|
RAKYAT DAPAT KAIN BURUK
Oleh Dato' Kamarul Bahari Abbas
Parti Keadilan Rakyat
KALAU bekas Presiden Parti mereka sendiri pun
dipersenda , diperlekeh dan diperli, bekas Timbalan
Presiden diaib, dihina, ditelanjang, dipenjara, oleh
pemimpin Umno hari ini, tidak siapa perlu terkejut
apabila Anwar Ibrahim ditohmah sebagai munafik dan
khianat. Pujian kepada Abdullah Ahmad Badawi
melambung-lambung, walaupun secara faktanya,
Abdullah merupakan antara sida tentera Team B dalam
pertembungan menentang Presiden Umno, Mahathir
Mohammad pada 1987. Waktu itu Abdullah dianggap
sebagai pengkhianat oleh kelompok Team A .
Hari ini, masih terdengar laungan sumbang yang
bersungguh-sungguh, menghalang Anwar daripada
kembali ke Umno. Mereka dengan suara lantang
berteriak, berkokok berterusan, walhal dari warong
kecil di kampung-kampung, sampailah ke serata dunia,
sudah termaklum bahawa tidak pernah lahir sepatah
haram pun hasrat Anwar bermimpi hendak kembali ke
dalam parti itu.
Namun, di sebalik tabir tipis Perhimpunan Agung Umno
kali ini, berita yang kokokan ayam sabung berbayar
itu adalah atas arahan dan konspirasi baru beberapa
pemimpin tertentu yang menggigil lutut setiap kali
mendengar nama Anwar.
Kita juga faham yang kokokan itu melengkapi politik
cium tangan yang menjadi budaya walau pun itu adalah
semata-mata lakonan di pentas parti itu. Hari ini
mereka mencium tangan dan tunduk kepada Abdullah,
esok, mereka jugalah yang akan menyepak pemimpin
mereka sendiri tatkala sang pemimpin sudah tidak
lagi punya kuasa.
Demikianlah Perhimpunan Parti itu yang semakin jauh
tercabut daripada adab dan kebijaksanaan. Kalau
mereka menyusun pantun atau madah, semua itu hanya
tempelan belaka, tanpa apa-apa erti mau pun nilai.
Erti kebijaksanaan bangsa yang antara lain menekan
betapa pentingnya bercakap benar dan menegakkan yang
hak, walau pun di hadapan pemimpin yang zalim, sudah
lama terkubur.
Rekod elit Umno memang buruk. Mereka bukan sahaja
tidak mahu mengakui bahawa Anwar telah difitnah
dengan seberat-berat tuduhan, tetapi ada para
pemimpin di pentas itu jualah yang menjadi juru
sebar fitnah tersebut. Kita pasti boleh membayangkan
seandainya Anwar di tempat Abdullah sebagai Perdana
Menteri, maka pemimpin-pemimpin itu jugalah yang
akan berebut-rebut mencapai tangan Anwar dan
dicium-ciumnya, konon sebagai tanda kasih dan hormat.
Seraya itu semakin jelas, Anwar disebut akan dan
diharam kembali ke Umno bukan kerana Anwar bakar
bendera Sang Saka Bangsa, atau kononnya pengkhianat
dan telah ditohmah sebagai munafik, Anwar sebenarnya
dihalang kerana terlalu ramai pemimpin Umno yang
ekornya bergelumang tahi. Mereka tidak akan berani
berhadapan dengan Anwar, walaupun sekelip mata.
Inilah bentuk kepimpinan Negara yang ada pada hari
ini, yang langsung tidak punya prinsip, idealisme,
apatah lagi landasan moral untuk bercakap benar.
Anwar akan disebut-sebut ingin kembali ke UMNO
hanyalah sebagai satu modal politik retorik
semata-mata.
Bagi menutup sikap biadap dan bacul sebegitu, di
bibir diratip lagi laungan agenda Melayu, dan agenda
Nasional. Tanpa segan silu, mereka meluah keinginan
untuk kembali meletakkan Perlembagaan Persekutuan
sebagai asas yang tertinggi dalam sistem kenegaraan.
Apa kah ini satu pengakuan yang selama ini mereka
telah mengenepikan dokumen suci dan murni itu.
Maruah dan harga diri warganegara diinjak dengan
segala macam akta draconian. Sekurang-kurangnya
sejak hampir sepuluh tahun lalu, kemuliaan Badan
Kehakiman dan pasukan Polis terletak di bawah tapak
kaki mereka sendiri. Negara ini bukan sahaja sudah
menjadi negara polis, malah, sudah menjadi negara
rimba. Hukum rimba di mana haiwan yang terkuatlah
yang menjadi raja dan bukan lagi atas prinsip
memelihara maruah diri insan, berpangkukan keluhuran
perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Sungguh pun kita sangat menyedari bahawa Mahathir
yang menyuburkan semua kebejatan dan kerosakan ini,
namun sudah tiga kali Perhimpunan UMNO sejak
Abdullah menjadi Presiden, langsung tidak berbunyi
dan berdetik usaha serius untuk mengembalikan
institusi masyarakat sivil yang diruntuhkan Mahathir.
Abdullah masih tidak habis-habis menggariskan
berbelas-belas perkara yang tentunya sukar diingati
oleh rakyat, bahkan saya yakin, pemimpin Umno
sendiri pun tidak mampu mengingat, apa lagi
menghayat setiap satu 12 gagasan yang disebut
Abdullah pada kali ini!
Ucapan demi ucapan bagaimana hendak mempertahankan
Dasar Ekonomi Baru (DEB), memperkayakan yang sudah
kaya, mengagih-agihkan projek-projek kepada ahli
parti, menghunus keris untuk menakut-nakutkan kaum
lain, mengisi kegemilangan Perhimpunan pada hari itu.
Mereka mahu dunia mengetahui bahawa kepentingan
pemimpin mereka dan beberapa pengikut tertentu tetap
dipertahankan dengan apa cara sekali pun, tanpa
memperdulikan implikasi ungkapan dan tindakan mereka,
serta laungan-laungan slogan-slogan yang berbunyi
perkauman. Hairan, kenapa sesudah berakhirnya
sendiwara di pentas perdana itu, sekarang keluar
kata-kata apologetic (kesalan) khusus hanya untuk
meredakkan perasaan kaum-kaum lain, dengan kenyataan
bahawa apa yang disuarakan adalah suara akar umbi
dan jangan mengambil hati. Ini adalah satu rayuan
parti yang hipokrit.
Agenda Perubahan, satu kerangka pembelaan untuk
semua kaum, dengan menjadikan kepedulian terhadap
rakyat sebagai nadi mengangkat kembali setiap
lapisan masyarakat, wajib diperjuangkan. Tumpuan
terutama kepada masyarakat bawahan dan golongan
terbanyak tanpa mengira kaum yang perlu pembelaan
sewajarnya. Pembasmian rasuah dan kemiskinan,
memperkukuhkan sistem pentadbiran yang
bertanggungjawaban (accountibility), mengembalikan
keyakinan sistem dan perlaksanaan undang-undang yang
adil akan diberi penekanan utama.
Selain kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain
yang masih melarat, orang Melayu dan Bumiputera
sudah tentu menjadi sasaran utama sebagai kelompok
majoriti yang bakal mendapat pembelaan paling ramai
andainya diukur dari sudut perangkaan. Dalam soal
pembelaan kepada rakyat, harus jelas ditumpukan
kepada prinsip hak dan keadilan itu sendiri.
Abdullah sepatut turut menjadi saksi bahawa hanya
dengan keadilan, maka negara yang berbilang kaum ini
boleh mencapai keamanan, dan bukan dengan gertak dan
ugutan. Sayangnya, pengakuan Abdullah adalah dibuat
di dalam sebuah wadah politik perkauman dan
assabiyah…
Kerana itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ternyata
sudah tidak releven mesti ditolak. DEB hari ini,
adalah lesen dan helah elit politik pemerintah untuk
merompak sekian banyak kekayaan negara. Ini berulang
kali ditegaskan, dan semakin nyata gagasan luhur
sebegini, membuat Umno nampaknya semakin gelabah.
Mereka sesak hujah. Justeru, mereka akan terus
menekankan bahawa Anwar dan Keadilan mahu menggadai
nasib orang Melayu.
Siapakah yang sesungguhnya menggadai nasib orang
Melayu? Apakah Keadilan yang berjuang untuk
memastikan tidak berlakunya rasuah, menegakkan
negara hukum dan mempertabatkan Perlembagaan
Persekutuan, pengkhianat bangsa, atau, para pemimpin
yang hidup kaya raya bukan kepalang, yang berazam
dengan apa cara pun mempertahankan satu agenda yang
mudah dipandu ke arah penyelewengan?
Di sinilah titik berbezaan besar agenda Keadilan
dengan parti-parti pemerintah, parti yang tidak
habis-habis melalak atas sentimen perkauman yang
sempit. Mereka masih terbelit dan gagal menyesuaikan
diri pada zaman dan era baru. Di hujung lidah Umno,
Melayu hanya sebagai barang lelongan. Semakin dekat
dengan Pilihanraya, maka semakin kuat nama Melayu
dilaung dan dilelongkan. Maka itu, tidak sebaris pun
ayat yang terbit daripada dewan PWTC, mengenai
pembelaan terhadap rakyat terbanyak, hidup golongan
miskin yang melarat yang masih terlalu luasa.
Kesenjangan kaya-miskin di Malaysia antara yang
tertinggi di rantau Asia Tenggara. Semua ini akan
terus dinafikan, dan ditutup.
Kuasa politik digunakan untuk mencapai cita-cita
peribadi. CEO-CEO Melayu di syarikat-syarikat
kerajaan sekarang dicadangkan menjadi ahli UMNO
supaya minda mereka senang diisi dengan budaya reput
ini. Dunia korporat dan perniagaan mulai didesak
tunduk kepada tekanan dan tuntutan pemimpin elit
Umno. Bukankah ini satu lagi usaha untuk menyempit
dan mengongkong dunia perniagaan, korporat dan
profesionalisma dalam negara ini? Apakah tidak cukup
lagi pelbagai lapangan sudah pun terbantut atau
terbarai sampai terpaksa diselamatkan (bail-out)?
Kemana letaknya kepekaan atau kesedaran tentang
kemungkinan ini berulang?
Dalam kata mudah, kalau golongan elit sebegini pun
nampaknya sudah diperkuda oleh elit politik
pemerintah, apakah kita mampu lagi mempunyai harapan
yang nasib rakyat jelata dan pendalaman dihormati
dan akan terbela? Kepada kumpulan elit politik ini,
mereka berpendapat api kemarahan rakyat jelata
begitu mudah dipadam dan dikuasai dengan sogokan
wang ringgit, beras sekampit dan kain. Mengenangkan
semua itu, terngiang lagu lama di ingatan saya….
Tudung periuk pandai menari,
Menarilah lagu putera mahkota;
Kain yang buruk berikan kami.
Buat menyapu… buat menyapu si air mata.
Tatkala Pilihanraya Umum dijangka tidak lama lagi,
maka desakan agar korporat dan para profesional
tunduk kepada Umno adalah umpama ugutan yang
bermaksud ada ufti yang perlu dibayar. Kantong Umno
selalu kempis seperti yang pernah didedahkan Anwar.
Wang Umno yang berjumlah sekitar RM8 ribu juta kini
berada di tangan orang lain. Abdullah gagal
mendapatkan wang itu kembali.
Kekayaan dan harta negara, akan dikikis lagi.
Dikikis atas nama agenda Melayu. Dengan pembangunan
mega tiga penjuru yang mula dilaksanakan oleh
Abdullah, termasuk di dalam Rancangan Malaysia Ke-9
(RMK-9), maka yang tersisa untuk rakyat terbanyak;
yang tersisa untuk orang Melayu, Cina, India, Iban,
Kadazan dan lain-lain kaum dalam negara ini tidak
lebih hanyalah berupa kain-kain buruk… buat menyapu
si air mata. |