|
POLIS PD ALAT POLITIK
Date: Mon 07/17/06 05:19 AM
Ruj. Kami : amns / 2006 / (346)
Tarikh : 14 Julai 2006
Kepada : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM),
Tingkat 29, Menara Tun Razak,
Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.
Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia,
Polis Diraja Malaysia,
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 50560 Kuala Lumpur.
Saudara ;
SALAH GUNA KUASA POLIS DAERAH PORT DICKSON (TIMBALAN KETUA
POLIS DAERAH).
Adalah dengan ini perkara diatas dirujuk.
Pada 10 Julai 2006 yang lepas Angkatan Muda Negeri Sembilan
telah mengadakan program menonton Final Piala Dunia Fifa 2006
bersama pemimpin keADILan. Program ini diadakan dengan kami
menyewa tapak e-stadium yang yang di miliki oleh Mohd Nor.
Bukan sedikit wang dan tenaga yang kami peruntukan ke arah
menjayakan program tersebut. Untuk menampung segala perbelanjaan
tersebut kami terpaksa mengenakan tiket kepada setiap pengunjung.
Malangnya selepas perkara ini dihebahkan telah beberapa kali
pemilik tapak program dikunjungi oleh pihak polis yang
bertanyakan perbagai perkara mengenai program ini, yang kami
jangkakan ini bertujuan jahat untuk menakutkan beliau. (Perkara
ini diberitahu kepada kami oleh pemilik sendiri).
Pada 10 Julai program dijadualkan bermula jam 12.30 pagi namun
anggota polis beruniform dan tidak beruniform telah hadir dengan
jumlah yang ramai seawal 9 julai 9.00 malam. Kehadiran polis ini
telah menyebabkan orang ramai berasa kurang selesa untuk hadir.
Malah tidak sampai 350 meter dari tapak program juga di buat
sekatan jalanraya.
Namum atas niat baik untuk bekerjasama dengan polis kami
menyediakan tempat duduk untuk pihak polis dalam khemah program.
Antara kepimpinan keADILan dan tokoh yang hadir ialah Tian Chua
(Ketua Penerangan, keAdilan Pusat) , Hishamuddin Rais (Pengarah
filem) dan cheGuBard (Timbalan Ketua Penerangan) selain dari
kepimpinan peringat Negeri Sembilan.
Dengan keadaan polis yang ramai dan sekatan jalan raya tapak
program seolah dalam kepungan polis. Walaubagaimanapun program
tersebut tetap berjaya menarik kira kira 400 orang lebih
penonton (walaupun pada peringkat awal penganjur menjangkakan
1000 orang akan hadir). Ada juga penonton yang pulang awal
kerana berasa kurang selesa kerana polis menggunakan kamera
merakam gambar hampir ke semua penonton.
Kami menjadualkan Tian chua dan beberapa orang tokoh yang hadir
untuk menyampaikan hadiah bagi kuiz dan cabutan bertuah ketika
rehat separuh masa pertama.
Namum 5 minit sebelum waktu rehat tersebut kami didatangi
pemilik tapak program merayu agar Tian Chua atau mana mana
pemimpin keADILan tidak naik ke pentas. Menurutnya pihak polis
telah mengugut akan menangkap beliau jika sesiapa pemimpin
keADILan naik ke pentas walaupun untuk menyampaikan hadiah.
Ketika ditanya siapa pegawai yang membuat ugutan tersebut beliau
menamakan Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Md Sham
Abdullah.
Respon dari itu Hj. Ramlan Roes, Ketua Angkatan Muda Negeri dan
Norazizi Abd Aziz, Setiausaha keADILan Teluk Kemang terus
berjumpa dengan seorang pegawai beruniform dan bertanya siapa
pegawai paling kanan yang berada di situ. Pegawai polis tersebut
memperkenalkan kami dengan seorang lelaki berpakaian biasa yang
bernama DSP Sham Abdullah, Timbalan Ketua Polis Daerah.
Ketika ditanyakan mengapakah beliau mengugut pemilik tapak
program, beliau tidak menjawab sebaliknya beliau terus
menyatakan beliau mendapat arahan Ketua Polis Daerah untuk tidak
membenarkan sesiapa pemimpin keADILan untuk naik ke pentas
walaupun untuk menyampaikan hadiah.
Ktika ditanyakan apakah wujud peruntukan undang undang
membenarkan beliau membuat ugutan sebegitu ? Beliau menyatakan
beliau hanya menjalankan arahan. Beliau memberikan kad nama dan
tidak mahu berbincang lagi.
Oleh kerana pemilik tapak ketakutan diugut polis dan merayu
kepada kami agar tidak memanggil mana mana pemimpin keADILan
untuk naik ke pentas, maka kami terpaksa akur.
Di sini kami ingin membuat aduan ke atas Polis Dareah Port
Dickson khususnya Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP
Md Sham Abdullah kerana salah guna kuasa.
Jelas dari tindakan tersebut beliau bertindak di luar bidang
kuasa. Hampir semua pasti akan mengatakan polis pagi tersebut
bertindak atas arahan demi menjaga kepentingan politik parti
politik pemerintah.
Kami dengan ini menuntut pihak polis mengambil tanggung jawab
atas kejadian malam tersebut, tindakan tatatertib harus
dikenakan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson.
Pihak yang bertanggungjawab juga harus memikirkan ganti rugi
kepada penganjur yang telah banyak mengeluarkan tenaga dan wang
untuk menjayakan program dan akhirnya digagalkan oleh polis atas
arahan politik pihak tertentu.
Kami amat kesal dengan kejadian tersebut, dan jika tiada
tindakan diambil atas kejadiam tersebut maka imej polis akan
terus buruk dan hanya dilihat sebagai alat tunggangan politik
pemerintah. Kejadian ini juga sebagai bukti polis digunakan
untuk mengancam ruang demokrasi dalam negara.
Untuk pengetahuan pihak saudara juga kami dalam pertimbangan
untuk membuat laporan polis dan menfailkan saman di mahkamah
ekoran peristiwa tersebut.
Sekian.
ke arah memperkasakan kedaulatan rakyat
AMIRUDIN ABD WAHAB
Setiausaha
Angkatan Muda Negeri Sembilan
0176688404
s/k : Ketua Polis Negara
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman
Ketua Polis Negeri Sembilan
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan
Ketua Polis Daerah
Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson
Media dalam dan luar negara.
|