|
Wed | Sep 06, 06 | 10:51:27 AM
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sebagaimana rakyat Malaysia yang lain, saya juga
turut mengikuti telatah Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Nampaknya makin sehari semakin kusut Umno dibuatnya.
Sedikit masa lalu, beliau pernah memberi tempoh tujuh hari
kepada saya untuk menarik balik tuduhan bahawa Umno menang
pilihan raya Umum kali ke-11 kerana politik wang. Setelah lama
mendiamkan diri kerana mungkin disergah teruk oleh pucuk
pimpinan Umno apabila tidak dilayan oleh saya, beliau membuat
kejutan lain pula dengan sebuah injunksi mahkamah ke atas Naib
Presiden PAS, Dato' Husam Musa kerana agaknya tidak mempunyai
jawapan yang konkrit mengenai keupayaan pembelian saham misteri
beliau melibatkan RM 9.2 juta dalam ECM Libra.
Ini ditambah lagi dengan tekanan lebih jitu seperti yang
dibangkitkan pula oleh Tun Dr. Mahathir.Dari situ, menantu
Perdana Menteri ini terus menggelabah apabila penjelasan dari
bapa mertuanya selanjutnya dikesan ramai sebagai tidak mampu
meredakan kemarahan rakyat.
Barangkali, serabutkan tuduhan ke atas beliau yang dikatakan
mempunyai hubungan dengan seorang artis pula, Khairy dengan
tiba-tiba pula mengisytiharkan penjualan semua saham tersebut.
Belumpun kering dakwat tandatangan, tanpa disuruh sesiapa,
Khairy seterusnya mengesahkan pula yang beliau mengalami
kerugian sebanyak RM 200,000.00 hasil penjualan tersebut.
Terkini pula, dalam mesyuarat Pemuda Umno di Jerlun, beliau
terus terbabas apabila dengan liar mengandaikan yang kaum lain
akan mengambil kesempatan ke atas orang Melayu jika Umno lemah.
Kalaupun Umno lemah sekarang sekalipun,Khairy tidak perlu
mengaitkan keadaan kelemahan Umno itu dengan parti dan kaum
lain.
Perihal seriusnya akibat kenyataan Khairy dapat dilihat sehingga
pimpinan MCA mendesak Khairy membuat permohonan maaf secara
terbuka. Tumpang semangkuk menyindir Khairy, Presiden
Gerakan,Dato? Seri Dr. Lim Keng Yeik pura-pura mengingatkan anak
buahnya tentang tiada tempat bagi orang yang memainkan isu
perkauman dalam partinya.
Tegas beliau,"mereka tidak sedar bahawa apa yang di katakan akan
menggugat BN dan mengeruhkan suasana kaum di negara ini.(They
don't realise that what they say can cause rifts within BN and
between different races in the country." - Lim Keng Yaik, NST 4
September 2006).
Bahkan, Ketua Pemuda Umno sendiri pun turut mengangkat suara
dengan kata-kata, "memang mudah untuk menyuarakan (yang berbaur
perkauman) tetapi apabila jelas (ia) perkara tidak berasas,maka
kerosakan sudah berlaku. Pucuk pimpinan tidak akan melupai
pemimpin rakus seperti ini."(Berita Minggu,3 September 2006).
Sepatutnya, Umno tidak payahlah melumur selut kepada parti-parti
MCA dan Gerakan. Carilah punca-punca kelemahan sendiri dan
perbaiki. Jika nak tahu sangat di mana yang dikatakan lemah itu,
semaklah apa yang PAS telah tegur Umno selama ini. Atau, jika
terlalu sibuklah (katakan), maka bolehlah juga Umno merujuk
kepada kritikan pedas bekas Presiden Umno yang telah
menyenaraikan kelemahan Presiden Umno , perangai kroni dan anak
pinaknya satu persatu.
Isu AP, jambatan bengkok, cadangan penjualan pasir, saranan
penggunaan ruang udara oleh Singapura, penjualan Augusta,
penglibatan anak-anak Perdana Menteri dalam mencampuri urusan
Kerajaan dan bagaimana menantu Perdana Menteri itu boleh
mengumpul wang sebanyak RM9.2 juta. Demikian juga dengan faktor
Kalimullah.Kes anaknya Kamaludin yang dikatakan membolot
kontrak-kontrak besar Kerajaan juga memerlukan perhatian.
Jika Perdana Menteri mengatakan tidak tahu, bagaimana pula boleh
akhbar The Malay Mail menyebutkan bahawa Syarikat Scomi milik
Kamaludin mendapat tawaran kontrak RM 50 juta dari KTM pada
tahun 2005 bagi menyelenggara 1,000 gerabak. Begitu juga dengan
laporan dari Business Times keluaran Mac 2006 yang mendedahkan
Scomi akan membida sebanyak RM 120 juta untuk kontrak membuat
bahagian badan 400 buah bas milik Syarikat Prasarana Negara
berhad.
Soal kesediaan Perdana Menteri untuk memohon maaf jika tersalah
adalah soal lain tetapi perkara yang penting di sini ialah
bagaimana kroniknya suasana negara yang sedang diperintah oleh
sebuah parti nasionalis Islam Hadhari.
Kelemahan Umno tiada kena mengena dengan parti-parti Cina dan
India yang kononnya akan mengambil kesempatan. Jika sudah lemah,
lemahlah. Dah nak buat macam mana!
Ini sebenarnya stail lama Umno untuk melahirkan suasana cemas.
Yang cemas sebenarnya ialah Umno yang digugat oleh PAS dan Tun
Dr. Mahathir. Dia sengaja melahirkan keadaan takut (a state of
fear), memainkan sentimen dan emosi orang Melayu supaya orang
Melayu masih terus bergayut ke lengan Umno walau apapun keadaan.
Ertinya, Umno masih terus mengajar orang Melayu agar menyokong
Umno membabi buta. Itu yang dia selalu hunus keris ( tu) supaya
Melayu terus "pantang derhaka" kepada Umno dan taat berhangit di
bawah ketiaknya. Benar atau salah, asalkan ia dibuat oleh
pemimpin Umno yang Melayu maka ia dikira benarlah.
Semangat inilah yang sedang mengubur kesedaran takwa, dosa
pahala dan syurga neraka yang menjadi pegangan akidah nenek
moyang kita sejak zaman berzaman. Inilah salah satu dari paksi
kewujudan (raison de 'atre) parti PAS.
Inilah juga yang selalu saya tegur tentang betapa khianatnya
parti yang mendokong faham kebangsaan. Semakin jahat lagilah
apabila Umno berpegang pula kepada faham sekular. Agama suku
politik suku. Mahukan bukti kontemporari? Mari kita dengar kata-
kata Dato' Seri Hishammudin Tun Hussein terkini
berbunyi,"apabila anda campurkan agama dan politik, ia adalah
sesuatu yang tidak boleh dimaafkan (oleh Umno) - Berita Minggu,3
September 2006. Kan jelas!
Saya kadang-kadang terasa sungguh malu dengan kedangkalan
kenyataan-kenyataan pemimpin Umno berbanding dengan rakan-rakan
komponen mereka di dalam BN. Dalam perhimpunan pemimpin-pemimpin
parti MCA dan Gerakan misalnya, mereka serius berbicara tentang
peluang-peluang ekonomi, pendidikan, budaya, gejala
sosial,bahasa dan masa depan mereka. Mereka lebih futuristik.
Umno pula asyik menghabiskan masa dengan retorik memuja
pemimpin. Sikit-sikit RM ke-9. Letih memuji sesama mereka, Umno
mulalah mengeji PAS. Mulalah mereka lakarkan Pelan A dan Pelan B
untuk menindih dan menyusahkan rakan seagama mereka.
Mereka tidak berminatpun mencari jalan mengatasi gejala murtad
misalnya. Mereka amat cemas jika orang Melayu keluar Umno dan
menyertai PAS dari risaukan umat Islam yang ratusan ribu telah
dimurtadkan. Sudahnya, keadaan remaja semakin bercelaru.
Rasuah dan politik wang tetaplah subur. Angka penagih arak ,
judi, dadah, dedah dan belasah terus meningkat.Gejala curi,
rompak, peras, ugut, rogol, ragut, sumbang mahram,bakar, bunuh,
ponteng, dera ,GRO, disko, lacur, mak nyah, gaya hidup gay,
kelab malam, rumah dangdut dan urut tidak pernah menemui jawapan
yang konkrit dari perhimpunan .
Menjelang November nanti, lihatlah Perhimpunan Umno yang akan
menyaksikan pertembungan besar-besaran antara Bekas Presiden
Umno dengan Dato' Seri Presiden Umno yang akan sibuk mempertahan
anak dan menantu. Silap-silap, selepas bengkung songket dan
songkok perhimpunan dilucut, apa yang naik tak pasal-pasal pula
ialah harga petrol, gas ,bil air, letrik dan telefon.
Yang susahnya ialah suri-suri rumah kita yang merungut kenaikan
berganda semua bahan-bahan dapur di mana-mana. Inilah hadiah
Umno setiap kali tahun baru lazimnya. Nak derhaka macam mana
kalau dah minda rakyat telah di paku dengan mitos besar berbunyi
"pantang Melayu derhaka."
Apa yang rakyat tahu ialah menghafal senikata lagu Wawasan 2020.
Itu sajalah nampaknya. Kononnya satu pandangan jauh. Setiap
hujung tahun, maka berkatalah rakyat yang dicucuk hidung ". .
kita dapat bonus. Nasib baiklah ada Umno." Itulah yang pemimpin
Umno nak dengar sangat sebenarnya.
Itulah pun apa yang dislogankan iaitu Umno dahulu, kini dan
selamanya. Mudah-mudahan,dengan pendedahan ini, rakyat boleh
sama-sama berfikir dan semakin mengenali wajah batil Umno itu
yang sebenarnya.
|