BALIK KE MUKA UTAMA

 


Khairy Jamaluddin Jual Semua Saham Dalam ECM Libra Avenue
 



KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Timbalan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah menjual semua sahamnya sebanyak 10.2 juta saham yang mewakili 1.23 peratus ECM Libra Avenue Bhd, sebuah syarikat pelaburan dan broker saham, demikian diumumkan hari Sabtu.

Khairy menjual sahamnya pada harga 65 sen sesaham semalam. Beliau membelinya pada harga 71 sen sesaham pada Disember tahun lepas.

Pengerusi ECM Libra Avenue Datuk Kalimullah Hassan Masheerul Hassan juga telah mengurangkan kepentingannya dalam syarikat itu kepada 40 juta saham atau 4.8 peratus dalam syarikat dan kini tidak lagi dianggap pemegang saham utama, menurut laporan mingguan perniagaan The Edge.

Kalimullah, seorang daripada pengasas syarikat itu, juga membuat keputusan untuk menjual semalam dan melupuskan 16.26 juta saham, juga pada harga 65 sen sesaham.

Sebanyak 26,467,220 saham milik Khairy dan Kalimullah dibeli oleh Hikkaya Jaya Sdn Bhd, sebuah anak syarikat AmcorpGroup Bhd, membabitkan jumlah keseluruhan RM17.2 juta.

AmcorpGroup kini memegang kira-kira 61,534,284 saham atau 7.41 peratus ECM Libra Avenue menerusi beberapa anak syarikat.

Seorang lagi pengasas ECM Libra Avenue, ketua pegawai operasi David Chua, menjual seluruh kepentingannya sebanyak 56.26 juta saham kepada sebuah syarikat pengurusan dana asing pada Khamis pada 57 sen sesaham.

Bagaimanapun, ketua pegawai operasi bersama Lim Kian Onn, yang juga pengasas syarikat itu, akan terus kekal sebagai pemegang saham utama.

Kalimullah memberitahu The Edge beliau memutuskan untuk mengurangkan pegangan sahamnya untuk melindungi kepentingan syarikat itu dan pemegang sahamnya.

Syarikat itu bermula sebagai ECM Libra pada 2002 dan menjadi entiti senaraian di Bursa Malaysia apabila ia membuat pengambilalihan balikan South Peninsular Industries Bhd untuk menjadi ECM Libra Capital.

Awal tahun ini, ECM Libra Capital bergabung dengan Avenue Capital Resources Bhd untuk menjadi ECM Libra Avenue.

-- BERNAMA




 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762