita kutip
akan memantapkan kita dan ia menjadi landasan bertolak untuk
kita mencapai kejayaan yang lebih hebat.
115. Natijahnya ialah ia akan menjadikan kita benar-benar sebuah
parti alternatif yang lebih baik kepada parti pemerintah sedia
ada.
Menjamin keselamatan rakyat
116. Dewasa ini masyarakat menjadi semakin bimbang dengan
kejadian-kejadian jenayah yang semakin berleluasa. Kes-kes
ragut, bunuh dan sebagainya berlaku saban hari. Pihak berkuasa
pula kelihatan seperti hilang punca dan tidak keruan dalam
menangani masalah ini.
117. Kita menuntut pemerintah untuk merangka dan melaksanakan
pelan yang mantap bagi menjamin keselamatan rakyat. Pada masa
yang sama tindakan-tindakan segera perlu diambil untuk mengawal
keadaan dan mengembalikan keyakinan rakyat.
118. Apabila kita membentuk kerajaan, menjamin keselamatan
rakyat daripada ancaman jenayah akan menjadi salah satu fokus
utama. Kita akan tegas dalam mengambil tindakan terhadap
penjenayah. Pada masa yang sama kita akan mengambil segala
tindakan perlu untuk mencegah jenayah melalui usaha-usaha
membina kesedaran dan sistem nilai di dalam masyarakat.
119. Sistem hukuman dan deraan semata-mata adalah tidak memadai
untuk mencegah jenayah. Secara berperingkat-peringkat kita akan
menghapuskan elemen-elemen yang mendorong perlakuan jenayah.
Pengaruh negatif media massa, kesempitan hidup dan kehilangan
arah hidup khususnya di kalangan anak muda adalah antara masalah
utama yang mesti ditangani.
120. Kita tidak percaya dengan tindakan kerajaan Barisan
Nasional sekarang menahan tanpa bicara anak-anak remaja yang
disyaki terlibat dalam kes ragut dan jenayah lain. Sebagaimana
kita menentang penggunaan ISA untuk menahan tanpa bicara, kita
juga menentang penggunaan Ordinan Darurat (EO) untuk menghadapi
masalah jenayah.
121. Walaupun kita mahu jenayah dibasmi dan penjenayah menerima
akibatnya, kita sama sekali tidak boleh berkompromi berkenaan
hak tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil dan peluang
membela diri.
122. Pendirian kita menolak penahanan tanpa bicara tidak
bermakna kita tidak tegas menghadapi penjenayah. Mereka harus
disedarkan bahawa crime does not pay. Kita yakin sistem keadilan
sedia ada adalah memadai dan tidak ada keperluan untuk mencabul
hak asasi manusia dalam usaha mencegah jenayah.
123. Antara punca berleluasanya jenayah adalah kerana masalah
penyalahgunaan dadah. Gejala penyalahgunaan dadah mesti
terus-terusan diperangi dan tumpuan kita nanti adalah terhadap
pengedar-pengedar besar dan bukan lagi kepada pengedar runcit
dan penagih semata-mata.
124. Kita akan menggerakkan usaha serius untuk mencantas masalah
dadah ini di pangkalnya dan bukan hanya cuba mengubati
simptomnya. Sekiranya perang terhadap dadah ini menuntut
peruntukan yang lebih besar, kita perlu bersedia mengadakannya.
Jika ia memerlukan kepada penglibatan lebih ramai tenaga
manusia, maka ia perlu disediakan.
125. Kerana masalah ini serius. Kerana masalah ini sangat besar
kesannya. Maka kita juga perlu serius. Kita juga perlu sanggup
untuk bertindak secara besar-besaran mengatasinya.
Menjamin pembangunan yang adil untuk rakyat
126. Di dalam soal pembangunan, kita melihat masih berlaku
ketempangan yang nyata. Sama seperti rejim sebelumnya, rejim
Abdullah nampaknya memberikan tumpuan kepada pembangunan fizikal
dengan pengumuman projek mega demi projek mega. Namun kita
bimbang pada masa yang sama pembangunan insan dan sistem
terabai.
127. Manakala perancangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)
kelihatan cantik secara luarannya, pengalaman dengan
program-program BN sebelum ini mengajar kita bahawa impak dan
manfaat kepada rakyat adalah sangat terhad. Yang menjadi
keutamaan kepada mereka ialah pembangunan fizikal yang
menjanjikan kontrak-kontrak yang menguntungkan.
128. Masalah yang akan dihadapi ialah masalah pelaksanaan,
rasuah dan ketirisan. Penggunaan begitu banyak wang rakyat,
samada daripada Perbendaharaan mahupun tabung-tabung amanah dan
Petronas sebahagian besarnya adalah untuk tembolok beberapa
kerat kroni dan keluarga pemimpin BN semata-mata.
129. Langkah pertama untuk memastikan rakyat dapat menikmati
kesan sebenar hasil negara ialah dengan membanteras rasuah dan
penyelewengan. Ketelusan seharusnya menjadi amalan. Pemberian
kontrak tanpa melalui proses tender terbuka, seperti pemberian
kontrak pembinaan jambatan kedua di Pulau Pinang kepada UEM,
mesti dihentikan dengan serta-merta.
130. Pemerkasaan BPR dalam menjalankan tugas akan memastikan
manfaat kekayaan negara sampai kepada rakyat dan tidak hilang di
peringkat perancangan dan pelaksanaan.
131. Pengumuman projek-projek besar dan Inisiatif Kewangan
Swasta (PFI) yang melibatkan penyaluran keluar dana Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen
(KWAP) adalah pendekatan pump priming untuk menggerakkan ekonomi
negara. Pendekatan ini sudah terbukti tidak berkesan apabila
yang dibina hanya bangunan dan struktur tanpa sebarang
perancangan untuk mendatangkan perolehan secara tetap dan
berterusan kepada negara.
132. Penglibatan Petronas, Khazanah Nasional, Permodalan
Nasional Berhad (PNB) untuk membangunkan kawasan-kawasan
pertumbuhan baru di Utara, Pantai Timur dan Selatan Semenanjung
Malaysia menimbulkan keraguan. Ia sebenarnya mendedahkan
kegagalan kerajaan untuk meyakinkan pelabur asing bagi membawa
masuk Pelaburan Terus Asing (FDI).
133. Usaha membina keyakinan ini adalah perlu bukan kerana untuk
mengikut telunjuk negara asing, tetapi demi kepentingan rakyat
negara ini. Pembasmian korupsi, penyediaan iklim pelaburan yang
adil dan perataan gelanggang (levelling the playing field)
adalah antara keperluan-keperluan asas untuk meyakinkan pelabur
asing. Sudah tentu semua ini juga baik kepada rakyat. Kerana itu
kita selama ini berusaha keras menuntut perubahan-perubahan yang
sama.
134. Kemasukan FDI khususnya di dalam sektor-sektor yang
menyediakan pekerjaan yang banyak bagi rakyat Malaysia akan
memberi perolehan secara berterusan kepada negara dan
meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Yakin kepada generasi muda
135. Dalam usaha membangunkan insan, pelaburan sewajarnya perlu
dibuat dalam bidang pendidikan – bukan sekadar membina
universiti dan sekolah. Tetapi yang lebih utama ialah
membangunkan kandungan pelajaran yang seimbang. Pendidikan
seharusnya mampu membentuk insan berkualiti dan bukan sekadar
memindahkan pengetahuan.
136. Kepincangan yang dilakukan oleh rejim Mahathir Mohamad
selama ini harus diperbetulkan. Antara yang sangat jelas ialah
dalam soal meminggirkan Bahasa Melayu. Pakar-pakar pendidikan
dan bahasa telah mendedahkan dongengan yang digembar-gemburkan
oleh Mahathir berkenaan perkara ini.
137. Apabila kita membentuk kerajaan, membetulkan kepincangan
dan kecacatan yang ada akan terpaksa kita lakukan. Seiring itu,
kita akan membina sistem dan melaksanakan pendekatan baru yang
lebih berkesan.
138. Kita juga akan memperhebatkan pendemokrasian pendidikan
khususnya di peringkat pendidikan tinggi. Setiap anak Malaysia
yang layak dan ingin melanjutkan pelajaran akan disediakan
tempat di dalam negara. Apabila tempat secukupnya disediakan di
universiti dan institusi tempatan untuk pelajar ijazah pertama
dan sarjana, penghantaran pelajar ke luar negara seharusnya
ditumpukan kepada peringkat kedoktoran.
139. Untuk melahirkan pakar dalam bidang masing-masing,
seharusnya tumpuan diberikan kepada penubuhan institut-institut
untuk bidang-bidang khusus. Penubuhan Malaysian University of
Science and Technology (MUST) misalnya, adalah langkah pada arah
yang betul, tetapi kini kita tidak pasti dengan perkembangannya.
140. Kita perlu mencontohi institut-institut teknologi dan
perubatan seperti di India. Institut yang mahu kita wujudkan
nanti bukan sekadar untuk mendidik pelajar, tetapi pada masa
yang sama ia akan berperanan untuk melakukan penyelidikan
bertaraf dunia dan menjadi penggerak ke arah usaha Malaysia
menjadi penyumbang kepada tamadun teknologi dunia.
141. Secara keseluruhan, pendidikan pada setiap peringkat harus
mempunyai tujuan yang lebih tinggi daripada sekadar memindahkan
ilmu pengetahuan. Pendidikan ialah untuk memupuk kebijaksanaan
dan nilai murni yang akan menentukan kualiti insani. Ilmu yang
akan membentuk citra dan wajah generasi muda kita.
142. Generasi muda adalah masa depan negara. Potensi mereka
harus digilap dan dibimbing sehingga menjadi warga yang
produktif dan menyumbang kepada kemajuan negara. Keyakinan
mereka terhadap kemampuan diri perlu dibina dan dipupuk. Untuk
tujuan itu, masyarakat perlu terlebih dahulu menunjukkan
keyakinan yang teguh terhadap mereka.
143. Atas keyakinan ini, Angkatan Muda KeADILan membuat
keputusan untuk mengusahakan pindaan Perlembagaan parti bagi
menghadkan umur kesemua ahli – termasuk Ketua – Angkatan Muda
keADILan hanya kepada 40 tahun sahaja. Ini adalah langkah
progresif kita seterusnya setelah mengambil pendekatan berani
membuka keahlian tanpa mendiskriminasi jantina.
144. Kita percaya satu pergerakan orang muda yang dipimpin oleh
orang muda sendiri akan lebih dinamik dan mampu memahami
permasalahan dan keperluan ahli-ahlinya. Justeru kepemimpinan
organisasi tersebut akan benar-benar berkesan.
145. Antara sebab masalah yang dihadapi oleh belia di negara ini
tidak dapat diatasi sebahagiannya adalah kerana kepemimpinan
pertubuhan belia dipegang oleh mereka yang telah lanjut usia.
Mereka ini tetap mahu terus memegang jawatan sebagai pengkalan
untuk kepentingan politik.
146. Kita menyeru kerajaan untuk yakin terhadap golongan muda
dan memberi peluang kepada mereka bagi memimpin organisasi
mereka sendiri. Bagi menghadapi golongan yang memperalatkan
organisasi belia untuk kepentingan politik, kerajaan perlu
mempunyai ketegasan dan meletakkan syarat umur dan kelayakan
yang jelas di dalam Akta Pembangunan Belia dan
menguatkuasakannya.
147. Sikap was-was dan tidak percaya BN terhadap orang muda ini
juga terserlah dengan keengganan mereka untuk meminda Akta
Universiti dan Kolej Universiti bagi menghapuskan larangan
terhadap mahasiswa daripada melibatkan diri dalam organisasi
kebangsaa atau di dalam politik.
148. Adalah tidak masuk akal melarang mahasiswa yang sudah layak
mengundi pada umur 21 tahun daripada terlibat dalam politik.
Mahasiswa harus dilihat sebagai suara hati rakyat yang tidak
mempunyai sebarang kepentingan peribadi. Mereka tidak harus
dikongkong atau disekat daripada menyatakan kebenaran dan
mengkritik kepincangan.
149. Kenapa BN harus takut kepada mahasiswa sekiranya
pemerintahan mereka jujur dan amanah? Pendekatan untuk cuba
membisukan mahasiswa ini adalah kerana mereka gentar kelemahan
dan kebobrokan mereka dibongkar oleh mahasiswa yang tidak dapat
dikawal dengan rasuah.
150. Angkatan Muda KeADILan dengan ini sekali lagi menegaskan
desakan agar bahagian Tatatertib di dalam AUKU dipinda dengan
membuang kekangan terhadap berkembangnya idealisme mahasiswa
Malaysia.
Membina Malaysia yang jujur kepada asasnya
151. Kebelakangan ini isu perhubungan antara agama menjadi topik
perbincangan hangat di dalam masyarakat. Sejak sekian lama kita
telah menganjurkan agar diadakan dialog antara tamadun. Dialog
ini memungkinkan berlakunya perbincangan secara jujur dan waras.
152. Adalah amat malang jika perbahasan yang seharusnya
menjadikan kita sebagai sebuah negara matang bertukar menjadi
perbalahan yang merugikan. Hak setiap pihak untuk menyuarakan
pandangan tidak seharusnya dinafikan. Namun dalam hal isu-isu
sensitif, ia perlu dilakukan dengan penuh hati-hati agar ia
tidak mengundang kemarahan pihak yang lain.
153. Kerajaan seharusnya memainkan peranan sebagai moderator
atau orang tengah bagi memungkinkan dialog yang matang dan waras
diadakan. Pihak-pihak yang terlibat mesti dipastikan mempunyai
wibawa, mewakili kelompok masing-masing dan berfikiran terbuka
untuk memberi dan menerima hujah yang rasional.
154. Namun malang sekali kerajaan ini gagal berbuat demikian.
Kerajaan gagal melaksanakan tanggungjawab menyediakan saluran
yang sewajarnya untuk dialog tersebut berlaku. Akibatnya mereka
yang prihatin dengan isu tersebut mengambil inisiatif sendiri
sehingga keadaan menjadi tidak terkawal dan bertambah buruk
apabila mereka yang bukan ahli turut sama berhujah tanpa ilmu
dan kepakaran.
155. Keadaan ini sebenarnya mencerminkan tahap keyakinan yang
tersangat rendah di kalangan rakyat terhadap kerajaan Barisan
Nasional. Ia juga cerminan ketidakjujuran yang disemai di
kalangan rakyat mengenai perjuangan awal pembentukan negara ini
sebelum merdeka. BN hanya mahu menekankan mengenai kompromi
antara kaum yang mereka juarai. Hakikatnya mereka tidak ingin
rakyat memahami dengan mendalam asas-asas pembentukan negara
ini. Akibatnya pembentukan negara dan bangsa kita menjadi tanpa
roh, rapuh dan goyah.
156. BN tidak ingin membina Malaysia yang kuat dan jujur
terhadap asasnya. Kerana apabila ini terbentuk, model mereka
yang diasaskan atas kompromi yang menafikan hak sesuatu kumpulan
sebagai balasan untuk memperolehi hak yang lain akan menjadi
tidak relevan.
157. Untuk membina Malaysia yang mantap, kita perlu pertama
sekali membetulkan tafsiran sejarah dengan adil dan jujur.
Peranan pejuang-pejuang kemerdekaan perlu diiktiraf daripada
seawal-awal gerakan menentang penjajah seperti Datuk
Maharajalela, Tok Janggut, Mat Kilau dan Sharif Masahor sehingga
kemudiannya Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam dan
sebagainya.
158. Sumbangan organisasi-organisasi seperti Hizbul Muslimin,
MPAJA, PKMM, Putera, AWAS dan API tidak sewajarnya
dikesampingkan dan cuba dipinggirkan. Kita perlu jujur kerana
hanya kejujuran yang akan memberi roh kepada negara ini.
159. Hanya sikap jujur akan memberi kekuatan untuk kita
menghadapi dan menangani isu-isu sensitif seperti yang sedang
melanda sekarang. Kegagalan atau keengganan kita berlaku jujur
akan menyebabkan asas negara ini terus rapuh dan goyah.
Kepemimpinan berkesan asas penyelesaian konflik
160. Kelemahan Abdullah Badawi dalam memimpin memberi kesan
negatif bukan sekadar kepada negara kita. Malah kelemahan yang
sama memberi kesan yang ketara dalam hubungan antarabangsa dan
serantau.
161. Masalah Myanmar misalnya terus melarat antaranya kerana
kelemahan ASEAN dalam menanganinya. ASEAN memilih tafsiran yang
terlalu luas dan kabur kepada prinsip tidak campurtangan
(non-inteference) dalam hal dalaman negara anggota.
162. Penggunaan strategi ini terhadap Myanmar akan hanya
menjauhkan lagi negara tersebut daripada demokrasi. Malah kini
ia jelas kelihatan apabila Myanmar sudah memulakan usaha
menjalin kerjasama dengan Korea Utara.
163. Kita percaya kemelut yang melanda rakyat Myanmar hanya
boleh diselesaikan jika ASEAN meninggalkan dasar non-inteference
yang sempit dan mengambil pendekatan constructive engagement.
Pendekatan ini telah dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
lebih sedekad lalu.
164. Oleh kerana pendekatan yang digunakan kini ternyata tidak
memberi kesan, maka seharusnya ia diubah.
165. Yangon harus disedarkan bahawa mereka akan beroleh manfaat
yang banyak sekiranya mereka memulakan langkah ke arah
demokrasi. Langkah ini harus dibimbing oleh ASEAN secara
kolektif sehingga akhirnya Myanmar akan dapat melihat bahawa
mengamalkan demokrasi adalah memberi kelebihan kepada mereka.
166. Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih bermakna dalam
hal ini. Namun apa yang boleh diharapkan daripada kerajaan yang
diterajui oleh Barisan Nasional yang tidak percaya kepada
demokrasi dan hanya menggunakan pilihanraya sebagai jalan untuk
memperolehi kuasa.
167. Konflik di Asia Barat berkali-kali meletus lalu
mengakibatkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang bukan
kepalang. Kita merakamkan simpati terhadap masyarakat di sana
yang menanggung penderitaan yang tidak sedikit. Doa kita agar
gencatan senjata akan dapat menjana keamanan yang berkekalan.
168. Jalan penyelesaian kepada konflik di Asia Barat perlu
diusahakan dengan bersungguh-sungguh melalui dialog dan
diplomasi. Antara punca ia sehingga sekarang masih tidak dapat
diselesaikan adalah kerana kelemahan pemimpin-pemimpin Arab dan
OIC sendiri.
169. Lebih malang apabila pertempuran yang tercetus diperalatkan
untuk meraih keuntungan politik. Contoh paling jelas ialah
demonstrasi yang diadakan oleh Pemuda UMNO untuk membantah
serangan ganas Israel terhadap Lubnan dan Palestin. Sewajarnya
Pemuda UMNO menggunakan sehabis-habisnya saluran dalaman untuk
mengusahakan perubahan berkesan terhadap konflik yang berlaku.
Kenapa mereka perlu melaungkan di jalanraya sedangkan mereka
mampu menyuarakannya terus kepada kerajaan. Jelas mereka tidak
serius dalam usaha ini.
170. Angkatan Muda keADILan mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman
Israel dan sekutunya terutama pentadbiran George W. Bush. Dalam
waktu yang sama kita ingin menyatakan rasa kesal di atas
kelembapan dan ketiadaan iltizam politik (political will) di
kalangan pemimpin-pemimpin negara Islam dalam menghadapi
tindakan ganas Israel ini.
171. Justeru Angkatan Muda keADILan menyeru anak-anak muda di
seluruh dunia khususnya di negara-negara Islam untuk bangkit dan
mendesak pemimpin-pemimpin negara mereka sendiri untuk
menunjukkan kesungguhan dan mengambil tindakan bermakna bagi
menghentikan kezaliman Israel.
172. Dalam konteks menghadirkan kepemimpinan berkesan bagi
menanggapi kemelut dunia sekarang, beberapa negara telah
mengemukakan cadangan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang
jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kita
mengalu-alukan ini sebagai satu pengiktirafan kepada keupayaan
dan kewibawaan beliau.
173. Pada masa yang sama, beliau telah melibatkan diri di
peringkat antarabangsa. Antaranya sebagai Pengerusi Foundation
of the Future dan juga ahli Lembaga Pengarah International
Crisis Group. Peranan dan sumbangan beliau kepada masyarakat
antarabangsa ternyata begitu bermakna dan dihargai.
174. Namun, Angkatan Muda keADILan berpendirian bahawa negara
ini memerlukan kepemimpinan yang berkesan dalam menghadapi
kemelut yang semakin parah. Malaysia perlukan Anwar Ibrahim.
Memperkukuh komitmen
175. Kita semua tahu bahawa jalan perjuangan yang kita pilih ini
bukan sesuatu yang mudah. Namun demi masa depan rakyat dan
negara ini, kita mesti menyempurnakannya. Kita perlu memperteguh
komitmen dan iltizam melaksanakan tugas yang sudah kita mulakan.
176. Di Kongres yang lalu, saya menyebutkan mengenai pembinaan
reformis tulen. Seorang reformis juga perlu komited.
Bersungguh-sungguh dalam melaksanakan agenda Reformasi. Antara
tugas yang perlu diberi perhatian yang lebih serius adalah usaha
menyedarkan rakyat. Kita perlu mengedarkan lebih banyak risalah
secara sistematik menerangkan dasar dan pendirian kita dalam
setiap isu, membongkar kepincangan pemerintah dan mendedahkan
penyelewengan.
177. Kita perlu bekerja siang dan malam membina kekuatan dan
memantapkan jentera. Yakinlah hanya kerja keras dan ketekunan
yang akan dapat memberikan kejayaan kepada perjuangan ini.
178. Usaha keras kita sejak tahun 1998 ternyata kini membuahkan
hasil. Kita melihat pendedahan-pendedahan yang kita lakukan kini
terbukti benar. Pertembungan Mahathir-Abdullah memberikan kita
kemenangan moral. Justeru kita perlu lebih berani. Kita perlu
melipatgandakan usaha kita untuk melihat hasilnya dengan lebih
pantas.
179. Sekarang adalah masa yang sangat kritikal untuk kita
meningkatkan usaha kerana Kongres ini mungkin yang terakhir
sebelum kita menghadapi pilihanraya umum. Kita perlu sedar,
pilihanraya di Malaysia ditentukan oleh akar umbi. Oleh itu,
tahap persediaan kita di peringkat Bahagian adalah yang paling
penting.
180. Kita harus kenal para pengundi, kenal dengan
pemimpin-pemimpin masyarakat. Mereka juga harus mengenali
kepemimpinan kita sebagai sentiasa bersedia membantu rakyat.
Kita perlu benar-benar menterjemahkan komitmen kita untuk
membela kepentingan rakyat dalam bentuk praktikal.
181. Meski isu nasional akan menentukan mood secara keseluruhan,
tetapi kegagalan beroperasi secara berkesan di peringkat akar
umbi akan menggagalkan usaha kita.
182. Kita juga perlu bersikap inklusif dan berusaha mengumpul
kekuatan anak muda tanpa mengira latar belakang atau
kecenderungan politik mereka. Kita perlu gembling tenaga
generasi muda untuk melakukan reformasi dengan
bersungguh-sungguh untuk kepentingan rakyat.
183. Atas dasar itu, saya melihat kita tidak seharusnya
mempunyai masalah untuk menjalin hubungan dengan Pemuda Barisan
Nasional sekalipun. Yang kita tentang, yang kita perangi adalah
amalan rasuah mereka. Tidak sewajarnya kita membenci mereka
kesemuanya. Namun saya faham jika saudara enggan bekerjasama
dengan pemimpin mereka yang secara terang-terangan menjadikan
rasuah sebagai cara hidup. Ini saya serahkan kepada
kebijaksanaan saudara, asalkan kepentingan rakyat yang menjadi
pertimbangan utama.
184. Di kala kita membuat perubahan-perubahan pendekatan, kita
tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara asas. Kepentingan
rakyat tidak akan kita korbankan. Perjuangan kita menentang
rasuah, menegakkan keadilan tidak akan kendur.
185. Kita tetap tegas dan komited dengan perjuangan Reformasi.
Kita akan terus mempertahankan agenda Reformasi untuk membela
kepentingan rakyat. Komitmen ini yang saya pohon daripada
saudara dan komitmen yang sama saya pertegaskan daripada saya.
Sekian. Selamat berkongres.
|