|
PULAU PINANG, 7 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Tan
Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau tidak akan
mengadakan pertemuan dengan Pemuda Umno negeri pada
masa ini bagi membincangkan isu berkaitan orang
Melayu di negeri itu, memandangkan keadaan "agak
hangat, tegang dan kurang tenteram" sejak
kebelakangan ini.
Beliau berkata langkah yang terbaik pada masa ini
adalah bertenang dan mententeramkan fikiran bagi
mencari langkah lebih positif untuk dibincangkan
semasa pertemuan itu kelak.
"Pemuda Umno negeri membuat permintaan untuk
pertemuan dan sekarang ia dalam pertimbangan. Tetapi
saya ingat masa sekarang, isu ini sudah menjadi
begitu hangat, lebih baik semua pihak...Pemuda Umno,
Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA, tangguhkan dulu.
Lebih baik kita ada tempoh untuk reda dahulu sebelum
diadakan pertemuan," katanya kepada pemberita
selepas majlis sambutan Hari Wanita peringkat negeri
yang dirasmikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri,
Toh Puan Majimor Shariff di sini Khamis.
Koh berkata beliau menasihatkan semua pergerakan
Pemuda itu supaya bertenang dan berfikir secara
tenteram sebagai persediaan untuk pertemuan akan
datang untuk mencari hasil yang lebih positif.
Mengulas mengenai demonstrasi oleh anggota Pemuda
Umno Bahagian Balik Pulau yang membawa sepanduk
mengkritik beliau ketika Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Bangunan Umno
Bahagian Tanjong di sini Selasa lepas, Koh berkata
beliau amat terkejut dengan tindakan itu kerana
kehadiran beliau adalah sebagai tetamu pada majlis
itu.
"Saya menganggap ia sebagai sesuatu yang tidak patut
tetapi telah berlaku dan saya perlu terima dengan
hati dan fikiran yang tenang. Pada saya, ini orang
muda dan memang mereka akan hangat," katanya.
Ditanya sama ada beliau tersinggung dengan tindakan
Pergerakan Pemuda itu, Koh berkata: "Saya tidak mahu
nyatakan perasaan saya, kalau saya nyatakan perasaan
saya, ia tidak akan begitu produktif tetapi saya
terkejut. Adakah ini cara seorang tetamu disambut?"
Berikutan itu, katanya, beliau selaku Timbalan
Presiden Gerakan segera menasihatkan Pemuda Gerakan
supaya tidak bertindak balas kerana sekiranya mereka
berbuat sedemikian, ia akan menjadikan keadaan tidak
terkawal.
Koh menyokong arahan Perdana Menteri supaya
agensi-agensi penggalakan penyertaan Bumiputera di
Pulau Pinang dirombak dan diselaraskan secara lebih
berkesan untuk meningkatkan prestasi serta kerjasama
agensi-agensi itu dengan kerajaan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri bersedia untuk
bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Lembaga
Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan
Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera, supaya
agensi-agensi itu dapat berfungsi sesuai dengan
perubahan dan perkembangan semasa.
Ditanya sama ada agensi itu gagal dalam melaksanakan
objektif penubuhannya, Koh berkata: "Gagal atau
tidak terserah kepada penilaian dalaman mereka
sendiri, saya percaya ada aspek yang berjaya dan ada
aspek yang tidak begitu berjaya. Saya tidak mahu
gunakan perkataan gagal, lebih baik diadakan
penilaian mengikut pengurusan masing-masing, tapi
yang perlu ialah penyelarasan yang lebih berkesan."
Ditanya sama ada kerajaan negeri sedia mengadakan
perbincangan dengan pemimpin-pemimpin Umno berhubung
isu Melayu, beliau berkata, kerajaan negeri bersedia
malahan akan turut mengadakan perbincangan dengan
pemimpin parti-parti komponen yang lain yang turut
melahirkan hasrat untuk mengadakan perjumpaan
seperti itu.
Mengenai dakwaan bahawa pembangunan di Pulau Pinang
hanya bertumpu kepada Georgetown dan beberapa
kawasan lain, Koh berkata masalah itu bukan sahaja
wujud di Pulau Pinang, malah ia juga wujud di semua
negeri malah di luar negara termasuk di negara maju
seperti Amerika Syarikat.
"Semua negeri dan negara memang ada masalah seumpama
ini tapi ini bukan alasan kita tidak akan berbuat
apa-apa, kita akan berusaha. Masalah di Pulau Pinang
ialah kerana kita tidak memiliki banyak tanah
kerajaan dan yang adapun kebanyakan sesak dengan
setinggan. Kita juga kurang sumber kewangan,
simpanan negeri RM250 juta sahaja, tidak cukup untuk
menyelesaikan masalah," katanya.
Koh berkata usaha membasmi kemiskinan tegar di
negeri itu juga berkesan dan sehingga ini kadar
kemiskinan di Pulau Pinang adalah yang terendah di
negara ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemiskinan relatif dan
jurang ekonomi masih wujud dan kerajaan negeri akan
meminta supaya angka dan kajian lengkap disediakan
oleh Jabatan Perangkaan serta melalui kajian yang
dijalankan Universiti Sains Malaysia dan
institusi-institusi lain.
-- BERNAMA
|