|
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) --
Mulai esok warganegara asing boleh membeli unit
kediaman berharga melebihi RM250,000 seunit tanpa
perlu mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa
Pelabur Asing (FIC) Unit Perancang Ekonomi Jabatan
Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan Rabu
berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi telah meluluskan peraturan baru itu.
Dalam peraturan baru itu, warganegara asing juga
tidak dikenakan sebarang syarat kegunaan serta had
bilangan pembelian rumah.
"Langkah ini bertujuan untuk menggalakkan para
pelabur asing membeli unit kediaman dalam kategori
tinggi dan dijangka memberi kesan positif kepada
sektor hartanah dan sektor pembinaan negara,"
menurut kenyataan tersebut.
Peningkatan pelaburan dalam sektor hartanah oleh
pelabur asing juga akan meningkatkan kemasukan
pertukaran wang asing.
Menurut kenyataan itu lagi, peraturan berkenaan
merupakan usaha kerajaan yang sentiasa berusaha
mencari inisiatif bagi mengurangkan birokrasi dan
menjana ekonomi negara.
-- BERNAMA
|