|
ALOR STAR 18 Ogos – Ahli UMNO
diingatkan supaya tidak sesekali melakukan
kerja-kerja parti pembangkang kerana tindakan itu
bukan sahaja memberi kesan kepada UMNO tetapi juga
negara, kata Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy
Jamaluddin mengingatkan.
Serentak itu, beliau menggesa ahli-ahli parti yang
bertindak sedemikian supaya keluar daripada UMNO dan
menyertai pembangkang.
“Jika wujud niat untuk menjatuhkan pemimpin bermakna
mereka sebenarnya melakukan kerja-kerja pembangkang
atau menjadi ejen pembangkang.
“Saya ingin beri amaran kepada mereka yang berniat
jahat supaya hentikan niat itu,” katanya kepada
pemberita selepas Persidangan Perwakilan Pergerakan
Pemuda UMNO Bahagian Jerlun di Wisma UMNO Bahagian
Jerlun di sini, hari ini.
Khairy berkata, perbuatan ahli-ahli parti itu secara
tidak langsung memberi laluan kepada pembangkang
menyerang balas UMNO yang masih merupakan parti
terunggul di negara ini.
Jelasnya, sebagai ahli UMNO, peranan mereka adalah
untuk mempertahankan parti, bukannya menyerang dari
dalam.
“Kita perlu sedar, UMNO adalah parti utama dan semua
orang akan perhatikan UMNO, jadi apa sahaja kita
lakukan, masyarakat akan menilai dan memperhalusinya,”
katanya.
Sehubungan itu, katanya, setiap ahli perlu
berhati-hati kerana apa sahaja dilakukan akan turut
memberi kesan kepada negara dan parti.
“Tanggungjawab kita sebagai Pemuda UMNO adalah besar
iaitu memastikan majoriti ahli menyokong pemimpin
dan mempertahankan prinsip parti itu sendiri,”
katanya.
|