BALIK KE MUKA UTAMA

EXCO Angkatan Muda Keadilan sokong Mahathir?

Persoalannya, adakah langkah kita untuk mempertahankan kedaulatan negara, mengkritik pentadbiran Pak Lah, menegur penjualan saham - saham syarikat ke Singapura, mencabar kedudukan mereka di Tingkat 4 Putra Jaya termasuk mengkritik menantu Perdana Menteri sendiri merupakan sokongan kepada Mahathir? Adakah sokongan kita kepada isu itu memberi maksud bahawa kita bersekongkol dengan dengan watak Mahazalim yang terbit pada tahun - tahun reformasi 1998.

Mungkinkah  setiap perubahan kepimpinan tertinggi akhirnya akan melahirkan watak Maha Pembangkang dan watak baru Mahazalim? Sekiranya Maha Pembangkang yang baru lahir itu membawa isu yang sedang meniti dibibir perjuangan kita, adakah kerana beliau bekas Mahazalim maka kita tidak seharus menyokong beliau hatta menghalang diri kita dari memperjuangkan isu - isu yang dikemukakan? Itu juga adalah isu yang sedang kita perjuangkan? Mungkinkah erti perjuangan hanya untuk melepas dendam atau sebenarnya perjuangan itu tertumpu kepada isu - isu yang mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat?

Ini adalah langkah kiri yang diambil oleh Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, EXCO Angkatan Muda Keadilan Rakyat  seorang bekas tahanan ISA, yang bertindak menyimpang dari saranan Penasihat PKR Anwar Ibrahim dalam membicarakan kemelut Pak Lah dengan Tun Dr Mahathir. Ini adalah persoalan yang dibangkitkan oleh EXCO Angkatan Muda Keadilan Rakyat dalam temubual bersama editor1@umno-reform.com.

Kemelut atau pergeseran antara Pak Lah dan Tun Dr Mahathir kini terbuka luas. Semua rakyat sedar bahawa isu yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir membicarakan lebih dari apa yang kita ketahui sebelum ini. Kita juga harus melakukan apa yang saya klasifikasikan sebagai 'constructive engagement" dengan Tun Dr Mahathir biarpun beliau adalah watak mahazalim sewaktu filem politik negara zaman 1998 - 2003. Hari ini kita berdepan dengan isu yang sekali lagi merunsingkan kita. Benarkah kerajaan yang ada sekarang menjual kedaulatan negara ini? Benarkah syarikat - syarikat yang turut ada kepentingan kerajaan di jual saham - sahamnya kepada Singapura? Benarkah Khairy Jamaluddin lebih berkuasa dan kuasa yang digunakan menolak kepentingan negara dan rakyat yang ada? Benar atau tidak kos - kos kehidupan  melambung naik di era Pak Lah dan ini membebankan rakyat?  Seribu satu persoalan serta kelemahan kerajaan yang  perlu diperjuangkan. Sekiranya apa yang dikritik oleh Mahathir sealiran dengan perjuangan yang dilaksanakan oleh PKR - maka jelas dari satu sudut yang berbeza beliau menyokong agenda kita dalam PKR dan kita yang menyokong agenda tersebut perlu menerima dan sama  - sama memperjuangkan sehingga ia terlaksana.

Kita perlu memikirkan secara rasional dalam apa yang mahu kita lakukan. Kita tidak mahu meninggalkan satu - satu isu perjuangan hanya kerana Tun Dr Mahathir sedang memperjuangkan isu tersebut. Kita tidak mahu ada "restricted movement"  kerana sentimen - sentimen peribadi dan sentimen lain yang menyebabkan kita terpaksa memilih - milih dalam memperjuangkan sesuatu isu. Isu rakyat dan isu yang menjadi perjuangan rakyat adalah apa yang harus kita lakukan biar siapa pun individu yang  membawanya termasuk orang yang pernah memenjara saya dalam ISA.

Kita lihat sekarang Tun Mahathir menyuarakan hak kebebasan bersuara -  ini telah menjadi  agenda kita dalam PKR. Adakah ini menjadi satu konklusi bahawa kita menyokong Mahathir secara peribadi? Kita tidak perlu menyokong Mahathir dalam membicarakan isu hak kebebasan ini, kerana ini adalah salah satu agenda perjuangan kita dalam PKR sejak awal lagi. Mungkinkah Mahathir yang bersekongkol dengan kita? Namun perjuangan hak kebebasan ini harus di terima - biar yang membawanya adalah watak mahazalim lama yang sedang bertempur dengan penyambung budaya pemerintahan beliau. Hari ini, bukankah komitment perjuangan  itu  serupa?

Saya pernah membaca satu petikan " Musuh kepada musuh kita adalah sahabat taktikal  kita". Sungguhpun banyak perbalahan dalam hakikat kenyataan tersebut tetapi ianya juga mencarik sedikit kebenaran khusus dalam kita mahukan kemenangan - bukan untuk kita tetapi untuk rakyat dan generasi kita akan datang.

Inilah yang perlu kita fikir dan perjuangkan. Kita seharusnya melihat isu yang dekat dihati rakyat dan bukan menimbang isu - isu itu dengan alat penimbang yang mengukur samada ianya menguntungkan sesetengah pihak atau tidak. Bagi saya sekiranya agenda itu menguntungkan rakyat maka arah itulah yang  harus kita tuju dan sekiranya ia selari dengan apa yang Mahathir bawa - ia bukan alasan untuk kita meninggalkannya. Apa salahnya kalau kita sokong isu - isu yang dibawa oleh beliau, kata Khairul Anuar atau nama ringkasnya Jonah. Malah bagi saya, kita harus bertemu beliau untuk bertanyakan secara terbuka mengenai arah dan aliran perjuangan beliau.

Ditanya adakah ini tidak akan menimbulkan sedikit penolakan dari kepimpinan Parti Keadilan Rakyat, apabila saudara membawa langkah yang berbeza dengan ketetapan parti, Khairul Anuar menjawab, "ini bukan langkah yang berbeza". Parti memperjuangkan kebebasan bersuara, kebebasan memberi pendapat dan selaku anak muda dalam kepimpinan EXCO saya menyalurkan pendapat saya. Parti Keadilan Rakyat lebih matang dari itu - sungguhpun dalam usia yang agak muda. Kami tidak mahu mengambil budaya Pemuda UMNO yang terpaksa menimbang isu - memilih kenyataan - memilih perjuangan dengan meletakkan agenda peribadi mendahului agenda rakyat. Saya harap begitulah, katanya lagi.

Secara khusus adakah saudara hari ini menyokong Mahathir dan adakah Parti Keadilan Rakyat dapat menerima Mahathir sebagai seorang rakan dalam memperjuangkan isu rakyat, isu kedaulatan negara dan isu kebebasan bersuara? Ya, saya sokong Mahathir dalam isu yang dibawanya khususnya dalam melihat kepincangan - kepincangan yang ada pada kerajaan hari ini. Malah saya juga akan sokong Tan Sri Ghazali Shafie sekiranya beliau berjuang menghapuskan ISA, Datuk Hishammuddin sekiranya beliau berjuang menghapuskan Akta Universiti, Datuk Johari Baharum dan Radzi Sheikh Ahmad sekiranya mereka  berjuang menghapuskan Akta Cetakan. Namun sehingga hari ini nampak gayanya saya akan tetap bersama PKR kerana agenda perjuangan tadi  seakan mustahil wujud dalam UMNO.

Bersama Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762