BALIK KE MUKA UTAMA

 


ANTARA ‘KJ’ PAK LAH DAN ‘KJ’ ANWAR
SH Alattas



PADA 8hb. Ogos 2006, ketika seluruh Iran sedang menghadapi cuti umum kerana menyambut hari ‘maulud’ Imam Ali karammullahiwajjha, saya bersantai seketika di lobi hotel bersama AM Fuaya, seorang kenalan dari Pakistan. Dia ini dulu adalah seorang penerbit akhbar. Setelah 18 tahun menjadi penerbit akhbar akhirnya akhbarnya diharamkan oleh kerajaan. Beliau juga merupakan kenalan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Satu ketika dulu semasa Shah Redza Pahlavi masih berkuasa di Iran, hotel ini adalah dikenali sebagai Hotel Hilton. Tehran juga ketika itu kerap dikunjungi oleh pelancong Barat yang turut mengimport budaya mereka ke Iran, Tapi hari ini Iran adalah sebuah negara Islam yang menjadi model ketulenan pemerintahan bercirikan Islam kepada negara-negara Islam yang lain.

Kebetulan di Tehran pada hari ini berkumpul wakil-wakil dari 32 buah negara Islam. Mereka berada di sini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa “Kekejaman Zionis : Akibat Serantau dan Global” atau International Conference “Zionist Aggression: Regional and Global Consequences”. Dari Malaysia cuma saya dan YB Dato Kamaruddin Jaffar, Ahli Parlimen PAS (Tumpat), yang mewakili Malaysia ke Persidangan ini. ‘KJ’ ini dulu adalah orang kuat Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Anwar menjadi TPM. Hari ini orang lupa dia sejak ‘KJ’ Pak Lah menjadi tokoh yang paling kontroversi selain daripada Datuk K, atau Datuk Khalid yang berjaya memikat dan seterusnya memperisterikan Siti Nurhaliza.

Pada hari sebelumnya sehari suntuk, iaitu dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang kami berbincang dan akhirnya mengemukakan satu resolusi yang telah diputuskan oleh sekumpulan pemikir, penganalisa, ahli politik dan para akademik 32 negara Islam dari empat penjuru alam. Oleh kerana persidangan ini cuma berlangsung selama sehari saja, maka kami tak kesempatan untuk bersembang hal-hal yang lain.

Apabila ulama Aga Murtadz Fuaya anak seorang Ayatullah yang berasal dari Iran tetapi tinggal di Pakistan mengetahui saya dari Malaysia, maka beliau bertanya khabar tentang Anwar Ibrahim. Dia menceritakan kali terakhir Anwar ke Pakistan, tetapi sesudah itu Anwar hilang jawatan dan masuk penjara.

Merosakkan

Dia nampaknya tak senang dengan tindakan Mahathir terhadap Anwar. Dia kata Tun Mahathir keterlaluan ‘hitting bellow belt’. Mahathir dulu dipandang seperti Imam Khomeini oleh dunia Islam tapi kemenangannya mengarahkan mahkamah menjatuh, mengaibkan Anwar telah merosakkan namanya sendiri. Saya kemudian bertanya, apakah kata-katanya itu boleh saya tulis dan sebut namanya. ‘Silakan’, jawabnya. Akibat hidup dalam dunia globalisasi dunia tanpa sempadan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir terhadap Pak Lah tersiar di akhbar di Timur Tengah selain dari di internet.

Rupa-rupanya Mahathir tidak mahu belajar dari sejarah. Sekali lagi dia mengulangi keterlaluan yang telah dilakukannya dulu. Apakah kali ini dia tak pukul Pak Lah ‘below belt’? Duduk dalam rumah kaca jangan rejam orang dengan batu. Setiap manusia akan menerima ‘karma’.

Tiba-tiba saya teringat kata-kata Tok Mat semasa pertemuan di pejabat Dato Idris Tulis ketika kami makan tengahari bersama anak Tok Mat, YB Datuk Norjazlan.

Tan Sri Mohamad Rahmat yang banyak berjasa dengan Mahathir memberitahu kami, “Tun Mahathir sudah mengalahkan Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar semasa jadi TPM supaya tak jadi PM. Dia tak boleh buat apa-apa, untuk menyekat Pak Lah hingga terlepas jadi PM. Bila sudah jadi, tak mahu ikut telunjuk, Pak Lah kena godam.

Dulu masa Pak Lah jadi TPM dia tak dapat nak kerjakan Pak Lah kerana Pak Lah terkenal sebagai ‘ Mr Clean Man’. Bila dapat sikit peluang, dia lepas geram. Pertama kerana Pak Lah bebaskan Anwar. Dia geram lagi dengan isu Proton, jambatan bengkok, bertambah geram bila Musa Hitam diberi Tun. Takkan you tak tahu perangai Mahathir?”

Selama 22 tahun beliau jadi Perdana Menteri, saya menulis 40 buah buku bermula dengan buku ‘Bahtera Lama Nakhoda Baru’ mengenai politik UMNO.

Pengganti

Apabila Almarhum Tun Hussein Onn memilih Mahathir sebagai penggantinya, tentunya Tengku Razaleigh berasa tersinggung. Mengikut cerita Tun Hussein mahu Mahathir memilih Ku Li sebagai timbalannya seperti yang diharapkan orang ramai, sebaliknya beliau memilih Musa dan saya terlibat secara langsung dengan buku ‘Siapa Selepas Musa 1981’ untuk memenuhi hasrat Tun Mahathir.

Dalam UMNO kedudukan Mahathir tidaklah kukuh dan padu, tak banyak beza dengan Pak Lah hari ini. Beliau dulu terpaksa berdepan dengan penyokong-penyokong Ku Li di semua peringkat termasuk di peringkat akar umbi UMNO. Team B yang diketuai oleh Musa membuktikan di mahkamah dia kalah kerana buku ‘Challenger Siapa Lawan Siapa 1987’.

Ada yang mengharapkan Pak Lah letak jawatan supaya Anwar lawan Najib. Ada yang mahu Tengku Razaleigh lawan Anwar kerana Ku Li pernah lawan Mahathir untuk kerusi Presiden. Mereka berbicara seperti Datuk Sri Najib selaku Timbalan Perdana Menteri tak layak jadi Perdana Menteri. Bagaimana dengan Muhyiddin Yassin dan Ali Rustam?

Ku Li telah menunjukkan kredibilitinya semasa beliau berada dalam Petronas dan PNB dan juga sebagai Menteri Kewangan. Usaha Ku Li membangunkan Bangunan UMNO dan PWTC. Beliau telah dikenali di dalam dan di luar negeri dan sebagai anak Raja mempunyai kelebihannya sendiri namun tak kurang yang kata Ku Li sudah tertinggal bas, namun politik perkara yang serba mungkin.

Ku Lilah orang yang bertanggungjawab merebut Kelantan dari tangan PAS dan memberikan kepada UMNO. Tetapi apabila Ku Li tidak sehaluan lagi dengan UMNO, Ku Li telah merebut kembali Kelantan dari tangan UMNO dan memberikan kepada PAS semula. Ku Li sanggup mengkuburkan parti Semangat 46 demi perpaduan Melayu. Tun Mahathir lupa kepada jasa-jasanya. Mahathir mudah lupa.

Ada puak-puak yang mahu menghapuskan Najib dengan menyebarkan berita Anwar bekerjasama dengan Khairy. Betulkah ada pakatan dan kerjasama antara Anwar dan Khairy? Bagaimana pula peluang Hishammuddin untuk jadi TPM sekiranya Najib dihalang untuk jadi Perdana Menteri? Apakah perkara macam ini tak merunsingkan hati? Apa hendak jadi kepada mereka yang gila kuasa?

Melatah

Arwah Khalid Jeffery penulis buku ‘50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tak Boleh Jadi Perdana Menteri’ pernah memberitahu saya Tun Dr. Mahathir tiba-tiba berhenti melatah kerana buku saya ‘Mahathir Mudah Lupa’. Buku itu banyak menceritakan mengenai masyarakat Yahudi.

Tan Sri Sanusi Joned pula memberikan gambaran yang berbeza. Sanusi kata “tak mustahil Mahathir berhenti kerana anaknya minta dia berhenti kerana selama 22 tahun jadi PM anaknya tak bebas berpolitik dan berniaga”.

Apa pun orang nak kata, tak ada siapa yang boleh paksa Tun Mahathir berhenti melainkan dirinya sendiri. Apakah kalau dia tak berhenti dengan tiba-tiba, Najib yang dipilih jadi Perdana Menteri? Manusia cuma boleh merancang Tuhan juga yang menentukan. Mungkin Mahathir semakin terlupa, maklumlah umur sudah 82 tahun. Orang umur macam itu biasanya ‘nyanyuk’. Ikutkan nafsu lesu, ikutkan resa binasa, ikut Al-Quran dan sunnah selamat dunia akhirat.

Dari segi populariti ‘grass root’ serta hubungan dengan Pemuda, Khairy jauh lebih mampu. Ini yang membuat Tun Mahathir kecewa melihat masa depan anaknya jika Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri. Ada rancangan supaya Najib jatuh, Hishammuddin hanyut dan termasuk Mukhriz yang akan disingkirkan. Sampai bila hendak ikut perangai ketam dalam bakul.

Menggertak mahu membuang Mahathir dari UMNO bukan satu tindakan yang bijak. Ramai yang menganggap Mahathir sebagai ‘Quran buruk’. Orang muda tak boleh ‘kurang ajar’ dengan seorang pemimpin yang banyak berjasa seperti Tun. Mesti belajar tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan bertaburan. Namun ramai yang terlupa bapa borek anaknya rintik. Anak harimau mengaum kerana bapanya mengaum.

Cuba kita fikirkan, apakah sama situasi politik Malaysia seperti apa yang berlaku di Timur Tengah hari ini? Tak bolehkah kita muhasabah diri tengok apa yang Yahudi lakukan terhadap umat Islam di Lebanon? Dunia mengutuk Yahudi kerana mengambil tindakan mengikut nafsu menyerang Lebanon. Amerika dan Britain tak peduli bersekongkol. Apa nak jadi dengan mereka yang Telunjuk lurus kelingking berkait, gunting dalam lipatan, yang bermuka-muka?

Saya melihat bola kini berada di kaki Pak Lah. Dia mesti berani seperti Syed Hassan Nasrullah. Siapa lagi kalau bukan dia yang bertanggungjawab menyelamatkan maruah umat Islam dan bangsa Melayu yang sudah tercemar. Mustahil Pak Lah boleh senangkan hati semua orang biar pun masih ramai yang tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Kita hidup dalam negara demokrasi. Biasalah manusia, memang tidak pernah puas. Yang kaya nak kaya lagi, yang berkuasa nak lebih berkuasa, yang sudah hampir mati pun masih lupa diri.

Pemecatan

Mungkin Pak Lah sedar bahawa peristiwa pemecatan Anwar tahun 1998 setelah kebangkitan gerakan reformasi yang melemahkan kedudukan Mahathir selaku Perdana Menteri. Ikut cakap enggang makan buah belolok, ikut cakap orang tersangkut di tembolok. Apakah tak mungkin bukan pembangkang yang cuba memanipulasi keadaan untuk mengambil alih kuasa tapi orang dalam UMNO itu sendiri?

Berapa ramai menteri yang lantang selain dari Nazri? Apa pun orang nak kata Nazri berani. Kita perlukan pemimpin yang tak peduli diri sendiri.

Akibat menteri-menteri yang bersikap ‘mahu hidup’ pasti tak mahu jadi mangsa gempa bumi, banjir kilat dan letupan gunung berapi politik yang sedang melanda politik Malaysia. Hari ini apakah UMNO akan berpecah dua sekali lagi?

Datuk Onn Presiden UMNO pertama tubuh Parti Negara. Beliau menang satu kerusi Parlimen di Terengganu tetapi mati di luar UMNO. Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn keluar UMNO masuk Semangat 46 pun mati di luar UMNO. UMNO boleh bangga cuma Tun Razak seorang saja Presiden UMNO yang mati dalam UMNO itu pun mati ketika masih memegang jawatan Presiden. Apakah Dr. Mahathir pun mahu mati di luar UMNO? Tepuk dada tanya selera.

Kita tak nafikan Tun Dr. Mahathir adalah seorang pemikir, strategis dan negarawan ulung. Beliau telah mencetuskan pelbagai dasar dan program pembangunan. Yang penting dan strategik selaras dengan wawasan 2020 yang diimpikan mengenai siasah, insaniah, iktisad dan geopolitiknya yang mendepani zaman. Sebab itu kita semua tak patut membiarkan beliau dipengaruhi oleh mereka yang cuba merosakkan nama di akhir hayatnya. Mudah-mudahan sesudah membaca tulisan ini dia boleh muhasabah diri.

Selaku bekas Presiden, Tun Mahathir patut memikirkan bagaimana dapat memulihkan malapetaka politik di pilihanraya tahun 2007 nanti. Enough is enough. Dia patut sedar betapa kredibilitinya sendiri telah dihancurkan akibat membiarkan dirinya dipergunakan. Dia tak perlu takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Ramai yang telah memaafkan ciri-ciri jelek semasa pemerintahannya tentang kronisme, nepotisme, korupsi, pembaziran melalui projek-projek gergasi, dan sebagainya. Kalau keterlaluan luka lama akan berdarah kembali.

Kedaulatan

Orang Melayu sebelum merdeka sewaktu menentang Malayan Union mempunyai nilai ‘patriotisme’ yang tinggi. Keutamaan diberikan kepada kedaulatan seperti pengorbanan kaum Muhajirin yang sanggup meninggalkan harta benda, anak isteri untuk berhijrah ke Madinah semata-mata kerana cinta pada Allah dan Rasul. Siapakah yang membawa budaya politik wang, hulur, gugur, jual beli orang dalam perkampungan UMNO?

Datangnya kekuatan Islam bila orang Ansar di Madinah sanggup berkongsi apa saja yang mereka ada bersama saudara yang Muhajirin. Tak timbul soal kabilah, puak, bila shahadat diutamakan ‘la illah ha illallah Muhammad dar Rasulullah’. Melayu dulu mesti Islam, UMNO itu Melayu maka mesti ada ciri-ciri Islam. Sesat dihujung jalan kembali ke pangkal jalan.

Membicarakan soal politik Melayu - Islam memaksa kita menyelusuri persaingan dua parti politik Melayu iaitu UMNO dan PAS. Pertempuran dua ideologi parti-parti Melayu inilah yang menjadi ‘ inti’ dan ‘rahsia’ yang ‘tersirat’ dan ‘tersurat’ yang patut difikirkan oleh Tun Mahathir dan Pak Lah serta pucuk pimpinan PAS apabila melihat keadaan ekonomi orang Melayu sejak merdeka hingga ke hari ini masih tak banyak berubah. Di luar bandar Melayu masih kais pagi makan pagi. Dan semua perangai yang buruk-buruk itu menjadi budaya Melayu yang membuang Islam, sebab itu ramai yang murtad tanpa disedari.

Apakah pucuk pimpinan Melayu sedar undi yang akan menentukan menang kalah calon UMNO dan PAS bergantung pada orang Cina dan India? Parti pembangkang sukar nak mengalahkan Barisan Nasional kerana undi Melayu tidak berpecah. Bagaimanapun, jika Melayu masih tak mahu bersatu, hilang rasa PEDULI, siapa akan rugi?

Maka apakah tidak mustahil takhta Sultan pun mungkin akan jadi milik bukan Melayu satu hari nanti kerana selaku ketua agama, raja tak turun padang bila timbul isu murtad dan melihat masyarakat sakit tertindas?

Kalau kita teliti dengan halus, kita akan dapati bahawa orang yang pandai menggunakan Sultan adalah terdiri dari orang bukan Melayu. Apa yang Sultan hendak mereka beri. Mereka tak payah sembah ‘Tuanku’, seperti orang Melayu yang terikat pada adat sedangkan agama dijunjung adat dikelek. Orang bukan Melayu tak peduli, mereka bukan Islam, Sultan bukan Ketua Agama mereka. Buat apa mereka nak berpatik-patik guna bahasa istana. Mereka selamba `lu...gua’ atau `I ...you’ saja dengan Sultan akibat tidak terikat pada adat. Ada yang pakai seluar pendek saja jumpa Sultan dan tak payah susah-susah nak buat temujanji. Kenapa semua ini berlaku? Apakah ini wang punya pasal? Apakah ini bukan rasuah namanya? Patutkah bila timbul isu agama semua beban mesti dipikul oleh Abdullah Badawi selaku Perdana Menteri?

Jihad

Ke mana hilang dan berkuburnya semangat perpaduan untuk menghambat penjajah 60 tahun yang lalu semasa menentang Malayan Union? Ke mana menghilangnya semangat jihad ekonomi yang mesti dilaksanakan dengan rasa yang ikhlas dan bersungguh seperti yang dilakukan oleh umat Muhammad ketika berada di pihak minoriti berperang dengan kafir yang majoriti seperti yang dilakukan oleh Hisbullah yang minoriti menentang Amerika, Britain dan sekutunya Yahudi?

Cuba menung dan fikirkan, pandangan Islam terhadap pengertian ‘bersatu’ adalah khas dan amat berbeza sekali. Islam tidak sekadar mempersatukan manusia secara zahirnya tetapi juga mempersatukan ‘kalbu’ hati manusia yang tertumpu pada ingatan dan cinta kepada Allah. Cinta sesama saudara dan sesama manusia kerana itu dalam kesatuan umat Islam, manusia dengan manusia diikat oleh akidah, Allah berfirman:

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.

Ali Imran : 103

Peradaban Melayu mempunyai nilai yang sangat intrinsik namun budaya tolong-menolong, ‘Melayu Tolong Melayu’ sudah tukar menjadi Melayu TOTO tolong orang tipu orang. Lihat sahaja ada pepatah minang yang lebih kurang maksudnya begini:­

Duduk sendiri bersempit-sempit
Duduk bersama berlapang-lapang
Jika ada sama dimakan
Jika tidak ada sama dicari
Enak sama kita, enak juga bagi orang lain
Kita dapat orang pun dapat.
Seiring sama sejalan seayun selangkah
Sakit sama diubati
Senang sama dirasakan

Inilah definisi yang tepat mengenai bersatu menurut Islam. Allah sendiri telah menggariskan batasan tersebut kepada manusia. Tidak seorang pun yang dapat menggubahnya. Semua manusia diseru ‘bersatu’ di dalam agama Allah, iaitu Islam. Allah telah mengingatkan kepada kita agar jangan mencuba mempersatukan manusia dengan jalan yang lain kerana semua jalan itu akan membawa manusia bercerai-berai dan berpecah-belah. Bersatu di bawah satu kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan mesti taat kepada pemimpin yang taat kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW. Ini yang dilakukan oleh Saidina Ali bin Abi Talib ketika Khawarij (hilang akal) mahu membunuh Khalifah Usman Ibni Arfan yang mengamalkan nepotisme. Saidina Ali r.a. telah menyuruh kedua-dua putranya Hasan dan Hussin supaya menyelamatkan Saidina Othman. Satu kerajaan tidak boleh dijatuhkan dengan pembunuhan dan kekejaman atau revolusi. Ia mesti melalui evolusi.

Namun bila timbul idealogi nasionalisme, komunisme, sosialisme, demokrasi atau konsep-konsep lainnya yang pernah dipraktikkan oleh manusia lain yang merasakan Islam itu tidak lagi ‘relevan’ termasuk umat Islam sendiri maka Islam menjadi lemah seperti buih d iatas air.

Allah berfirman:

Siapa saja yang mencari agama selain Islam sebagai agamanva maka - sekali-kali A11ah tidak akan diterima (agama itu) daripadanya. Dialah orang yang rugi di akhirat kelak.

Ali Imran : 85

Janganlah kamu mati melainkan berada di dalam agama Islam

Ali Imran: 102

Menyatakan bahawa kebenaran mungkin diselindungkan demi wujudnya ketenteraman dan kestabilan yang ada.

Media massa Barat cuba menyembunyikan ‘kebenaran’ kerana takut ‘keberanian’ kononnya boleh merosakkan keselesaan banyak orang di seluruh dunia sebab itu kebenaran tidak wajar didedahkan. Biarlah manusia hidup dalam kepalsuan asalkan mereka berasa bahagia dan tenteram kerana mereka tahu bila kebenaran ditimbulkan kepalsuan akan hancur dengan sendirinya.

Di sinilah letaknya hakikat kepercayaan dunia Barat yang menjadi ikutan mereka yang tidak beriman. Umumnya kebanyakan daripada mereka sudah tidak lagi percaya kepada agama (murtad). Mereka sama ada merupakan atheis, agnostik atau skeptik. Mereka tidak percaya kepada kewujudan Tuhan. Bush selaku pemimpin dunia berlagak macam Tuhan ‘play god’.

Kepercayaan

Mereka tidak mahu menolak tradisi budaya dan intelektual yang berasal Kristian. Kepercayaan yang seolah­olah mereka miliki ialah menerima budaya Kristian dengan menolak kepercayaannya. Mereka tetap bersikap toleran terhadap kepercayaan agama Kristian tetapi pada waktu yang sama mahu pihak gereja turut menghormati pegangan bebas mereka. Gejala ini cuba diresapkan ke dalam masyarakat Muslim seluruh dunia.

Cara berfikir seumpama ini sering kali dikaitkan dengan fahaman sekularisme, iaitu memisahkan agama dengan kehidupan bermasyarakat. Tetapi apa yang berlaku di Barat bukanlah begitu. Mereka menolak agama tetapi mahu berpegang pada tradisi budaya dan intelektualnya, tanpa menindas kalangan yang mahu terus teguh dengan kepercayaan Kristiannya dan menindas. Mereka cuba menghapuskan Islam dari muka bumi.

Selaku seorang penulis saya melihat media massa dan media cetak memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia seharian. Cuba kita buat kajian bagaimana CNN, BBC, ABC, Rauters berjaya mempengaruhi pemikiran manusia sejagat mengikut kehendak dan kemahuan mereka terutama mereka yang membaca bukan dengan nama Tuhan.

Selain dari menyebarkan berita-berita dari dalam negeri, media massa juga dapat memberi berita dari luar negeri yang patut diketahui oleh orang ramai supaya kita sedar apa yang berlaku di sekeliling kita. Sepatutnya penulis selain menjadi pemikir dan penganalisa harus menunjukkan jalan keluar dari kebuntuan untuk mencari penyelesaian bagaimana menyatukan umat Islam dan kembalikan mereka menjadi hanya umat Muhammad SAW dan hamba Allah SWT.

Perpaduan bukan sahaja mesti wujud antara orang-orang politik yang 100% melibatkan diri di arena politik. Bahkan perpaduan juga mesti diwujudkan di kalangan orang politik yang menjalankan perniagaan. Jika tidak, percakaran dalam politik akan terbawa-bawa ke arena perniagaan. Ini membuatkan “business” tidak berjalan lancar. Umat Islam perlu mempunyai kekuatan ekonomi.

Akhbar

Ramai yang terlupa hari ini akhbar itu adalah sebagai ‘makanan’ kepada kehidupan kita hari-hari. Mereka yang sudah biasa dengan akhbar tidak boleh dipisahkan dan jika dipisahkan mereka boleh naik ‘gila’. Ini yang sedang berlaku, makanan yang disajikan seperti makanan ‘fast food’ dari USA yang mengemukkan dan merosakkan. Sepatutnya tidak dilakukan oleh tuan punya akhbar yang hanya mahu mencari keuntungan material semata-mata.

Ada akhbar yang melaporkan cerita yang benar, tak kurang yang membenarkan cerita yang tak benar, seperti memberi makan yang disalut dengan asid. Sangatlah mendukacitakan apabila akhbar-akhbar mengambil kesempatan dengan memutar-belitkan cerita yang sebenar kepada yang tidak benar. Itulah sebabnya ramai yang marah kepada mereka yang berkuasa di akhbar. Tapi mereka pun dua kali lima, mereka mahukan kebebasan akhbar semasa hilang kuasa tapi tidak mahu ianya berlaku semasa kuasa berada di tangan.

Ketika kecemasan seperti politik yang boleh memporak perandakan bangsa dan negara media massa perlu memainkan peranan yang positif untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dengan tidak membangkitkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Jangan takut berkata benar. Kebenaran itulah kekuatan, bukan kekuatan itu benar. Tengok apa jadi di Lebonan, cuba Arab Islam bersatu, Yahudi, Amerika, Britain mati kutu. Maka marilah kita semua umat Islam bersatu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Buang yang keruh, ambil yang jernih kerana KJ Anwar sudah jadi KJ Tok Guru Nik Aziz. Apakah tak mustahil KJ Pak Lah jadi KJ Anwar?


 


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762