BALIK KE MUKA UTAMA

Pemuda janji bela nasib Melayu di bandar: Khairy


 


Berita harian Ahad 3 Sept 2006

KUALA LUMPUR: Isu masyarakat Melayu di bandar akan dibangkitkan pada mesyuarat Exco Pemuda Umno akan datang bagi menyemarakkan usaha bersepadu pergerakan itu pada semua peringkat untuk membela nasib dan mengangkat martabat orang Melayu supaya tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata kegagalan pemimpin Umno di kawasan bandar menyelamatkan nasib orang Melayu menyebabkan generasi Melayu akan datang dipinggirkan dan tersisih sama sekali daripada pembangunan arus perdana.

“Kepemimpinan Pemuda parti di kawasan bandar perlu berusaha menangani masalah sosial, ekonomi dan pendidikan orang Melayu bandar, selain memastikan mereka mempunyai peluang pekerjaan supaya aset mereka tidak jatuh ke tangan orang lain sehingga terpaksa berpindah ke pinggir kota.

“Saya tidak mahu nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang dialami masyarakat kita di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Sudah sampai masa Pemuda Umno mengambil pendekatan lebih proaktif dalam mempertahankan isu ini.

“Kita bukan menyalahkan sesiapa dalam perkara ini, sebaliknya hanya mahu memastikan perjuangan memartabatkan Melayu di bandar ini mendapat perhatian pihak berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Suleiman Mohamed; Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pemuda Bahagian Titiwangsa, Ahmad Zuhri Udris.

Terdahulu, dalam ucapan masing-masing, Suleiman dan Ahmad Zuhri membangkitkan nasib orang Melayu di kawasan Datuk Keramat, khususnya mengenai pembinaan kompleks pasar Keramat yang terbengkalai hampir 20 tahun.

Selain itu, mereka turut membangkitkan keadaan Stadium TPCA di Jalan Raja Muda yang kini terbiar begitu saja dan Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru yang menjadi tempat tercetusnya idea kelahiran Umno dan nasionalisme bagi mengatur strategi mencapai kemerdekaan pada 1957.

Mereka juga menyuarakan kehairanan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berdolak dalih menyiapkan projek itu sehingga menjejaskan peluang ekonomi peniaga di pasar terbabit yang rata-rata berbangsa Melayu.

Khairy berkata, perkara seumpama itu sepatutnya tidak berlaku kerana kerajaan yang memimpin negara sejak merdeka diterajui Umno dan sepatutnya nasib orang Melayu lebih terbela.

“Sehubungan itu, saya minta kita sokong apa yang Pemuda Umno Pulau Pinang dan Pemuda Umno Titiwangsa buat dengan mengusulkan kepada kerajaan negeri masing-masing supaya orang Melayu tidak dipinggirkan daripada pembangunan yang dirancang,” katanya.

Khairy menegaskan, isu berkaitan agama Islam, kedudukan ekonomi orang Melayu adalah perkara yang tidak boleh ditolak ansur walaupun pada hakikatnya gagasan Barisan Nasional (BN) mengumpulkan parti pelbagai kaum, bangsa dan agama.

Katanya, tahap ekuiti orang Melayu masih jauh daripada 30 peratus yang disasarkan dan atas kesedaran itu, beliau mengusulkan supaya agenda Melayu menjadi teras pembangunan negara pada perhimpunan Pemuda Umno tahun lalu.

Sementara itu, ketika melancarkan Putera Umno Bahagian Lembah Pantai di Pusat Komuniti Bukit Kerinchi Pantai Hill Park, Khairy menyifatkan dakwaan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, orang Melayu di Pulau Pinang enggan menerima projek pembangunan, punca Melayu di negeri itu tertinggal tidak adil.

Katanya, orang Melayu di negeri itu seperti kaum lain tetap mahukan kemajuan dan pembangunan, cuma mungkin dalam bentuk berbeza.

Beliau berkata, proses pembangunan mendadak termasuk penyediaan perumahan yang harganya terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli menjadi salah satu faktor mereka ketinggalan.

Khairy berkata, Pemuda Umno ingin melihat proses pembangunan di negeri itu turut memenuhi kehendak dan harapan orang Melayu.

 

 


 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762